Tuesday, November 15, 2011

MEMAJUKAN TEATER MALAYSIA

Pagi ini saya membaca kembali 'buku merah' "Memajukan Teater Malaysia" yang ditulis oleh Dinsman sempena Pertemuan Teater 2006 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada 11-14 Ogos 2006 yang. Begitu cepatnya masa berlalu, tetapi 10 perkara yang disarankan oleh Dinsman dalam 'buku merah' seperti tidak diendahkan oleh sesiapa pun. Kebetulan ketika Dinsman, Zakaria Ariffin dan Ismaily Bongsu menjadi panel forum tersebut, saya menjadi moderatornya.

Dinsman menulis: "Bagi memajukan teater Malaysia, saya fikir beberapa idea yang dikemukakan di sini boleh memberikan sedikit manfaat, sekurang-kurangnya boleh dijadikan bahan diskusi." Dinsman mencadangkan 10 perkara, iaitu;
1.Matlamat Nasional
2.Apresiasi teater di kalangan masyarakat
3.Mengaktifkan kegiatan teater di seluruh negara
4.Bayaran royalti kepada pengarang
5.Faktor kewangan dan masalah sponsor
6.Masalah publisiti
7.Faktor kumpulan
8.Hadiah galakan untuk penulis
9. Pementasan bertaraf dunia
10.Siapakah Takutkan Amerika? dan Teater Nabi Yusof

Cadangan yang baik dan amat objektif, tetapi pandangan yang baik itu sayangnya tertinggal dalam 'buku merah' sempena pertemuan tersebut. Cuma mungkin untuk 100 atau 200 tahun akan datang apabila cucu-cicit kita membacanya, mereka paling tidak akan mengeluh, "o..datuk nenek aku dulu rupanya dah cerdik dah...."

Saya fikir, sesiapa yang berasa dirinya orang teater, aktivis teater -pengarah,penulis skrip, pelakon, krew pentas, pentadbir, hatta menteri teater - maka buku ini wajib dia baca. Yang tak wajib baca - bakat suam-suam kuku dari dunia filem tiba-tiba menepuk dada kerana memajukan teater Malaysia. Mereka tak perlu baca!

Saya petik cadangan ke 8 dalam 'buku merah' Dinsman:
"Sesuai dengan matlamat nasional untuk melahirkan seorang penulis besar di bidang teater, saya juga mencadangkan supaya dimulakan pemilihan seorang penulis skrip teater, untuk diberikan hadiah galakan berupa:
1. Sejumlah wang tunai yang agak lumayan;
2. Penerbitan sebuah buku dramanya (sebuah skrip atau kumpulan skrip);
3. Pementasan sebuah skripnya;
4. Lawatan ke luar negeri selama sebulan untuk menonton teater.
Dan seterusnya pemilihan ini dibuat setiap dua tahun sekali."

Membaca kembali 'buku merah' Dinsman dan kebetulan pula saya baru pulang dari mengikuti "1st Asian Theatre Professionals Congress" di Chongqing, China dan menyampaikan "speech" atas kapasiti sebagai Theatre Manager di National Theatre of Malaysia - sebenarnya amat sukar untuk memajukan teater Malaysia!

No comments: