Sunday, February 24, 2013

Syarahan

Semalam saya mengikuti dua syarahan. Syarahan pertama siri Syarahan Ismail Zain di Auditorium BSLN (sengaja tak tulis BSVN) yang disampaikan oleh SN Dato Dr. Anwar Ridhwan. Judul syarahannya "Elemen Visual dan Sebuah Masyarakat yang Bergolak: Renungan Seni dan Sosial Sejak Tahun1957" dari jam 11 pagi sampai 1 tengah hari. Sebuah syarahan yang sangat penting  bagaimana SN tersebut  melihat rekaan kulit majalah dan jurnal Melayu yang penting sejak tahun 1957 dengan pencapaian seni visual, serta isu-isu masyarakat yang melatarbelakangi penerbitan majalah/jurnal tersebut pada zamannya. Saya hadir, dan duduk di belakang. Melunjurkan kaki ke depan dan cuba memendek badan supaya tidak nampak dalam kalangan hadiran. Apabila acara berakhir, tiba-tiba saya dijemput naik ke pentas oleh pengerusi syarahan, Sdr. Badrulhisham Mohd. Tahir untuk menyampaikan cenderamata dari BSLN kepada SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Ketika melangkah keluar, kolekter ternama Tuan Phakarudin Sulaiman menghulurkan kalender meja 2013 yang semua lakaran potret di dalamnya oleh pelukis Amron Omar.

Saya sepatutnya meninggalkan majlis lebih awal kerana ada 6 miss call daripada Wan Mat Said dan MA Jawahir yang menunggu di kedai buku Alam Raya. Mereka tentunya ingin mengajak makan tengah hari. Tetapi tidak wajar pula  untuk saya  mengelak ajakan Sdr. Badrul, saya pun  duduk semeja dengan Dato' Anwar,  Sdr. Mohd. Yusoff Osman, seorang pensyarah Aswara dan dua orang pensyarah dari Uitm Melaka. Dr. Victor Pogadaev melintas di situ, dan memetik foto kami. Dia dipersilakan makan tengah hari. Dan seperti biasa Dr. Victor memberikan beberapa komen. Dia datang untuk melihat pameran 60 tahun Latiff Mohidin. Dia kepingin jumpa Latiff, dan pada hari perasmian tidak dapat datang kerana ada kuliah. Dia komen tentang, tiadanya pameran koleksi tetap yang sepatutnya dipamerkan sepanjang tahun. Bila pengunjung dari luar negara  datang ingin melihat karya Ibrahim Hussein dan Syed Ahmad Jamal, tetapi karya mereka tidak dipamerkan kepada umum.

Singgah sekejap ke PNM dengan Dr. Victor kerana ingin melihat jualan buku jalanan. Kami sampai, tetapi dah banyak yang bungkus buku dan berangkat pulang. Dr. Victor komen pasal parking kereta bertingkat dan dia parking keretanya di luar pagar PNM. Saya memandu dalam panas terik dan Jalan Tun Razak yang sesak melepasi bulatan Pahang dan membelok ke Alam Raya di Jalan Pekeliling. Beli tiga buah buku, dan balik ke rumah.

Malamnya ke Dewan Jumaah UTM Jalan Semarak mengikuti Syarahan Malam Sabtu oleh YM Tan Sri Syed Naquib al-Attas. Bila memberi salam kepada Prof. Wan Mohd. Nor dan Prof. Muhd. Zaini Uthman. Prof. Wan dah kali kedua menegur kodroi saya, yang katanya dia juga ada. Masuk ke dalam, dilambai oleh Ustaz Mohd Zain Abd. Rahman untuk duduk di kerusi kosong di sebelahnya.

Saturday, February 23, 2013

pertanyaan

Saya terima sms: "Saya baru sempat baca cerpen abang Remy dalam TI.Raziq Efendi tu seperti diri abang Remy. Betul kan? Dan cerita dalam cerpen tu realiti kan?" Saya jawab: "Anak dah lima, tak akan ada orang nak berkenan lagi." Dia jawab: "Hahaha!!! Sure sebab Nurliza tu lah abang Remy demam sebulan hari tu kan. Kantoi!!!" Saya jawab lagi: "Mana ada dik. Cerpen jer tu. Dah tua-tua, buruk lagi paras rupa, tak berharta, sapa la nak rabun mata nak berkenan.Hahaha.". Dia balas lagi: "Itu kelakar dan langsung tak jujur. Hahaha." Saya jawab lagi: "Cerpen tu sebelum di-emel kepada editor, Akak yang baca dan edit dulu tau." Dia, "Percaya, percaya, sangat percaya.Hahaha".

Friday, February 22, 2013

pameran latiff mohidin

semalam saya menapak dalam renyai petang ke BSLN (memang sengaja tidak tulis BSVN) bersama sahabat saya, pelukis Raduan Norudin. Naik pun dari tangga belakang. Kawan-kawan pelukis dah ramai, sama ada yang saya kenal dan tak kenal. Dr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA pun ada, dia sms sampai lebih awal daripada saya. Kemey Suarez pereka buku Wayang Kulit saya juga sampai awal. Bahnu Acan, sahabat saya juga telefon. Zuli lagilah. Dia memang suka telefon. Malam-malam pun dia suka telefon. Uwei tak telefon, hari ni, tapi saya pasti dia datang. Hujan pun pula melebat. Sempat lepak sekejap dengan pelukis dan seniman lain Suzelee Ibrahim, Aris Aziz, Amirudin Arifin, Sani Sudin,Din Korea dan ramai lagi.

pelukis Fauzul Yusri, sebelum bergerak balik menghampiri saya dan  bersalam. Saya pernah ke studionya di shah alam beberapa tahun lepas dengan Uwei. selepas hujan petang yang amat lebat dan lebat, semakin menipis, kami berkejar ke kereta Kemey. minum sekejap di cafe istana budaya dengan  Ise dan Ujang - dua artis Malaysia yang bertaraf antara bangsa. bahkan Ise, kalau dalam aircond pun dia berpeluh kerana selalu hidup di negara tyang bersalji. Dua artis ini lebih terkena dari beberapa roker yang sedang minum di cafe Ib dan baru lepas buat sidang akhbar konsert mereka.

Wednesday, February 20, 2013

temu janji

pagi ini ke Hospital Selayang ada temu janji yang diberikan doktor sebulan lepas untuk melakukan 'ultrasound'. jam 7.30 pagi saya dah sampai. sengaja ambil cuti dan sampai awal  kerana tempat letak kereta selalunya tidak mencukupi, dan ramai yang suka meletak kenderaan sesuka hatinya. saya dapat no panggilan 6006. pada 25 januari lepas setelah dibuat x-ray, 'urine test' dan 'blood test' saya bebas dari penyakit yang diagak-agakkan. kerana doktor tak puas hati,  maka saya disarankan untuk membuat 'ultrasound'. saya mengikut cadangan yang baik. dan ada juga  kawan saya yang tanya kenapa tidak ke hospital swasta? saya kata, sengaja tak nak pergi. saya pun ada medical card, tetapi saya sengaja ingin pergi ke hospital  kerajaan. pertamanya, saya pegawai kerajaan. keduanya, saya selalu bertanya kenapa bangsa lain yang ada 20 atau 30 medical card seorang , tetapi kenapa mereka suka pergi hospital kerajaan? senagai penulis saya merenung setiap muka yang menunggu dan menanti panggilan. ada kerut, ada keluh, pucat, hijau dan ada yang seperti ingin makan orang.

setelah menunggu, 45 minit saya dipanggil masuk. kerana bilik rawatan penuh, saya diminta masuk ke bilik menunggu khas. tidak sampai 3 minit, saya dipanggil masuk. seorang dr. perempuan yang tinggi lampai,  sangat murah dengan senyuman menyoal saya. dan saya menerangkan senario sakit saya dari awal. selesai 'ultrasound' dibuat, saya tidak mengalami sakit yang diagakkan pada saya. 27 mac, saya masih ada satu lagi temu janji.

Tuesday, February 19, 2013

Hadiah Buku

Saban bulan saya menerima hadiah buku. Hari ini saya menerima hadiah buku daripada salah seorang Kekanda saya yang tidak perlu saya sebutkan namanya di sini. Buku tersebut berdasarkan sebuah Syarahan Profesor yang diterbitkan oleh universiti tempat profesor tersebut bertugas. Bila buku syarahan tersebut menyentuh tentang makyung, main teri dan beberapa jenis teater tradisional Melayu - maka hal tersebut tentunya berkait sedikit dengan bidang yang saya suka. Walaupun saya bukanlah sarjana, apabila calon MA dan PhD. Tetapi buku ini mempamerkan kecacatan yang ketara apabila 'tok teri' disebut 'tok bomoh' dan nama salah sebuah fotonya diberikan penjelasan yang salah. Itu hanya sekali belek. Saya pasti ada banyak lagi kejanggalan dalam buku ini. Hal ini tidak sepatutnya dilakukan oleh profesor dalam pakar dalam teater moden dan tradisional Malaysia.

Monday, February 18, 2013

Tahu dan Tidak Tahu

Kalau ada orang kata berurusan dengan saya, susah - itu sebenarnya tidak benar. Saya melayan semua soalan, tanpa ada temujanji pun. Setelah berlakunya adegan tolak-menolak dan tidak ada siapa lagi yang sanggup untuk memberikan informasi, maka saya tahu, sayalah tudingan terakhir yang akan dihalakan. Dan saya akan menjawabnya mengikut apa  yang saya tahu, dan apa yang saya tidak tahu, saya katakan saya memang tidak tahu.

Saturday, February 16, 2013

Jelek

Saya tidak pernah menjadi wartawan surat khabar seperti kawan-kawan saya yang ramai itu. Tetapi saya mulai menulis di surat khabar sejak masih di sekolah menengah. Menulis tentang sastera, budaya dan teater. Bahkan suatu waktu saya menulis hampir dua atau tiga kali seminggu untuk dua akhbar arus perdana tanah air. Tetapi kini tidak lagi. Bahkan membaca surat khabar pun berasa macam malas sangat. Dalam surat khabar hari ini banyak sangat berita dan cerita yang hendak muntah apabila kita membacanya.

Katakanlah, kita menonton sebuah persembahan teater yang sangat jelek - tetapi wartawan separuh tiang dan suam-suam kuku ini menulis 'yah, sebuah persembahan yang fantastik!', 'hebat ya amat', 'luar biasa', 'inilah sebuah karya agung!'. Saya yang pergi menonton sama, apabila keluar panggung, terus muntah dan muntah di longkang tempat parking kereta.

Apabila 'Raja Lawak' Zakaria Ariffin dipentaskan kembali - ITBM dan PENA seolah-olah baru memulakan langkah pemula untuk kembali membawa teater serius supaya orang datang ke teater. Paling tidak, untuk sedikit berfikir dan merenung. Tetapi, zaman pop ini, agak sukar untuk mengajak orang muda berfikir serius. Orang muda sukakan teater yang jenis 'mee segera' juga. Kalau cerita cinta, maka zahirkan aksi beromen, air mata air hingusnya sekali, peluk cium dengan tidak memberikan nilai pemikiran apa-apa selain aksi-aksi lembu kerbau, atau ayam jantan mengejar ayam betina. Nampaknya, inilah jalan masa depan teater Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa hari lepas, saya tersalah masuk ke sebuah Sidang Media untuk sebuah pementasan teater muzikal. Istilah yang saya juga selalunya  loya dan terus muntah-muntah seperti mengalahkan perempuan mengandung tujuh bulan. Ya, Tuhan! Aksi-aksi hodoh, dan lucah yang amat ditampilkan. Pondan dan bapok tua pun menunjukkan aksi-aksinya. Dua sahabat saya - kedua-duanya perempuan keluar dari ruang. Katanya seperti berbisik, "Aku loya dan nak muntah!" Dari pintu cermin luar, saya menjenjuk ke dalam, nampaklah si tua gayut yang 'rumah kata pergi, kubur kata mari' sedang bercakap memberikan penjelasan. Tak tau saya si gayut ini belajar teater di sekolah teater orang putih  yang mana. Kejelekan itu tidaklah perlu dizahirkan walaupun di belakangnya ada agenda politik. Saya menghampiri si pegawai projek dan dengan bisik suara yang sangat sopan dan penuh budi bahasa, "hang pi cakap kat pak cik tu, berulang pi balik  masjid lagi elok!" Dia senyum tawar kepada saya - "saya yang menurut perintah!". Ooo, saya lopongkan mulut.

Kalaulah begini perkembangan mutakhir teater kita, maka tidaklah salah kalau orang  mengambil keputusan untuk tidak lagi pergi menonton teater!

Thursday, February 14, 2013

Tulisan Djazlam Zainal



RAHIMIDIN ZAHARI - BERDAYUNG DI SAMUDERA LUAS

by Djazlam Zainal on Monday, February 11, 2013 at 9:18am ·

Rahimidin Zahari dilahirkan pada 28 Maret 1968 di Peringat, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.  Menerima pendidikan rendah dan menengah Kelantan. Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Sains Malaysia, dan Diploma Pengurusan Seni dari Universiti Malaya. Menulis dalam semua genre sastera dan menangi pelbagai hadiah untuk kesusasteraan di peringkat kebangsaan seperti Hadiah Penulis Muda Terbaik Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, Anugerah Sastera Islam Darul Imam, Hadiah Puisi Islam Yayasan Pelajar, Hadiah Sastera Kelantan, Hadiah Utusan Exxon-Mobil, Hadiah Sastera Perdana dan banyak lagi.

Telah menerbitkan 15 buah buku perseorangan dan lebih 60 buah kumpulan karya bersama penulis lain. Judul bukunya seperti Lakaran Kampung, Cempaka Putih, Pewaris, Wira Sekolah, Sekepal Tanah, Matahari Berdoa, Di Kebun Khatulistiwa, Zamok Iz Peska ( Istana Pasir - sebuah kumpulan puisi terjemahan dalam bahasa Rusia di Moscow ), Aksara, Perjalanan Salik, Rawana ( dwibahasa Melayu-Inggeris ) dan Perahu Fansuri. Dramanya yang pernah dipentaskan Muzikal Puteri Hang Li Po, Suzana @60, Teater Tari Pentas, Muzikal Putra, Mahsuri, Rebab Berbisik, Dalang dan Bidan Ketujuh. Puisinya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dunia seperti Inggeris, Rusia, Portugis, Korea, Arab dan Thai.

Mewakili negara ke Second Asean Writers Conference ( 1995 ), Festival Istiqlal ( 1995 ), International World Theatre Congres anjuran UNESCO ( 2005 ), Program Penataran MASTERA ( 2006 ) dan Korea-Asean Poets Literature Festival ( 2010 ), “The Makyung Spiritual Dance Heritage: Seminar And Performances”, di Bangkok, Thailand ( 2011 ), “1st Asian Theatre Professionals Congress”, Chongqing, China ( 2011 ) dan “ASEAN-KOREA Culture and Arts Forum ( 2012 ) Bukunya “Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia” dilancarkan di Frankfurt International Book Fair ( 2010 )

Sekarang bertugas di sebagai Pengurus Panggung di Istana Budaya dan Editor Majalah Pentas.

Karya-karya yang telah terbit ialah Pewaris ( Novel, Fajar Bakti, 1995 ) Cempaka Putih ( Kumpulan Cerpen,[DBP, 1994 ), Sekepal Tanah ( Kumpulan Puisi, DBP, 1995 ) Di Kebun Khatulistiwa ( Kumpulan Puisi, DBP, 2005 ) Muzikal Puteri Hang Lipo ( Drama, Istana Budaya, 2006 ) Suzana@60 ( Drama, Istana Budaya, 2006 ) Aksara ( Kumpulan Puisi, Ilmu Bakti, 2009 ), Perjalanan Salik ( Kumpulan Puisi, Pustaka Nusa, 2009 ) Zamok Iz Peska ( Kumpulan Puisi dwibahasa Russia-Melayu, Moskwa, 2009 ) Perahu Fansuri ( Kumpulan Puisi, Sindikit Soljah, 2011 ) Rawana ( Kumpulan Puisi dwibahasa Melayu-Inggeris, Pustaka Nusa, 2012  ) Orang  Perjuangan : antologi drama / diselenggara oleh : Rahimidin Zahari & Shamsudin Othman, Ilmu Bakti, 2009 ) Makyung : The Mystical Heritage of Malaysia /( editor ) Rahimidin Zahari & Sutung Umar RS, Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010 ) Pak Samad di Mata Kami (ed.) Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2012 ) Pengakuan Penyair (ed.) Rahimidin Zahari & Shamsudin Othman, ITBM, 2012 ) Wayang Kulit - Shadow Play The Epic of The Malaysia Archipelago,  ( ITBM, 2012  )

rahimidin zahari

Dalam kumpulan Perjalanan Salik, terkandung semua puisi perjalanan kepenyairannya yang bersimpang siur dalam kehidupan luar dalam dirinya. Beliau memindahkan subjek yang melintas di hadapannya ke dalam kalbu yang kemudian dilahirkan melalui baris-baris puisi. Ketika di Manila ( 28 Januari 1995 ) beliau menuliskan,

sukar membezakan
antara jelaga siang
dengan habuk malam
neon menyamarkan alam
kenderaan menali perjalanan
keleneng dari gereja
beralun panjang

gagal kutafsir mimpi
anak-anak pulau yang terlantar
lalu kutanyakan saja dadamu, rizal
apa kabar bangsa dan pantai
tanah airmu?

Seorang penyair akan mengamati sekelilingnya. Begitulah Rahimidin. Manila telah menolak intuisinya  untuk menulis. Begitu juga yang dicatatkan untuk Matahari dan Baju. Dalam Matahari, Rahimidin menulis,

sebelum terpadamnya
cahaya hari, di hotel terkutuk ini
aku mencarimu matahari
buat mengintai arah kiblatku

Dalam puisi Baju ( buat acep zamzam noor ) dituliskan,

bajumu telah kaubuka tanpa sengaja
kita berempat di kamar ini menyebut
kepulan asap dan dingin hawa

aku sempat menjeling ' tahi lalat yang
sejengkal dari pusat ' yang kaucari-carikan
itu: memang ia tertompok ditubuhmu

di luar bulan tembaga telah tiada, hanya
selembar malam samar, deru kenderaan
dan langit udara berjelaga

Di tubuh Rahimidin ada 2 keupayaan yang selari. Lisan dan tulisan. Lisan dilihat dari keterlibatan beliau dalam wayang dan perdalangan. Tulisan pula adalah hasil karya dalam bentuk puisi, skrip dan drama. Menurut Muhammad Haji Salleh, sastra bertulis berlainan sama sekali dengan sastra lisan. Sastra bertulis wujud di kertas dan berbicara dari halaman kertas, mempunyai sifat-sifatnya yang tertentu dan menuntut agar penyair tidak mengabaikan sifat-sifat tunggalnya ini. Unsur lisan terbit dari suara dan penarikan visual ( penglihatan ) Puisi memasukkan kita ke dalam ke dalam suatu pengalaman emosi dan intelektual. Pengalaman puisi ini kental, intens dan peka, karena penyair biasanya lebih intens peribadinya dan lebih peka pada pekelilingannya. Dalam tubuh Rahimidin, kedua-duanya selingkar dan sepadu menyebabkan pengaliran pemikirannya lebih kejap dan mantap.

Dalam Baju Tuamu ( halaman 8 ) Rahimidin menuliskan begini,

kutoleh langit cuaca yang memerangkap
wap hari: di antara taburan kata-kata
yang telah renta  aku berjalan

aku berjalan di kebun luas ini sehingga
tak kutemui jarak dan sempadan hari

hanya kau di wakaf itu membaling kata
ke pelipis angin. kau terus membalingnya juga
sehingga telingamu sendiri tiada mendengar
lagi akan kata-kata

tidak seperti keindahan puisi, kau menghulurkan
mata pisau kias yang tajam itu

kaulupa yang kau hiris adalah bibir dan lidahmu sendiri
darahnya tak  mungkin menitis ke bajuku selain baju tuamu

