Sunday, February 24, 2013

Syarahan

Semalam saya mengikuti dua syarahan. Syarahan pertama siri Syarahan Ismail Zain di Auditorium BSLN (sengaja tak tulis BSVN) yang disampaikan oleh SN Dato Dr. Anwar Ridhwan. Judul syarahannya "Elemen Visual dan Sebuah Masyarakat yang Bergolak: Renungan Seni dan Sosial Sejak Tahun1957" dari jam 11 pagi sampai 1 tengah hari. Sebuah syarahan yang sangat penting  bagaimana SN tersebut  melihat rekaan kulit majalah dan jurnal Melayu yang penting sejak tahun 1957 dengan pencapaian seni visual, serta isu-isu masyarakat yang melatarbelakangi penerbitan majalah/jurnal tersebut pada zamannya. Saya hadir, dan duduk di belakang. Melunjurkan kaki ke depan dan cuba memendek badan supaya tidak nampak dalam kalangan hadiran. Apabila acara berakhir, tiba-tiba saya dijemput naik ke pentas oleh pengerusi syarahan, Sdr. Badrulhisham Mohd. Tahir untuk menyampaikan cenderamata dari BSLN kepada SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Ketika melangkah keluar, kolekter ternama Tuan Phakarudin Sulaiman menghulurkan kalender meja 2013 yang semua lakaran potret di dalamnya oleh pelukis Amron Omar.

Saya sepatutnya meninggalkan majlis lebih awal kerana ada 6 miss call daripada Wan Mat Said dan MA Jawahir yang menunggu di kedai buku Alam Raya. Mereka tentunya ingin mengajak makan tengah hari. Tetapi tidak wajar pula  untuk saya  mengelak ajakan Sdr. Badrul, saya pun  duduk semeja dengan Dato' Anwar,  Sdr. Mohd. Yusoff Osman, seorang pensyarah Aswara dan dua orang pensyarah dari Uitm Melaka. Dr. Victor Pogadaev melintas di situ, dan memetik foto kami. Dia dipersilakan makan tengah hari. Dan seperti biasa Dr. Victor memberikan beberapa komen. Dia datang untuk melihat pameran 60 tahun Latiff Mohidin. Dia kepingin jumpa Latiff, dan pada hari perasmian tidak dapat datang kerana ada kuliah. Dia komen tentang, tiadanya pameran koleksi tetap yang sepatutnya dipamerkan sepanjang tahun. Bila pengunjung dari luar negara  datang ingin melihat karya Ibrahim Hussein dan Syed Ahmad Jamal, tetapi karya mereka tidak dipamerkan kepada umum.

Singgah sekejap ke PNM dengan Dr. Victor kerana ingin melihat jualan buku jalanan. Kami sampai, tetapi dah banyak yang bungkus buku dan berangkat pulang. Dr. Victor komen pasal parking kereta bertingkat dan dia parking keretanya di luar pagar PNM. Saya memandu dalam panas terik dan Jalan Tun Razak yang sesak melepasi bulatan Pahang dan membelok ke Alam Raya di Jalan Pekeliling. Beli tiga buah buku, dan balik ke rumah.

Malamnya ke Dewan Jumaah UTM Jalan Semarak mengikuti Syarahan Malam Sabtu oleh YM Tan Sri Syed Naquib al-Attas. Bila memberi salam kepada Prof. Wan Mohd. Nor dan Prof. Muhd. Zaini Uthman. Prof. Wan dah kali kedua menegur kodroi saya, yang katanya dia juga ada. Masuk ke dalam, dilambai oleh Ustaz Mohd Zain Abd. Rahman untuk duduk di kerusi kosong di sebelahnya.

No comments: