Wednesday, February 3, 2010

KUALA SEDILI

Ombak berdebur. Sederet kedai kayu lurus di jalan membelakangi kuala. Saya merenung jeti yang mereput. Manusia untuk hidup dan berpusat di kuala. Manakala jalannya semakin mengecil di antara simpang dan selekoh antara baris kelapa sawit. Masjid Al-Muttaqin yang cantik tersergam indah. Kuala Sedili mengingatkan saya kepada Usman Awang. Dan Usman Awang akan segera mengingatkan saya kepada Kuala Sedili. Saya membaca puisi Usman Awang dengan judulnya yang sama. Tulis Usman Awang pada tahun 1950:

Sepinya tanah kelahiran untukku dari kota,
Dalam serba gelisah berpura sesuai merasa
Di sinilah, O Kuala Sedili, tangisku pertama bergema.

Pada rumput menghijau seperti kesuburan kasih ibu,
Ah, kenangan ketika kecil di bumi Tanjung Lembu,
Sampai kini Sungai Sedili terbentang seperti dulu.

Dari sini kulihat paying dengar layar memutih,
Di alamnya ikan-ikan segar bukan milik mereka lagi,
Ayahku di tiang layar, bersama paman jurumudi.

Siapa biasa mengerti bahawa hidup demikian membara,
Dalam kepahitan menyesak masih jua terdengar tertawa;
Itulah kebanggaan mereka menyarai usus-usus keluarga.

Tapi derita bagi mereka apakah erti,
Bila mereka di dalamnya, tak merasa lagi,
Sebab tak dilihat mata, menjadi puasaka untuk kami.


…..
….
….

Dan petang Sabtu, 30 Januari itu , sampailah kami (saya, Haji Shamsudin Othman - Syeikh di Madrasah Sham al-Johori dan Al-Fadhil Haji Nazmi Yaakub – ustaz yang menjadi wartawan) ke Kuala Sedili. Kereta dipandu oleh Haji Sham kerana Kota Tinggi adalah tempat beliau mula-mula bertugas sebagai guru sekolah di Sek. Keb. Bandar Easter lebih belasan tahun yang lalu. Haji Sham benar-benar kembali ke dunia nostalgianya. Mencari lorong dan simpang, bekas rumah lamanya ketika masih bujangan, dan rumah sewaannya selepas berumahtangga. Dari Bandar Easter, kami membelok ke Kuala Sedili.

Perjalanan melepasi Kg. Singapura. Saya mengetik sahaja kamera sesukanya. Biasanya petikan kamera saya yang tidak profesional ini disukai oleh kawan-kawan pelukis yang akan memindahkan foto saya ke dalam karya mereka. Jeti reput, kapal tersadai, dan anak-anak kuala. Saya pun bertanya kepada diri sendiri, bagaimanakah Usman Awang datang ke sekolah saban hari semasa kecilnya? Banyak sungguh pertanyaan demi pertanyaan yang tidak saya tanyakan kepada Sham atau pun Nazmi. Semuanya tinggal dalam tanda tanya.

Teringat lagi saya, Usman Awang sehingga kini belum ada kumpulan puisinya dengan judul “Puisi-Puisi Lengkap Usman Awang”. Itu Usman Awang yang Sasterawan Negara. Semasa hayatnya beliau menerbitkan empat buah kumpulan puisi, Gelombang (1961), Duri dan Api (1966), Kaki Langit (1971) dan Salam Benua (1982). Puisi-puisi itu dikumpul semula dalam Puisi-Puisi Pilihan SN Usman Awang (1987). Tetapi puisi-puisi lengkapnya belum lagi. Teringat kawan-kawan di Jabatan Sastera, DBP – tempat SN itu pernah bertugas.

Kami bergegas meninggalkan Kuala Sedili yang cantik senja itu. Terpaan angin, debur ombak, matahari senja, anak-anak kuala berlari-lari…..

4 comments:

Korakora said...

syeikh, ramai yang berasa cemburu dgn kembara sepetang kita. mungkin boleh buat kembara sastera sekali lagi, dengan lebih bererti, singgah dengan tujuan untuk mengerti.

Rahimidin Z said...

Al-Fahdil elok tu, Sekretariat Penulis Muda kena mulakan. Kami orang-orang tua ikut setuju.

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan,
1. Pagi tadi (sekitar pukul 10.40 pagi) telah dikirimkan beberapa foto tuan di Kota Tinggi yang sempat terakam melalui e-mel.
2. Jika benarlah ramai yang cemburu (termasuk diri ini, walaupun ketika itu berada di Bandar Kota Tinggi bersama Amiruddin) maka perlu rencanakan sebuah program kembara ke pedalaman Kota Tinggi - Mersing nanti, sesuailah diundang ramai orang, sesuai juga jika dimulakan oleh PENA / PPJ / DBPWS.

Rahimidin Z said...

Tuan RAR,
1.foto yang dikirimkan, terima diterima. terima kasih daun keladi.
2.elok disegera program menyusur sungai johor, kemudian ke pulau sibu atau aur sekali.