Monday, September 24, 2012

Singapore

(Berfoto bersama Sdr. Ibrahim Tahir tuan punya Wardah Books yang beralamat di 58 Bussorah Street, Singapore 199474.)

Biasanya, kalau ke Singapore tak lama. Ada pergi pagi dan balik petangnya. Ada ketika menginap semalaman. Ada kali yang lain, menginap dua malam dan ada yang tiga malam. Tapi, kali ini paling lama, enam malam di sana dari 17 hingga 23 September. Dan kali ini, menginap di Landmark Village Hotel, jadi tak jauh dengan Masjid Sultan,  Malay Heritage Centre, Bugis Street, Mustaffa Centre, Hotel 81, dan macam-macam lagi. Paling banyak SPA, ada yang buka 24 jam. Seingat saya pergi sebelum ini tidaklah sebanyak itu. Sup tulang merah, martabak yang macam-macam, kedai buku Andalusia, Mediaislam, Haji Hashim, Wardah Books, MPH, Kino dan lain-lain.

Kerana cuacanya yang panas, saya lebih banyak di bilik hotel, kamar 1312  membaca dan menulis. Paling seronok kerana hotel tempat menginap amat dekat  dengan masjid. Masuk waktu, turun saja ke bawah dan menapak ke masjid. Kalau lapar ada nasi minang di tepinya, atau masakan Patani juga ada. Lantas singgah di Wardah Books. Beli buku sambil mendengar alunan lagu-lagu dan zikir sufi.

Saturday, September 15, 2012

Berfoto Dengan SS Mufti

Bersama SS Mufti Brunei
Kami sempat berfoto dengan SS Mufti Brunei selepas perasmian Pertemuan Penyair Nusantara IV di sana pada Julai 2010. Kerana kita bukan ulamak, menyayangi dan mencintai ulamak amatlah dituntut. Saya kat belakang, paling hampir dengan SS Mufti, tentulah Dr. Haji Shamsudin Othman dan di sebelahnya Hj. Shapiai Mohd. Ramly.

Friday, September 14, 2012

KERANA KAMPUNG SAYA TAKDA SALJI...


Berjalan atas salji...

Kerana kampung saya
takda salji
maka kesempatan
memijak-mijak salji itu
saya gunakan sepenuhnya
ketika suatu hari
berkelana ke negeri
yang ada salji!

Thursday, September 13, 2012

REBAB BERBISIK

Foto: Rosnan menerima Best Actor
Foto: U-wei Hajisaari

Apabila Rebab Berbisik dipentaskan pada tahun 2006 di Stor DBP, aktivis teater terkenal Khalid Salleh telah membuat sorotan “Teater Malaysia perlu rangsangan” (Berita Harian, 29 Disember 2006) dengan menulis tentang Rebab Berbisik: “Sesuatu yang agak menarik ialah penampilan Rahimidin Zahari sebagai pengarah dalam usaha mengangkat karyanya sendiri ke Stor Teater DBP. Bila Rebab Berbisik tidak hanya berbisik, tapi telah menghasilkan produksi teater yang ‘manis’ dan mengesankan. Elemen tradisional (makyung) dan masa kini yang sarat dengan pelbagai tentangan dan ragam, adalah kesan yang membekas dalam peribadi seorang penyanyi kelab malam (dangdut). Ketrampilan pemain, pengarahan dan garapan cerita (naskhah) asset yang mendekatkannya di hati penonton. Walaupun permulaannya agak lembap sedikit, tetapi Rahimidin member impak mengesankan di akhir persembahan. Bila Rebab Berbisik adalah penutup tirai kalendar 2006 di Stor Teater DBP.”

Rebab Berbisik kerana skrip saya yang tulis dan saya pengarahnya, maka seringkali terjadi pelbagai perubahan setiap kali pementasan yang kami lakukan. Pementasan ini melibatkan dua segmen, saya boleh mementaskan segmen pertama sahaja atau pun segmen yang kedua sahaja mengikut kehendak pelakon. Pementasan pertama kali di Stor DBP, terdapat dua pelakon yang memainkan watak bapa dan anak, tetapi kemudian saya hanya menggunakan seorang pelakon yang sama. Rebab Berbisik kemudiannya dibawa keliling ke beberapa negeri – Kelantan dua kali, Bentong,Pahang, Pulau Pinang, Perpustakaan Awam Kuala Terengganu, Taman Budaya Melaka, Taman Budaya Pahang, dan kembali ke Istana Budaya. Rebab Berbisik juga pernah dipentaskan di ASWARA dengan diarahkan oleh Rosminah Mohd Tahir. Pelakon dan pemuzik yang sama melangkah sempadan negara ke Frankfurt Book Fair di Germany sempena pelancaran buku "Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia".

