Wednesday, November 30, 2011

TEATER DAN LALAT HIJAU

"Awak ni teruk. Saya nak tengok teater tu, awak kata tak payah. Tak bagus. Penulis skrip bodoh, pengarahnya bangang. Dan macam-macam awak kata, hanya kerana tak ingin bagi saya menonton," luah seorang kawan saya kepada seorang kawan yang lain di hadapan saya di sebuah restoren mamak di Sri Gombak.

"Dah tu, bagus ke teater tu?" soal kawan saya yang seorang lagi.

"Baguslah kalau ikut surat khabar. Wartawan tu sampai menangis giler...ada yang tiga kali menonton, ada yang empat kali menonton...." kata kawan saya yang kempunan itu.

Kawan saya yang seorang lagi, Uwei Haji Saari menambah: "Dik, lalat hijau tu berapa kali sehari hinggap kat tahi?"

Kali ini saya diam, dan saya bodoh tiga hari!

Monday, November 21, 2011

SECAWAN KOPI PAHIT

-untuk sani sudin

kucintai secawan kopi pahit
yang melekat di halkum;
pahitnya, pahit sekali.

seperti saintis kufikirkan
tentang khasiat dan tenaga akal
seperti geologis kuperlukan
tanah pamah subur gembur
yang menumbuhkan pohonnya
seperti ulamak kupertimbangkan
kitab demi kitab, hadis demi hadis
menantikan kesan mudaratnya
untuk kujatuhkan hukum.

pahitnya, pahit sekali
yang melekat di halkum
kucintai secawan kopi pahit.

Sunday, November 20, 2011

TEATER MELAYU YANG NAZAK

Sahabat saya, Siti Jarum menulis di Mingguan Malaysia hari ini, "Kembali menonton teater". Bukan saya sahaja yang menulis tentang begitu pesimis akan masa depan teater Melayu. Kenyataan Siti Jarum hari ini, itulah wajah kerisauan dan kebimbingan sebenar yang sedang melanda teater Melayu. Nampaknya teater Melayu bukan lagi suam-suam kuku, tetapi nazak amat dan menunggu malaikat maut mencabut nyawanya.

Benar seperti tulis Siti Jarum,"Tahun ini Siti menonton dua teater. Pertema teater "Anjing Untuk Diplomat" aarahan Khalid Salleh dan kedua malam rabu lalu, "Harga Sebuah Maruah" arahan Halimi Mohd Noh." itulah realiti yang sedang terjadi. kebetulan saya menonton kedua-dua teater tersebut dan telah saya catatkan dalam entri sebelumnya. Mungkin saya lebih sikit kerana sempat menonton tiga buah teater di negara China bulan lepas. Tulisan Siti Jarum hari ini sepatutnya dibaca oleh menteri teater, pentadbir institusi yang ada kaitan dengan teater, dan orang yang mengaku dirinya orang teater.

Memang tak salah sesiapa pun boleh buat teater. Tetapi yang kononnnya sebenarnta bukan orang teater. Entah orang apa pun, hanya kerana ada nama dan mendapat pujian sebaris dua wartawan picisan, lalu jadilah dia orang teater. Paling parah, budak-budak yang hingusnya belum kering ingin mengacah-ngacah Khalid Salleh membuat teater dengan gaya dan pemikiran lama. Apakah yang baru untuk teater yang bernilai sepuluh minit yang skrip dan lakonannya entah ketahuan hala? Terlibat teater sebuah dua 'tekan lift naik sendiri' ini sebenarnya juga masalah. Ini juga kudis kurap yang berkerapu di tubuh teater Melayu.

Memulih dan menghidupkan kembali tradisi berteater itu kerja siapa? Sedarlah wahai penanggungjawab yang terpikul taklif di bahu kamu untuk memulihkannya.

Friday, November 18, 2011

TEATER MELAYU: ARAH KE MANA?

