Friday, July 3, 2009

Tuk Selampit

Tuk Selampit berada dalam kategori yang sama dengan Awang Batil, Awang Belanga, Tuk Jubang, Tukang Kaba – kesemuanya adalah Penglipurlara yang memerikan kisah anak-anak raja yang mengalami pelbagai peristiwa sepanjang kehidupan mereka. Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Awang Malim Deman, Hikayat Malim Dewa dan yang sezaman dengannya. Pak Da Nor adalah Tuk Selampit terakhir dalam tradisi tersebut di Kelantan.

Pak Da Nor Tuk Selampit di tengah-tengah. Terakam di dalamnya penyair Rosli K.Matari dan penulis. Foto ini dirakamkan pada tahun 1992.

Thursday, July 2, 2009

Orang-orang yang tidak berfikir

Saban hari kita berdepan dengan orang-orang yang tidak berfikir. Tingkah-laku, perbuatan, tutur kata, gaya pakaian, atau ketika memandu kereta di jalan raya – kita berdepan dengan orang-orang yang tidak berfikir. Kalau berfikir, dia tak akan menunjuk isyarat lucah kerana marahkan kereta di sebelahnya, sedangkan dia memakai kopiah. (Peristiwa itu terjadi pada malam bulan Ramadan yang lepas dari Jalan Tuanku Abdul Rahman membelok di hadapan Sogo ke Jalan Raja Laut). Kalau berfikir, tentulah dia memandu dengan elok dan tidak membuang sampah dari tingkap keretanya. (yang hampir saya saksikan setiap hari). Kalau berfikir, yang jantan tak akan ingin bertukar menjadi betina dan begitulah sebaliknya. Akhirnya selepas penat berfikir, saya putuskan “seekor badut, badutlah juga.” Allah SWT memberikan akal, berfikirlah!

Wednesday, July 1, 2009

Petikan Ucap Utama

“Di Depan Nyanyian Yang Semakin Menyayup: Puisi Lisan Pada Kurun ke – 21” oleh Muhammad Haji Salleh.

“Dan kita juga harus tidak lupa bahawa kita sampai ke peringkat ini, dalam sastera dewasa ini, kerana kita telah didahului, dimatangkan oleh karya leluhur kita. Usman Awang, J.M. Aziz, dan Rahimidin Zahari meneruskan tradisi lisan mereka, dan menjadi popular kerananya.”


Tuesday, June 30, 2009

Kau menangis?

Cintamu persis apa, wahai pangeran?
seperti fiksi yang tidak berkesudahan
penghujungnya –sedang kuda tungganganmu
lepas bebas ke gunung jauh, dan
kau tertinggal di desa sepi tanpa
air mata.

Kuda kencana bersayap emas itu terbang
lesap ke dalam awan membelah udara
yang tertinggal untukmu hanya ringkikan
dan debu-debu terjal dari tapak
kakinya.

Kau menangis, pangeran?

Monday, June 29, 2009

Koleksi Saya

Koleksi lukisan saya bulan Jun, ada empat buah. Dua buah cat air karya pelukis Amirudin Ariffin, sebuah cat minyak pelukis Rafie A. Rahman dan sebuah cat minyak Muhd Fauzul Yusri.











Amirudin Arifin
Kuala Besar, cat air
19x28cm
2009
















Amirudin Arrifin
Pantai Mek Mas, cat air
28x37cm
2009













Rafie A. Rahman
Malacca River, cat minyak
90x98cm
2009














Muhd. Fauzul Yusri
Pamah – Lembah Hijau, cat minyak dan bahan campuran
107x122cm
2001

Menunggu

Saya sepatutnya ke Kuantan pada awal subuh Sabtu dua hari lepas. Tetapi terpaksa tangguh kerana kena jadi bapa yang baik untuk hadir ke sekolah anak mengambil buku rekod akademik mereka.Tiiga anak saya bersekolah di sekolah yang sama, dan saya menghabiskan masa hampir tiga jam berbaris menanti di setiap kelas anak saya. Paling malas dan mengantuk di kelas yang terakhir, apabila seorang bapa yang menunggu dan membaca The Star menepuk meja dengan kuatnya. Dia menyampah sebagaimana saya juga. Setiap seorang ibu yang berdepan dengan cikgu akan mengambil masa 15 ke 20 minit, sedangkan di belakang mereka ada ibu-ibu yang membawa bayi menangis dan meraung, tetapi percakapan dan dialog berlangsung terus. Dialognya biasa. Anaknya dibuli. Bagaimana perkembangan mata pelajarannya anak. Tak kan perkembangan anak sendiri tak tahu kot? Kalau tak buat kerja kat rumah, malas, tak payah susah-susah tanya itu ini kat cikgu. Anak sendiri, tak cikgu yang lebih tahu? Saya tak tanya apa-apa, paling lama saya mengambil masa 3 hingga 5 minit , sebelum keluar dari kelas. Cuma kat guru kelas Adib, saya pesankan supaya dirotan sahaja kalau dia buat perangainya. Lama menunggu rupa-rupa amat membosankan.

Uncle, saya cantik tak?

Tengah hari semalam, saya bergegas membuka pintu pagar kerana mengejar zohor untuk masuk ke garaj. Tiba-tiba saya disapa, “Uncle, saya cantik tak?” Saya mengangkat muka. “Cantik!” kata saya. “Ada apa ni? Nak pi makan kenduri kat mana?” soal saya. “Kat Ampang. Uncle tak terpikat tengok saya?”. Saya tak jawab, membiarkan anak jiran saya yang sebaya dengan anak sulung saya itu berlalu. Saya bergegas undur kereta dan masuk ke dalam rumah. Selepas solat zohor saya beritahu isteri saya. Isteri saya tak terkejut. “Dah biasa lompat pagar sekolah!.”

Friday, June 26, 2009

Tak Hadir

Saya menerima panggilan telefon daripada seorang kawan lama. “Mana kau pergi masa Malam Puisi Utusan tak ada, malam HSKU pun tak ada?” Saya jawab, aku sibuk. “Majlis baca puisi pun dah tak nak datang. Berhentilah kau jadi penyair.” Saya gelak dan saya jawab. “Aku jadi penyair tak disuruh oleh sesiapa. Dalam sastera Melayu aku lebih besar daripada sekalian penyanyi yang dijemput untuk menyanyi pada kedua-dua malam itu. Dan tak ada dalam sejarah Malaysia, penyair dijemput untuk baca sajak di majlis nyanyian. Jadi aku tak perlu hadir. Aku dok kat rumah baca Yassin lagi baiklah.

Kenyataan Seniman

Petang semalam kami mesyuarat PENA, dan kami makan malam dibelanja oleh Amiruddin Ali (Ketua 1 PPJ) yang baru dapat hadiah 10,000 dari ITNM. Selesai makan, Dato Baha Zain (Presiden dan mentor kami) menimbulkan tentang seniman yang menentang PPSMI. Hanya sasterawan dan budayawan nampaknya yang menentang. Orang filem, penyanyi, pemuzik dan seniman yang berkarya atau menyanyi,, buat filem dalam bahasa Melayu yang mengaut kekayaan daripada bidangnya tak pernah menentang. Saya jawab dalam hati, ‘memang mereka tak pernah berfikir tentang itu.’ Atau mungkin selepas ini filem Malaysia wajar diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan semua penyanyi Malaysia yang tak reti menyanyi pun akan menerbitkan lagu-lagu mereka dalam bahasa Inggeris. Ketika itu syabas saya yang paling tinggi atas kejayaan PPSMI.