Wednesday, September 12, 2012

ABDULAZIZ H.M.: Pelopor Teater Improvisasi

Foto: Dari FB Ladin Nuawi
Drama moden di Malaysia secara bercetak ditandai dengan kehadiran skrip Megat Terawis yang dihasilkan oleh Teh Fatimah Abdul Wahab pada tahun 1951. Meski pun Shahrom Hussain dikatakan sebagai pelopor drama sandiwara di Malaysia, namun skrip bercetak beliau agak kemudian berbanding dengan drama Megat Terawis. Perkembangan skrip drama pentas di Malaysia diwakili tiga zaman sebagaimana yang diklasifikasikan oleh Zakaria Ariffin seperti zaman Sandiwara, Realisme dan Kotempopari.

Abdulaziz H.M. atau nama asalnya Abdul Aziz Yahya adalah mewakili zaman kotemporari. Bahkan beliau dianggap sebagai pelopor untuk genre improvisasi. Abdulaziz H.M. dilahirkan di Kampung Padang Raja, Melor, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 19 November 1949. Menerima pendidikan di Sek. Keb. Melor, Sek. Men. Melor dan Institut Pendidikan Kota Bharu sehingga STP. Beliau kemudiannya berangkat ke Indonesia untuk mengikuti jurusan Hubungan Antarabangsa di Fakultas Sosio-Politik Sains Politik, Universitas Negeri Jembar, Jawa Timur dan juga mengikuti kuliah di Fakultas Filsafat, Universitas Gadjah mada, Yokyakarta, Indonesia.

Semasa di Indonesia, beliau telah mengikuti Bengkel Teater yang dipimpin oleh penyair dan dramawan Indonesia, W.S. Rendra yang baru pulang daripada belajar drama di New York. Kepulangan Aziz ke Malaysia telah membawa perubahan yang ketara dan mencatatkan kelainan dalam sejarah teater moden Malaysia.

Walau pun berguru dengan W.S. Rendra, yang dibawa pulang adalah ilmunya yang disebatikan dengan akal budaya di tanah kelahirannya, dan bukan lagi menceduk secara membabi-buta dari ilmu gurunya itu. Dia dikenali sebagai pelopor drama mini kata dan dikatakan dramatis pertama menggunakan teknik improvisasi dalam sejarah perkembangan drama moden di Malaysia.

Tentang keterlibatan dan sumbangannya dalam teater moden Malaysia sehingga dijadikan contoh untuk Kamus Dewan Edisi Baru (DBP,1989: 363) mencatatkan : “Abdulaziz H.M. seorang penggerak teater”. Pilihan contoh untuk perkataan penggerak ini memperjelaskan lagi tentang kedudukan dan sumbangan tokoh ini untuk perkembangan teater moden di Malaysia.

Kegiatan drama pentasnya bermula bersama-sama pelajarnya di Sekolah Kadir Adabi Kota Bharu yang terletak di bawah lembah Kampung Sireh ketika itu. Kemudian mulai berkembang melalui Sudut Drama (Sabana) dalam Persatuan Penulis Kelantan yang berkebetulannya, beliau menjadi Setiausaha Satunya. Kerana ‘kurang senang’ dengan apa yang terjadi di dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK) beliau bersama-sama temannya yang lain menubuhkan Teater Malini Kelantan demi merealisasikan lagi konsep teaternya ‘teater memanusiakan manusia’.

Beliau akhirnya, mengasaskan Teater Malini Kelantan bersama-sama Wan Hasanal Bolkiah, Hasnah Mustapha dan Khalid Ibrahim ini pada bulan Mei 1975 di Mahligai Melor, Kota Bharu, Kelantan. Sepanjang pementasan drama-dramanya, beliau banyak dibantu oleh teman-teman penyair dan para pelajarnya dari Sekolah Kadir Adabi Kota Bharu.

Pelakon-pelakon dalam persembahan dramanya, antara lain Wan A. Rafar (seorang penyair dan jawatan terakhirnya Pengetua Sek Men. Tun Saban, Hulu Perak), Wan Muhammad (penyair dan sekarang Tuan Guru di Pondok Anak Ru, Yala, dan dikenali dengan panggilan Baba Ding – Hamiding Sanor), Khalid Ibrahim, Nik Fatimah Nursidah, Moechtar Awang, Kamil Muhammad, Wadi Leta SA, Nasron Jamil, Ladin Nuawi, dan Maroof Seman RS.

Melalui Teater Malininya, Abdulaziz HM, mementaskan banyak drama yang meninggalkan kesan yang tidak sedikit kepada perkembangan drama moden di Malaysia. Drama-drama Abdulaziz HM yang dipentaskan tanpa skrip, tanpa panggung lengkap dan tanpa sebarang peralatan canggih. Dramanya boleh dipentaskan di mana-mana, sama ada di tepi pantai, di taman bunga, di padang sekolah, hatta di atas pokok kelapa. Dia dengan tegas, melaungkan konsep teaternya sebagai teater miskin.

Drama-dramanya yang dipentaskan tanpa skrip seperti Kuku Kakiku Kukikis-kikis, Kasut Selipar, Kurampas Kembang-kembang di Tangan, Tak Tahu, Tak Jadi, Katak Puru, Ikan Kering, Ketik-ketik Ayam Putih, Badak Ayu-ayu, Sampah I, Sampah II, Bagong, Kopratasa, dan beberapa buah lagi. Abdulaziz kemudiannya banyak menghasilkan skrip drama TV dan juga skrip-skrip adaptasi daripada novel-novel sasterawan terkenal tanah air.

Sepanjang pengelibatannya dalam teater, Abdulaziz H.M. banyak melontarkan falsafah teaternya untuk memancing orang lain. Orang lain itu, mungkin sahaja para sarjana, para dramawan dan pengkritik dan tidak mustahil juga khusus untuk para aktivis dan peminat teater sendiri. Terkadang lontaran falsafahnya itu nampak besar dan hebat, tetapi sayangnya apa yang cuba dilontarkan oleh Abdulaziz hampir-hampir tidak bersambut.

Beberapa falsafah yang jelas cuba dilontarkan oleh Abdulaziz H.M. antara lainnya, konsep Teater Miskin. Dengan konsep teater miskinnya, Abdulaziz melaksanakan apa yang dikatakan teater miskin tersebut. Aziz tidak memerlukan sebarang dewan berhawa dingin, serta lampu dan pentas yang penuh dan lengkap. Lalu dramanya boleh dipentaskan di mana-mana, asalkan ada cerita dan ada pelakon yang sanggup menjadi pengikut.

Dialah ‘gembala’ kepada sejumlah masalah pelakon untuk diangkat ke dalam sebuah cerita. Lalu dramanya boleh dipentas di mana-mana, dengan keinginan yang satu, iaitu niat. Drama boleh berlangsung di padang bola, di kantin, di taman bunga, di tepi pantai, bahkan di atas pokok kelapa yang tingginya 20 meter!


Dalam sebuah dramanya yang berjudul Di Daerah Lima , Abdulaziz H.M. hanya membelanjakan sebanyak $2.40 untuk membeli tali dan dijadikan sebahagian daripada set dalam persembahannya.

Teater memanusiakan manusia, adalah gagasan awal yang dimulakan oleh Abdulaziz H.M. Namun gagasan itu kini, mulai berkumandang di mana-mana di bibir para aktivis dan penggiat teater di Malaysia. Orang sekarang sebenarnya lupa, ungkapan itu adalah antara yang pernah diucap dan dipopularkan oleh Aziz suatu ketika dahulu. Dengan prinsip dan pegangan itulah, dia mementaskan sebuah demi sebuah teaternya tanpa mempedulikan apa orang kata terhadap persembahannya itu.

Abdulaziz berfalsafah, bahawa manusia tidak pernah sama. Walaupun secara fizikalnya, manusia dilahirkan nampak sama secara luaran, namun di dalam dirinya tidak pernah sama. Cita-cita, impian, hasrat dan hati nurani tidak pernah sama. Kata Abdulziz (1985: 106) : “Yang sama hanya niat. Niat untuk mementaskan. Dan teater bagi Malini adalah sebarang persembahan yang disengaja lakukan untuk menyatakan kebenaran manusia, keindahan manusia dalam menghadapi perubahan demi perubahan. Sebab itu menghayati diri sendiri amat penting untuk para Malini. Mencari kelemahan, mencari keunggulan tanpa meletakan keangkuhan sebagai titik akhir kehidupan.”

Bagi Aziz, teater berlangsung sepanjang masa. Tiada jarak masa tertentu yang menjadi had atau ukur tara sesebuah pementasan atau bengkel teater itu berlangsung. Abdulaziz (1980) menulis: “Bengkel Teater Rendra bukan berlangsung dua minggu, bukan tiga minggu atau tidak tiga hari dengan macam-macam teori, diskusi, perdebatan, geram, marah. Tidak! Ia berlangsung sepanjang masa. Seumur hidup kalau kita mahu terus di sana. Sehingga kita puas.”

Teater akan wujud selagi manusia ada dan hidup dalam kehidupan. Teatar akan terus berlangsung selagi manusia memikirkan tentang masalah yang menjerat dan menghimpit dirinya. Cuma wadah dan kaedah yang muncul di pentas adalah berbeza mengikut kefahaman dan keinginan pengarah yang mengangkatnya ke pentas.

Walaupun takdir Tuhan, menyaksikan usia Abdulaziz H.M. tidak panjang, namun beliau telah memberikan sumbangan yang bererti untuk perkembangan teater di Malaysia. Ramai teman teaternya yang menulis tentang persembahan drama-drama Aziz. Wan A.Rafar, Ashaari Muhammad, Krishen Jit, Mana Sikana, Zakaria Ariffin dan A.Samad Said menulis tentang konsep dan idea dalam drama-drama Aziz. Beberapa tanggapan tentang pementasan dan drama Abdulaziz yang boleh diambil iktibar dan pedoman untuk peminat dan aktivis teater tanah air memperlajarinya .

Krishen Jit, pernah menulis tentang ‘Bagong’ salah sebuah drama Abdulaziz yang dipentas di Dewan Bandaran Pasir Mas pada tahun 1979. Tentang drama ini, Krishen (1986: 154) menulis: “Kuasa yang menghidupkan lakonan ini ialah upacara adapt. Tiap-tiap peristiwa dibuka dengan satu upacara dan tiap-tiap upacara membawa kepada satu upacara yang lain. Sebaik-baik sahaja tamat upacara jampi serapah ia disusuli pula oleh upacara bersedih. Lagunya dinyanyikan dalam gaya makyung oleh Salleh Daud.”

Manakala, A. Samad Said merupakan antara teman akrab beliau melakukan kembara seni ke Sabah dan Sarawak. Pemergian Abdulaziz secara mengejut itu, banyak mengganggu Samad sendiri sebagai rakan baiknya. Tentang drama-dramanya dalam antologi ‘Tuah Taji’, A.Samad Said (1994: x) menulis: “Saya cuba melihat sejauh mana Abdulaziz mengganggu cerita-cerita “mitos” itu untuk menterjemahkan sesuatu dalam dan daripada kehidupan. Apakah rahsianya? Apa pula pesanannya?”

Bagi Mana Sikana atau nama asalnya Abdul Rahman Napiah, yang juga seorang dramatis tanah air, yang pernah menjadi temannya dan pernah berlakon di bawah arahan Abdulaziz H.M. Mana Sikana (1998:4) menulis: “Di Malaysia, Aziz H.M. dikenali sebagai tokoh drama yang membawa pembaharuan. Beliau telah mengerjakan drama eksperimental. Sebuah drama yang tidak terlalu mementingkan bahasa, disediakan tanpa persepsi yang cukup, tanpa skrip, tanpa aturan pentas dan tanpa keperluan apa-apa.”

Zakaria Ariffin antara tokoh teater mutakhir Malaysia yang pernah menulis tentang Aziz. Zakaria Ariffin (1984:128) menuliskan: “Aziz lebih menumpukan persembahannya dalam aksi dan pergerakan secara spontan dan improvisasi, dengan mementingkan ekspresi dalam bentuk fizikal. Dengan beberapa buah lagi drama pendeknya, Abdulaziz H.M. telah mencipta nama dengan cara dan konsep yang dianutinya. Sehingga kita tidak mungkin untuk menafikan nilai sumbangan Aziz terhadap perkembangan drama Melayu moden umumnya.”

Seterusnya SN S. Othman Kelantan yang menjadi teman rapatnya, bahkan sama-sama memimpin Persatuan Penulis Kelantan (PPK) di tahun-tahun 70-an, dan pernah juga terlibat dalam beberapa buah drama Aziz menyatakan (1997): “Ketika sebuah dramanya yang ganjil, iaitu seorang pemuda hendak bunuh diri dari atas puncak sepohon kelapa pada malam hari, Aziz menemui saya. Drama tidak bernama itu amat mengejutkan penduduk sekitar Sekolah Adabi, Kota Bharu. Tiba-tiba saja seorang pemuda melaung daripada atas pokok kelapa, mahu bunuh diri kerana tidak ada lagi tanah baginya untuk mendirikan rumah. Dia mahu terjun saja dari puncak kelapa yang tingginya kira-kira 30 meter. Penduduk sekitar menjadi gempar dan dating beramai-ramai untuk menyaksikan sesuatu yang tragik. Mereka kemudiannya tersenyum simpul kerana kejadian itu hanya sebuah drama!”

Daripada puluhan drama minikata dan improvisasinya, hanya Culas satu-satunya yang sempat diterbitkan beliau. Selain itu, Wan Sari merupakan antara salah sebuah drama karya Abdulaziz H.M. yang mempunyai skrip secara lengkap, selain Ludin, dan drama-drama adaptasinya yang lain seperti Arus Pawang Kri (berdasarkan novel Arus, Anwar Ridhwan), Juara (berdasarkan novel Juara, S.Othman Kelantan), dan Zeni (berdasarkan novel Daerah Zeni, A.Samad Said). Selain itu kumpulan drama pentasnya yang berjudul ‘Tuah Taji’ pula memuatkan cerita-cerita yang diangkatkan daripada tradisi lisan rakyat Malaysia. Drama-drama yang terkumpulan dalam bukunya yang terakhir ini sebanyak 9 buah, dengan judul-judulnya ‘Si Taji Hitam’, ‘Tuah Taji’, ‘Awang Kecil’, ‘Mat Jenai’, ‘Labu Putih’, ‘Kundur’, ‘Padi’, ‘Nasi’ dan juga ‘Sulung’.

Manakala S.Othman Kelantan (2003), yang merupakan sahabat baik kepada Abdulaziz H.M. menyatakan bahawa skrip Wan Sari ditulis oleh Aziz berdasarkan watak yang dianggap daripada novel asalnya Perwira (Teks Publishing: 1982) yang mengisahkan tentang perjuangan orang kanan Tuk Janggut yang bernama Awang Teleng dalam meneruskan inspirasi gurunya untuk terus membebaskan Kelantan dari penjajahan Inggeris ketika itu. Awang Teleng memiliki tunang yang bernama Wan Sari. Mendapat idea daripada novel tersebutlah, Aziz akhirnya menulis kembali skrip yang diberinya judul Wan Sari.

Kerana itulah, Aziz telah memberikan keunikan yang tersendiri dalam perkembangan drama moden di Malaysia dengan gaya peribadinya yang tersendiri pula. Sehinggakan ada tanggapan daripada sejumlah dramatis yang setia kepada purbawara di Kelantan menuduh Aziz sebagai punca kemerosotan jumlah penonton yang hadir untuk melihat persembahan mereka.

Namun situasi itu sebenarnya tidak benar, kerana setiap drama yang dipentaskan oleh Aziz ditontoni oleh lebih seribu ke tiga ribu penonton. Aziz mementaskan drama-dramanya dengan pembaharuan dari aspek cerita yang diangkat, dan kaedah lakonan yang spontanisme, tetapi masih teguh kepada tradisi setempat. Aziz tetap menghormati masyarakatnya sebagai penonton yang akan hadir untuk melihat apa yang dipentaskan oleh kumpulan mereka. Aziz akan terus dikenang sebagai pelopor teater improvisasi di Malaysia.

No comments: