Wednesday, February 12, 2014

MINGGU PENULIS REMAJA (MPR)



Kali terakhir saya menjadi pembimbing untuk MPR pada tahun 2008 bersama Sdr. Saifullizan Yahya. Manakala pendampingnya Dr. Shamsudin Othman dan Nasriah Abdul Salam. Manakala karyawan tamunya Baha Zain dan Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Sebelumnya pernah membimbing bersama Dr. Faisal Tehrani. Sebelum-sebelumnya lagi sebagai pendamping atau dijemput sebagai bekas MPR. MPR 2008 meninggalkan suka dan duka yang sangat dalam kepada saya sebagai guru mereka. Hari terakhir dipecahkan kepada 4 kumpulan, dengan setiap orang membawa mereka  dengan LRT ke beberapa lokasi untuk melihat masyarakat dan kehidupan Kuala Lumpur.

Saya sangat gembira, kerana beberapa orang daripada MPR 2008 memberikan hasilnya. Saya sebak apabila Rasyidah Othman berjaya menerbitkan dua kumpulan puisi "Perempuan Yang Patah Hati" dan "Toska". Kedua-dua buku puisinya, saya memberikan katamula. 

Dan semalam   saya melihat iklan buku baru ITBM yang berjudul "Debu di Mataku" oleh Wardah Puteh, saya terus memandu ke sana untuk membeli buku tersebut. Saya gembira kerana ini antara produk MPR yang membuahkan hasil selepas enam tahun program tersebut. Saya tidaklah  terkejut apabila nama saya tercatat di dalam prakatanya. Dan inilah antara dua orang yang berani menghantar sms kepada saya selepas program tersebut. Selebihnya hilang di dalam kabut dan awan.

Sebelumnya pun ramai yang hilang. Manakala yang berjaya menerbitkan karyanya di akhbar, dan majalah atau pun buku yang "buat-buat" tidak mengenali diri saya pun tidaklah kurang ramainya. Yang menyindir saya di fb dan mencerca saya di twitter juga. Saya tidak kerugian dan kehilangan apa-apa. Kalau saya pernah melakukan salah dan silap, maafkan saya hari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Dan kalau anda yang mulia dan terpelajar pernah tersilap dengan saya, saya dengan hati setulusnya  memaafkan anda yang tinggi ilmu dan budi bahasanya. Anggaplah saya tidak pernah pun memberikan setitik ilmu pun kepada anda.

Saya masih menunggu beberapa nama, yang sesekali saya ternampak karyanya. Yang seorang lepasan guru dari IPG Kuala Lipis, khabarnya  sudah pulang mengajar di Johor, tetapi tak lagi  temui lagi karyanya. Sesekali saya terpandang sajak  seorang peserta saya yang sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di India. Dan saya menunggu buku puisi perseorangan daripadanya. Atau yang terlanjur ke sasar (kalaulah ada), kembalilah kepada kalimah Tauhid - bahawa Allah swt itu satu.  Atau yang di bawah umur ketika itu, dan kini telah berumur matang, jadilah orang yang kenal diri dan kejadiannya.