Puisi yang baik adalah puisi yang dapat meluaskan pengalaman hidup seseorang pendengar atau pembaca. Puisi di atas saya kira sangat sesuai dengan serlahan itu karena pengalaman penyair menyadarkan pembaca tentang aspek-aspek kehidupan yang mungkin belum pernah kita alami. Alton M. Baker menyatakan bahwa makna sebuah teks adalah hubungannya dengan konteks. Strukturalisme memberikan suatu cara berdisiplin untuk memulai dengan konteks dalam suatu karya sebagai langkah pertama, dan hanya sesudah analisa struktural itu kita bisa melangkah keluar dari teks ke dunia alamiah atau dunia sosial budaya yang merupakan konteks yang lebih luas ( 1978: 3 ) Saya melihat perjalanan penyair yang penuh ketaakulan dan persediaan jiwa. Lihatlah bagaimana penyair menyatakan, aku berjalan di kebun luas ini sehingga / tak kutemui jarak dan sempadan hari.
Seorang penyair biasanya telah menyiapkan mindanya untuk ditusuk objek dan peristiwa. Peristiwa yang diamati ialah;

hanya kau diwakaf itu membaling kata
ke pelipis angin. kau terus membalingnya juga
sehingga telingamu sendiri tiada mendengar
lagi akan kata-kata

tidak seperti keindahan puisi, kau menghulurkan
mata pisau kias yang tajam itu

Dalam puisi di atas, penyair ada menyatakan, tidak seperti keindahan puisi, kau menghulurkan / mata pisau kias yang tajam itu. Rahimidin menyakini, bahwa sekitar memberi impak terhadap penulisannya. Dalam satu pengakuannya, beliau menyatakan, saya tidak pasti adakah persekitaran mutakhir membantu atau tidak dalam mengukuhkan kepenyairan saya? ( Dewan Sastera, Disember 2012: 24  ) 

Pada tahun 2008, usia penyair mencecah 40 tahun. Terdapat 6 buah puisi mengimbau usia 40 tahunnya iaitu Lelaki 40, Di Depan Rumah Tak Berpintu 40, Pintu 40, Kamar 40, Jejak 40 dan Tapak 40. Dalam Di Depan Rumah Tak Berpintu 40, Rahimidin menulis, 

lelaki 40
berdiri di depan rumah
tak berpintu

memandang bayang
di dalam cermin
tak bersuara

dia berdiri
dalam hujan dan gerimis
rumnput-rumputnya
tumbuh dari mata belati
dan pasirnya pula
berjuta pecahan
serbuk kaca

dia berdiri
menatap bayang
desir langsir carit
yang melambainya masuk
dari dalam cermin
rumah tak berpintu

lelaki 40
tetap diam
tanpa salam
dan melangkah pulang
membuka pintu dan jendela
sesaat dia mendengar
angin bergugus
dari bukit
dan kau kemuning
yang semerbak

Demikianlah penyair menyimpulkan segala penemuan di dunia dengan usia yang terkandung dalam tubuhnya. Melangkah ke usia 40 terkandung kekudusan yang akrab melintas di depan cermin hayatnya.

Tuesday, February 12, 2013

Kuliah Hikam

Dua malam lepas saya mengikut kuliah Hikam yang disampaikan oleh seorang ustaz jemputan di Masjid Syaidina Hamzah Kg. Batu Muda. Sebelum ini pun, saya pernah mengikuti kuliah kitab Hikam ini daripada beberapa ustaz yang lain. Dan setiap kali saya mengikuti kuliah dari kitab ini, saya sering melihat perbezaan cara penyampaian dan cara menafsir antara seorang ustaz dengan ustaz yang lain. Yang menarik malam tadi, Ustaz menghuraikan tentang penyembuhan sesuatu penyakit itu bukan kerana Dr. Pakar yang kita jumpai dengan rawatan dan ubat yang terbaik. Kepakaran dan ubat-ubatan yang terbaik tidak bisa menyembuhkan penyakit. Apatah lagi kalau Dr. Pakar itu turunnya dari langit sekali pun, tetapi kesembuhan itu tidak akan datang juga. Ustaz menambah, yang boleh menyembuhkan penyakit ada dua perkara, iaitu  madu lebah dan bacaan Al Quran. Jadilah, amalkan meminum madu lebah asli dan bacaan al-Quran setiap hari.