Thursday, November 29, 2012

menemui sahabat lama

Acep Zamzam Noor, ambo dan Agus Noor
Menemui sahabat lama, di tempat yang jauh ribuan batu secara tidak dirancang merupakan momen yang sangat menarik. Saya mulai mengenal Acep sejak tahun 1995 ketika sama-sama mewakili negara ke Second Asean Writers Conference di Hotel Hikko Garden, Manila dan Agus Noor  sewaktu Pertemuan Penulis Asia di Kuala Lumpur 2001. Apabila penulis bertemu penulis, tentu ayat pertamanya, 'apakah judul buku baru kamu?'

Sunday, November 18, 2012

tentang anugerah

Anugerah yang paling disyukuri, adalah  hidayah dan petunjuk dari Allah SWT supaya kita sentiasa berada di jalan-Nya, jalan kebenaran dan bukannya jalan yang membawa kepada kesesatan. Syukur alhamdulillah, apabila diberikan nikmat kesihatan, anak-pinak yang berjaya, rumah tangga yang aman tenteram, rezeki yang melimpah dari usaha tekun dan  semuanya bersiklus di atas paksi kehidupan dengan izin-Nya jua.

Apabila, sunti saya mengucapkan hari ulangtahun perkahwinan yang ke 18, maka telah 18 tahunlah kami melayari bahtera rumah tangga. Dan tentunya saya bukanlah muda lagi, dan anak-anak telah pun bertambah sasa sosoknya. Saya pun merenung tentang anugerah rumah tangga dan anak-pinak yang sedang membesar di hadapan mata. Betapa terlalu banyak, masa saya tersisih daripada mereka kerana mengejar kehidupan dunia yang sementara.

Friday, November 16, 2012

manusia

Foto:?
Saya
mencari saya
dan memang
saya ada
antara
sekian ramai
manusia

Monday, November 12, 2012

University of Frankfurt

Foto: Sakri Abdullah
Ke University of Frankfuft atau Goethe-University Frankfurt am Main  dan sempat hadiahkan kumpulan puisi  (dwibahasa) Rawana (Pustaka Nusa: 2011) kepada Prof. Dr. Arndt Graf, Chairman Southeast Asian Studies universiti tersebut. Sangat luar biasa kerana di universiti ini, Bahasa Melayu/Indonesia sangat mendapat tempat. Selain Prof. Graft, terdapat Prof. Dr. Bernd Nothofer dan Prof. Dr. E.U. Kratz yang sangat fasih berbahasa Melayu/Indonesia. Tambah terkejut kerana berkenalan dengan Prof. Dr. Sandra Khor Manickam (Junior Profesor - history of Malaysia) yang  berasal dari Damansara, tetapi BA di Singapore, MA di US dan PhD di AUS. Selamat mengajar sejarah Malaysia!

Friday, November 9, 2012

Foto

Foto: (?)
Saya sangat suka dengan foto ini. Ada banyak cerita, yang tidak terceritakan. Kalau tidak silap saya, foto ini  dirakamkan sebelum Borak Buku bersama  Ustaz Don di KL Sentral pada bulan februari yang lalu. Saya hanya singgah sekejap kerana akan ambil train untuk berangkat ke Seoul, Korea.

membaca

Foto: Anuar Manshor
Ini hanya sebuah lakonan
Saya tidak membaca pun
kerana rabun dekat.


Thursday, November 8, 2012

taksub

Dalam hidup saya, saya sangat meraikan perbezaan pendapat. Seperti selalu disebut oleh Sutung Umar RS, "api akan bertambah marak apabila dibakar dengan kayu yang bersilang". Maka sebab itulah saya tidak pernah terluka apabila karya saya dikritik dengan sedahsyat mana sekali pun. Realiti sebuah karya, tidak lebih hanya sebuah tuangan akal daripada pemikiran penulisnya. Bukan wahyu yang maha suci, hanya dari tuangan emosi saya sebagai penulis. Tetapi, ada penulis yang sangat tidak senang apabila ada penulis lain yang membicarakan karyanya, walaupun secara ilmiah, katakanlah!

Saya juga sangat menghormati prinsip dan pendirian orang lain. Saya jarang  campur tangan dengan masing-masing pilihan orang lain, tentang aliran apa yang ingin dianutinya. Juga, saya sangat jarang untuk terlibat dengan sebarang polimik. Saya membacanya dari jauh. Saya sangat suka kepada novel Emrita oleh Sionil F. Jose sehingga dua kali saya ke rumahnya di Makati, Manila pada tahun 1995 dan 2005. Tetapi aneh, saya tidak pun meminta beliau tandatangan pada buku yang saya beli.

Saya jarang taksub kepada orang lain. Tidak pernah saya membungkus kotak buku ke Jakarta untuk mendapatkan tandatangan penulis lain yang saya suka dan kagumi. Saya suka karya-karya Prameodya Ananta Teor, beberapa karya Putu Wijaya dan Budi Darma. Tetapi  kini, saya hanya membaca karya beberapa kawan saya dari sana, kerana saya fikir sastera daripada 'abang besar' ini juga sedang merudum seperti merudumnya karya di tanah air saya. Dengan Inggeris yang telor Kelate dan sangat broken, saya perasan  saya lebih baik dari penulis yang lahir di Boston itu.

Saya pernah sombong sewaktu mewakili diri saya ke Seoul, kerana seorang penyair dari negara tersebut yang baru pulang dari Iowa -  yang bercakap bahasa Inggeris berbunyi kejawen memandang saya dari atas ke bawah. Sehingga ke hari terakhir acara, sebelum saya  berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya tidak ingin tahu pun namanya. Rupanya ketika itu, dia menghampiri saya dan menghadiahkan sebuah bukunya!

