Kreativiti
Kamus Dewan memberikan definisi
tentang kreativiti (kréativiti) kemampuan
(kebolehan) mencipta, daya kreatif, kekreatifan: ~ seniman; ~ sastera; ~ dlm
penggunaan bahasa. Kebolehan mencipta atau daya kreatif yang dimiliki oleh
seseorang seniman untuk menghasilkan karya seni mereka. Dalam Siri DOM (Dialog
Orang Muda) yang dianjurkan oleh Sekretariat Penulis Muda PENA, pelbagai isu
tentang dunia seni telah didebatkan – sastera, seni lukis, filem, falsafah,
sejarah, buku dan pelbagai topik lain. Sebuah forum dan medan untuk orang muda
dalam dunia seni memberikan reaksi, melontar idea, melatih untuk berhujah,
serta mempertahankan ruang dunia dengan
masing-masing pilihan mengikut sudut pandangan sebagaimana mereka
ditemui. Acaranya santai, percuma, dan disediakan makan tengah hari. DOM telah
berlangsung beberapa tahun.
Bermula Februari 2014 DOM
kembali lagi, tetapi kali bukan orang
muda yang bercakap. Tetapi generasi lama, yang telah banyak melahirkan generasi
pelapis dalam dunia sastera di Malaysia. Tetamunya, Sutung Umar Rs yang pernah
menjadi Ketua Bahagian Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan pernah juga
menjadi Editor majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Kemudiannya menjadi
Ketua Unit Sastera dan Budaya di akhbar Berita Harian.
Dalam DOM edisi khas
bersama Sutung Umar Rs, banyak sisi menarik yang wajar diteladani oleh generasi
muda yang ingin mempersiapkan dirinya untuk menjadi seniman. Sutung menimbulkan
persoalan apakah penulis-penulis hebat dunia pernah mengikuti bengkel
penulisan? Apakah Doyotosteky yang menuliskan “Crime and Punishment” pernah
mengikuti bengkel penulisan sebelum menulis novel agungnya itu? Gogoi, Maxim
Gorky, atau Nobokov yang menulis “Lolita”
apakah pernah mengikuti bengkel penulisan? Jawapannya, tidak!.
Atau kenapakah kita tidak
mempunyai karya besar yang setanding dengan karya-karya yang lahir dalam
tradisi Barat? Mungkin bangsa kita belum cukup pengalaman dan keperitan untuk
menghasilkan karya besar, kerana tiadanya cengkaman penderitaan. Suasana tenang
dan bermewah-mewah menyebabkan proses kreativiti itu tidak boleh bercambah dan
bertunas? Dr. Victor Pogadaev, sarjana Russia yang bertahun-tahun tinggal di
Malaysia memberikan penjelasan
sebelumnya, bahawa Doyotoskey itu jurutera, tetapi dapat menulis dengan baik
sekali. Dia ketiadaan wang kerana wangnya habis di meja judi. Dan untuk
mendapatkan wang dia harus memeras tenaga akalnya untuk menulis dan menulis.
Sebagai bekas editor
sastera dengan penebirtan besar tanah air, Sutung sudah tentu mempunyai
segudang pengalaman yang wajar dikongsikan dengan penulis muda. Dan
perbincangan pagi itu sangat menarik dan terkesan. “Saya teringat pesan A.
Latiff Mohidin sejak tahun 1973 yang lalu – elakkan daripada menjadi guru!”
Maksudnya menulislah dahulu supaya benar-benar mempunyai jatidiri sebagai
penulis atau sasterawan sebelum ingin mengajar orang lain menulis. Tetapi apa
yang sedang terjadi, sangat ramai yang ingin menjadi guru, memberikan ceramah
dan bengkel kepada penulis baru, sedangkan yang memberikan bengkel itu pun belum
ada buku. Baharu sahaja memenangi sebuah dua sayembara, sudah berasa sangat
besar dan turun untuk memberikan bengkel penulisan.
