Wednesday, September 9, 2009

Kumpulan Puisi Zaihasra

Penyair Zaihasra atau nama asalnya Zaiton Abdullah antara penyair wanita ternama Malaysia. Sewaktu tingkatan 5, puisinya ‘lautan di waktu subuh’ antara yang menjadi teks kami. Rupa-rupanya saya memiliki semua antologi perseorangan beliau, dalam pelarian satu (DBP: 1977), dalam pelarian tiga (Penerbitan Abbas Bandung: 1977), Balada Tun Fatimah (Syarikat Jingga: 1986) dan Luat Pohon dan Kota (DBP:1988). Untuk malam Deklamasi Angkasapuri 2007, saya diminta oleh Siso Kopratasa untuk menuliskan puisi khas untuk allahyarhamah dan puisi juga disiarkan oleh Ku Seman Ku Husein di Mingguan Malaysia.

Bunga Pilihan
(al-fatihah buat zaihasra)

tertegun
pada susuk bahasa
dan keindahan kata-kata
santun dan malu mengalir
dari kelembutan
selubung waktu
ke daerah dewasa
di negeri berterus terang
akan keheningan
‘lautan di waktu subuh’
membawa kaki melangkah
jauh melepasi garis
“dalam pelarian satu”
menuju sempadan
“dalam pelarian tiga”
dengan pasrah dan rela
“Balada Tun Fatimah”
perempuan cekal berani
siap siaga bersusun tingkah
menyimpan kesumat
dendam masa silam
dalam jiwa perkasanya

namamu, penyairku
sekuntum bunga
dari bunga pilihan
akan kekal abadi
di dalam puisi
selagi aksara
masih dibaca
dan dituturkan orang,
dan teman-teman
akan mengenangmu
dengan keputihan doa
dan lafaz al-fatihah.

Kuala Lumpur,
04 disember 2007

2 comments:

Rositah Ibrahim said...

Salam, ni yang buat saya jealous ni.. saya tak de DLP 3. Saya pinjam buku ni masa ting 3 dari perpustakaan sekolah. Di mana ya boleh dapatkan buku ni?
Sya tagih janji Seberang Takir..dan nak bagitau juga husband sekarang tak duduk di Conlay lagi.Sewa rumah sebelah buat studio.

Rahimidin Z said...

Wsalam.
dalam pelarian tiga takda di pasaran. Seberang takir, bagi alamat nanti saya poskan. Dah tahu, ada jumpa dia baru-baru ni.