"Teater Melayu: Arah Ke Mana?" tanya seorang pelajar yang sedang membuat kajian MAnya. Kalau teater Inggeris - ada KLPac, Actor Studio, Masakini Theatre dan macam-macam lagi yang sekufu dengannya. Teater Melayu, di manakah pohon rendang tempat menumpang teduh dari hujan dan panas. "Jawabnya tak ada," pelajar MA yang bertanya itu sendiri yang menjawabnya.

"Teater Melayu dan teater kecil ada di Stor DBP," jawab saya. "Cukupkah dengan Stor?" soal pelajar itu pula. "Tentulah tak cukup," kata saya. Tetapi daripada tiada langsung, baiklah juga ada kan.

"Bagaimana dengan penontonnya?," desak pelajar itu pula kepada saya. "Iya berdasarkan pengalaman tuan sebagai Theatre Manager?" "Nak saya jawab yang jujur atau yang tak jujur?" soal saya. "Jawablah secara jujur!" rayunya.

"Kayu ukur teater Melayu itu lihatlah di Stor atau Balai Budaya Tun Syed Nasir. Kalau 30 atau 60 ke 100 orang yang hadir maka itu sudah cukup baik. Atau kalau ada rombongan sekolah atau universiti yang diangkut dengan bas itu tentunya lebih baik. Hakikatnya itulah gambaran penonton yang sebenarnya."

"Itu yang dihebohkan akhbar pecah panggung, ambaikan makan minum belatih dengan segala kekangan tu?"

"Tu semua bohong belaka. Cerita surat khabar. Kalau ikut penceramah parti oposisi semua itu tak boleh percaya kecuali no ekor."

"Jadi ke mana nasib masa depan teater Melayu ni?"

Thursday, November 17, 2011

PERSAHABATAN

Klise yang biasa "sahabat sama menangis sukar dicari, dan sahabat beriuh di kedai kopi berlambak sepanjang hari". Saya tidak pasti, bagaimankah orang menilai saya, kerana "hati" itu berada di dalam. Bibir, suara dan mata boleh sahaja menipu pandangan dan pendengaran. Yang fizikal itu nampak nyata, yang dalam "basirah" itu dibungkus oleh ketulusan dan keikhlasan sejati. Tetapi gerak hati kebiasaannya jarang membohongi kita, kecuali bisikan syaitan yang sememangnya beraja di hati.

Semalam saya ditemukan dengan dua sahabat lama saya. Seorang dari Kelantan, dan kami bersahabat sejak sekolah menengah dan masih terus menjadi sahabat kerana dia sahabat saya yang baik. Keduanya sahabat saya ketika di universiti, Andy namanya. Anak Baba Melaka. Kami satu fakulti tetapi berlainan jurusan. Anak Baba Melaka ini tak ada beza dengan kawan-kawan Melayu yang lain. Saya selalu tanya, "hang ni bila nak masuk Islam?". "Kalau hang masuk Islam, kita berkawan sampai akhirat, kalau tak kita berkawan kat atas dunia ni saja." Andy biasanya akan gelak. Semalam kami minum di BSLN (tak nak pakai BSVN -itu orang yang tak faham istilah) tiba-tiba dia memberikan cadangan..."Jom Mi kita buat drama..."

Ramai orang yang tak faham pun tentang apa yang sedang dibuat dan ingin dibuat dalam hidupnya yang singkat. Tetapi si Andy ini macam faham tentang apa yang ingin saya buat.

Wednesday, November 16, 2011

TEATER "HARGA SEBUAH MARUAH"

Walapun saban bulan menonton teater, saya tidak berasa seperti saya menonton teater. Kadang-kadang saya masuk panggung untuk relak dan tidur. Kadang-kadang kerana temankan kawan-kawan menonton. Secara peribadi, saya tidak pernah teruja dengan dengan segala macam muzikal yang pengarah dan penulis skripnya entah siapa-siapa. Apakah dengan terlibat dengan telemovie sebuah dua melayakannya menjadi pengarah teater, walhal disiplin pentas pun dia tidak pernah tahu. Berlakon menjerit-jerit seperti dihasut hantu polong dalam siri cerita hantu yang amat disukai oleh pengarah drama/filem bertaraf hantu, penerbit tv yang juga berotak hantu dan penonton yang memang saudara-mara hantu. Ini merupakan para pemusnah dan pengkhianat kepada pertumbuhan teater Melayu yang sebenarnya.

Sehinggakan ada orang bertanya, untuk apakah sebuah teater itu dipentaskan? Jawapannya sudah tertentu berbeza mengikut siapakah yang mengangkat produksi tersebut. Mungkin jawabanya, "saya buat teater kerana orang hampir melupai kemudaan saya dan saya menuju tua. Supaya khalayak mengingati saya, maka saya buatlah teater yang membolehkan orang hadir untuk melihat keseksian saya."

Atau jawapan lain mungkin, "Saya ingin membuat keuntungan dengan teater, saya boleh beli kereta baru, rumah banglow di lereng bukit. Sewa panggung boleh runding dan mungkin tak perlu bayar pun." Dan ada macam-macam helah kenapa orang buat teater. Si bodoh yang tak reti mengarah pun nak buat teater kerana saya ada PhD. Si pekak juga nak buat teater, dan orang tak datang kerana tak ada pelakon seksi dan skrip yang lebih teruk dari pelajar sekolah rendah. Panggung kosong. Dan lepas ini nak buat lagi. Manalah tahu dapat masuk mana-mana panggung yang tak payah bayar sewa, FOH juga tak payah bayar.

Dan malam tadi saya menonton "Harga Sebuah Maruah" yang diadaptasi skripnya oleh A. Wahab Hamzah berdasarkan novel Allahyarham Ustaz Azizi Haji Abdullah, dan diarahkan oleh Halimi Mohamed Noh. Halimi antara pengarah teater yang serius dan pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Pekan Teater Kebangsaan dengan drama "Kena Main" karya Khalid Salleh pada tahun 1994.

"Harga Sebuah Maruah" sebuah manipulasi pihak tertentu terhadap rakyat, yang menyebabkan rakyat berpecah dua. Sepihak menjadi tali barut dengan menipu rakyat dengan pujukan dan paksaan akta. Manakala sepihak lagi cuba mempertahankan maruah. Pertentangan pihak berkuasa yang mempertahankan kuasa. Tali barut yang menindas dan memeras rakyat dengan pelbagai helah. Janji demi janji. Abang yang haloba dan lupa daratan walaupun terdidik tinggi menafikan ibu dan adik kandungnya sendiri. Imam yang alim yang menjadi pemimpin masyarakat juga boleh kelabu mata dan terbeli dengan wang ringgit, dan penguasa yang benar-benar melaksanakan kuasa. Sebuah teater yang wajib ditonton kerana "Harga Sebuah Maruah" benar-benar mengembalikan "maruah" teater Melayu yang kian hilang dalam arus hiburan murahan.

Teater ini teater serius. Halimi amat beruntung dengan kehadiran pelakon-pelakonnya yang memang orang teater serius. Dr. Samat Salleh, Dr. Kipli Rahman, Norhelmi Othman (Pelakon Perbaik Pekan Teater Kebangsaan), Ali Abdul Rahman, Badrul Munir Mat Isa, Milyana Arshad , Khamsah Abdullah, Rasdi Daud, Mubarak Majid, Zulkifli Ismail dan ramai lagi. Pengarah Seninya, Hasnul Jamal saidon dan Pengarah Teknikal - Roslan Chin menjadikan pementasan ini lebih lengkap dan memukau.

Saya macam ingin menulis panjang tentang teater ini kerana dah lama tak menulis tentang teater. Di pintu bawah Balai Budaya Tun Syed Nasir selepas menonton, SM Zakir berbisik, "Ini baru rasa menonton teater. Dah lama tak tengok teater."