Rebab Berbisik juga dijemputkan ke pertemuan MASTERA di Brunei pada September, 2011, tetapi kerana masalah komunikasi, kumpulan kami tidak jadi ke sana. Dan bermula 19-23 September 2012, produksi Rebab Berbisik akan ke Malay Heritage Centre, Singapore. Pementasan yang terkini, berlaku lagi perubahan apabila si penyanyi dangdut itu akan turun ke bawah pentas menarik tangan salah seorang penonton untuk naik menyanyi bersama di atas pentas. Dan bayangkan, penonton itu cukup sporting mengikut apa yang diminta oleh pemain saya. Selepas pementasan di Taman Budaya Melaka, saya diberitahu, orang yang ditarik ke pentas itu merupakan seorang imam di sebuah taman perumahan di Melaka. Dan ketika pementasannya di Istana Budaya, beberapa nama besar telah ditarik ke ruang lakon. Antaranya Sabri Yunus, U-wei Hajisaari, Roslin Hashim (pemain badminton negara) dan Haji Mohd. Yussop Ishak (Pengarah Jabatan Dasar Penyelidikan DBP).

Sewaktu 4 persembahan di Istana Budaya, pementasan ini telah menjaya menyedarkan banyak pihak, bahawa seorang pelakon yang mahir dan hebat boleh beraksi dengan pelbagai watak dan gaya. Dan kebetulan lagi apabila pelakonnya, Rosnan Abdul Rahman telah dinobatkan sebagai Best Actor dalam 9th BOH Cameronion Arts Awards 2012 yang lalu.

Wednesday, September 12, 2012

ABDULAZIZ H.M.: Pelopor Teater Improvisasi

Foto: Dari FB Ladin Nuawi
Drama moden di Malaysia secara bercetak ditandai dengan kehadiran skrip Megat Terawis yang dihasilkan oleh Teh Fatimah Abdul Wahab pada tahun 1951. Meski pun Shahrom Hussain dikatakan sebagai pelopor drama sandiwara di Malaysia, namun skrip bercetak beliau agak kemudian berbanding dengan drama Megat Terawis. Perkembangan skrip drama pentas di Malaysia diwakili tiga zaman sebagaimana yang diklasifikasikan oleh Zakaria Ariffin seperti zaman Sandiwara, Realisme dan Kotempopari.

Abdulaziz H.M. atau nama asalnya Abdul Aziz Yahya adalah mewakili zaman kotemporari. Bahkan beliau dianggap sebagai pelopor untuk genre improvisasi. Abdulaziz H.M. dilahirkan di Kampung Padang Raja, Melor, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 19 November 1949. Menerima pendidikan di Sek. Keb. Melor, Sek. Men. Melor dan Institut Pendidikan Kota Bharu sehingga STP. Beliau kemudiannya berangkat ke Indonesia untuk mengikuti jurusan Hubungan Antarabangsa di Fakultas Sosio-Politik Sains Politik, Universitas Negeri Jembar, Jawa Timur dan juga mengikuti kuliah di Fakultas Filsafat, Universitas Gadjah mada, Yokyakarta, Indonesia.

Semasa di Indonesia, beliau telah mengikuti Bengkel Teater yang dipimpin oleh penyair dan dramawan Indonesia, W.S. Rendra yang baru pulang daripada belajar drama di New York. Kepulangan Aziz ke Malaysia telah membawa perubahan yang ketara dan mencatatkan kelainan dalam sejarah teater moden Malaysia.

Walau pun berguru dengan W.S. Rendra, yang dibawa pulang adalah ilmunya yang disebatikan dengan akal budaya di tanah kelahirannya, dan bukan lagi menceduk secara membabi-buta dari ilmu gurunya itu. Dia dikenali sebagai pelopor drama mini kata dan dikatakan dramatis pertama menggunakan teknik improvisasi dalam sejarah perkembangan drama moden di Malaysia.

Tentang keterlibatan dan sumbangannya dalam teater moden Malaysia sehingga dijadikan contoh untuk Kamus Dewan Edisi Baru (DBP,1989: 363) mencatatkan : “Abdulaziz H.M. seorang penggerak teater”. Pilihan contoh untuk perkataan penggerak ini memperjelaskan lagi tentang kedudukan dan sumbangan tokoh ini untuk perkembangan teater moden di Malaysia.

