Tuesday, May 31, 2011

RINTIH

Rintihan tidak pernah menyelesaikan masalah. Kalau banyak sangat tidak bersetuju dengan orang, dan kita tidak berbuat sesuatu, maka kita sama sahaja dengan orang yang kita tak setuju tersebut. Atau mungkin kita yang lebih bermasalah daripada orang yang kita tidak setuju. Maka kita harus merenung kembali diri kita, dan berbuatlah apa-apa sahaja yang kita suka, dan tidak menyakitkan orang lain.
Tidak semua orang suka dengan kata-kata dan tindakan kita. Begitulah juga, tidak semua orang tidak suka. Tinggalkanlah rintihan, dan berbuatlah sesuatu supaya orang sedar bahawa kita sebenarnya pernah ada.

Monday, May 30, 2011

SELUANG LEPAS MELAUT

Seluang Lepas Melaut merupakan novel kedua karya Sutung Umar RS selepas Api Cinta (Pustaka Nusa: 2010). Novel semi autobiografi ini apabila dibuat layout melebihi 1000 halaman. Dan kini dalam proses penerbitan. InsyAllah dalam masa dua minggu lagi akan siap dicetak oleh penerbitnya. Selepas Seluang Lepas Melaut, dia sedang menuliskan novel ketiganya yang berjudul Dia dan Nya.

Saya juga sedang menyelenggarakan sebuah kumpulan cerpennya yang saya beri judul Di Negeri Wayang yang mengandungi 12 buah Sutung Umar RS yang pernah tersiar di pelbagai penerbitan tanah air. Selebihnya ada ratusan puisi beliau yang tersiar dalam bentuk eceran yang belum diterbitkan. Begitu juga dengan kolumnya di pelbagai surat khabar dan majalah yang memakai pelbagai nama pena. Kolum itu bermula 1978 dan sehingga 2008. Bayangkan berapa berapa banyak jumlah tulisannya setiap minggu selama 30 tahun?

Sunday, May 29, 2011

KEPADA KAWANKU YANG SEDANG BERCINTA



Cinta hadir tanpa diduga dan tidak juga secara dipaksa. Cinta boleh hadir kepada sesiapa sahaja, secara terang atau secara gelap. Cuma ada yang bersambut dan ada yang tidak bersambut. Dan terkini orang bercinta dengan pelbagai medium - berkat kecanggihan teknologi. Kalau di dalam meeting, hendak memerangkap kawan kita yang sedang bercinta sebenarnya paling mudah. Kalau ada kawan-kawan yang menerima sms, kemudiannya menjawabnya terus, kemudian tersenyum sendirian, maka sahihlah dia sedang bercinta.


Kepada kawan-kawanku yang sedang bercinta...bercintalah sebelum anda kena tangkap dan menjadi tahanan di dalam rumah.

Saturday, May 28, 2011

KEPADA KAWANKU YANG KEHILANGAN ARAH



Ada banyak perkara yang ingin kita buat, tetapi apakah apa yang kita lakukan itu merupakan pilihan terbaik dan yang paling tepat? Kadang-kala apa yang kita buat, bukanlah pilihan peribadi, tetapi kerana keterikutan kepada suasana dan persekitaran. Saya pernah membaca entah di mana "kalau berkawan dengan penjual minyak atar, maka wanginya paling tidak akan melekat di tangan atau pakaian kita."


Tiba-tiba kawan saya tidak tahu apa yang ingin dilakukan dalam hidupnya! Dia kehilangan arah. Dan seperti halimunan, dia muncul dan hilang. Muncul lagi, tanpa membawa wajah dan peribadinya. Dia berada dalam kekosongan yang pasti, sehinggakan dia tidak lagi mengenai diri sendiri.


Satu hari dia menemui saya untuk meminta pandangan. Saya malas untuk memberikan apa-apa pandangan. Hanya yang saya katakan padanya: "Keldai boleh dibawa ke gigi air, tetapi keldai tidak boleh dipaksa meminum air." Kepada kawanku yang kehilangan arah ini, segeralah kembali!

Friday, May 27, 2011

KEBETULAN JUDULNYA SAMA

Orang biasanya akan marah-marah kalau karyanya diciplak. Saya pula sebaliknya, ciplaklah kalau hang nak ciplak, saya tak kisah. Sejak dulu, ada banyak puisi saya diciplak. Saya tak pernah beri respon pun, orang itu minat sangat biarlah. Paling-paling, akhirnya dia akan malu sendiri.
Beberapa hari lepas saya beli sebuah buku diterbitkan oleh penerbit daun lontar. Ditulis oleh dua orang sarjana yang ada PhD dan diterbitkan 2011. Kertas kerja saya pernah dibentangkan di Seminar Persuratan dan Kebudayaan Melayu di PD pada tahun 2006 dan esei alias kertas saya tersebut diterbitkan dalam buku terbitan PENA itu sempena seminar tersebut. Apabila ada buku baru terbit pada tahun 2011 dengan judul yang sama, mungkin hal itu berlaku secara kebetulan.
Begitulah semalam saya membaca sebuah esei yang judulnya sama dengan judul esei saya yang pernah diterbitkan oleh Balai Seni Lukis Negara. Isinya tidak ada kena mengena, dan saya tidak anggap, tulisan itu menciplak tulisan saya. Atau mungkin juga itu dosa-dosa kerana memperolehi idea daripada pelbagai tulisan orang lain.

Thursday, May 26, 2011

SURAT LAMA

Saya membuka fail mencari-cari untuk memulakan kertas, "Orientasi, Komitmen, dan Pengaruh Media terhadap Pertumbuhan Puisi" yang akan dibentangkan di Pertemuan Penyair Nusantara V di Palembang. Tiba-tiba saya temui salinan surat dan jadual program di Gallery Shambala, Rosengarden 7, 1177 Kobenhavn K. 'The official opening' dijangkakan akan dilakukan oleh Duta Malaysia ke Sweden pada 7 Ogos 2009, jam 5 petang.
Saya membacanya semula:
VEERDENSKULTURCENTRET
Day 1; Tuesday 11 August
SHADOW PUPPET WORKSHOP -KL 09.00-12.00
Salen: Verdenskulturcentret
Workshop Fee: 100 kr per person
Rahimidin Zahari - a Malaysia master puppeteer will be conducting a workshop on Malaysia Shadow puppet.
Saya tak jadi hadir pun ke acara tersebut. Dan dunia wayang kulit juga, sudah menjadi dunia ajaib yang perlahan-lahan saya tinggalkan.

Tuesday, May 24, 2011

SEBAK

Pagi ini saya kehilangan seorang sahabat yang menyambut salam saya setiap pagi sejak lima bulan yang lepas. Bila petang semalam, dia membuka pintu besar Istana Budaya untuk saya melangkah balik, dia menghulurkan salam memohon maaf dan menyatakan inilah hari terakhir dia di sini. Anak muda ini seorang pengawal keselamatan, Mazlan namanya berasal dari Kota Bharu akan melanjutkan pengajiannya ke UiTM Perlis dalam jurusan perakaunan. Saya mengucapkan tahniah untuknya. Dia macam ingin menangis kerana akan meninggalkan Istana Budaya, dan saya sebak kerana dia akan melanjutkan pelajarannya. Saya melangkah turun dan dia melangkah naik ke lobi atas. Saya naik semula ke atas tuntuk menemuinya.

Dan saya bercerita dengan Mustafa Fuzer Nawi - maestro muzik di IB tentang anak muda ini. Mustafa juga seperti saya, "aku sebak bila dia minta maaf, dan akan melanjutkan pengajiannya." Ini antara jenis spesis anak muda yang jarang kita temui. Kami mendoakan anda akan berjaya dan sentiasa dalam rahmat dan hidayah Allah subhanahuwataala.

Monday, May 23, 2011

JERING DAN SASTERA

Kalau jering yang ditanam, kelak apabila tumbuh membesar, maka pokok tersebut akan berbuahkan jeringlah juga. Jangan berharap pokok itu akan menerbitkan buah durian atau pun rambutan. Pokok jering akan berbuahkan jering dan pokok durian akan berbuahkan durian. Kalau jering yang ditanam, buah durian yang keluar atau durian yang ditanam berbuahkan jering, maka itu bukan lagi salah di penanam. Hal itu hampir tidak terjadi, dan mustahil terjadi. Kecualilah dengan rahmat dan kebesaran Allah swt. maka haruslah kita menerimanya. Kembalilah kita kepada kata "kun" - jadi, maka jadilah ia.

