Tuesday, May 13, 2008

Seminar Pak Samad

Hari ini di DBP diadakan Seminar Pemikiran A. Samad Said. Semalam saya telefon Pak Samad kerana sahabat saya, Victor Pogadaev bahawa dia ditugaskan untuk menterjemahkan salah sebuah novel Pak Samad ke bahasa Russia. (Victor pernah memberi amaran kepada saya supaya jangan dipanggil Dr dan Prof Madya untuk dirinya kerana itu akan membataskan persahabatan kami). Selepas itu memang saya memanggilnya Victor sahaja. Bila saya sebutkan soal terjemahan itu, Pak Samad bersetuju untuk memberikan novelnya ‘Daerah Zeni’ kerana hanya novel itu yang dia pegang hakcipta. Lain-lain DBP belum berikan izin secara bertulis.

Sewaktu berjumpa di Pesta Buku yang lalu, Pak Samad akan hadir ke seminar tersebut hanya kerana Mohd Daud Mohamed, Ketua Bahagian Teori DBP. Tetapi melalui percakapan semalam, Pak Samad tak akan hadir. Saya pun sepanjang 2008 belum naik ke tingkat atas DBP. Hanya pergi dua kali, itu pun hari Sabtu kerana tak ingin berjumpa sesiapa, saya beli buku dan balik.

Masih berfikir antara pergi dan tidak. Tetapi ada kertas kerja iringan yang saya tulis – Membaca Perang dan Takdir dalam Memori Di Hadapan Pulau . Itu pun silap saya kerana menyanggupi. Patutnya dari awal saya menolak. Nak pergi pun nak jumpa siapa, Pak Samad pun tak hadir. Nak dengar paper? Saya dah tahu semua. Sarjana sastera Malaysia, intro tulisan mereka saya tahu sangat dan semua orang tahu pun. (yang terlibat dan ikuti sastera Melayulah). Kalau nak jumpa Pak Samad, saya call saja boleh jumpa kat mana-mana. Kat Bangsar, KLCC. Mana-mana je.

Sampai sekarang masih berfikir.

Belajar Berfikir

Masa belajar dulu saya ada ambil subjek pemikiran kritis. Saya tak nak mulakan tulisan ini dengan apologi, kononnya saya ini anak kampung yang miskin. Tentang itu bacalah sajak arwah penyair T. Alias Taib yang dituliskan khusus untuk saya berjudul Bechah Keranji dan termuat di dalam antologinya Petang Condong.

Pada saya, berfikir tak boleh diajar, tetapi boleh dipelajari bagaimana untuk berfikir. Pemikiran boleh dimatangkan dengan membaca, membaca, berfikir dan berkawan. Selepas tingkatan lima, saya dah tak berkawan dengan teman-teman sebaya saya. Kawan-kawan saya adalah penulis yang menjadi guru-guru saya ketika itu seperti Mustafa Jusoh (allahyarham), Aziz Mohd Nor, Wadi Leta SA, Abdulaziz HM (allahyarham), Wan A Rafar, Darma Mohammad, Rosli K. Matari, Abdulhadi Muhamad, Abdul Hadi Yusoff, Rosli Mohd Nor, Norhisham Mustaffa, Talib YK (allahyarham), Leo AWS dan ramai lagilah.

Saya berfikir sebab itulah saya menulis. Bertahun-tahun menulis tentang apa yang ingin saya tulis tanpa disuruh dan dipaksa oleh sesiapa. Ada hampir sepuluh nama pena yang saya gunakan. Tetapi pembaca atau khalayak sastera kenal saya dengan nama saya yang asal. Kecuali teman-teman rapat (Sutung Umar RS, SM Zakir, Shamsudin Othman, Ridzuan Harun dan beberapa orang lagi) tahu itu tulisan saya walaupun tidak tertulis nama saya.

Berpuluh ‘brainstorming’ yang saya diminta hadir. Saya selalu hadir, tetapi saya jarang bercakap, bahkan tak bercakap sepatah kata pun ada. Adakala hanya menjadi pendengar yang sedia. Bilik mesyuarat menjadi seriuh-riuhnya, dengan lontaran idea yang bagus-bagus. Saya diam. Sehinggakan Haji Supiat Mukri seringkali menyoal saya, ‘penulis memang tak bercakap?’ Juga saya senyum tak jawab pun. Di hari yang lain saya sebut, ‘no komen’, ‘tak ada idealah’. Sebabnya mudah, Genting Highland sejuk sangat.

Kadang-kadang kawan-kawan rasa pelik, Rahimidin ni apa kena, tak nak bercakap. Orang lain dah bagi macam-macam jalan cerita yang dia orang dapat dan fikirkan. Rahimidin tetap diam. Menguap lagi tu ada. Tak senonoh budak ni, kata Sani Sudin. Setelah dapat kerangka cerita, semua yang bercakap banyak itu, tak ada seorang pun yang sanggup menulisnya. Wah. Wah, rupanya susah jadi penulis, tak semudah bercakap?

Kononnya saya ni penyairlah, penulis, editor dan dalang Wayang Kulit Kelantan. Saya selalu berfikir dengan cara saya. Saya menulis tanpa dipaksa atau disuruh oleh sesiapa. Kalau dipaksa juga, saya boleh menulis dan siapkan satu skrip pentas dengan mengambil masa satu malam. Tapi itu bukan idea saya. Itu hanya sampah yang saya proses daripada bermacam-macam tong sampah orang lain. Tak original saya. Tak bagus pun.

Yang ingin saya pesankan kepada sahabat-sahabat saya, berfikirlah dengan otak dan akal yang Allah berikan kepada kita. Jangan jadi si cerdik yang tak boleh ditumpang dan bodohnya pula tak boleh diajar. Sekarang ramai sangat yang berasa dirinya pandai dan cerdik, tetapi dia sebenarnya bodoh amat. Kenapa sebab bodoh? Kerana dah tak boleh berfikir sebab tak baca buku. Yang bersarang dalam kepala mereka hanya cerita-cerita hantu, mat rempit dan kisah cinta bersimpang siur yang tidak berpijak di bumi yang amat disukai oleh orang Malaysia hari ini. Tak ada pemikiran, plotnya entah apa-apa. Hanya orang yang tak ada akal akan menonton cerita-cerita yang sedemikian.

Semalam Pak Samad ada sebutkan fasal Festival Filem Perancis di Mid Valley. Saya tak sempat pergi. Bersama Liza, isteri saya, kami baru menonton beberapa filem Iran, Vietnam dan Russia. Cerdiknya jauh berbanding dengan filem tolol oleh para pembikin filem Malaya. Bikin filem, minat pula nak bercakap fasal sufi, tawasuf, tarekat, bila azan tak pernah pergi solat. Patutnya solat boleh kat mana-mana bolehkan. Itu bukan sufi, tetapi si bebal yang sesat barat namanya.

Dah bercakap filem pulak? Kerana ingin mendengar pemikiran falsafah, saya bersama SM Zakir dan Lutfi Ishak pergi mengikuti kuliah malam Sabtu yang disampaikan oleh Prof. Syed Naguib al-Attas. Sayangnya kuliah itu berlangsung beberapa siri, tak diteruskan lagi kerana sebab kesihatan Prof. Naguib. Yang hadir semuanya sarjana dan prof, hanya kami bertiga yang bukan.

Untuk lebih detail tentang belajar berfikir, saya akan temuramah kawan-kawan saya, komposer, penyanyi dan pelukis Sani Sudin. Pejuang bahasa, SM Zakir atau ahli falsafah Lutfi Ishak. Tentu mereka boleh jawab banyak soalan saya. Nanti le ye.

Teringat pula anekdot yang selalu diberikan oleh SN S.Othman Kelantan tentang keldai yang memakai topeng singa. Kalau tak bercakap orang anggap dia singa, tetapi bila bercakap tahulah kita, itulah sang keldai. Peribahasa Arab lain lagi, “Kita boleh membawa keldai ke gigi air, tapi tak boleh paksa keldai minum air.”

Pelajaran berfikir, pertamanya saya terima daripada ayah saya. Katanya: “Ayah tak ada apa-apa harta yang nak ditinggalkan dan boleh diberikan kepada kamu. Ayah hanya boleh hantar kamu adik beradik ke sekolah.” Dan ternyata kerana kami berfikir, kami dua belas orang adik beradik semuanya menjadi orang.

Bengkel dan Meja Bulat

Malam nanti ada dua jemputan. Pertama ada bengkel di Sg. Tekala untuk pelajar-pelajar dari University Prince of Songkla, Selatan Thailand yang sedang bergolak itu. Bengkel itu nampaknya dah lama dirancangkan oleh SM Zakir, dan sudah beberapa minggu lalu diperingkatkannya saya tentang bengkel itu. Dan saya dah janji pun untuk hadir.

Satu lagi jemputan daripada sahabat saya, A. Wahab Hamzah dari DBP tentang perbincangan meja bulat mengenai pemindahan novel ke filem. Uwei Haji Saari akan bercakap. Dan ada gergasi dewan juga. Yang gergasi retorik ini saya tak nak jumpa. Tak apalah, tak perlu hadir. Dengan Uwei saya boleh call jumpa kat mana-mana bucu dan sudut di KL, boleh bercakap panjang fasal lukisan dan filem. Maaf ya, sdr Wahab kali ini tak dapat hadir.

Dan terima kasih kerana mengundang walaupun saya ini bukan siapa-siapa (kata Sani Sudin) bukan orang teater, orang filem dan novelis.

3 comments:

Shasha said...

Hmm...saya setuju dengan Sdr, berfikir tak boleh diajar tapi boleh belajar berfikir...di Kelumpo ni ada beberapa orang yang aneh cara mereka berfikir dan itulah yang saya suka...o ya...berfikir di luar kotak tu macam mana pula pada pendapat Sdr?

eydd

Rahimidin Z said...

salam.tk.
saya selalu dengar orang besar-besar sebut supaya berfikir di luar kotak. mudah je, dia ni orang sebenarnya tak baca Quran kot? sesekali cubalah berjalan kepala ke bawah dan kaki ke atas! tentu menarik.

Shasha said...

yup...saya sendiri pun cuba membayangkan bagaimana berfikir di luar kotak. biarlah mereka dengan kotak mereka, kita dengan kitab kita...