Friday, August 30, 2013

Suara Kuala Lumpur

Nissa, Becky (Melayu), Hani dan hujungnya anakanda saya, Hafiz. 

Suara Kuala Lumpur pada malam 24 Ogos di hadapan Perpustakaan Kuala Lumpur menampilkan Zaen Kasturi sebagai hos, acara pertama sebelumnya menampilkan Ridzuan Harun. Penonton tidaklah seramai acara kali pertama, tetapi untuk acara baca puisi, jumlah itu sudah boleh dikirakan ramai. Apatah lagi di Dataran Merdeka sedang bergema dengan 'testing' untuk persembahan malam esoknya. Di hujung  jalan berhampiran dengan Panggung Bandaraya pula ada gerai-gerai pameran dan di dalamnya ada persembahan bangsawan. Apakah yang ditemukan dalam acara baca puisi?

Persembahan malam ini menjadi menarik kerana SM Zakir telah berjaya menangkap Abang Mat Jedok atau Abang Tok Peteri dari Tanah Merah Kelantan yang kebetulan pada sebelah petang membuat persembahan di sana. Menarik juga kerana Pengarah Pusat Kebudayaan dan Sains Russia ikut serta di majlis ini, dan dua orang pengawainya membacakan puisi dalam bahasa Melayu dan bahasa Russia. Paling menarik, Zaen Kasturi menyampaikan puisi-puisinya dengan menghafal semuanya!

Di Perpustakaan Awam Temerloh



Saya diundang oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) untuk membicarakan novel Hasanudin Md. Isa, Cebisan Mantera Terakhir (ITBM: 2013) di Perpustakaan Awam Temerloh pada 24 Ogos yang lalu. Dulu, masa jadi guru sekolah, saya pernah mengajar sastera  yang teksnya novel  Mereka Yang Tertewas. Bertungkuslumuslah saya menuliskan kertas "Cebisan Mantera Terakhir: Membaca Kebijaksanaan Melayu Hasanudin Md Isa." Rupanya dalam sesi soaljawab, ada sanggahan, bukan kebijaksanaan tetapi itu merupakan kebodohan Melayu. Saya terpampan seketika di podium depan. Kerana saya di depan, maka tentulah saya yang lebih bijak daripada yang bertanya. Dan saya yakin, di dalam Dewan Perpustakaan Awam Temerloh tersebut hanya saya dan Hasanudin yang membaca novel ini. Yang lain, saya yakin semua hadirin itu belum pernah membacanya. Jadi tak 'valid'lah pandangan yang berasakan dirinya itu lebih bijak.
Foto: Hasanudin Md Isa
Apabila ke luar dari Kuala Lumpur, dan berjumpa dengan kawan-kawan lama di tempat yang kita pernah bertugas selama 7 tahun, dan telah kita tinggalkan pula kemudiannya hampir 10 tahun; maka ada banyak kenang-kenangan yang muncul. Terjumpa Haji Alang Ahmad Haji Teh, bekas Ketua Biro Utusan di Kuantan yang berasal dari Temerloh. Adik kepada Kamaruzaman Haji Teh, seorang pejuang kiri, ada banyak cerita. Saya memanggilnya "Abang Aji". Ayat pertama daripadanya apabila bersua setelah bertahun-tahun tidak menemuinya: "Awak tak gemuk-gemuk? Gaji banyak, tak makan apa?". Saya pun gelak, dia juga gelak. Kami pernah bersama menyewa hotel di JB lebih 15 tahun dahulu kerana menunggu feri akan ke Pulau Lingga besoknya.

Apabila saya duduk di kerusi panel, Datuk Yaakub Isa yang di baris hadapan  memegang bajunya dan menunjuk kepada baju saya serta menaik ibu jarinya. Waktu makan tengah hari, "baju orang muda lawa!". Ada banyak yang ingin dibualkan dengan teman-teman lama yang belasan tahun kita tidak bersua. Tetapi setiap pertemuan tentunya akan berakhir dengan perpisahan. Novelis Rahman Haji Yusoff tak sempat menyapa, menitipkan novelnya melalui Cikgu Hashim Ismail  kerana dia harus segera ke Kuala Lumpur.

Acara langsai, dan saya memandu ke Bandar Pusat Jengka untuk menemui anakanda Arief Afifi. Mengambilnya di UiTM, membawanya ke luar makan petang, dan  menghantarnya balik semula ke asrama. Saya harus memandu balik ke Kuala Lumpur. Memeta-meta di dalam kepala untuk singgah di Kg Raja atau Songsang membeli beberapa ekor ikan patin.



Thursday, August 29, 2013

Menziarahi Cikgu Noordin

Foto: Azalan Hussain
Beberapa kali mengunjunginya bersama Sutung Umar RS dan Dinsman, kemudiannya dengan Zaifri Husein dan terakhir bersama Sinanaga. Biasanya bercakap pasal teater, fasal filem. Kali ini, awal-awal lagi saya ingin memancingnya untuk bercakap pasal lukisan. Bawakan beberapa majalah Pentas untuknya, dan juga buku Cikgu Shahnon di Mata Kami (ITBM: 2013) yang ada tulisan Cikgu Noordin di dalamnya. Masa datang dengan Zaifi dahulu, Cikgu belanja kami makan tengah hari nasi Arab di Restoren Mahbub. Sendawa sampai ke malam. Dan cikgu hadiahkan saya DVD filem Taras Bulba. Versi Inggeris, berbeza dengan yang pernah dihadiahkan oleh sahabat saya, Dr. Victor Pogadaev yang versi Russia.

Cikgu Noordin ke luar negara, pada mulanya ambil lukisan. Selama dua tahun. Bersama pelukis Ismail Zain merata galeri dilawati. Bila saya tanya, "ada tak lukisan awal itu cikgu bawa balik?" Sayangnya tak ada. semuanya dihadiahkan kepada kawan-kawan di sana. Bila balik ke Malaysia, cikgu mengajar di sekolah perempuan di Alor Setar. Mengajar seni lukis. Buat pameran, ayahandan KDYMM Tuanku Agong sekarang, Tuanku Badlishah pun mencemar duli datang merasmi dan menyaksikan pameran. Ramai yang puji pameran itu, kerana tidak sama dengan pelajar sekolah lain, yang bentuk karyanya semua sama kerana cikgu mengajar, bukan memberikan dorongan dan berkongsi ilmu seni lukis.

Pergi semula kali kedua baru cikgu ambil pengajaran drama dalam bahasa. Bila balik ke Malaysia  tidak lagi mengajar di sekolah, tetapi ke Maktab Perguruan. Mula-mula di MPSI, kemudian ke IB. Cikgu teringat seorang pensyarah perempuan di sana dalam lingkungan 55 umurnya, bersanggul cotek mengajar dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Hanya dia seorang yang mengendalikan kuliah teater tersebut. Wah, ini menarik kata hati saya.

Ada sebuah lukisan di dinding rumahnya, dan dari jauh saya pasti itu salah sebuah karya. Cikgu senyum, memaklum, cikgu lukis selepas balik melawat Egypt. Saya bangun mendekati lukisan yang berfrem cantik tersebut, tercatat tahun 1995 dan di ruang tengah atas lukisan sureal tersebut, nampak pada saya tulisan jawi tayang, 'saya...dari hujung kota'.

Bila kami  ingin pulang, cikgu hadiahkan saya dengan DVD dokumentari tentang dirinya yang sepatutunya disiarkan untuk slot Hari Seniman pada mei yang lalu. Tetapi tidak jadi disiarkan.

Moga cikgu sihat dan terus berkarya.

Saturday, July 20, 2013

HARI USMAN AWANG

Sepatutnya balik ke Kota Bharu hari ini, tetapi kerana beberapa hal, tidak jadi balik. Hari ini menghadiri Hari Usman Awang di Galeri Chandan bersama penyair Wan A. Rafar. Ada pameran lukisan yang dihasilkan oleh para pelukis dari PeRupa pimpinan pelukis Aris Aziz. Ada pengkisahan dan dan baca puisi. Tan Sri Kamarul Arififin membaca puisi-puisinya, Dr. Siti Zainon Ismail, Dato' Rahman Shaari, Zakaria Ariffin, Wan A Rafar, Raja Ahmad Aminullah dan ada ramai lagilah. Ada beberapa nama yang tercatat nama mereka di buku program tetapi tidak  dapat hadir. Kasajiza AS menjadi pengacaranya, kebetulan galeri itu milik anak buahnya, Haji Nazli Aziz. Baru hari ini saya tahu Nazli itu anakanda kepada Aziz Abbas, abang kepada Zainal Abbas.

Berbeza sedikit, Hari Usman Awang terpaksa dianjurkan oleh anaknya, Haslina bersama DR. Siti Zainon, PeRupa dan Galeri Chandan.  Dua hari lepas saya, Marsli N.O dan Lutfi Ishak ke majlis Ulang Tahun  ke 120 penyair Vladimir Mayakovsky di Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia di Jalan Ampang.  Kami  sampai lambat kerana berbuka puasa dan selesaikan fardu Maghrib di KL Kovensyen Sentral terlebih dahulu. Mahal juga rupa-rupanya harga berbuka di sana RM128.20 untuk satu kepala.  Kami sampai dah jam 9.00 malam, dan yang ada di situ - SM Zakir dan Haslina Usman Awang, Pengarah Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia serta kaki tangan dan  beberapa rakyat Rusia. Paling menarik kami berkenalan dengan Firduas - kelasi Kapal yang berkahwin dengan perempuan Rusia.   Hari ulang tahun kelahiran penyair agung Rusia itu disambut di semua Kedutaan Rusia di seluruh dunia!

Barangkali untuk 12 Julai 2014, PENA bolehlah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Hari Usman Awang, salah seorang  Sasterawan Negara yang pernah menjadi Ketua Satunya.