“Seniman itu berbeza dengan
tukang! Tukang akan membuat kerusi itu dengan empat kaki, tetapi seniman akan
menciptakan kerusi dengan tiga kaki.” Seniman akan sensitif dengan kritikan, tetapi tukang tidak pernah
peduli tentang kritikan. Tukang hanya akan mengeluarkan produk demi produk
untuk permintaan pasaran, dan seniman akan berfikir dengan semasak-masaknya
tentang karya seni yang diciptanya.
Kecenderungan berbeza
sangat penting dalam dunia kesenimanan. Kalau karya yang tercipta itu sama,
maka tidak akan berlaku apa-apa perubahan. Dan dunia seni apa pun akan berada
dalam sebuah vakum. Lalu, Sutung mempersoalkan tentang definisi – semua genre
seni memerlukan definisi baru. Teater, puisi, cerpen, seni lukis, novel, dan
untuk semua bidang seni. Tetapi nampaknya, pancingan Sutung itu belum mampu
menggugah khalayak yang hadir untuk ikut memperdebatkan hal tersebut.
“Teater, puisi, cerpen dan
novel yang ikut stuktur itu telah menjadi baku. Ini merupakan satu ironi kepada
sifat seniman kerana seniman cenderung untuk berbeza.”
Bayangkan kita masih
menggunakan pakai definisi Za’ba yang diberikannya sejak zaman sebelum merdeka
untuk puisi? Apakah masih sesuai definisi itu sekiranya diadukan dengan
puisi-puisi yang tercipta di tangan A. Ghafar Ibrahim (AGI), Ismail Abdullah,
Puzi Hadi dan Ladin Nuawi? Atau paling mudah ambil sahaja buku puisi “Ratib
Kalbu” sebuah puisi yang paling panjang setakat ini di Malaysia oleh Sutung
Umar Rs yang setebal 525 halaman itu, apakah menepati definisi puisi yang
diberikan oleh Za’ba. Kalau merujuk kepada “Ratib Kalbu” saya percaya puisi
Malaysia perlu diberikan definisi yang baru, bukan lagi berdasarkan rangkap dan
baris, juga rima akhirnya di setiap hujung baris.
Bahkan pada saya, buku ini
harus dilihat sebagai bentuk baru kepada puisi Malaysia yang pendek dan kontot
kepada sebuah puisi panjang. Dan pada saya inilah contoh kreativiti yang
digunakan oleh seniman untuk merubah definisi yang telah menjadi baku sejak
berpuluh tahun lamanya. Sama ada, hal ini boleh diterima atau pun tidak,
terpulang kepada sarjana yang maha arif dan khalayak yang menjadi pembaca yang menghadami karya tersebut.
Sutung menutup dialognya
dalam DOM Khas kali ini: “Editor harus berani dan mempunyai sikap. Juga perlu
berada dalam lingkungan penulis atau hidup sebagai penulis itu sendiri. Pada
masa yang sama editor juga harus faham dan peka kepada persekitaran
organisasinya.”
Ini hanyalah sekadar
lontaran saya. Harus ada seseorang yang mempunyai wibawa dan autoriti untuk
menulis secara khusus tentang ini. Pandangan ini tidak semestinya betul, dan
tidak mustahil pula tidak betul. Terpulanglah kepada yang arif, lagi bijaksana.
Sutung Umar Rs dan Khalid Salleh dalam drama "Dunia Yang Kutinggalkan" berdasarkan cerpen Arena Wati sempena Anuegrah Sasterawan Negara pada 18 Jun 1988. Skrip dan arahan Krishen Jit. |
1 comment:
Alhamdulillah, dengan izin Allah saya dapat turut serta mendengar DOM tersebut, pertama kali menapak ke Rumah PENA, itupun setelah diajak oleh Wak Saring Sirad.
Dailog yang amat baik, dapat serba sedikit tentang dunia sastera tanahair.
Post a Comment