Samalah juga dengan orang-orang yang bersibuk dengan dunia, maka dia akan melupakan akhirat. Dan orang-orang yang bersibuk dengan akhirat, dia akan melupakan dunia. Bersibuk dengan kebenaran, akan menjauhkan diri daripada kebatilan. Bersebati dengan kebatilan akan menyebabkan hati disaluti karat arial, yang menjadi hijab yang menutup kejap daripada segala yang hak.

Dan sastera seperti buah jering.

Saturday, May 21, 2011

DI DALAM DAN DI LUAR FIKSYEN

Sebagai penulis atau sasterawan, seseorang itu memiliki dua sudut pandang. Pertamanya sudut pandangan di dalam fiksyen. Di dalam fiksyen, sebuah dunia kreatif yang melibatkan kreativiti. Pengarang itu berhak mencipta dunianya, sama ada ingin ditunggangterbalikan atau ingin mengapa sahaja plot dan watak-watak ciptaannya. Kerana dia pengarang, maka dia berhak melkaukan apa sahaja yang dia suka. Dan pembaca pun tahu, itu sebuah fiksyen yang ditulis oleh sang pengarangnya.

Tetapi berbeza pula kehidupan kita di luar fiksyen. Sebuah dunia realiti yang kita depani dengan sejumlah manusia setiap hari. Ketika itu kita berada di dunia realiti yang bukan lagi ciptaan kita. Kita hidup di dunia nyata yang terikat dengan halal dan haram bagi seorang muslim sejati. Berbohong umpamanya amat ditegah dan dibenci Islam. Bahkan terdapat peringatan yang jelas dan tegas untuk pembohong dan tukang fitnah. Jadi mereka-reka cerita di luar fiksyen tidak dibenarkan oleh Islam. Kalau ingin memakan kayu dan bara api neraka Allah swt di negeri akhirat berbuatlah. Rekalah pembohongan demi pembohongan dan buatlah fitnah demi fitnah.

Bezakanlah antara di dalam dan di luar fiksyen.

Thursday, May 19, 2011

HASSAN ALI

Malam tadi mencari sebuah buku, tetapi menemui sesusun buku karya novelis Hassan Ali yang terkenal dengan Musafir. Musafir pernah memenangi Hadiah Kedua dalam Peraduan Menulis Novel DBP 1958. Selain Musafir, novel-novel beliau yang lain Tugu, Sebelum Fajar Berakhir, dan Nurul Hidayah. Beliau menulis cerpen dan bersusun novel remaja yang berlatarkan luar negara setiap kali beliau keluar. Dia juga menulis proses kreatif. Dia antara penulis yang konsisten dan tak pernah berhenti menulis. Dia juga pernah berada lama di luar negara.

Tetapi, seperti allahyarham T. Alias Taib, allahyarham Hassan Ali seakan dilupakan. Mereka berdua antara yang tak sempat dianugerahkan SEA Write Award walaupun mereka lebih layak daripada beberapa penulis yang diberikan anugerah tersebut. Nak kata takada sumbangan untuk pembangunan sastera, beliau pernah menjadi Bendari GAPENA dan pernah menjadi Ketua Dua PENA. Sebulan sebelum kembali ke negeri abadi, kami sempat menziarahi beliau. Dia dengan bersemangat menunjukkan sajak-sajak terbarunya. Matanya masih terang dan boleh membacanya dengan baik. Telinganya juga. Berkat membaca doa yang diberikan ustaz, katanya. Al-fatihah untuk beliau.

Wednesday, May 18, 2011

KE TANJUNG PENAGA

Saya menyertai 3 orang pensyarah, Tuan Haji Shamsudin Othman (UPM), Ridzuan Harun (ASWARA) dan Ariff Mohamad (UPSI) ke Tanjung. Tanjung Penaga. Haji Sham, itu pertama kali memandu ke sana. Kami tentunya mempunyai kenangan yang berbeza. Ridzuan pernah menjadi peniaga Pasar Malam di sana. Ariff pernah belajar di Maktab Sri Pinang dan menemui titik cintanya di sana. Saya, pernah dua kali dalam jarak masa yang lama menjadi penghuni pulau ini.

Kami ke Tanjung kerana ingin menziarahi guru kami, Haji Azizi Haji Abdullah yang sedang menghadapi ujian Allah Subhanahuwataala di wad CICU, Hospital Besar, Pulau Pinang. Kami bertolak dari rumah PENA jam 10 malam dan singgah di Persimpangan Tanjung Malim untuk mengambil Ariff yang menunggu di sana. Sewaktu tingkatan empat novel Ustaz Azizi Seorang Tua di Kaki Gunung merupakan teks sastera saya. Kalau sesekali turun ke KL, Ustaz Azizi akan mengambil hotel, semata-mata kerana ingin menemui kami. Kami tergelak-gelak mendengar kelakar beliau. Dan dia merupakan calon Sasterawan Negara saya! Semoga Allah memakbulkan doa kami dengan mengembalikan kesihatan.

Selebihnya, sarapan pagi kami di Medan Selera dekat Jalan Hilir Pemancar, Gelugor - pelbagai masakan yang tak terpilihkan oleh kami. Melewati Masjid Gelugor dan mencari-cari rumahnya alharhum Haji Yusoff Rawa. Melewati rumah Syed Sheikh Al-Hadi yang telah bertukar fungsi. Saya menunjuknya, dan Ariff memetik kamera Sonynya. Kesasar singgah di Lorong Kulit di tepi Stadium Bandaraya. Mencari buku, dan kami menemui buku-buku agama yang diharamkan JAKIM terjual dalam bentuk fotostat. Akhirnya tertarik kepada aksi penjual rumput gunung berapi yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

Melangkahi tangga Chowrasta, antara jeruk pala dan jeruk salak. Itu semua tidak pernah memikat saya sejak dulu. Kedai buku lama di tingkat atasnya itulah yang kami tuju. Semua jurujualnya mengingati saya, cuma mereka tak mengetahui nama. Sayangnya, masa kami terlalu pendek. Saya membeli sepuluh buah buku - kesemuanya langka. Ridzuan, Shamsudin dan Ariff membimbit plastik hitam yang berisi buku lama yang belum ada dalam koleksi kami. Kalau masanya masih lama, saya percaya mereka bertiga akan beli lebih banyak buku lama.

Cucur udang mamak di Chowrasta menamatkan lapar tengah hari. Zohor dan Asar terjamak di Masjid Negeri. Kami kemudian menuju ke 731 Ayu Height di Bukit Jambul, menziarahi SN Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh. Ada banyak lontaran idea yang beliau kemukakan. Dan ada banyak pertanyaan dan perbincangan yang kami bincangkan. Yang diam, tak tanya apa-apa tentunya Ridzuan. Kalau beliau bertanya, tentulah bukan dirinya. Karipap, dan pisang goreng melancarkan percakapan kami.

Meninggalkan Bukit Jambul, kembali ke Gelugor. Hajat kami ingin menziarahi seorang lagi SN, Datuk Prof. Emeritus Shahnon Ahmad, tetapi hari sudah petang. Ariff, rupa-rupanya peminat Nasi Kandar Syarif dekat Gelugor, tetapi ketika kami sampai warungnya belum dibuka. Kami memutuskan, bertolak balik ke KL, SN Datuk Shahnon, akan kami ziarahi kemudian. Kami melepasi jambatan menuju ke KL.

Monday, May 16, 2011

BORAK BUKU

Semalam berlangsung Borak Buku, siri ke 5 di KL Sentral. Mulanya saya ingin jadi pendengar. Rupa-rupa kerana tetamu untuk kali ini Dr. Sharul Lail Sujak, kawan saya maka sayalah yang paling wajar untuk memperkenalkan beliau. Borak Buku merupakan program santai yang menggabungkan mantan MPR dan Penulis Muda Pena. KL petang semalam hujan menggila, jalan sesak.

Ada yang bertanya, "Siapa Dr. Sharul?". Pengamal perubatan di klinik Kerajaan, tetapi anehnya Dr. yang berambut panjang ini bukan sahaja Dr. perubatan. Dia menulis buku teks kesihatan sekolah, dia juga menulis puisi, cerpen, rencana dan melukis. Malaysia memang tak banyak dengan spesis jenis ini.

Dr. Sharul bercakap pasal siri novel Anderea Hirata yang terkenal dengan Laskar Pelangi. Dua bulan lepas Dr. Sharul ke Bandung, dan dia kepingin bertemu dengan Anderea, tetapi novelis itu telah berhenti kerja dan sedang bertapa di Pulau Belitung. Laskar Pelangi menjadi fenomena kerana Pulau Belitung menjadi terkenal dan pusat wisata sebanyak 800% selepas terbitnya novel ini. Ini peristiwa luar biasa. Apatah lagi Anderea itu lulusan dari Sorbone University, sebuah universiti ternama di dunia.

Borak Buku biasanya berakhir dengan balik ke rumah masing-masing, dan bulan depan menunggu pembicara yang lain pula. Tetapi Dr. Sharul telah meminta e-mel semua yang hadir - sekitar 13 orang? Semuanya harus menulis sesuatu, dan sebulan dari tarikh semalam semua yang hadir harus (wajib?) menyediakan sebuah tulisan untuk dibukukan. Jadi Borak Buku kali tidak berakhir di situ, tetapi akan berakhir dengan sebuah buku lain yang dirancangkan penerbitannya selepas ini.

Thursday, May 12, 2011

SEDAR DIRI DAN TAK SEDAR DIRI

Sejak dari dulu, kawan-kawan saya sesiapa sahaja. Tukang kebun, tukang sapu, jaga, pemandu, peniaga ikan, peniaga kedai buku, siak masjid dan sesiapa sahaja yang sudi berkawan. Daripada mereka saya mendapat banyak ilmu dan pengajaran. Mereka jarang hipokrit. Mereka akan kata apa yang mereka tak suka. Kerana saya menerima mereka sebagai kawan-kawan baik saya, maka saya dengan mudah mereka terima sebagai kawan. Paling bagusnya mereka tahu tentang bidang mereka, dan mereka mahir dengan dunia mereka. Malam tadi saya berkenalan seorang tukang urut buta. Usianya sekitar 20-an. Peramah sekali memberikan penjelasan dan mengajukan pelbagai pertanyaan. Saya selalu singgah di tempatnya di uptown Batu Caves untuk melihat pelbagai gelagat pelanggan.

Kawan-kawan dari kalangan ini kebiasaan sedar diri dan sedar ruang tentang bidangnya. Ini berbeza dengan dunia sastera dan kebahasaan. Antropologi gagal dalam bidangnya dan gagal pula menghasilkan buku dilantik jadi Panel Anugerah tertentu, dia boleh dengan senang hati terima pelantikan itu walaupun dia sedar dia tidak layak. Profesor bahasa yang di luar aktiviti dan tidak membaca buku sastera. Bekas sasterawan dan sarjana pensiun yang kesasar jauh juga. Guru Besar pencen yang ingin mentadbir institusi negara.

Pada saya, ini barah dan virus yang berada dalam kategori pengkhianat bangsa. Saya secara peribadinya sangat menghormati kawan-kawan saya yang berstatus pemandu, tukang kebun, tukang sapu, jaga, tukang urut buta dan lain-lainnya melebihi daripada tokoh-tokoh palsu ini semua.

Wednesday, May 11, 2011

MEMBACA SAPARDI

Bulan lepas saya dihadiahkan sebuah buku yang berjudul Membaca Sapardi yang editornya Riris K. Toha-Sarumpaet dan Melani Budianta. Kerana sedikit sibuk, hampir saya tidak sempat membacanya. Buku ini pula dihadiahkan oleh seorang pemuzik, bukan kawan-kawan penulis saya. Jadi, bagaimana seorang pemuzik profesional yang memperolehi Diploma Muziknya di London tiba-tiba memberikan saya untuk Membaca Sapardi.

Saya sebenarnya telah Membaca Sapardi sekian lama, dari yang pertama sehingga yang terakhir. Bahkan kalau sempat saya akan menulis Antara Sungai Mekong dan Sihir Hujan. Tunggulah kalau saya sempat. Harap-harap saya sempat!

Tuesday, May 10, 2011

MEMBACA SEMULA BUKU YANG PERNAH KITA BACA

Ada buku yang saya baca, tetapi tak pernah selesai. Saya simpan. Ada buku yang saya baca, dan beberapa tahun kemudian saya mengulanginya semula. Apabila kita membaca semula tentunya ada sesuatu atau kita seronok dengan buku tersebut. SN A. Samad Said menyatakan dia mengulang baca novel Dr. Zhivago karya Boris Pasternak setiap tahun. Saya cuba membacanya, amat perlahan. Saya menonton filemnya, kemudian membacanya semula.

Balik dari Korea saya ingin membaca semula cerpen-cerpen dalam antologi Perjalanan ke Sampo yang diselenggarakan oleh Prof. Chung Young-Rhim, tetapi buku milik saya itu gagal saya kesani di mana saya menyusunnya. Beberapa hari lepas, anai-anai menemukan saya dengan buku tersebut, dan saya mula membacanya semula. Saya seronok dengan gaya penceritaan.

Dan saya juga bertemu semula dengan novel Di Bawah Alunan Ombak karya A. Rashid Ngah, edisi berjaket cetakan pertama tahun 1961. Ini sudah menjadi rare dan langka - amat sesuai untuk kolektor. Novel ini kalau tidak silap saya, antara salah sebuah novel yang menang hadiah saguhati Peraduan Menulis Novel DBP bersama-sama dengan Salina karya A. Samad Said dan Musafir karya Hassan Ali.

Monday, May 9, 2011

TERJEMAHAN

Terjemahan karya sastera Melayu ke dalam bahasa asing amat penting untuk memperkenalkan sastera Melayu ke persada dunia. Begitulah juga dengan terjemahan karya sastera asing ke bahasa Melayu juga penting untuk memperkenalkan sastera dunia kepada pembaca Melayu.

Tanpa terjemahan, kita tidak mungkin mengenali karya Gao Xin Jian, Su Tong dan Ba Jin dari China. Kita (saya) tak mengenali karya Yasunari Kawata, Yukio Mashima dan Konzubore Oe dari Jepun tanpa terjemahan.

Hanya melalui terjemahan sahaja, masyarakat dunia akan mengenai sastera Melayu sekiranya memang kita ingin memperkenalkan karya kita ke persada dunia. Tetapi karya yang ingin dan wajar diterjemahkan itu pula haruslah terpilih. Bukan sebarang karya yang mewakili sekelompok penulis tertentu. Tidak semua karya Sasterawan Negara mahupun penerima SEA Write wajar diterjemahkan. Hanya karya yang benar-benar baik, terpilih dan mewakili sahaja yang wajar diterjemahkan. Karya yang hebat pastinya akan menghasilkan terjemahan yang hebat dengan penterjemah yang memahami jiwa dan budaya yang ingin dipindahkan bahasa itu.

Begitu juga dengan terjemahan dari bahasa asing ke bahasa Melayu seharusnya lebih banyak daripada apa yang kita lihat hari ini.
HADIAH NOBEL

Hadiah Nobel merupakan anugerah paling berprestij dan diidamkan oleh pelbagai negara dunia agar sasterawan dari negaranya memperolehi anugerah tersebut. Akademi Nobel di Sweden dilobi kerana ingin mengangkat nama calon dari negara masing-masing. Saya tak pernah tahu apakah yang pernah dibuat oleh negara saya untuk itu. Tetapi apa yang saya tahu sasterawan Indonesia, Pramoedya Ananta Teor dan sasterawan Filipina, F. Sionil Jose pernah dicalonkan beberapa kali. Ada sasterawan Malaysia yang lebih hebat karyanya berbanding dengan karya-karya Prameodya?

Peblo Neruda, Joseph Brodsky, Octavia Paz, Marquez, Derek Walcott, Varga Llosa dan lain-lainnya menjadi kebanggaan negaranya walaupun jalan pemikirannya jarang sama dengan pemerintah. Joseph Brodsky meninggalkan negara asalnya Russia, migrasi ke Perancis dan akhir sekali menetap di US. Gao Xing Jian meninggalkan China, karya-karya diterjemahkan di Perancis dan Australia , kemudian dia dianugerahkan Hadiah Nobel. Apakah karya-karya Gao Xing Jian itu lebih baik daripada karya Su Tong? Atau kerana perjuangan politiknya? Hebatkah karya-karya Pamok umpamanya? Atau VS Naipul yang seminggu dua keluar mengembara, tiba-tiba memberi "hukum" kepada negara-negara yang dijejakinya?