Kegiatan drama pentasnya bermula bersama-sama pelajarnya di Sekolah Kadir Adabi Kota Bharu yang terletak di bawah lembah Kampung Sireh ketika itu. Kemudian mulai berkembang melalui Sudut Drama (Sabana) dalam Persatuan Penulis Kelantan yang berkebetulannya, beliau menjadi Setiausaha Satunya. Kerana ‘kurang senang’ dengan apa yang terjadi di dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK) beliau bersama-sama temannya yang lain menubuhkan Teater Malini Kelantan demi merealisasikan lagi konsep teaternya ‘teater memanusiakan manusia’.

Beliau akhirnya, mengasaskan Teater Malini Kelantan bersama-sama Wan Hasanal Bolkiah, Hasnah Mustapha dan Khalid Ibrahim ini pada bulan Mei 1975 di Mahligai Melor, Kota Bharu, Kelantan. Sepanjang pementasan drama-dramanya, beliau banyak dibantu oleh teman-teman penyair dan para pelajarnya dari Sekolah Kadir Adabi Kota Bharu.

Pelakon-pelakon dalam persembahan dramanya, antara lain Wan A. Rafar (seorang penyair dan jawatan terakhirnya Pengetua Sek Men. Tun Saban, Hulu Perak), Wan Muhammad (penyair dan sekarang Tuan Guru di Pondok Anak Ru, Yala, dan dikenali dengan panggilan Baba Ding – Hamiding Sanor), Khalid Ibrahim, Nik Fatimah Nursidah, Moechtar Awang, Kamil Muhammad, Wadi Leta SA, Nasron Jamil, Ladin Nuawi, dan Maroof Seman RS.

Melalui Teater Malininya, Abdulaziz HM, mementaskan banyak drama yang meninggalkan kesan yang tidak sedikit kepada perkembangan drama moden di Malaysia. Drama-drama Abdulaziz HM yang dipentaskan tanpa skrip, tanpa panggung lengkap dan tanpa sebarang peralatan canggih. Dramanya boleh dipentaskan di mana-mana, sama ada di tepi pantai, di taman bunga, di padang sekolah, hatta di atas pokok kelapa. Dia dengan tegas, melaungkan konsep teaternya sebagai teater miskin.

Drama-dramanya yang dipentaskan tanpa skrip seperti Kuku Kakiku Kukikis-kikis, Kasut Selipar, Kurampas Kembang-kembang di Tangan, Tak Tahu, Tak Jadi, Katak Puru, Ikan Kering, Ketik-ketik Ayam Putih, Badak Ayu-ayu, Sampah I, Sampah II, Bagong, Kopratasa, dan beberapa buah lagi. Abdulaziz kemudiannya banyak menghasilkan skrip drama TV dan juga skrip-skrip adaptasi daripada novel-novel sasterawan terkenal tanah air.

Sepanjang pengelibatannya dalam teater, Abdulaziz H.M. banyak melontarkan falsafah teaternya untuk memancing orang lain. Orang lain itu, mungkin sahaja para sarjana, para dramawan dan pengkritik dan tidak mustahil juga khusus untuk para aktivis dan peminat teater sendiri. Terkadang lontaran falsafahnya itu nampak besar dan hebat, tetapi sayangnya apa yang cuba dilontarkan oleh Abdulaziz hampir-hampir tidak bersambut.

Beberapa falsafah yang jelas cuba dilontarkan oleh Abdulaziz H.M. antara lainnya, konsep Teater Miskin. Dengan konsep teater miskinnya, Abdulaziz melaksanakan apa yang dikatakan teater miskin tersebut. Aziz tidak memerlukan sebarang dewan berhawa dingin, serta lampu dan pentas yang penuh dan lengkap. Lalu dramanya boleh dipentaskan di mana-mana, asalkan ada cerita dan ada pelakon yang sanggup menjadi pengikut.

Dialah ‘gembala’ kepada sejumlah masalah pelakon untuk diangkat ke dalam sebuah cerita. Lalu dramanya boleh dipentas di mana-mana, dengan keinginan yang satu, iaitu niat. Drama boleh berlangsung di padang bola, di kantin, di taman bunga, di tepi pantai, bahkan di atas pokok kelapa yang tingginya 20 meter!


Dalam sebuah dramanya yang berjudul Di Daerah Lima , Abdulaziz H.M. hanya membelanjakan sebanyak $2.40 untuk membeli tali dan dijadikan sebahagian daripada set dalam persembahannya.

Teater memanusiakan manusia, adalah gagasan awal yang dimulakan oleh Abdulaziz H.M. Namun gagasan itu kini, mulai berkumandang di mana-mana di bibir para aktivis dan penggiat teater di Malaysia. Orang sekarang sebenarnya lupa, ungkapan itu adalah antara yang pernah diucap dan dipopularkan oleh Aziz suatu ketika dahulu. Dengan prinsip dan pegangan itulah, dia mementaskan sebuah demi sebuah teaternya tanpa mempedulikan apa orang kata terhadap persembahannya itu.

Abdulaziz berfalsafah, bahawa manusia tidak pernah sama. Walaupun secara fizikalnya, manusia dilahirkan nampak sama secara luaran, namun di dalam dirinya tidak pernah sama. Cita-cita, impian, hasrat dan hati nurani tidak pernah sama. Kata Abdulziz (1985: 106) : “Yang sama hanya niat. Niat untuk mementaskan. Dan teater bagi Malini adalah sebarang persembahan yang disengaja lakukan untuk menyatakan kebenaran manusia, keindahan manusia dalam menghadapi perubahan demi perubahan. Sebab itu menghayati diri sendiri amat penting untuk para Malini. Mencari kelemahan, mencari keunggulan tanpa meletakan keangkuhan sebagai titik akhir kehidupan.”

Bagi Aziz, teater berlangsung sepanjang masa. Tiada jarak masa tertentu yang menjadi had atau ukur tara sesebuah pementasan atau bengkel teater itu berlangsung. Abdulaziz (1980) menulis: “Bengkel Teater Rendra bukan berlangsung dua minggu, bukan tiga minggu atau tidak tiga hari dengan macam-macam teori, diskusi, perdebatan, geram, marah. Tidak! Ia berlangsung sepanjang masa. Seumur hidup kalau kita mahu terus di sana. Sehingga kita puas.”

Teater akan wujud selagi manusia ada dan hidup dalam kehidupan. Teatar akan terus berlangsung selagi manusia memikirkan tentang masalah yang menjerat dan menghimpit dirinya. Cuma wadah dan kaedah yang muncul di pentas adalah berbeza mengikut kefahaman dan keinginan pengarah yang mengangkatnya ke pentas.

Walaupun takdir Tuhan, menyaksikan usia Abdulaziz H.M. tidak panjang, namun beliau telah memberikan sumbangan yang bererti untuk perkembangan teater di Malaysia. Ramai teman teaternya yang menulis tentang persembahan drama-drama Aziz. Wan A.Rafar, Ashaari Muhammad, Krishen Jit, Mana Sikana, Zakaria Ariffin dan A.Samad Said menulis tentang konsep dan idea dalam drama-drama Aziz. Beberapa tanggapan tentang pementasan dan drama Abdulaziz yang boleh diambil iktibar dan pedoman untuk peminat dan aktivis teater tanah air memperlajarinya .

Krishen Jit, pernah menulis tentang ‘Bagong’ salah sebuah drama Abdulaziz yang dipentas di Dewan Bandaran Pasir Mas pada tahun 1979. Tentang drama ini, Krishen (1986: 154) menulis: “Kuasa yang menghidupkan lakonan ini ialah upacara adapt. Tiap-tiap peristiwa dibuka dengan satu upacara dan tiap-tiap upacara membawa kepada satu upacara yang lain. Sebaik-baik sahaja tamat upacara jampi serapah ia disusuli pula oleh upacara bersedih. Lagunya dinyanyikan dalam gaya makyung oleh Salleh Daud.”

Manakala, A. Samad Said merupakan antara teman akrab beliau melakukan kembara seni ke Sabah dan Sarawak. Pemergian Abdulaziz secara mengejut itu, banyak mengganggu Samad sendiri sebagai rakan baiknya. Tentang drama-dramanya dalam antologi ‘Tuah Taji’, A.Samad Said (1994: x) menulis: “Saya cuba melihat sejauh mana Abdulaziz mengganggu cerita-cerita “mitos” itu untuk menterjemahkan sesuatu dalam dan daripada kehidupan. Apakah rahsianya? Apa pula pesanannya?”

Bagi Mana Sikana atau nama asalnya Abdul Rahman Napiah, yang juga seorang dramatis tanah air, yang pernah menjadi temannya dan pernah berlakon di bawah arahan Abdulaziz H.M. Mana Sikana (1998:4) menulis: “Di Malaysia, Aziz H.M. dikenali sebagai tokoh drama yang membawa pembaharuan. Beliau telah mengerjakan drama eksperimental. Sebuah drama yang tidak terlalu mementingkan bahasa, disediakan tanpa persepsi yang cukup, tanpa skrip, tanpa aturan pentas dan tanpa keperluan apa-apa.”

Zakaria Ariffin antara tokoh teater mutakhir Malaysia yang pernah menulis tentang Aziz. Zakaria Ariffin (1984:128) menuliskan: “Aziz lebih menumpukan persembahannya dalam aksi dan pergerakan secara spontan dan improvisasi, dengan mementingkan ekspresi dalam bentuk fizikal. Dengan beberapa buah lagi drama pendeknya, Abdulaziz H.M. telah mencipta nama dengan cara dan konsep yang dianutinya. Sehingga kita tidak mungkin untuk menafikan nilai sumbangan Aziz terhadap perkembangan drama Melayu moden umumnya.”

Seterusnya SN S. Othman Kelantan yang menjadi teman rapatnya, bahkan sama-sama memimpin Persatuan Penulis Kelantan (PPK) di tahun-tahun 70-an, dan pernah juga terlibat dalam beberapa buah drama Aziz menyatakan (1997): “Ketika sebuah dramanya yang ganjil, iaitu seorang pemuda hendak bunuh diri dari atas puncak sepohon kelapa pada malam hari, Aziz menemui saya. Drama tidak bernama itu amat mengejutkan penduduk sekitar Sekolah Adabi, Kota Bharu. Tiba-tiba saja seorang pemuda melaung daripada atas pokok kelapa, mahu bunuh diri kerana tidak ada lagi tanah baginya untuk mendirikan rumah. Dia mahu terjun saja dari puncak kelapa yang tingginya kira-kira 30 meter. Penduduk sekitar menjadi gempar dan dating beramai-ramai untuk menyaksikan sesuatu yang tragik. Mereka kemudiannya tersenyum simpul kerana kejadian itu hanya sebuah drama!”

Daripada puluhan drama minikata dan improvisasinya, hanya Culas satu-satunya yang sempat diterbitkan beliau. Selain itu, Wan Sari merupakan antara salah sebuah drama karya Abdulaziz H.M. yang mempunyai skrip secara lengkap, selain Ludin, dan drama-drama adaptasinya yang lain seperti Arus Pawang Kri (berdasarkan novel Arus, Anwar Ridhwan), Juara (berdasarkan novel Juara, S.Othman Kelantan), dan Zeni (berdasarkan novel Daerah Zeni, A.Samad Said). Selain itu kumpulan drama pentasnya yang berjudul ‘Tuah Taji’ pula memuatkan cerita-cerita yang diangkatkan daripada tradisi lisan rakyat Malaysia. Drama-drama yang terkumpulan dalam bukunya yang terakhir ini sebanyak 9 buah, dengan judul-judulnya ‘Si Taji Hitam’, ‘Tuah Taji’, ‘Awang Kecil’, ‘Mat Jenai’, ‘Labu Putih’, ‘Kundur’, ‘Padi’, ‘Nasi’ dan juga ‘Sulung’.

Manakala S.Othman Kelantan (2003), yang merupakan sahabat baik kepada Abdulaziz H.M. menyatakan bahawa skrip Wan Sari ditulis oleh Aziz berdasarkan watak yang dianggap daripada novel asalnya Perwira (Teks Publishing: 1982) yang mengisahkan tentang perjuangan orang kanan Tuk Janggut yang bernama Awang Teleng dalam meneruskan inspirasi gurunya untuk terus membebaskan Kelantan dari penjajahan Inggeris ketika itu. Awang Teleng memiliki tunang yang bernama Wan Sari. Mendapat idea daripada novel tersebutlah, Aziz akhirnya menulis kembali skrip yang diberinya judul Wan Sari.

Kerana itulah, Aziz telah memberikan keunikan yang tersendiri dalam perkembangan drama moden di Malaysia dengan gaya peribadinya yang tersendiri pula. Sehinggakan ada tanggapan daripada sejumlah dramatis yang setia kepada purbawara di Kelantan menuduh Aziz sebagai punca kemerosotan jumlah penonton yang hadir untuk melihat persembahan mereka.

Namun situasi itu sebenarnya tidak benar, kerana setiap drama yang dipentaskan oleh Aziz ditontoni oleh lebih seribu ke tiga ribu penonton. Aziz mementaskan drama-dramanya dengan pembaharuan dari aspek cerita yang diangkat, dan kaedah lakonan yang spontanisme, tetapi masih teguh kepada tradisi setempat. Aziz tetap menghormati masyarakatnya sebagai penonton yang akan hadir untuk melihat apa yang dipentaskan oleh kumpulan mereka. Aziz akan terus dikenang sebagai pelopor teater improvisasi di Malaysia.

KUALA SEDILI

Saya, bersama-sama al fadhil Ustaz Haji Nazmi Yaakub al Azhari al Kelantan, dan Haji Sham al Johori pernah sampai ke Kuala Sedili pada suatu  petang, 30 Januari 2010. Haji Sham tak ada dalam foto ini sebab dia yang mengetik kamera. Kami ke sini hanya kerana ingin melihat-lihat kampung kelahiran SN Usman Awang dan juga sekolah rendahnya. 

RAMBAI

Buah rambai, barangkali dah termasuk dalam senarai buah-buah nadir yang sukar didapati dan tak lagi dikenali oleh generasi baru. Kebetulan ada sepohon rambai besar betul-betul di halaman rumah arwah ayah saya di kampung. Pohonnya merendang, dan buahnya manis. Yang masak meluruh ke tanah, dan di dahan terbetik lagi putik bunga yang baru. Tapi kini, tak siapa lagi yang sudi memakannya kerana sifat manusia moden memangnya suka kepada yang segera. Dan rambai bukan sahaja dimakan isi buahnya, tapi juga kulitnya buahnya digulai kuning dengan ikan kering atau dibuat bedak kulit rambai.

Tuesday, September 11, 2012

MELAYU dan RUMAH TERBUKA

Saya terbaca di akhbar bahawa Rumah Terbuka merupakan salah satu ciri terpujinya Melayu baru! Wao kata hati saya.  Bahkan saya sering ditanya, "Syeikh tak buat rumah terbuka ke?" Saya jawab, "tak!". Rumah saya sentiasa terbuka. Pagar rumah saya pun tak pernah berkunci sejak kami berpindah ke Kuala Lumpur dari Balik Pulau, Pulau Pinang sejak tahun 2003 sehingga kini. Pagar depan itu dimangga, hanya apabila kami sekeluarga balik kampung atau sesekali bercuti di dalam negara.

Saya budak kampung dari Kelantan yang tahu  bahawa rumah kami sentiasa terbuka. Rumah kami boleh dikunjungi sebelum jam 12 tengah malam setiap hari. Apa yang ada rezeki anugerah Allah SWT itu akan kami hidangkan. Kopi o atau tea o itu sudah pasti. Roti Benggali, biskut mayat  atau biskut marie. Apa yang kami ada, maka itulah juga hak untuk sesiapa yang bertandang ke rumah kami. Dan sampai sekarang pun rumah kami di Kelantan (rumah ibu saya, atau ibu mertua saya) akan menyediakan makan tengah hari atau makan malam kalau ada saudara dekat dan jauh yang bertandang ke rumah kami. Itu merupakan adat dan tradisi yang telah mengakar. Tidak menyediakan makan untuk tetamu, seperti satu dosa, dan betapa rendahnya budi dan adat yang ada pada kami.

Masuk Syawal ke 22 pun, sesiapa yang berpapasan dengan kita akan mengucapkan selamat hari raya. "Betapa tak tahunya kita tentang hari raya," komentar Ustaz yang memberikan kuliah maghrib di taman perumahan kami. "Dalam Islam ini hanya ada dua hari raya - Adilfitri dan Aidiladha. Selepas itu tak ada hari raya kedua, hari raya ketiga dan hari raya ke tiga puluh. Ada lagi hari raya puasa enam. Ini menifestasi kejahilan kerana malas ke masjid dan dah tua bangka tetapi tak ingin belajar agama!" Dia melurut-lurut janggutnya. "Ucap selamat itu sebelum hari raya, kalau dah lepas tak perlu ucap selamat. Kerana ia dah berlalu. Doa nak lulus periksa untuk anak-anak kita buat sebelum, kalau dan keluar keputusannya gagal baru nak berdoa? Ingat, kena buat sebelum masuk periksa! Solat, puasa, zakat, haji buat sekarang, masa muda, jangan nak tunggu tua. Atau nak tunggu sakit ketika malaikat nak cabut nyawa baru nak sembahyang dan puasa? Dah lambat dah ketika tu!"

Cabaran untuk generasi masa depan semakin sengit. Gelombang langit terbuka membadai tanpa hentinya. Segala macam serakah yang pejal dan majal berada di hadapan anak-anak kita. waraskah mereka untuk berdepan itu semua?Tanpa kekukuhan akar agama dan tradisi, Melayu akan semakin mengecil. Apatah lagi ketika Liberalisme, pascamodenisme dan segala macam "syaitan ciptaan baru" itu akan terus membesarkan kepalanya.

Aduhai bangsaku!!!

Tak Tahu


Selepas Tsunami 2004 yang lalu, saya sempat juga ke Aceh bersama-sama kawan-kawan. Kesan-kesannya meskipun  amat tersentuh jauh di dalam kalbu saya, tetapi saya tidak mampu menulis apa-apa semasa di sana, dan selepas balik ke Kuala Lumpur. Saya tidak tahu tentang apakah yang harus saya tulis. Sungguh, saya tak tahu. Entah tiba-tiba saya menemui foto ini dalam koleksi saya, seingat saya - kami di depan makam Malikus Salih di Samudera Pasai. Saya pun tak tahu kenapa saya ternganga di dalam foto ini. Mungkin Dr. Haji Sham dan Lutfi di kiri dan kanan saya mengingatinya. Saya sesungguhnya tak tahu!

Thursday, September 6, 2012

MENULIS DAN BERCERAMAH

Kata kawan saya, Azalan Sinaganaga, "lepas ni demo ceramah tentang penulisan novel pulak." "Masa kat KK kawe bagi no. 2 untuk ceramah demo tentang cerpen. Tapi bila demo bagi ceramah tentang puisi di Batu Feringgi, no demo jatuh ke belas-belas."  Saya menerima pandangan kawan saya itu dengan sangat senang hati. Walau pun saya pernah jadi guru sekolah, dan  pernah menjadi "pensyarah sangkut" tetapi ada hari-hari tertentu stamina kita bila berada di depan khalayak, selalunya tidak stabil. Ada orang yang bercakap di depan khalayak seperti  penjalanan monorail, ada seperti  LRT, ada juga  yang seperti kereta api ekspress KLIA. Kita tidak mungkin mengukur diri sendiri. Yang menilai dan memerhati kita adalah kawan-kawan baik di sekeliling kita.

Saya merenung kembali tentang kerja-kerja menulis dan memberikan ceramah - sebenarnya terentang dua jurang yang jauh antara keduanya. Menulis merupakan kemahiran peribadi secara sendirian, dengan menulis dan menulis. Manakala apabila berceramah, seseorang itu akan berdiri di depan khalayak, yang pelbagai latar biografi diri. Ada yang lebih muda daripada kita, ada yang berpangkat bapa, dan bahkan ada yang berpangkat datuk kepada diri kita.  Tentunya, kalau diberikan pilihan untuk menulis atau memberikan ceramah, saya sudah pasti memilih untuk menulis kerana saya bekerja dengan diri saya sendiri.

Dalam banyak hal, saya selalunya banyak "tidak tahu" berbanding dengan terlalu sedikit tentang "apa yang saya tahu".

Tuesday, September 4, 2012

ILMU, IMAN DAN AMAL

Dalam melaksanakan amal ibadat kepada Allah S.W.T., niat adalah paksi paling utama dan penting dalam melaksanakan sesuatu ibadat untuk Allah S.W.T.. Tanpa niat, amalan itu tidak akan sampai ke mana-mana. Setiap amalan yang wajib mahupun sunat, harus diseiringkan dengan niat. Tanpa niat, solat wajib kita tidak sah. Begitu juga dengan segala bentuk amalan kita harus bermula dengan niat. Umpamanya apabila kita masuk ke dalam masjid, menunaikan solat sunat masjid, solat wajib dan kemudiannya duduk membacakan al-Quran, tetapi tanpa niat iktikaf di dalam masjid – maka pahala iktikaf itu tidak akan dapat. Niat itu merupakan lintasan di hati. Sama juga setiap hari, kita lalai dan sering terlupa.

Amalannya nampak kecil dan remeh. Tetapi natijah pahalanya amat besar dan menjadi kerutinan yang akan menjernihkan perjalanan kehidupan harian kita. Dengan kaki manakah, kita melangkah ke tandas dan bilik mandi setiap hari? Dengan kaki manakah kita melangkah keluar rumah menuju ke tempat kerja? Apabila melangkah masuk ke masjid, kaki kanan atau kaki yang sebelah kiri yang mendahului kita? Kadang-kadang kita terlupa kepada itu semua, kerana betapa sibuknya kita kepada dunia.

Sedangkan kata ustaz, “Dunia ini sesuatu yang tidak boleh mendatangkan manfaat, faedah kepada kita sebaik kita mati. Akan tinggal semuanya, harta benda dan anak pinak yang kita sibukkan. Kita akan pergi ke sana, ke hadapan-Nya dengan sebatang karah tanpa membawa sebarang harta dan anak pinak. Yang akan menjadi peneman untuk sekujur jasad yang tidak bernyawa itu hanya amal ibadat, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat semasa hidupnya di dunia. Yang lain-lainnya – pangkat, darjat dan kedudukkan akan hilang lenyap. Harta kekayaan itu tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur dan akan menjadi pusaka kepada anak-anak. Kalau anak-anak itu, anak-anak yang soleh dan beriman, maka alhamdulillah untuk ibu dan bapanya. Tetapi sekiranya anak-anak itu pula, anak-anak yang ingkar dan tidak patuh kepada hukum-hakam Allah S.W.T. maka balanya juga akan diterima oleh ibu dan bapanya.”

Apabila melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan serta doa masuk masjid, begitu juga apabila keluar dengan langkah kaki kiri dan doa keluar masjid. Sama juga apabila masuk ke dalam tandas dengan langkah kaki kiri serta doa dan apabila keluar dengan melangkah kaki kanan serta doanya.

Ramadan baharu sahaja berlalu dan kita tanyakan kepada diri kita, apakah sama tingkah laku dan kehidupan harian kita sebelum Ramadan, semasa Ramadan dan selepas Ramadan? Kalau sama, ertinya tiada apa-apa titik perubahan dalam kehidupan kita untuk menjadi lebih baik dan kita tiada lebih sebagai muslim yang mewarisi baka daripada keturunan keluarga. Tetapi kalau perangai dan tingkah laku kita telah berubah, menjadi lebih baik daripada sebelumnya, maka itulah petanda Allah S.W.T. menyayangi dan mengasihi kita.

Paling mudah, kita harus mengambil sikap untuk sentiasa takut dengan segala dosa dan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.. Ketakutan dan sikap awas diri itulah sebagai benteng untuk kita sedar bahawa diri kita ini adalah hamba dan sebagai hamba, maka dia wajib tunduk dan patuh kepada Tuan-Nya. Tuan-Nya adalah al-Khalik yang mencipta langit dan bumi daripada tiada kepada ada dan Dia jugalah yang akan meleburkannya apabila telah sampai detik dan ketikanya. Selagi kita berasa seronok dengan dosa, dengan kelalaian terhadap tanggungjawab hakiki kita untuk tunduk dan patuh kepada-Nya, selagi itulah kita tidak takut dan gentar akan Kekuasaan-Nya.

Untuk takut dan gentar kepada Allah S.W.T., kita tentunya memerlukan ilmu, iman dan amal. Ilmu itu pula adalah ilmu yang bermanfaat yang boleh memandu kita ke jalan yang lurus untuk kemantapan iman. Tidak semua ilmu yang kita cari dan perolehi itu akan memantapkan darjah iman kita, sebaliknya ada ilmu yang akan memesongkan akidah dan meruntuhkan keimanan kita.

Dengan ilmu, maka kita akan beriman dan sudah tentu anugerah Allah S.W.T. yang paling besar adalah nikmat iman. Tanpa ilmu dan tanpa iman, orang tidak akan ke masjid. Hanya dengan ilmu dan sentuhan bening air keimanan seseorang itu akan lembut hati dan jinak kakinya untuk melangkah ke masjid. Dengan kejituan ilmu dan iman, maka dia akan beramal. Tanpa ilmu tidak mungkin akan tumbuh iman dan tumbuhnya pohon amal. Jadi ketiga-tiga itu harus seiring untuk menjadikan diri kita sebagai insan kamil. Yang kenal dirinya dan kenal akan Pencipta-Nya.

Tanpa ketiga-tiga itu, maka hidup kita berada di dalam kerugian. Disebabkan kejahilan, keimanan kita lemah. Untuk memperkuatkan iman, maka kita memerlukan ilmu. Ilmu dan amal itu akan menjadikan kita disebut sebagai alim. Tetapi sekiranya kita ada ilmu, tetapi kita tidak beramal dengan ilmu yang kita ada, maka darjat kita juga tidak berubah. Kita sama sahaja dengan orang yang jahil kerana gagal memanfaatkan ilmu. Iman membuahkan amal dan kita beramal atas dasar keimanan kita kepada Allah S.W.T. dan insyaAllah, iman akan mendorong kita untuk sentiasa berbuat baik.

Moga-moga hidayah-Nya itu, Allah S.W.T. campakkan ke dalam hati-hati kita untuk terus beriman dan beramal kepada-Nya. Dengan niat dan tujuan yang tulus ikhlas itu, mohon Allah S.W.T. sentiasa membukakan pintu hati dan kalbu kita kekal beriman kepada-Nya kerana Dialah Allah yang awal dan yang akhir.