Tuesday, November 15, 2011

MEMAJUKAN TEATER MALAYSIA

Pagi ini saya membaca kembali 'buku merah' "Memajukan Teater Malaysia" yang ditulis oleh Dinsman sempena Pertemuan Teater 2006 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada 11-14 Ogos 2006 yang. Begitu cepatnya masa berlalu, tetapi 10 perkara yang disarankan oleh Dinsman dalam 'buku merah' seperti tidak diendahkan oleh sesiapa pun. Kebetulan ketika Dinsman, Zakaria Ariffin dan Ismaily Bongsu menjadi panel forum tersebut, saya menjadi moderatornya.

Dinsman menulis: "Bagi memajukan teater Malaysia, saya fikir beberapa idea yang dikemukakan di sini boleh memberikan sedikit manfaat, sekurang-kurangnya boleh dijadikan bahan diskusi." Dinsman mencadangkan 10 perkara, iaitu;
1.Matlamat Nasional
2.Apresiasi teater di kalangan masyarakat
3.Mengaktifkan kegiatan teater di seluruh negara
4.Bayaran royalti kepada pengarang
5.Faktor kewangan dan masalah sponsor
6.Masalah publisiti
7.Faktor kumpulan
8.Hadiah galakan untuk penulis
9. Pementasan bertaraf dunia
10.Siapakah Takutkan Amerika? dan Teater Nabi Yusof

Cadangan yang baik dan amat objektif, tetapi pandangan yang baik itu sayangnya tertinggal dalam 'buku merah' sempena pertemuan tersebut. Cuma mungkin untuk 100 atau 200 tahun akan datang apabila cucu-cicit kita membacanya, mereka paling tidak akan mengeluh, "o..datuk nenek aku dulu rupanya dah cerdik dah...."

Saya fikir, sesiapa yang berasa dirinya orang teater, aktivis teater -pengarah,penulis skrip, pelakon, krew pentas, pentadbir, hatta menteri teater - maka buku ini wajib dia baca. Yang tak wajib baca - bakat suam-suam kuku dari dunia filem tiba-tiba menepuk dada kerana memajukan teater Malaysia. Mereka tak perlu baca!

Saya petik cadangan ke 8 dalam 'buku merah' Dinsman:
"Sesuai dengan matlamat nasional untuk melahirkan seorang penulis besar di bidang teater, saya juga mencadangkan supaya dimulakan pemilihan seorang penulis skrip teater, untuk diberikan hadiah galakan berupa:
1. Sejumlah wang tunai yang agak lumayan;
2. Penerbitan sebuah buku dramanya (sebuah skrip atau kumpulan skrip);
3. Pementasan sebuah skripnya;
4. Lawatan ke luar negeri selama sebulan untuk menonton teater.
Dan seterusnya pemilihan ini dibuat setiap dua tahun sekali."

Membaca kembali 'buku merah' Dinsman dan kebetulan pula saya baru pulang dari mengikuti "1st Asian Theatre Professionals Congress" di Chongqing, China dan menyampaikan "speech" atas kapasiti sebagai Theatre Manager di National Theatre of Malaysia - sebenarnya amat sukar untuk memajukan teater Malaysia!

Sunday, November 13, 2011

...YANG PENDEK AKALNYA

Bolehkah dipanjangkan orang yang pendek akalnya? Saya tidak wajar menjawabnya. Terpulanglah kepada sejarah dan waktu yang akan menentukan. Sejarah pun selalu ternoda di tangan para elita kuasa. Kita pun berdiri di luar waktu, menjinjing kaki untuk menjengok ke dalam pagar kuasa. Pagar kuasa akan menjadi penentu status quo, dan penentu kepada pendek atau panjangnya akal si penguasa tersebut. Kalaulah si pendek akal, yang tidak boleh menentukan arah dan tujuan diberikan kuasa, maka kita hanya akan melihat kehancuran yang sedang menanti di hadapan kita. "Si bodoh yang tidak boleh diajar dan si cerdik yang tidak boleh ditumpang" memang tidak diperlukan untuk membina sebuah keagungan.

