Monday, May 12, 2008

LUKISAN

Sejak tiga minggu lepas, setiap Ahad akan berada di Laman BSLN antara jam 10 hingga 1.00 tengah hari hantar Hafiz dan Atiqah ke kelas lukisan yang dikendalikan pelukis Aris Aziz. Terima panggilan daripada pelukis Ismail Kadir ada seorang kawannya dari Australia yang ingin menjual lukisan karya Nik Zainal Abidin, bertanyakan tentang pembeli. Harganya 40 ribu, dan saiznya separuh kertas water colour. Janji telefon semula, sebelah petang.

Saya telefon Uwei Haji Saari, kalau dia berminat kerana sebelum ini dia tanyakan koleksi saya. Uwei berada di Singapura dan minta saya letakan telefon, dia akan panggil balik dari sana. Saya nyatakan tentang ada lukisan Nik Zainal, katanya minggu depan baru balik KL. Dia pula baru membeli sebuah ukiran kayu, setelah ditempah sekian lama ukiran kayu oleh Wan Su Othman dari Besut, “Barangkali hasil kerjanya yang terakhir”, jelas Uwei. Saya pun tahu Wan Su, Seniman Negara itu, umurnya sudah mencecah 100 tahun lebih.

Isteri saya terkejut mendengar harga lukisan yang saya sebutkan melalui percakapan kami.

MENULIS

Sabtu pagi hantar adik saya, Ustaz Mohd. Nazru Zahari balik ke Kota Bharu. Adik saya yang ini sebenarnya paling pendiam, tetapi apabila memberi kuliah agama dan kuliah tafsir dia memiliki metode penyampaian yang menarik. Dia jarang meninggikan suaranya. Dengan suaranya yang merendah, dia memukau pendengar dan khalayak dengan contoh-contoh yang mudah. Saya selalu mengujinya dengan memberikan kitab atau buku-buku yang pelik-pelik, dan dia dengan senyum selepas membaca akan memberikan kata penamat dengan ulasan yang tepat kepada buku tersebut.

Apabila dia akan berangkat ke Al-Azhar, saya yang menghantarnya di KLIA, dan bila dia pulang saya juga menunggunya di KLIA. Dari Mesir, dia telefon saya memberitahu akan membuat MAnya di sana. Saya setuju dan akan membiayainya, tetapi kemudian dia nyatakan MA di sana sukar untuk lulus, dan bercadang kembali ke Malaysia. Masa di sekolah agama, dan kemudian ke pondok moden, beliau tak pernah meminta wang. Kalau ibu saya berikan, kadang-kadang dia ambil, dan lebih banyak dia tak ambil. “Dah ada”, katanya. Dia telefon saya kalau sesuatu hal itu terlalu penting, kalau tidak kakaknya, Ustazah Nor Suzera atau adiknya, Ustazah Aswani yang menjadi orang tengah. Bila balik Al-Azhar, dia ditawarkan mengajar di Sekolah Tahfiz Sains, di Tumpat, Kelantan.

Ada sekali dua, saya cuba memancingnya untuk menulis, tapi dia biasanya tersenyum. “Imam Ghazali, Imam Shafie, Hamka dan ramai lagi ulama itu dikenang dan dikaji buah fikirannya sehingga kini kerana mereka tinggalkan kitab dan buku yang berjilid-jilid. Mereka menulis pemikiran mereka.” Saya cuba mengusiknya.

Saya tahu dia boleh menulis, tetapi barangkali dia masih menunggu masa yang terbaik untuk dirinya. Atau barangkali saya akan sediakan tajuk atau judul-judulnya, dan minta beliau menuliskan pemikirannya.

3 comments:

Shasha said...

untungnya ada adik beradik cenggitu, boleh jadi pakar rujuk dalam bidang agama...bertuahlah Sdr...
eydd

Wan A. Rafar said...

Baru tahu ada blog. Telah baca beberapa buah entri. Selamat menulis.

Rahimidin Z said...

eydd, tk kerana singgah.

cikgu wan, tk singgah. kalau ke kl beritahu saya, nak bagi buku baru.