Thursday, April 30, 2009

Mahalnya ucapan terima kasih.

Paling berdosa sehingga mengacau jiwa apabila saya terlupa mengucapkan terima kasih atas sesuatu pertolongan yang diberikan orang. Barangkali selain wang ringgit atau duit pitis, itulah ucapan yang paling mahal, yang mampu dilafazkan oleh lidah. Moga-moga keikhlasan itu bukan sekadar di lidah tetapi tertasdik di hati yang benar putih dan tulus suci. Seorang kawan saya mengadu, bahawa dirinya tidak pernah dihargai, kerana ucapan terima kasih itu terlalu mahal untuk diucapkan kepadanya. Katanya kepada saya, “abang fikirlah, jawatan hakiki saya lain, dan saya disuruh buat yang bukan kerja-kerja saya. Tetapi kerana bos kan sentiasa betoi, saya ikut. Saya buat saya apa yang disuruh. Tetapi orang lain yang dapat terima kasih dan tahniah.” Saya memandang ke dalam matanya. “Adik ikhlas tak buat kerja adik?” soal saya. “Ikhlas, bang.”ucapnya. “Kalau adik ikhlas, serahkan semua itu hanya pada Allah SWT. Dialah yang Maha Mengetahui!”

Tuesday, April 28, 2009

Topeng

Topeng boleh ditukar-tukar rupanya mengikut keadaan cuaca, waktu dan tempat. Anehnya saya pula tidak pandai untuk menukar-nukar topeng ke muka saya. Yang terbuku di hati akan langsung terzahir di wajah. Herot, hodoh atau buruknya yang terpamer adalah terjemahan dari buruknya perasaan yang sedang bersarang di dalam kalbu. Entah kerana kesalahan apa yang tidak diketahui butirnya kerana jelas, maka dia membisu seribu bahasa. Moncongnya seperti mungkus dan baunya juga seperti mungkus di bawah dapur kayu kat kampung. Busuklah tentunya. Tetapi malam tadi, dia tidak lagi mungkus, tetapi telah menjadi tikus cerdik yang pandai menari-nari. Menyanyi-nyanyi dengan suara sumbang pulak tu. Saya tak faham.

Wak

Seorang Wak, guru saya yang pernah ‘mensifukan taik’ kepada seseorang malam tadi mentaikkan pula kepada sebuah persembahan yang ditontonnya. “Mungkin skripnya tak, bagus, maka persembahannya jadi begitu,” pujuk saya. “Kalau dah bodoh dan tak reti mana nak baik. Kalau skrip bagus, tetapi pengarahnya bodoh, taiklah jadinya. Tapi kalau skrip tak bagus, pengarahnya bagus, taik akan jadi emas.” Dia marah betul dan di tangannya tercepit rokok Jim Sam Soe yang masih berasap.

Monday, April 27, 2009

Dalang

Drama Dalang pun selesai dipentaskan untuk Festival Drama 10 minit di Stor Teater DBP pada 22 dan 24 Oktober 2009. Kawan-kawan baik saya macam terkejut, “apa sudah jadi dengan Rahimidin?” Sudah berhenti menulis puisikah, apabila tiba-tiba kembali ke drama? Sandiwara apa yang ingin dibawakannya. Kenapa dia tulis skrip sependek itu, dan apa yang ingin sindirnya kali ini. Selepas Rebab Berbisik, dia menulis Dalang dan sedang menulis Bidan Ketujuh.

Paling terkejut apabila dia sendiri yang berlakon. Ai, apa sudah jadi? Dia nak jadi pelakonkah, atau ingin dinobatkan sebagai apa? Sebenarnya, tak ada apa-apa. Dia tetap dia. Apabila dibawanya si gadis cantik ke pentas dalam dramanya, adalah yang ingin disindirnya. Fikir sendirilah…

Kali terakhir saya berlakon pentas pada tahun 1989 di Gelanggang Seni, Kota Bharu dalam Wayangan Sita, skrip saya dan arahan Rosli Mohd. Nor. Pelakonnya Nur Zailani Muhd. Nuzi, Fauziah Mat, Saufi Mohd Nor, Zahari Hamzah, dan beberapa kawan yang lain. Koreografernya Jasni Hamid, sekarang Koreografer di DBKL. Manakala penerbitnya Haji Shaari Mat Saod, sekarang khabarnya menjadi kontrakter yang hebat di tanah air.

Jawapan saya mudah, kenapa saya tulis dan buat drama Dalang. Terlalu banyak dalang dalam hidup ini yang mengakui pandai tetapi tidak berbuat apa-apa. Dalang dalam politik, dalang dalam budaya, dalang dalam seni dan ada apa juga bidang yang sedang kita depani dipenuhi oleh dalang-dalang. Bila menjadi Dalang, paling tidak saya bebas menyindir segala kemenyampahan saya tentang masyarakat saya yang songsang dan tak betul itu. Dalang memberikan ruang untuk saya nyatakan apa sekian lama terbuku di hati. Dan saya harus luah dengan cara saya. Saya tulis puisi orang susah nak baca dan susah pula nak paham.

Kalau lakonan saya buruk, memang wajar sebab saya bukan pelakon pentas. Saya penyair. Ha.Ha. Terima kasih kepada kawan-kawan saya dalam Teater Nun, Mohd.Colmann Abdullah, Dayang Kartini Awang Bujang, Nurul Asyikin Roslan yang menjadikan Dalang berjaya dipentaskan.

Terima kasih yang tiada titiknya kepada Sutung Umar RS yang amat mengambil tahu. Terima kasih kepada Khalid Salleh yang mengingatkan saya, kepentingan dinamika dalam lakonan. Terima kasih kepada Rohani Yousoff yang mengingatkan saya jangan banyak menunduk ketika berlakon. Terima kasih kepada A. Wahab Hamzah yang mengingatkan saya masih sebagai pemalu. Terima kasih kepada semua kawan-kawan seniman yang sudi hadir. SM Zakir, Shamsudin Othman, M. Saleeh Rahmad, Ikram Fahly, Saifulizam Yahya, Hazize San, Victor Pogadaev, Zakaria Ariffin, Sabri Yunus, Ladin Nuawi, uwei hajisaari, Jamal Tukiman, Roslan Madun, Prof. Irwan Abu Bakar, Mansor Puteh, Hanafi Ibrahim, Jusoh Majid, Prof. Rahman Shaari, Sani Sudin, Ridzuan Harun, Ustaz Azizi Haji Abdullah, Malim Ghozali PK, Salmiah Ismail, Hajah Zaiton Ajmain, Rosninah Abd. Azib dan lain-lain yang tak tersebut namanya di sini.





























* Kredit foto Hazize San

Monday, April 20, 2009
















Buku Baru Saya.

Buku baru saya yang dijudulkan dengan nama Perjalanan Salik, sedang dalam proses penerbitan. Diterbitkan oleh Pustaka Nusa. Tak dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, dan tak akan dijual di mana-mana kedai buku di Malaysia. Akan diluncurkan oleh Syekhul Madrasah Sham al-Johori antara percabangan Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Tarikh, dan masa akan ditentukan kemudian.

Friday, April 17, 2009

KOLEKSI SAYA
YUSOFF ABDULLAH (1926-2006)

Dalam lukisan ini, Yusoff Haji Abdullah melukiskan sesosok dalang yang memegang patung Seri Rama di tangan kanan dan patung Bota Mahrajawana di tangan kirinya. Manakala panjak di sebelah kirinya sedang menghulurkan Bentara Kala, dan dua panjak di kanannya pula sedang menatah esemble muzik. Bayang patung Seri Rama dibiarkan melempah ke luar bawah dengan tetetsan cat dibiarkan meleleh turun. Wayang Kulit Yusoff Abdullah yang menghadirkan suasana puitik dan sapu-sapuannya dengan warna yang masak telah menciptakan kelembutan, melalui garis dan bayang. Lukisan Yusoff seperti biasa dirakamkan dari dalam panggung, bukannya dari luar sebagaimana rakan senegeri dan seangkatannya, Nik Zainal Abidin. Dia telah memunculkan objek-objek yang jelas dengan pemilihan warna yang terang dan benar-benar masak. Walaupun pelukis cuba memberikan kekaburan melalui permainan warnanya, tetapi visi dan hantaran maknanya amat jelas. Dengan lukisannya yang indah itu, Yusoff telah berjaya menciptakan bahasa tampak dengan kesan puitis yang lain. Yang harus dicari dan ditelusuri adalah misteri seni dan keseniman yang dihadirkan oleh pelukisnya. Kejelasan dalam kesamaran objek-objeknya seolah-olah itulah takdir nasib para seniman tanah air.



















Wayang Kulit, oil painting 120x150: 1981

KOLEKSI SAYA
ABDUL RAHIM HUSIN, HAJI (1940)

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 3 September 1940. Memasuki Maktab Perguruan Harian Kuala Lumpur (1960-62). Menganggotai Kumpulan Wednesday Art Group yang diketuai oleh Peter Harris (1960-65). Menjadi Presiden Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) dari tahun 1990-92. Pameran solo pertama telah diadakan di Sum Art Gallery (1982) dan pameran Retrospektifnya (1990) di Pusat Kreatif, Balai Seni Lukis Negara. Karya-karya landskap air terjun, tasik, pemandangan dan figuranya diolah dengan gaya ekspressionme. Warna dari tiub dan kesan stroke berus yang mengalir dari intusinya menampilkan kesan ekspresif.


















Pantai Timur, 27x35 cat air: 1983



















Permandangan, 18.5x24 cat air: 2001


















Pulau di Port Kelang
, 27x37 cat air : 2004


















Tasik Hijau, 42x59 cat air 2005


















Batu 12, Sungai Gombak, 35 x 50 cat air : 2007

Wednesday, April 15, 2009

Main Pondok-Pondok

Setiap kali kembali ke kampung halaman, saya seperti kembali ke masa kecil saya. Isam Kak Nik Nab, Jeman Alik Baruh, Ajip Pekak Badak, Seli Sepera, Matye Pakya, Nasir Pakda Him, Matnor Butir Nako, Mail Wak Lah, Yudin Pak Mat, Sehimi Kelubi dan macam-macam gelaran yang kami ada. Terjun sungai, bidas burung, jebak puyuh, racip tekukur, timba baruh, tengok wayang kulit, dan macam-macamlah yang kami; budak-budak buat. Kami tak dok tv dan panggung wayang gambar. Itu dulu-dululah. Tapi sekarang dah lain dah. Lain sangat. Apabila balik ke kampung setiap dua minggu sekali, saya duduklah di depan tv. Kali ini saya menonton orang-orang sedang ‘Main Pondok-Pondok’ kat tv di rumah ayah saya. Saya kembali ke masa lampau saya, zaman budak-budak. Ajip Pekak Badak kami lantik jadi Tok Ketua. Yudin Pak Mat jadi Penolong Ketua. Isam Kak Nik Nab yang mulut rabit teradak keris jadi Ketua Pengawal Kampung, Sehimi Kelubi, Jeman Alik Baruh, Matye Pakya dan lain-lainnya semua ada pangkat. Seronok juga rupa-rupanya apabila melihat orang ‘Main Pondok-Pondok’. Saya terkejut, bila anak saudara saya, Ikmal yang Darjah 3 itu panggil, “Ayah Ngah, Tuk Wan tunggu jadi imam Solat Maghrib!” “Ikmal, tadi siapa yang main pondok-pondok?” Dia terpinga-pinga dengan soalan saya. Dan anak saudara saya itu tentunya tak faham. Dan tak akan faham.

Monday, April 13, 2009

Pengkhianat Itu Kembali Lagi

Apa nak kata dah kerana pengkhianat itu telah kembali lagi. Pengkhianat itu ditakdirkan Tuhan bermukim di kampung kami beberapa tahun yang lalu. Kemudian dia berpindah, tak lama sekitar setahun. Kini pengkhianat itu kembali lagi ke kampung kami. Banyaklah hal yang dikhianatinya di kampung kami. Kampung kami, kampung kecil, tetapi pengkhianat itu telah lebih mengecilkannya. Ditukarkan nama sekolah di kampung kami menjadi sekolah yang beraurakan namanya. Dinobatkan tokoh-tokoh di kampung kami yang tak sepatutnya mendapat gelar, tetapi diberikannya juga. Selama setahun ketiadaannya di kampung kami, khabarnya dia telah menjual sebuah pulau milik kami. Apa nak kata dah, pengkhianat itu telah kembali lagi. Moga-moga Allah SWT selamatkan kami, warga yang tidak berupaya.

Wednesday, April 8, 2009

Aspirasi 09

Malam tadi saya bersama Ahmad Marzuki Abu Hassan, dan Muhd. Termizie Mokhtar menghadiri pembukaan pameran Aspirasi 09 anjuran Galeri Tenaga dan Galeri Arusidea di Wisma TNB, Petaling Jaya. Pelukis-pelukis yang terlibat, iaitu Johan Marjonid, Din Omar, Zaim Durulaman, Yusof Ghani, Awang Damit, Zaharuddin Sarbini, Suzlee Ibrahim dan Fauzin Mustafa. Harga lukisan yang paling murah RM3,600 dan yang paling mahal RM150,000. Dan saya tentunya tidak mampu untuk membeli meski pun sebuah. Itulah yang saya bisikan kepada pelukis Ise dan Faizal Sidek. Cukuplah dengan datang melihat-lihat akan permainan warna yang manis-manis belaka.

Tuesday, April 7, 2009

Siri Wawancara

Apabila dianggap sebagai penyair, konon-kononnya, saya kerapkali menerima panggilan mahasiswa universiti awam tempatan, sama ada yang buat BA, MA, mahupun PhD. Biasanya dengan apologi dan maaf mereka kerana masa yang terhad tetapi penting ingin menemui. Ada yang dengan teriak tangis pun. Dan saya selalunya jarang menghampakan para mahasiawa ini. Ada yang datang menemui saya di pejabat, ada yang nak jumpa kat DBP, kat Pena, kat warung bucu DBP, kedai mamak, di KLCC dan macam-macam tempat. Ada yang meminjamkan buku-buku saya dan tidak mengembalikannya, dan tidak mengangkat telefon saya. Sms saya supaya dipulangkan kembali bahan-bahan yang dipinjam juga tidak berjawab. Bahkan, ada yang datang untuk menemuramah saya, tetapi tidak pernah sebuah pun buku puisi saya dibacanya.

Friday, April 3, 2009

Pujian-pujian

Saya menemuinya pada satu malam hari (menjelang pagi sebenarnya) di Sunway Batu Caves. Ketika menerima panggilannya, jam sudah satu pagi itu, dia sudah berada di sana menunggu saya. Dia beria benar ingin menemui saya. Saya jemputnya ke rumah, tetapi dia menolaknya kerana tidak ingin menyusahkan. Saya keluar, dan sampai di sana tak sampai lima minit dari rumah saya. Saya menyalaminya dan dia memeluk saya. Dia jemput dan saya duduk.
“Tuan, nampak sugul!” soal saya.
“Terima kasih kerana boleh membaca wajah saya.”
“Tuan sakit?”
“Tidak. Tak sakit. Alhamdulillah, sihat. Cuma jiwa saya tercela dan hitam apabila ramai yang memuji-muji, kerana saya amat takut akan segala puji-pujian itu. Puji-pujian hanya berhak diberikan kepada Dia, bukannya kepada hamba –hina dan daif seperti saya. Tuan tulislah di blog tuan tentang pertemuan ini, tetapi usahlah disebut-sebut akan nama saya.”
Saya memahaminya.

Sakit

Dalam pertemuan jam satu pagi itu, tak banyak percakapan sebenarnya antara kami berdua.
“Bila sampai KL?”
“Sekejap tadi. Dan akan berangkat balik selepas pertemuan ini.”
“Iya. Sekejapnya?”
“Saya ke mari hanya kerana ingin melihat tuan.”
“Melihat saya?” soal saya.
“Saya mendapat tahu, tuan sakit.”
“Ok. Tak sakit. Bulan lepas ada la. Tak serius pun. Keracunan makanan, lima hari juga.”
“Tak serius apa, lima hari keracunan makanan? Apa yang enta makan?”
“Payau, ketam goreng dan udang goreng…masin…kat Semporna.”
“Patut la tuan sakit, tuan telah termakan apa yang bukan hak tuan.”
“Bukan hak saya?”
“Bukan hak tuan…biarlah ia keluar semuanya. Alhamdulliah, tuan disayangi sebab itu dikeluarkan semuanya apa yang telah tuan makan.”
Saya tercegang. Selepas percakapan pendek itu, dia bermohon diri untuk balik ke Kelantan.
“Bila saya teringatkan tuan, saya akan datang, meskipun hanya beberapa minit. Dan kalau tuan sesekali kelapangan, ziarahlah saya. Kita bersahabat dunia dan akhirat.” Saya termenung hingga ke pagi.

