Friday, March 7, 2014

Kreativiti

Kamus Dewan memberikan definisi tentang kreativiti (krĂ©ativiti) kemampuan (kebolehan) mencipta, daya kreatif, kekreatifan: ~ seniman; ~ sastera; ~ dlm penggunaan bahasa. Kebolehan mencipta atau daya kreatif yang dimiliki oleh seseorang seniman untuk menghasilkan karya seni mereka. Dalam Siri DOM (Dialog Orang Muda) yang dianjurkan oleh Sekretariat Penulis Muda PENA, pelbagai isu tentang dunia seni telah didebatkan – sastera, seni lukis, filem, falsafah, sejarah, buku dan pelbagai topik lain. Sebuah forum dan medan untuk orang muda dalam dunia seni memberikan reaksi, melontar idea, melatih untuk berhujah, serta mempertahankan ruang dunia dengan  masing-masing pilihan mengikut sudut pandangan sebagaimana mereka ditemui. Acaranya santai, percuma, dan disediakan makan tengah hari. DOM telah berlangsung beberapa tahun.
Bermula Februari 2014 DOM kembali lagi, tetapi kali bukan  orang muda yang bercakap. Tetapi generasi lama, yang telah banyak melahirkan generasi pelapis dalam dunia sastera di Malaysia. Tetamunya, Sutung Umar Rs yang pernah menjadi Ketua Bahagian Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka, dan pernah juga menjadi Editor majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Kemudiannya menjadi Ketua Unit Sastera dan Budaya di akhbar Berita Harian.
Dalam DOM edisi khas bersama Sutung Umar Rs, banyak sisi menarik yang wajar diteladani oleh generasi muda yang ingin mempersiapkan dirinya untuk menjadi seniman. Sutung menimbulkan persoalan apakah penulis-penulis hebat dunia pernah mengikuti bengkel penulisan? Apakah Doyotosteky yang menuliskan “Crime and Punishment” pernah mengikuti bengkel penulisan sebelum menulis novel agungnya itu? Gogoi, Maxim Gorky, atau Nobokov yang menulis “Lolita”  apakah pernah mengikuti bengkel penulisan? Jawapannya, tidak!.
Atau kenapakah kita tidak mempunyai karya besar yang setanding dengan karya-karya yang lahir dalam tradisi Barat? Mungkin bangsa kita belum cukup pengalaman dan keperitan untuk menghasilkan karya besar, kerana tiadanya cengkaman penderitaan. Suasana tenang dan bermewah-mewah menyebabkan proses kreativiti itu tidak boleh bercambah dan bertunas? Dr. Victor Pogadaev, sarjana Russia yang bertahun-tahun tinggal di Malaysia  memberikan penjelasan sebelumnya, bahawa Doyotoskey itu jurutera, tetapi dapat menulis dengan baik sekali. Dia ketiadaan wang kerana wangnya habis di meja judi. Dan untuk mendapatkan wang dia harus memeras tenaga akalnya untuk menulis dan menulis.
Sebagai bekas editor sastera dengan penebirtan besar tanah air, Sutung sudah tentu mempunyai segudang pengalaman yang wajar dikongsikan dengan penulis muda. Dan perbincangan pagi itu sangat menarik dan terkesan. “Saya teringat pesan A. Latiff Mohidin sejak tahun 1973 yang lalu – elakkan daripada menjadi guru!” Maksudnya menulislah dahulu supaya benar-benar mempunyai jatidiri sebagai penulis atau sasterawan sebelum ingin mengajar orang lain menulis. Tetapi apa yang sedang terjadi, sangat ramai yang ingin menjadi guru, memberikan ceramah dan bengkel kepada penulis baru, sedangkan yang memberikan bengkel itu pun belum ada buku. Baharu sahaja memenangi sebuah dua sayembara, sudah berasa sangat besar dan turun untuk memberikan bengkel penulisan.
“Seniman itu berbeza dengan tukang! Tukang akan membuat kerusi itu dengan empat kaki, tetapi seniman akan menciptakan kerusi dengan tiga kaki.” Seniman akan sensitif  dengan kritikan, tetapi tukang tidak pernah peduli tentang kritikan. Tukang hanya akan mengeluarkan produk demi produk untuk permintaan pasaran, dan seniman akan berfikir dengan semasak-masaknya tentang karya seni yang diciptanya.
Kecenderungan berbeza sangat penting dalam dunia kesenimanan. Kalau karya yang tercipta itu sama, maka tidak akan berlaku apa-apa perubahan. Dan dunia seni apa pun akan berada dalam sebuah vakum. Lalu, Sutung mempersoalkan tentang definisi – semua genre seni memerlukan definisi baru. Teater, puisi, cerpen, seni lukis, novel, dan untuk semua bidang seni. Tetapi nampaknya, pancingan Sutung itu belum mampu menggugah khalayak yang hadir untuk ikut memperdebatkan hal tersebut.
“Teater, puisi, cerpen dan novel yang ikut stuktur itu telah menjadi baku. Ini merupakan satu ironi kepada sifat seniman kerana seniman cenderung untuk berbeza.”
Bayangkan kita masih menggunakan pakai definisi Za’ba yang diberikannya sejak zaman sebelum merdeka untuk puisi? Apakah masih sesuai definisi itu sekiranya diadukan dengan puisi-puisi yang tercipta di tangan A. Ghafar Ibrahim (AGI), Ismail Abdullah, Puzi Hadi dan Ladin Nuawi? Atau paling mudah ambil sahaja buku puisi “Ratib Kalbu” sebuah puisi yang paling panjang setakat ini di Malaysia oleh Sutung Umar Rs yang setebal 525 halaman itu, apakah menepati definisi puisi yang diberikan oleh Za’ba. Kalau merujuk kepada “Ratib Kalbu” saya percaya puisi Malaysia perlu diberikan definisi yang baru, bukan lagi berdasarkan rangkap dan baris, juga rima akhirnya di setiap hujung baris.
Bahkan pada saya, buku ini harus dilihat sebagai bentuk baru kepada puisi Malaysia yang pendek dan kontot kepada sebuah puisi panjang. Dan pada saya inilah contoh kreativiti yang digunakan oleh seniman untuk merubah definisi yang telah menjadi baku sejak berpuluh tahun lamanya. Sama ada, hal ini boleh diterima atau pun tidak, terpulang kepada sarjana yang maha arif dan khalayak yang menjadi pembaca  yang menghadami karya tersebut.
Sutung menutup dialognya dalam DOM Khas kali ini: “Editor harus berani dan mempunyai sikap. Juga perlu berada dalam lingkungan penulis atau hidup sebagai penulis itu sendiri. Pada masa yang sama editor juga harus faham dan peka kepada persekitaran organisasinya.”

Ini hanyalah sekadar lontaran saya. Harus ada seseorang yang mempunyai wibawa dan autoriti untuk menulis secara khusus tentang ini. Pandangan ini tidak semestinya betul, dan tidak mustahil pula tidak betul. Terpulanglah kepada yang arif, lagi bijaksana.
Sutung Umar Rs dan Khalid Salleh dalam drama "Dunia Yang Kutinggalkan" berdasarkan cerpen Arena Wati sempena Anuegrah Sasterawan Negara pada 18 Jun 1988. Skrip dan arahan Krishen Jit.
 

1 comment:

  1. Alhamdulillah, dengan izin Allah saya dapat turut serta mendengar DOM tersebut, pertama kali menapak ke Rumah PENA, itupun setelah diajak oleh Wak Saring Sirad.

    Dailog yang amat baik, dapat serba sedikit tentang dunia sastera tanahair.

    ReplyDelete