Thursday, July 18, 2013

ADAB

Saya selalu ingat pesanan Ayah dan Wan, "jangan jadi orang yang tak beradab". Ayah dan Wan selalu ingatkan, "jadilah orang yang beradab." Beradab dengan ibu bapa, dengan sahabat, dengan guru-guru, dan paling utama dengan Rasulullah SAW dan Allah  SWT. Setiap hari saya melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata, dan pertanyaan yang sering menerjah hati kami; apakah saya mampu memberikan ilmu adab ini kepada anak-anak kami? Ketika di rumah mereka tunduk, tetapi di luar taman permainan; mereka menatap langit yang luas terbuka. Kami pun merintih dan kami pun menangis dengan doa yang tiada putus -

 "Ya Allah Ya Rabbi
Yang Maha Pemurah
lagi Maha Pengasihani,
jadilah anak-anak kami
anak-anak yang beradab
dan kenal akan dirinya
yang tuturnya lembut
yang tingkahnya santun!"




Wednesday, July 17, 2013

Pak Da Megat di Rusia


Sebuah cerpen lama saya, "Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tok Bagih" telah diterjemah dan diterbitkan dalam journal "ORIENTAL COLLECTION" (N1, 2013) di Moscow. Kebetulan isu kali ini memfokuskan kepada dunia timur. Terjemahan oleh Dr. Victor Pogadaev dan cerpen ini pernah diterbitkan di dalam antologi  "Darah Melayu" bersama-sama dengan cerpen Anwar Ridhwan, Danarto, Rahman Hj. Yusoff, Abdul Rahman CM dan Irwan Abu Bakar.

Cerpen ini saya tulis sekitar tahun 1990. Dan memenangi Hadiah Penulis Muda Terbaik untuk siri Sayembara Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1991.

Tuesday, July 16, 2013

penyair dan dramawan

i.
Saya selalu terpandang sosoknya di Masjid Syaidina Hamzah Batu Muda hampir setiap waktu solat sekiranya saya berjemaah di sana. Dan malam semalam selepas isyak saya melihatnya, dan serbannya selalu berbeza dengan jemaah yang lain. Saya menemuinya  secara berdepan pertama kali apabila Wan Mohd Said al-Mehdi menelefon bahawa dan mengajak saya untuk menyertai  penyair Nawawee Mohamad, sasterawan Norhisham Mustaffa dan Hasrom Haron yang berada di warung hadapan Masjid Saiyidina Hamzah untuk bertemu dengan Hadzrami. Hadzrami AR atau Hadzrami Abdul Rahman  merupakan  penyair penting tahun tahun-tahun 60-an. Beliau  pernah menerbitkan dua buah kumpulan puisi perseorangan "Dunia di Bibir Kiamar" dan "Terbit Matahari". Dia dikenali sebagai penyair Islami yang sezaman dengan teman-temannya dari Kolej Islam Malaysia ketika itu - terutamanya teman-teman penyair dari Brunei seperti Yahya MS, Baharuddin HO, Adi Rumi dan beberapa nama lain. Sayangnya, selepas dua buah antologi puisi yang sangat Islami itu, dunia kesusasteraan kita  sehingga ke hari ini tidak menemui puisi-puisinya yang terbaharu. Sewaktu pertemuan itu saya tidak bercakap apa-apa, cuma menyalami dan memeluknya.

Kebetulan pula,   bulan lepas saya singgah di Cikgu Zakaria Muhammad atau nama penanya Z. Sabri di Lundang, Kota Bharu. Cikgu Zakaria memaklumkan bahawa Hadzrami AR adalah  orang yang memainkan isu di surat khabar supaya ditubuhkan sebuah persatuan penulis di Kelantan pertengahan 60-an dahulu. Hadzrami ketika itu menjadi wartawan di Berita Harian, dan beliau memainkan isu itu sehingga tertubuhnya Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang diketuai oleh Cikgu Alias Harun. Persatuan itu masih bergerak aktif sehingga ke hari ini.

ii.
Apabila saya melangkah masuk ke ruang solat, ada sosok sedang mengerjakan solat di atas kerusi di saf paling belakang. Saya kenalinya sebagai Kalam Hamidi, dan sering disapa sebagai Pak Kalam. Dia tokoh penting dalam perkembangan drama sandiwara di pentas teater Malaysia. Skripnya "Anak Nazar Tujuh Keramat" menjadi teks SPM saya semasa belajar di tingkatan 4 tahun 1984. Saya tidak menyapanya kerana tidak ingin mengacau amal ibadatnya.  Selain "Anak Nazar Tujuh Keramat", terdapat beberapa skrip pentingnya yang lain seperti "Kasanova", "Mat Kilau", "Pejuang Kemerdekaan", Sial Bertuah", "Nyiur Gading Puncak Mahligai" dan beberapa lagi. Manakala buku-bukunya yang pernah diterbitkan oleh UKM antaranya "Memoir Kalam Hamidi dari Panggung Victoria ke Istana Budaya" (2001), "Pegangan Pementasan Drama" (2003) dan "Oh! Fatamorgana: Kembara Ke eropah, Acheh dan Irian Jaya" (2003).

Selepas 10 tahun lampau menerbitkan buku-bukunya itu, apakah dramawan ini tidak karya-karya barunya? Saya memandangnya, bercadang ingin menyapa dan menanyainya. Tetapi selepas terawih usai, saya tidak jadi untuk bertanya.