Kita pun berfikir untuk diri sendiri.

Saturday, November 12, 2011

INFLAKASTA

Malam tadi menjadi juri untuk teater "Inflakasta" di Panggung Percubaan, UPM di bawah bimbingan Sdr. Amin Minhad. "Inflakasta" salah sebuah skrip allahyarham Hashim Yasin selain "Imbas" dan "Paku Alam". Pementasan yang berdurasi 45 minit, nampaknya disambut gelak ketawa oleh penonton yang memenuhi panggung. "Inflakasta" skrip yang serius, dan bukannya cerita komedi. Sebuah pementasan teater yang harus selalu digerakan untuk mendekatkan khalayak dengan teater.

Friday, November 11, 2011

PERIBAHASA

Malam tadi sahabat saya, Dr.Victor Pogadaev menelefon. Lama juga percakapan kami sehingga mencakupi soal mengantarabangsakan sastera Melayu.(Kenapa tidak sastera Malaysia?)"Ini soal institusi," kata saya. "Tak begitu. Semua NGO sastera yang ada harus berfungsi, orang perseorangan juga." Ini masalah yang tak pernah selesai sehingga kita pun berasa malas untuk memikirkannya. Kita malas untuk berjumpa sesiapa, menghabiskan masa berjam-jam di kedai kopi dengan asap rokok yang menusuk pernafasan. Kita pun duduk kat rumah membaca dan membaca. Kita bangun, dan kita tidur. Rasa rajin, kita pun menulis.Tak usah peduli dengan segala isu, PPSMI, Interlok dan segala macam cikcok pedulikanlah. Kita bukan orang politik yang ingin bertanding semula. Teringat fb Zakir, "iya kita dah tewas." Ditewaskan oleh politik orak-arik. Dah cabik pun kedua-kedua belah telinga kita.

Victor menyebutkan untuk saya sebuah peribahasa China. Saya memintanya mengulang semula. Dan dia memberikan huraian lagi tentang peribahasa tersebut. "Merantau dalam perjalanan , dia mesti meninggalkan rasa malunya di rumah." Oh, peribahasa ini tak ada dalam peribahasa Melayu (kenapa tidak Malaysia?. Iya, saya akan cuba belajar daripada peribahasa yang diucapkan oleh Victor sahabat Russia saya ini untuk saya tidak lagi berasa malu selepas ini.

Thursday, November 10, 2011

PENGKHIANAT

Saya tidak hadir
untuk mendengar
bebelan nyanyuknya.

Saya menghormatinya
sebagai negarawan
dan saya tidak
memaafkannya
sebagai pengkhianat
bahasa Melayu.

SANG TIRAN

dia pun tahu
masa depan
dan sejarah
akan meludahinya.

dengan
angkuhnya
dia bergumam:
"aku peduli apa
pada sejarah,
kerana akulah
yang menuliskan
sejarah!"

Saturday, November 5, 2011

ANJING

Si pura-pura tak ada tempatnya dalam hati saya. Saya secara peribadinya kehilangan kepercayaan kepada "siapa" lagi yang boleh diharapkan. Di kampung asal saya, setiap kali balik kampung saya berjumpa dengan bermacam jenis anjing. Di kota tempat saya bekerja pun lebih ramai anjing daripada manusia. Di dewan yang sering kali disebut sebagai "dewan yang mulia" saya menemui lebih ramai anjing daripada manusia. Kerja anjing tentulah menyalak dan menyalak. Tentang apa yang disalakan, tentu untuk mengisi tembolok masing-masing. Al-fatihah untuk arwah bahasa saya.