Saya diundang oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) untuk membicarakan novel Hasanudin Md. Isa, Cebisan Mantera Terakhir (ITBM: 2013) di Perpustakaan Awam Temerloh pada 24 Ogos yang lalu. Dulu, masa jadi guru sekolah, saya pernah mengajar sastera yang teksnya novel Mereka Yang Tertewas. Bertungkuslumuslah saya menuliskan kertas "Cebisan Mantera Terakhir: Membaca Kebijaksanaan Melayu Hasanudin Md Isa." Rupanya dalam sesi soaljawab, ada sanggahan, bukan kebijaksanaan tetapi itu merupakan kebodohan Melayu. Saya terpampan seketika di podium depan. Kerana saya di depan, maka tentulah saya yang lebih bijak daripada yang bertanya. Dan saya yakin, di dalam Dewan Perpustakaan Awam Temerloh tersebut hanya saya dan Hasanudin yang membaca novel ini. Yang lain, saya yakin semua hadirin itu belum pernah membacanya. Jadi tak 'valid'lah pandangan yang berasakan dirinya itu lebih bijak.
Foto: Hasanudin Md Isa |
Apabila ke luar dari Kuala Lumpur, dan berjumpa dengan kawan-kawan lama di tempat yang kita pernah bertugas selama 7 tahun, dan telah kita tinggalkan pula kemudiannya hampir 10 tahun; maka ada banyak kenang-kenangan yang muncul. Terjumpa Haji Alang Ahmad Haji Teh, bekas Ketua Biro Utusan di Kuantan yang berasal dari Temerloh. Adik kepada Kamaruzaman Haji Teh, seorang pejuang kiri, ada banyak cerita. Saya memanggilnya "Abang Aji". Ayat pertama daripadanya apabila bersua setelah bertahun-tahun tidak menemuinya: "Awak tak gemuk-gemuk? Gaji banyak, tak makan apa?". Saya pun gelak, dia juga gelak. Kami pernah bersama menyewa hotel di JB lebih 15 tahun dahulu kerana menunggu feri akan ke Pulau Lingga besoknya.
Apabila saya duduk di kerusi panel, Datuk Yaakub Isa yang di baris hadapan memegang bajunya dan menunjuk kepada baju saya serta menaik ibu jarinya. Waktu makan tengah hari, "baju orang muda lawa!". Ada banyak yang ingin dibualkan dengan teman-teman lama yang belasan tahun kita tidak bersua. Tetapi setiap pertemuan tentunya akan berakhir dengan perpisahan. Novelis Rahman Haji Yusoff tak sempat menyapa, menitipkan novelnya melalui Cikgu Hashim Ismail kerana dia harus segera ke Kuala Lumpur.
Acara langsai, dan saya memandu ke Bandar Pusat Jengka untuk menemui anakanda Arief Afifi. Mengambilnya di UiTM, membawanya ke luar makan petang, dan menghantarnya balik semula ke asrama. Saya harus memandu balik ke Kuala Lumpur. Memeta-meta di dalam kepala untuk singgah di Kg Raja atau Songsang membeli beberapa ekor ikan patin.
No comments:
Post a Comment