i.
Saya selalu terpandang sosoknya di Masjid Syaidina Hamzah Batu Muda hampir setiap waktu solat sekiranya saya berjemaah di sana. Dan malam semalam selepas isyak saya melihatnya, dan serbannya selalu berbeza dengan jemaah yang lain. Saya menemuinya secara berdepan pertama kali apabila Wan Mohd Said al-Mehdi menelefon bahawa dan mengajak saya untuk menyertai penyair Nawawee Mohamad, sasterawan Norhisham Mustaffa dan Hasrom Haron yang berada di warung hadapan Masjid Saiyidina Hamzah untuk bertemu dengan Hadzrami. Hadzrami AR atau Hadzrami Abdul Rahman merupakan penyair penting tahun tahun-tahun 60-an. Beliau pernah menerbitkan dua buah kumpulan puisi perseorangan "Dunia di Bibir Kiamar" dan "Terbit Matahari". Dia dikenali sebagai penyair Islami yang sezaman dengan teman-temannya dari Kolej Islam Malaysia ketika itu - terutamanya teman-teman penyair dari Brunei seperti Yahya MS, Baharuddin HO, Adi Rumi dan beberapa nama lain. Sayangnya, selepas dua buah antologi puisi yang sangat Islami itu, dunia kesusasteraan kita sehingga ke hari ini tidak menemui puisi-puisinya yang terbaharu. Sewaktu pertemuan itu saya tidak bercakap apa-apa, cuma menyalami dan memeluknya.
Kebetulan pula, bulan lepas saya singgah di Cikgu Zakaria Muhammad atau nama penanya Z. Sabri di Lundang, Kota Bharu. Cikgu Zakaria memaklumkan bahawa Hadzrami AR adalah orang yang memainkan isu di surat khabar supaya ditubuhkan sebuah persatuan penulis di Kelantan pertengahan 60-an dahulu. Hadzrami ketika itu menjadi wartawan di Berita Harian, dan beliau memainkan isu itu sehingga tertubuhnya Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang diketuai oleh Cikgu Alias Harun. Persatuan itu masih bergerak aktif sehingga ke hari ini.
ii.
Apabila saya melangkah masuk ke ruang solat, ada sosok sedang mengerjakan solat di atas kerusi di saf paling belakang. Saya kenalinya sebagai Kalam Hamidi, dan sering disapa sebagai Pak Kalam. Dia tokoh penting dalam perkembangan drama sandiwara di pentas teater Malaysia. Skripnya "Anak Nazar Tujuh Keramat" menjadi teks SPM saya semasa belajar di tingkatan 4 tahun 1984. Saya tidak menyapanya kerana tidak ingin mengacau amal ibadatnya. Selain "Anak Nazar Tujuh Keramat", terdapat beberapa skrip pentingnya yang lain seperti "Kasanova", "Mat Kilau", "Pejuang Kemerdekaan", Sial Bertuah", "Nyiur Gading Puncak Mahligai" dan beberapa lagi. Manakala buku-bukunya yang pernah diterbitkan oleh UKM antaranya "Memoir Kalam Hamidi dari Panggung Victoria ke Istana Budaya" (2001), "Pegangan Pementasan Drama" (2003) dan "Oh! Fatamorgana: Kembara Ke eropah, Acheh dan Irian Jaya" (2003).
Selepas 10 tahun lampau menerbitkan buku-bukunya itu, apakah dramawan ini tidak karya-karya barunya? Saya memandangnya, bercadang ingin menyapa dan menanyainya. Tetapi selepas terawih usai, saya tidak jadi untuk bertanya.
Tuesday, July 16, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Kalam Hamidi ialah ayahanda saya.
Beliau menetap di Tmn Samudra Gombak.
Sekiranya tuan berminat utk berbual bicara dgn beliau, sila hubungi no telefon rumahnya iaitu : 03-61886119
Sekian wassalam.
Shah
013-3020954
Post a Comment