Monday, June 17, 2013

Menjadi Editor

Saya menjadi editor secara tidak sengaja. Apabila Sutung Umar Rs menerbitkan majalah MASA, saya dibawanya untuk membuat suntingan esei-esei yang akan disiarkan di majalah tersebut. Ada esei yang ditulis oleh Tokoh Maal Hijrah, profesor, doktor perubatan dan termasuk penulis yang baru belajar menulis. Selepas suntingan kami buat, Sutung akan mengajak saya ke rumah Datuk Noor Azam di Sungai Pencala untuk beliau lihat suntingan yang telah kami buat. Ada yang beliau setuju, dan setiap esei itu akan ditanda pula oleh Datuk Noor Azam. Dan saya mulai belajar secara tidak langsung. Apatah lagi saya tidak belajar satu kertas pun tentang penyuntingan di mana-mana universiti sebagaimana editor-editor lain yang terlatih dan sangat tenar dalam bidang mereka. Begitulah, kemudiannya masuk tahun ke lapan menjadi editor kepada majalah Pentas, secara peribadinya saya masih tetap editor yang tidak terlatih. Di dalamnya terpapar segala kelemahan dan kekurangan saya. Cuma yang sedikit berbeza, saya 'menjadi kamus' kepada diri saya sendiri. Saya tahu apa yang saya buat. Saya boleh membezakan antologi puisi dengan sebuah puisi panjang. Saya boleh merujuk ke mana-mana buku asal berdasarkan tulisan yang dihantar penulis, dan saya bertanggungjawab untuk membuat suntingan. Kalau teruk, nmemang saya tidak siarkan, dan kalau perlu menulis semula, saya akan lakukannya. Menjadi editor bukan sekadar membetulkan ejaan "di" jauh dan dekat dan membezakan antara "k2" dengan "k1". Kalau tidak tahu bertanyalah. Tak rugi apa-apa pun. Selamat menjadi editor!!!

2 comments:

MARSLI N.O said...

Sdr RZ: Di mata saya, sebagai sahabat dan sebagai apa pun yang mula sungguh-sungguh mengenal Sdr seputar tahun 1990-an, Sdr punya kehebatan dan kelebihan yang tak dimiliki banyak orang. Teruskan!

-MARSLI N.O

Rahimidin Z said...

Sdr. Marsli NO terima kasih dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.