Saya tidak pernah memaksa orang lain untuk menerima pandangan dan pendapat saya, kerana saya sendiri selalu yakin  tidak semua yang saya ungkapkan itu benar dan betul!

Wednesday, November 7, 2012

Kg. Kambing dan No 8 Jalan Ampas

Kampung Kambing

Jambatan di hujung Jalan Ampas, tempat P. Ramlee
terjun ketika dikejar isteri-isterinya dalam 'Madu Tiga'
Apabila membaca novel 'Salina' tulisan A. Samad Said, saya selalu terkenangkan Kampung Kambing. Terkenangkan Hospital Kandang Kerbau. Pulau Belakang Mati. Makam Habib Noh. Masjid Sultan. Setiap kali ke Singapore, setiap kali itulah terdetik, bilakah agaknya, saya akan sampai ke Kampung Kambing seperti dalam novel 'Salina'. Dan malam itu selepas makan malam, saya dibawakan oleh sahabat saya Sabri Buang dan isterinya ke sini. Dan Kampung Kambing sebenarnya sudah bertukar menjadi taman perumahan dengan banglow mewah. Nama jalannya menjadi Carlisle Road, dan lampu jalan itulah tempat Helmi membaca buku di dalam 'Salina'. Cuma lampu ini, lampu baharu bukannya lagi lampu dalam 'Salina' yang asal. Itulah yang diceritakan oleh Sabri Buang sebagaimana dikisahkan oleh Nongchik Ghani kepadanya.

Membelok ke No 8 Jalan Ampas, tempat P. Ramlee mencipta namanya. Bangunan itu tertutup dan dalam proses baikpulih. Menapak ke hujung jalan, melintasi jambatan. Berdiri di atas jambatan merenung ke dalam sungai kecil tempat P. Ramlee terjun ketika dikejar oleh isteri-isterinya dalam 'Madu Tiga'. Teksi pun terus menyusur ke New World dalam renyai gerimis menuju ke tempat Salina menjadi perempuan joget. Tapak bangunan itu juga tertutup. Sabri tanpa hentinya menunjukkan jalan-jalan yang dilalui Salina dari Kampung Kambing ke New Wolrd dengan beca.

Teksi meluncur ke pejabat percetakan Ahmadiah, di mana di lotengnya tempat bermesyuarat para pemimpin Islam yang diketuai oleh Karim Gulam, dalam kes pembicaraan Natrah ketika itu sehingga terjadinya rusuhan Natrah yang menggemparkan. Bangunan itu kini telah bertukar menjadi Hotel 801, yang di sebelahnya terdapat restoren sup tulang merah yang sangat terkenal itu.

Tuesday, November 6, 2012

melangkaui jambatan kedua

Foto: ITBM
Bismilahhirrahmanirrahim...
Encik Khor Kok Wah
Timbalan CEO NAC
Encik Mohd Khair Ngadiron
CEO ITBM
dan para hadirin
sekalian...

Dalam jagat cerpen Malaysia
dengan merujuk cerpen yang pertama
'Kecelakaan Pemalas'
karya Nor Ibrahim (Madrasi)
dalam majalah 'Pengasuh'
terbitan MAIK
pada 4 Febuari 1920
dengan Ketua Pengarangnya
Syeikh Muhammad Yusof Ahmad (Tuk Kenali),
maka usia cerpen Melayu
di Malaysia hari ini
ialah 92 tahun 9 bulan.
Sama usianya
dengan SN Abdullah Hussain.

'Pengasuh'  majalah tertua
dan masih diterbitkan
hingga ke hari ini,
dan saya percaya
ramai kalangan penulis muda Malaysia
yang tidak pernah sedar
adanya majalah itu.

Dari Malaysia
saya tampilkan
Ariff Mohamad
Muhammad Lutfi Ishak
Nazmi Yaakub
Rebecca Ilham
Saifullizan Yahaya
dan
Siti Jasmina Ibrahim.

Usahlah menghukum
kulit buku kami
yang telah tercetak!

Wassalam.

Thursday, November 1, 2012

KALAMS

Saya sangat tertarik dengan buku ini kerana berjilid kulit keras tetapi sangat ringan dan isi kandungannya yang sangat menarik. Saya berhenti lama, buat-buat bercakap dengan Sales Manager DOGUS, Ilhan Balta pencetak buku tersebut. Anuar Manshor dah bergerak ke hadapan untuk menapak ke gerai yang lain, tetapi dia macam faham bahawa saya berkenan sangat dengan buku ini. Saya beleklah segala macam buku yang dipamerkan, dan mula "olok-olok" bertanyakan harganya. Dia merenung muka saya, dan dihulurkan buku ini pada saya, "Hadiah untuk anda!"

"This book of "Kalams" is a present-day continuation of an ancient tradition of the use of metaphors, parables and edifications for image-bearing expression of fundamental principles of faith of various world religions. Cited as example may be numerous fragments from texts of Far-Eastern religious systems, Old and New Testament and the Kuran.

Penulisnya diiktiraf dengan lebih 100 anugerah. Prof. Dr. Farhad Mirza is the Academician of the Academy of History of Azerbaijan, a member of the Writers Unions of Azerbaijan, the Russian Federation and Eurasia. Dia dikenali sebagai 'philosopher and thinker, author of devine kalams, mutakallim...." Pada bulan Januari 2012 beliau telah dianugerahkan "Man of Science and Culture" in Europe.