Friday, September 25, 2009


Kelantanisme (?)

Ini hanya sekadar reaksi kecil kepada catatan Lut di blognya. Saya selalu berpesan kepada kawan-kawan saya yang lelaki dan ingin mendirikan rumahtangga dengan gadis Kelantan. Nasihat saya, “Mu carilah calon dari negeri lain dulu, susah nanti. Kecuali kalau dah takdak yang lain, dan dah jatuh cinta sangat-sangat. Raya Puasa kat Kelantan, Raya Haji kat Kelantan, Raya Cina, Raya Thaipusam dan kalaulah sambutan Hari Gawai itu menjadi cuti umum, bini mu akan ajak/paksa mu kelik raya kat Kelantan jugak.” Kawan-kawan saya macam tak percaya. Beberapa orang yang terkahwin dengan gadis Kelantan yang pernah saya nasihati menemui saya, “betul la apa yang mu ghoyat.” Begitu juga kepada kenalan perempuan dari luar Kelantan, apabila meminta pandangan saya tentang dirinya akan berkahwin dengan lelaki Kelantan, saya biasanya akan mengacah, “bersediakah you untuk dimadukan?” Lepas tu saya gelak kuat-kuat.

Satu hari yang lain, saya dan seorang teman baik yang dilahirkan di Kelantan tetapi pernah bersekolah di Penang Free School memasuki lobi sebuah hotel di Phnom Penh, Cambodia. Kawan saya yang bersekolah Inggeris itu bertanya itu dan ini dengan lancar sekali dan saya hanya tersenyum. Gadis yang bertugas di kaunter itu pula senyum meleret dan menjawab, “Saya Sabariah, masa sekolah kat Pulau Melaka ritu, orghe panggil ambo Mek Yah Kemboja.” Kawan saya terdiam. Saya nak tergelak, tapi tak jadi. Di hari yang lain pula, saya duduk termenung di Phnom Penh International Airport kerana akan berangkat balik ke Kuala Lumpur. Saya disapa, “Adik, nak kelik mana?” . “KL.” jawab saya. “Kampungnya?” soalnya lagi. “Kelate.” Ucap saya. “Abang lama juga dok sana di Penambang. Ni nak atar anak gi gaji sekolah kat Pulau Melaka!.” Saya terduduk lagi.

Satu hari yang lain lagi saya berada di Quan An – Warung Sulay Man di belakang sebuah masjid di Saigon, Vietnam. Thanh Duong Jamiul Islamiyah nama masjidnya. Kami minum pagi, dan tuan punya warung itu seboleh mungkin melayan kami dengan menggunakan bahasa Melayu. Walaupun bunyinya pelat amat tetapi kami memahaminya. Rupanya ikatan keislaman begitu kuat sekali, apabila mereka mengetahui kami dari Malaysia hampir semua yang ada di warung itu bercerita bahawa mereka pernah ke sana. Mereka bercerita bahawa imam di masjid sebelah, dan guru-guru agama di sini semuanya belajar di Kelantan sebelum buat degree di Mesir, Jordan, Syria atau di Madinah. Ketika asyik kami makan, masuklah sepasang suami isteri. Bila mendengar kami bercakap-cakap, si lelakinya menjampuk. “Bila maghi?”. “Semalam.” “Abang dok sini ke?” tanya saya. “Dok kat Kelate, maghi sini sebulan sekali, ambil kain. Sekali maghi dok seminggu.” Saya garu-garu kepala yang tak gatal. Mungkin perempuan muda dan cantik kat sebelahnya tu bini mudanya kat sini, fikir saya.Saya pun mereka-reka untuk kembangkan menjadi sebuah cerpen.

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya saya ucapkan kepada semua yang berkunjung ke blog ini secara sengaja atau secara tak sengaja. Memohon maaf dan maaf atas segalanya. Pesanan saya, kepada yang memandu berhati-hatilah di jalan raya. Kalau mengantuk, berhentilah rehat.

Bulan Ramadan yang mulai ini, saya mengalami kemalangan kecil, dalam perjalanan balik dari KL ke KB. Malam ahad 6 Oktober,, jam 4.30 pagi di Laloh, Manik Urai (betul-betul di hadapan Pejabat Hutan bersebelahan dengan JPJ) terbabas ke dalam parit sedalam 5 kaki. Allah SWT masih meminjamkan saya nyawa, isteri dan juga anak-anak. Terima kasih kepada semua yang membantu saya dan keluarga pada pagi itu. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya. Tuan Majisret Shukri yang menelefon Timbalan OCPD Kuala Krai untuk meminta bantuan, isterinya yang menyapukan bam dan menenangkan anak-anak saya, Sarjan Nik, Koperal Fadzil, dan Pegawai Hutan yang menelefon Encik Mustafa, tuan punya crane yang menarik kereta saya ke atas. Selamat Hari Raya.

Buku Puisi A. Latiff Mohidin

Puisi dan lukisan telah mengarcakan nama Latiff Mohidin sebagai seniman papan atas Malaysia. Buku puisinya Sungai Mekong (dengan terjemahan bahasa China, 1972 dan diterbitkan semula oleh DBP dengan terjemahan bahasa Inggeris, 1981), Kembara Malam (DBP: 1974), Wayang Pak Dalang (1977), Serpihan dari Pedalaman (system intermedia: 1979), Pesisir Waktu (DBP: 1981), Rawa-Rawa (Pustaka Cipta: 1992),Sajak-Sajak Dinihari (Makruf Publisher: 1996), Fables of Dawn (Maya Press: 2003), dan Kumpulan Puisi I (1965-1972) (Horlemaan: 2005). Semua kumpulan puisinya itu dicantumkan dalam Sajak-Sajak Lengkap A. Latiff Mohidin (Petronas: 2007)

Friday, September 11, 2009

Pengertian dan Lubuk Mati Bertiga

Pengertian antara novel terawal S.Othman Kelantan diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Murni Kelantan, 1966. Ilutrasi kulitnya oleh pelukis Mazli Mat Som. Novel ini diterbitkan semula pada tahun 1991 oleh Citra Publishing dengan judul baru Norbani. Lubuk Mati Bertiga adalah novel karya Belia Malaya atau nama asalnya Harun Hassan. Diterbitkan oleh pada tahun 1961 di Marang, Terengganu. Novel ini berdasarkan cerita oleh Alias Ali. Alias Ali sendiri menuliskan cerita ini dengan judul Selasih Kusayang. Saya juga memiliki novel ini, tetapi telah dipinjamkan oleh seseorang dan tertinggal di dalam flight dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Saya diganti dengan naskhah salinan.

Thursday, September 10, 2009

Melati Kota Bharu dan Melati Sarawak










Melati Kota Bharu, novel karya Abdul Kadir Abadi (bapa kepada Mansor Adabi yang berkahwin dengan gadis Belanda, Natrah). Novel ini asalnya disiarkan dalam Al-Hikmah T6, Bil 272 (30 November 1939) hingga T7, Bil 301 (29 Jun 1940) sebanyak 28 siri. Diterbitkan pertamakali sebagai novel lengkap pada tahun 1988 oleh DBP dan diselenggarakan oleh S. Othman Kelantan. Manakala Melati Sarawak pula hasil tulisan Muhammad Rakawi Yusuf. Diterbitkan pertama kali oleh The Sarawak Printing Company, Kuching pada tahun 1932. Diterbitkan semula oleh DBP pada tahun 1980. Kenapa kedua-dua penulis awal ini menulis judulnya dengan Melati? Untuk mengetahuinya silalah baca.

Novel-novel Melayu terawal.











Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan adalah karya Ahmad Kotot pertama kali terbit pada tahun 1927 oleh Al-Matbaah al-Rawdzah al-Islam wa Syarikah, manakala cetakan kedua pada tahun 1975 oleh DBP. Manakala Kawan Benar adalah karya Ahmad bin Haji Muhammad Rashid Tahu juga pertama kali diterbitkan pada tahun 1927 dan dicetak semula oleh DBP pada tahun 1976. Novel-novel Melayu terawal ini saya baca kembali untuk melihat betapa berjaraknya kehidupan ini dalam pelbagai aspek.

Wednesday, September 9, 2009

Kumpulan Puisi Zaihasra

Penyair Zaihasra atau nama asalnya Zaiton Abdullah antara penyair wanita ternama Malaysia. Sewaktu tingkatan 5, puisinya ‘lautan di waktu subuh’ antara yang menjadi teks kami. Rupa-rupanya saya memiliki semua antologi perseorangan beliau, dalam pelarian satu (DBP: 1977), dalam pelarian tiga (Penerbitan Abbas Bandung: 1977), Balada Tun Fatimah (Syarikat Jingga: 1986) dan Luat Pohon dan Kota (DBP:1988). Untuk malam Deklamasi Angkasapuri 2007, saya diminta oleh Siso Kopratasa untuk menuliskan puisi khas untuk allahyarhamah dan puisi juga disiarkan oleh Ku Seman Ku Husein di Mingguan Malaysia.

Bunga Pilihan
(al-fatihah buat zaihasra)

tertegun
pada susuk bahasa
dan keindahan kata-kata
santun dan malu mengalir
dari kelembutan
selubung waktu
ke daerah dewasa
di negeri berterus terang
akan keheningan
‘lautan di waktu subuh’
membawa kaki melangkah
jauh melepasi garis
“dalam pelarian satu”
menuju sempadan
“dalam pelarian tiga”
dengan pasrah dan rela
“Balada Tun Fatimah”
perempuan cekal berani
siap siaga bersusun tingkah
menyimpan kesumat
dendam masa silam
dalam jiwa perkasanya

namamu, penyairku
sekuntum bunga
dari bunga pilihan
akan kekal abadi
di dalam puisi
selagi aksara
masih dibaca
dan dituturkan orang,
dan teman-teman
akan mengenangmu
dengan keputihan doa
dan lafaz al-fatihah.

Kuala Lumpur,
04 disember 2007

Friday, September 4, 2009

Anak Laut.

Sajak ini saya tulis sewaktu masih belajar di Sekolah Menengah Melor, Kota Bharu. Dan saya pun cuba-cubalah ke laut.










Anak Laut
Rahimidin Zahari

Segar angin kuat
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dari sisik ikan
kulit ketam

kepala sotong dan
kaki udang yang bersimpati.

Seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan urat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada muara Pencipta.

(Sajak ‘Anak Laut’ yang menjadi judul untuk teks KOMSAS tingkatan 4 sejak tahun 2000. Catatan dan terjemahan Inggeris ini di bawah ini saya petik dari blog penulis yang menamakan dirinya sebagai SJOVN)

I love Malay poems, especially picturesque ones. This is one of my favourites, 'Anak Laut' (Son of the Sea) taken from an Antology of Malay Literature textbook from my secondary school days. I've attempted a decent enough translation, but like most poems, the beauty is still wholly contained in the original.

Son of the Sea

The fresh strong wind
restored his longing for the boat
like small bubbles floating on the water
netting in a little catch
and sympathetic fish scales
crab shells
cuttlefish heads and
prawn legs.

Like a boat left stranded on the sand
showing the lines of age
the son of the sea has already sensed
his steps are getting nearer
to the estuary of his Creator.

Thursday, September 3, 2009

Balik Kampung

Walaupun jaraknya melebihi 430km, saya selalunya meluangkan hujung minggu setiap bulan untuk balik ke kampung. Paling kerapnya 2 minggu sekali menjenguk ayah bonda. Atau pun paling tidak panggil telefon selang beberapa hari. Ramadan ini pun dah balik empat malam. Diam-diam tinggal di rumah, bukan kerana tak bawa kereta, tetapi kerana memang ingin duduk di rumah. Dua bulan terakhir ini, saya dah empat kali balik, tetapi sekalipun tak pergi ke Kota Bharu. Apabila berbuka maghribnya, terhidanglah kerabu beko dan sambal mencupu yang mengalahkan seluruh lauk pauk yang lain. Nekbat, buah tanjung, jala emas dan tahi itek yang manisnya mengalahkan gula itu saya pandang sahaja. Tetapi semalam terbeli juga buah tanjung dan jala emas di Pasar Keramat, tetapi tak seorang pun anak saya berminat dengan kuih nenek moyangnya itu. Lorong ke rumah saya semakin sunyi, lalang dan pokok-pokok telah tumbuh di kiri kanannya.










Hikayat Panglima Nikosa (The Story of Panglima Nikosa)

Novel karya Ahmad Shawal Abdul Hamid ini dianggap oleh beberapa sarjana sebagai novel Melayu terawal di Malaysia, mendahului Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh al-Hadi dan juga Iakah Salmah oleh Ahmad Rashid Talu. Terbitan pertamanya pada tahun 1876. Lama juga saya mengambil masa untuk mendapatkan novel ini. Pernah meminta pertolongan seseorang yang pernah bekerja di sana, tetapi jawapannya kurang memuaskan saya. Dan selepas itu saya tidak pernah meminta apa-apa pertolongannya lagi. Bagusnya selepas peristiwa itu, saya akan pinjamkan apa-apa sahaja buku yang saya sayangi atau berikan terus buku-buku yang ingin dipinjamkan oleh kawan-kawan saya. Saya ke Kuching, dan dengan pertolongan dan ehsan karib saya, Sdr. Yusof Fansuri terjumpalah buku ini di sebuah kedai buku lama. Dan yang ada hanya sebuah itulah. Buku ini terbitan Persatuan Kesusasteraan Sarawak, tahun 1983.



Wednesday, September 2, 2009










Drama Pertama Saya

Saya menemui foto lama sewaktu masih di Tingkatan 5, Sek. Men.Melor, Kota Bharu, Kelantan. Dalam foto ini Sdr. Adam Malek Harun dan Norasyikin Ilias berlakon dalam drama yang skrip dan arahan saya Inai Hujung Jari Diinai sempena sambutan Hari Guru di sekolah kami. Adam, khabarnya menjadi MA di Pusat Kesihatan, dan saya tak tahu di mana. Norasyikin juga tak pernah saya temui selepas sekolah. Manakala dua orang lagi yang berlakon dalam drama saya ini, Sdr. Mohd. Zaidee Che Mat dan Nasimah Daud. Zaidee menjadi guru di Sek. Men. Mulong, Kota Bharu dan Nasimah saya tak pernah temui lagi selepas itu. Sehingga kini saya masih terfikir, entah bagaimana saya ditugaskan oleh guru kami, Cikgu Ghazali Ibrahim untuk menulis skrip dan mengarahkan drama tersebut.









MPR 1987

Saya menemui juga foto lama MPR 1987 di atas tangga Wisma MAYC Kuala Lumpur, 22 tahun yang lalu. Yang seorangnya sudah dijemput Ilahi (alfatihah untuk Ahmad Faizal Ahmad Fadzil) dan seorang lagi, Hiziari Othman jejaknya gagal dikesan sehingga ke hari ini. Mohd. Zamri Mohd. Yusoff menjadi guru di Jerantut, Tuan Faridah Abdullah guru di Terengganu dan Zulkifli Mahmud, khabarnya juga guru tetapi entah di mana. Alina Idris dari Melaka, Zaliha Hassan dari Sarawak dan Masrani Madun dari Sabah juga terputus hubungan. Saya tentunya salah seorang daripada yang berlapan itu.

Tuesday, September 1, 2009

Kambing Hitam.

Pasport saya tamat tarikh pada 15 Mei yang lalu. Minggu lepas gagahkan juga untuk buatkan pasport baru kerana dah janji nak ke Laos dengan Zakir. Tak ingin biarkan Zakir sendirian di sana nanti. Jadi pergilah saya ke Pejabat Imigresen di Wangsa Maju. Isi borang, ambil gambar, fotostatkan ic dan beratur ambil nombor giliran. No dah dapat, tunggu dipanggil untuk cap ibu jari dan serahkan borang serta foto. Selesai dan tunggu lagi untuk bayaran dan giliran saya pun sampai. Saya bayar RM300.00 dan si kerani itu mengingatkan sejam lagi akan siap. Lama menunggu, saya keluar beli majalah dan masuk balik. Sehingga tibalah giliran saya dipanggil. Pasport saya dah siap, saya diminta pastikan nama, ic dan segala-galanya betul. Dan dah betullah. Saya ambil pasport dan terima kasih kepada petugas yang menyerahkannya kepada saya. Saya pun keluar dan dalam kereta saya menerima panggilan telefon.

“Encik Ra..hi..mi..din.. Za…ha…ri…” kata suara itu. “Encik ada buat pasport tadi?” soalnya “Iya ada. Dah siap.” Kata saya. “Encik belum bayar duitnya,” kata suara di hujung telefon seperti ingin menangis. “MasyaAllah,” kata saya. “Pasport saya dah siap, duit saya dah bayar dan resit pun anda telah berikan pada saya.” Kata saya tegas. “Belum, encik belum bayar. Rekod saya encik belum bayar.” Rayunya. “Kalau saya tak bayar, macam mana you boleh keluarkan resit?” soal saya. Dia menangis. Saya matikan telefon.

Dan itulah pertama kali dalam hidup saya, saya dituduh tidak membayar wang, walhal dengan nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Pengasihani, saya telah membayarnya. Mulanya saya terfikir untuk telefon balik demi maklumkan hal itu kepada bosnya, tetapi saya terfikir takkan di depan kaunter itu tak ada kamera litar tertutup yang boleh merakamkan wajah siapakah yang tidak membayar duit itu. Saya telah dikambinghitamkan.

Paria

Paria sebuah novel karya Mulk Raj Anand terjemahan oleh Sjahrudin dan diterbitkan oleh Oxford University Press: 1964. Saya membeli dan menyimpan novel ini hampir 20 tahun yang lalu dengan harga RM1.00. Apabila menemuinya semula dalam almari di rumah ayah, selepas bersahur, saya membacanya semula. Benarlah seperti blurbnya yang mencatatkan: “Kisah tentang ‘paria’ ini dapat dilukiskan hanya oleh sa-orang India. Oleh sebab itu tidak ada orang yang dapat menggambarkan penderitaan Bakha yang sa-bagitu hebat sa-lain daripada orang India sendiri seperti Dr. Mulk Raj Anand, walau pun ia di-lahirkan sa-bagai sa-orang Kshatriya.” Tambah menarik kerana kulit dan beberapa sketch di dalamnya digambari oleh Piyadasa.