Kita tidak pernah berbuat sesuatu lebih daripada itu untuk kesusasteraan ketimbang dengan bidang sukan. Mari kita berhibur dengan artis murahan kita!

Sunday, May 8, 2011

HADIAH DAN ANUGERAH


Sebarang hadiah atau anugerah dalam dunia seni merupakan bonus kepada senimannya. Ada karyawan yang tidak berangan untuk memperolehi hadiah, tetapi tiba-tiba dia menerimanya. Dan ada kononnya yang memang melobi diri sendiri untuk memperolehi hadiah atau anugerah tersebut. Yang tak berangan, tiba-tiba dapat, maka itu rezekilah untuk dirinya. Yang memang teringin kemudian dapat, maka puaslah nafsu seninya

Pada saya, bukan Hadiah atau Anugerah yang akan menjadi penentu kepada sesebuah karya seni. Teringat pula kata-kata, "Art is long, life is short." Kalau seorang karyawan yang menerima anugerah tertinggi di negaranya dengan hanya menulis dan mencipta lebih 1000 lagu dan lirik cinta murahan, apakah karya murahan itu akan berkalung sepanjang abad? Begitulah dalam bidang atau cabang seni yang lain - filem, kesusasteraan, seni tampak atau apa-apapun bidang seni, yang mempunyai "hak" tetap juga yang "berhak" walaupun sumbangannya ternafikan.

Kita telah menjadi saksi sejarah kepada masa lalu, dan anak cucu kita akan menjadi saksi sejarah kepada masa depan. Pagi ini, saya teringatkan Pak Sako dan Abdul Kadir Adabi. Al Fatihah untuk mereka.

Saturday, May 7, 2011

MAJLIS BACA PUISI

Sebagaimana penyair menulis puisi, begitulah dianjurkan majlis Baca Puisi. PENA pemegang rekod menganjurkan Malam Puisi Pena sejak lebih 12 tahun yang lalu, dan masih berteruskan sehingga ke hari ini. Acara tersebut dimulakan oleh Sutung Umar RS, bahkan dibawa juga ke beberapa negeri seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Pulau Pinang. Di Pahang acara tersebut berlangsung hampir tiga tahun, kemudian terhenti apabila saya berpindah keluar.

Antara siri baca puisi yang terkenal seperti Malam Puisi Tanah Air yang anjurkan oleh Teater Elit dan diterajui oleh Sutung dan Dinsman. Kemudian Malam Puisi Angkasapuri dan Malam Puisi Perdana di Putrajaya - setahu saya kedua-duanya juga dimulakan oleh Sutung. Kedua-duanya pernah melibatkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir. Dan sekarang kedua-duanya telah tidak diteruskan lagi.

Sewaktu Deklamasi Puisi Angkasapuri yang pertama, saya ditanya oleh wartawan, apa perasaan anda kerana akan beraksi di depan PM. Saya jawab, saya tak ada perasaan. Ditanya lagi, apakah puisi memerlukan artis. Saya jawab tidak! Bawalah penyair dan deklamator yang baik macam AGI, Khalid Salleh, Marsli NO, Marzuki Ali, Puzi Hadi dan lain-lainnya. Saya soal balik wartawan tersebut, "ada majlis malam bintang yang menjemput penyair menyanyi?". Atasannya kurang senang dengan jawapan saya tersebut.

Sebab itu saya tidak pernah teruja dengan segala macam baca puisi yang menampilkan artis. Saya sebutkan kepada Encik Khair Ngadirun, Pengarah Urusan ITNM - saya baca puisi di Laman Santai, Istana Budaya sebelum ini sebab ITNM yang jemput, kalau penganjur yang satu lagi nescaya saya akan minta maaf untuk tidak dapat hadir. Sebab? Suka sangat bercakap kononnya mermartabatkan puisi, walhal sebenarnya tidak.

Saya amat tidak gemar, bila dijemput ke pentas di depan mike, maka si pembaca akan sebutkan, "ini puisi yang saya tuliskan beberapa minit yang lepas" atau "puisi ini saya cipta dalam penerbangan balik dari UK ke KLIA". Ah, sudahlah! Tak payah nak bermanis muka kononnya mermartabatkan puisi. Kalau makan martabak bolehlah.

Terlalu memudahkan puisi, sehingga puisi tiada nilai dan ertinya lagi.

Friday, May 6, 2011

SAYA PENYAIR?

Sewaktu Wawancara Sofa Putih, Syed Munawar menyoal, lebih kurang soalannya, "sdr. di posisi mana sebenarnya - sebagai penulis, editor, penyair, puppet master...? Saya penyair! Penyair kepada diri saya dan keluarga saya. Tetapi, mungkin bukan penyair penting Malaysia. Itu juga tidak penting, kerana ia melibatkan soal persepsi. Orang boleh memberikan pelbagai tanggapan. Walaupun tidak mungkin tanggapan itu tepat dan benar 100 peratus.

Apabila sahabat Rusia saya, Dr. Victor Pogadaev akan menterjemahkan cerpen saya ke bahasa Russia, saya terus izinkan. Dia pernah menterjemahkan dan menerbitkan kumpulan puisi saya di Moscow Zamok Iz Peska (Istana Pasir) dan beberapa puisi saya turut disiarkan di dalam beberapa kumpulan puisi lain dan majalah sastera di sana. Kesudian Victor memperkenalkan karya saya ke dalam bahasanya, bagi saya satu penghormatran yang tinggi. Apabila beliau meminta saya untuk menyunting Bunga Rampai Mawar Emas yang diterjemahkan beliau, saya tidak teragak-agak juga untuk membantu beliau. Buku itu kemudiannya diterbitkan oleh ITNM.

Victor kemudian meminta no telefon seorang penulis untuk dihubungi kerana ada karyanya yang ingin diterjemahkan ke dalam bahasa Russia, saya tidak teragak-agak untuk memberikan nombornya. Beberapa hari kemudian Victor memaklumkan kepada saya, cerpen penulis tersebut terpaksa digugurkan kerana ada banyak syarat dengan segala macam perjanjian dan jumlah royalti. Sedangkan buku yang dirancangkan itu diuruskan oleh Victor sendiri, tanpa sebarang keuntungan dirinya, bahkan kos cetakpun dibantu oleh beberapa temannya (juga teman saya) di Kuala Lumpur.

Sebab itu, saya jarang berkecil hati atau marah kepada mana-mana penerbit yang tidak memetik karya saya ke dalam buku terbitan mereka. Walaupun saya berasa diri saya penyair, belum tentu semua penyelenggara buku yang menganggap diri saya ini penyair. Setiap penyelenggaraan atau sarjana mempunyai pandangan atau sentimental yang tersendiri terhadap buku yang mereka susun dan karya siapa yang ingin mereka pilih. Kerja menyalahkan orang lain tanpa menilik diri sendiri ini tidak berapa elok sangat.

Saya tak menangis dan tak salahkan sesiapa kalau karya saya tidak dipilih untuk diterbitkan. Seorang bekas pelajar saya sedang menterjemahkan buku saya Sekepal Tanah ke bahasa Inggeris. Saya belum ada penerbit, mungkin saya cetak di belakang rumah dan bahagikan kepada kawan-kawan terdekat sebagai cenderamata hari ulang tahun kelahiran.

Saya berasakan diri saya sudah penyair. Tetapi penyair lain atau khalayak sastera mungkin tidak menganggap saya sebagai penyair. Tetapi apabila ada lima tesis sarjana tentang puisi-puisi saya, maka saya penyairlah kot? Selepas tesis PhD. sahabat saya Hj. Shamsudin Othman selesai, maka dialah yang akan menjadi pakar tentang puisi saya. Apa-apa tentang puisi saya, nanti tanyalah kepada beliau. Beliau akan menjadi pakar tentang puisi saya.

Semalam saya keluar dari dunia sastera saya dan memasuki dunia seni yang lain. Tiga jam bersama Uwei Haji Saari, Faizal Sidik, Imam dan Jay Piyadasa. Ada banyak hal tentang seni dan tentang Melayu. Dan kemudiannya, pengalaman berdialog dua jam tentang seni dengan dua orang kurator muda Lim Ai Woei dan Tan Hui Koon pula memberikan persepsi yang lain lagi. Ah, seni Malaysia!