Busuk

Sahabat saya bercerita tentang kawannya, sepasang suami isteri yang berpelajaran tinggi, tetapi memanggil anaknya dengan panggilan, “Busuk! Busuk! Busuk!” Sedangkan ayah ibu itu telah memberikan namanya di surat beranak dengan nama yang baik. Lalu panggilan itu berulang-ulang untuk anaknya. Berulang-ulang dilafazkan. Dan ternyata akhirnya, doa ibu dan ayah itu amat mustajab. Lalu termakbullah doanya. Anaknya benar-benar berbau busuk. Setelah dimandi, disabun dan disembur dengan pelbagai pewangi, anaknya tetap busuk. Berhari-hari disemburkan dengan pewangi, tetapi anaknya tetap juga busuk. Sesal tiada sudahlah sepasang suami isteri itu kerana mulut mereka berdua. Datanglah suami isteri tersebut menemui ustaz untuk menyatakan musibah yang sedang mereka hadapi. Kata ustaz, “Doa ibu untuk anaknya adalah amat mustajab. Ana tak dapat berbuat apa-apa, tuan/puan berdua bermohonlah kepada-Nya agar anak tuan/puan itu kembali sebagaimana asalnya.”

Thursday, April 2, 2009

Puisi dan Saya

Keseluruhan puisi saya adalah mewakili diri saya. Segala apa yang saya suka, saya marah, saya benci, saya sayang dan apa-apa yang berkaitan dengan perasaan, penglihatan dan renungan semuanya bermula dari dalam diri saya sebagai penyair.
Jadi puisi saya adalah saya.

Aku tak mahu terhutang darah

Satu Jumaat kami minum di Ampang Point. Kami tak lama kenal, tetapi cepat akrab. Sebelum ini saya minum dengannya dan beberapa kawan yang lain. Dan sudah tentu, saya tidak banyak bercakap, tetapi lebih banyak mendengar. Sahabat saya ini tak pernah minum sepanjang kami minum, kecuali meneguk botol mineral yang dibawanya. Dan hari itu di jelaskan kenapa dia tak pernah minum.

“Kau pernah tengok aku minum bersama kawan-kawan yang lain?”
“Tak. Saya nampak abang bawa botol mineral.”
“Kau tahu, kenapa?”
“Tak.”


“Aku tak mahu terhutang darah. Bila aku minum atau makan belanjanya, aku terhutang darah. Dan aku tidak mungkin menegur dan menyebut akan kelemahannya. Hari ini aku minum sebab kau yang belanja.” Saya diam mengangguk. Kepada semua kawan-kawan jauh dan dekatku, halalkanlah segala makan minum yang pernah tuan puan belanjakan sebelum ini – dunia dan akhirat. Amin.

RM1.50 yang menganggu


Bulan lepas saya beli suratkhbar di tepi sebuah restoran. Bayar, ambil, bayar dan belah. Bila sampai ke tempat yang dituju, rupa-rupanya saya terambil 2 akhbar yang sama. Jadi terhutanglah saya RM1.50. hutang itu berhari-hari menggangu saya. Dan pagi tadi saya selesaikan hutang tersebut dengan membeli selembar akhbar baru, tetapi membayarnya dengan harga RM3.00.
“1.50 sen ni hutang saya, saya bayar kerana terambil dua surat khabar anda bulan lepas,” kata saya.
“You baik. Ada ramai orang datang makan sini, wang tak dak. Kalau you tak bayar pun, I tak tahu.”
“Betul. Tetapi Allah saya tahu.” Dia terdiam. Dan saya tinggalkan kaunter restoran India dekat Sentul dengan lega kerana telah lesaikan 1.50 itu.