Thursday, March 6, 2014

MENGUNJUNGI SASTERAWAN NEGARA

Foto: Sinaganaga
Sehari sebelum saya berangkat ke Makassar, Cikgu Noordin yang membahasakan dirinya "cikgu" menelefon saya. Beliau bertanya bila ada kelapangan, "Cikgu nak serahkan koleksi DVD dan buku. Itupun kalau Rahimidin suka."  Saya jawab cepat, "Bila balik dari Makassar saya akan telefon cikgu." Semalam saya menelefonnya, tetapi rumahnya sedang kelam kabut dan dala proses pembersihan. Hari ini saya sepatutnya ke rumah beliau sekitar jam 11 pagi kerana begitulah janji saya semalam. Tetapi, tiba-tiba ada dua mesyuarat yang harus saya hadiri. Janji itu saya alihkan ke jam 1.00 tengah hari. 

Betul-betul jam lima minit sebelum 1.00 saya keluar dan jam 1.05 saya sudah berada di pintu pagar rumahnya.  Dato' SN Noordin Hassan, Kak Lina rupanya telah menunggu saya.  Saya dijemput makan tengah hati, "lotong" buatan orang Kedah. Dan cikgu bercakap hampir sejam setengah. Segala kenangan dan nostalgia masa silam dia ceritakan kepada saya. Kisah ayahnya dengan Tok Pak Cik Kaya, datuknya. cerita ibu saudaranya yang mati muda, bersuara  lunak dan cantik serta mengajar mengaji Quran kepada anak-anak di Jalan Hattin. Cerita mak ciknya  memancing ikan di laut.  

Cerita beliau  tidur di rumah ibu saudaranya, bila air laut pasang, air masuk ke hampir ke lantai. Cerita bapa yang mati mudah sekitar umur 40. Cerita bapa keluar dari rumahnya kerana selisih pendalam tentang konsep boria dengan ayahnya, Tok Pak Cik Kaya. Cerita bapak saudaranya Mamat al-Hashim yang boleh main pelbagai alat muzik. Cerita Aman Syah sepupunya yang mewarisi pedang dan buku-buku Tok Pak Cik Kaya tetapi koleksi itu tidak ingin di tunjukan kepadanya. Akhir ketika Aman Syah sakit di hospital, isteri nya membuang pedang dan semua buku-buku ke sungai. 

Ada banyak sisi menarik yang cikgu kisahkan kepada saya tengah hari ini. Di ruang tamunya ada dua bag kertas yang ingin diserahkan kepada saya. MasyaAllah ada 34 DVD dan  6 buah buku yang beliau hadiahkan kepada saya.

Saya memandu keluar dari rumah No 19 Jalan Tenggiri, menuju ke bulatan Bangsar. Saya tiba-tiba sangat sebak. Saya teringat ayah saya. Al fatihah.

No comments:

Post a Comment