Thursday, May 12, 2011

SEDAR DIRI DAN TAK SEDAR DIRI

Sejak dari dulu, kawan-kawan saya sesiapa sahaja. Tukang kebun, tukang sapu, jaga, pemandu, peniaga ikan, peniaga kedai buku, siak masjid dan sesiapa sahaja yang sudi berkawan. Daripada mereka saya mendapat banyak ilmu dan pengajaran. Mereka jarang hipokrit. Mereka akan kata apa yang mereka tak suka. Kerana saya menerima mereka sebagai kawan-kawan baik saya, maka saya dengan mudah mereka terima sebagai kawan. Paling bagusnya mereka tahu tentang bidang mereka, dan mereka mahir dengan dunia mereka. Malam tadi saya berkenalan seorang tukang urut buta. Usianya sekitar 20-an. Peramah sekali memberikan penjelasan dan mengajukan pelbagai pertanyaan. Saya selalu singgah di tempatnya di uptown Batu Caves untuk melihat pelbagai gelagat pelanggan.

Kawan-kawan dari kalangan ini kebiasaan sedar diri dan sedar ruang tentang bidangnya. Ini berbeza dengan dunia sastera dan kebahasaan. Antropologi gagal dalam bidangnya dan gagal pula menghasilkan buku dilantik jadi Panel Anugerah tertentu, dia boleh dengan senang hati terima pelantikan itu walaupun dia sedar dia tidak layak. Profesor bahasa yang di luar aktiviti dan tidak membaca buku sastera. Bekas sasterawan dan sarjana pensiun yang kesasar jauh juga. Guru Besar pencen yang ingin mentadbir institusi negara.

Pada saya, ini barah dan virus yang berada dalam kategori pengkhianat bangsa. Saya secara peribadinya sangat menghormati kawan-kawan saya yang berstatus pemandu, tukang kebun, tukang sapu, jaga, tukang urut buta dan lain-lainnya melebihi daripada tokoh-tokoh palsu ini semua.

1 comment:

abuyon said...

Jangan kecewa, kerana
inilah dunia!