Tuesday, June 16, 2009

Saya kembali

Setelah direhatkan selama 2 minggu saya kembali ke dunia maya. Saya berdoa kepada-Nya moga-moga saya akan terus menulis dan menulis. Segala ujian dan dugaan semuanya daripada Allah SWT untuk saya melihat dan menilai akan segala kelemahan dan kekurangannya sebagai hamba yang amat lemah dan daif kepada Pencipta Yang Maha Agung.



















Belasungkawa

Haji Mansor Haji Ghazalli, antara pelukis cat air terbaik negara telah kembali ke rahmatullah pada 10 Jun 2009, jam 9 malam di Hospital, Serdang. Pelukis veteran dan pesara guru yang berasal dari Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak ini dilahirkan pada 6 Januari 1930. Menerima pendidikan formal seni lukis dari Brighton College of Art, England di awal tahun 1960-an. Kembali ke tanah air dan menjadi guru sekolah di Johor.

Saya mengenalinya dari jauh dan amat menyukai karya-karya cat airnya. Beberapa kali terserempak dengannya di RA Fine Arts dan juga di Balai Seni Lukis Negara. Setelah berkali-kali membuat janji dengan uwei hajisaari untuk berkunjung ke rumahnya, seringkali janji itu tertangguh. Dan akhirnya pada 28 Mac 2009, janji itu akhirnya menjadi kenyataan, apabila beberapa hari sebelumnya, pelukis Rafie Abdul Rahman telah menelefon Haji Mansor bahawa kami akan berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Bangi.

Saya mengambil uwei di Ukay Perdana dan mengambil Rafie di BSLN dan menuju ke Bangi. Apabila kami sampai, dia telah sediakan kami dengan karipap dan dalam keadaan sedikit uzur beliau menggagahkan dirinya untuk menyediakan minuman untuk kami. Hampir dua jam lebih kami dari duduk di kerusi, kemudian turun bersila untuk melihat lakaran, buku sketch dan lukisan cat airnya.

“Makanlah, kena habiskan. Karipap sedap ni. Orang Johor yang membuatnya, tapi dah menetap di sini,” ujar beliau.

“Susah-susah pula cikgu.”

“Kami nak tengok work cikgu.”

“Dah tak ada, itu sahaja yang tinggal. (Merujuk ke pada yang tergantung di dinding dan yang telah difremkan dan disandarkan di dinding dan kerusi di ruang tamunya.) Raja Ahmad telah ambil dengan lori untuk pameran solo di RA Fine Arts. Selebihnya Chong (seorang art dealer) telah ambil, dah bayar RM4,500 dan ada lagi RM4,500 yang masih belum dibayar.” Tuturnya dengan lembut dan perlahan.

“Tak apalah cikgu, kami nak tengok apa yang ada.” Dan Rafie yang amat akrab dengannya membawa kami ke dalam stornya dan mengeluarkan ikatan karyanya yang masih berbaki. Uwei memilih karya yang disukainya. Dan saya juga memilih beberapa karya. Saya membeli lima karyanya. Dan saya sebenarnya telah memiliki tiga buah cat airnya.

Apabila mengetahui saya berasal dari Kelantan, beliau mulai bercerita mengenai keluarganya di sana. Ada sepupunya yang masih tinggal di Merbau, Kota Bharu dan ramai saudara-maranya di Pasir Puteh, Kelantan. Datuknya, bekas mufti Perak berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Ustaz Omar sepupunya itu pula pernah saya temui di bilik Editor Majalah Pengasuh di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) beberapa tahun lepas.

Kami minta diri untuk berangkat pulang ke KL kerana uwei ada acara di FINAS. Tayangan movienya Anak Emak akan ditayangkan pada petang yang sama. Haji Mansor beria-ria mengajak kami untuk makan tengah hari di luar, tetapi kami terpaksa menolak dengan sopan kerana uwei ada acaranya itu. Kami berjanji untuk datang lagi, dan insyaAllah boleh makan tengah hari bersama. Tetapi takdir Allah telah memanggilnya pulang lebih awal sebelum janji kami dipenuhi.

Saya tak sempat menghadiri pengebumiannya di Bangi, tetapi malamnya sempat menghadiri majlis perasmian pameran solonya “The Art Of Mansor Ghazalli 1953-2008” di RA Fine Arts. Mendengar ucapan Raja Ahmad, Datuk Dr. Baharuddin Haji Ghazalli (adiknya), dan Prof. Zakaria Ali selaku kurator tamu memperjelaskan lagi kepada khalayak bahawa pelukis yang selalu merendah diri ini seorang yang amat tawaduk dalam bidang pilihannya.

Adiknya memaklumkan, dia mengetahui mengenai pameran solo abangnya setelah anaknya membaca beritanya di akhbar. Luar biasa kerana selepas tahun 92, abangnya itu melukis dengan sebelah mata, dan sebelah mata itu pula hanya tinggal separuh. Ertinya karya-karya seni lukisnya yang dihasilkan sebelum dia mengalami rawatan untuk penyakitnya berbeza dengan karyanya selepas menerima rawatan. Tetapi dia meneruskan minatnya dengan semangat yang luar biasa sekali.

Saya amat menyenangi sketsa pantasnya dengan sapuan spontan dan ekspresif. Emosi dan pengalamannya diluahkan dengan bersahaja. Tetapi paling penting dia telah menyumbangkan karya yang tidak sedikit untuk khazanah seni lukis negara, walaupun pihak yang sepatutnya menghargai sumbangannya gagal meneliti dan menilainya. Suatu hari dia dengan bertongkat menaiki tangga institusi seni berwewenang, tetapi dia tak dikenali oleh kurator dan penolong kurator yang menerima gaji dan jawatan kerana bidang yang beliau ceburi. Suatu hari yang lain, di majlis pameran ulung untuk dirinya, tak seorang pun dari institusi yang berwewenang menjengah muka meraikannya. Haji Mansor Haji Ghazalli sebagai pelukis cat air negara, sepatutnya sudah memiliki satu buku khusus untuknya. Saya secara peribadi meletakkannya segandingnya dengan Abdullah Arif dan Mun Seng walaupun beliau hadir lebih kemudian. Tetapi saya percaya seni lukis cat air Malaysia tak akan lengkap tanpa mencatatkan nama Mansor Ghazalli sebagai salah seorang warganya.

Pengalaman singkat saya mengenalinya sudah pasti akan menjadi panjang dan berkalung lama dengan tiga buah cetakan lino dan lima buah cat air hasil tangannya yang saya miliki. Al-fatihah untuknya. Dari Allah kita datang, kepada-Nya jua kita akan kembali.


5 comments:

Unknown said...

Selamat kembali, dan salam rindu.

Yusuf Fansuri said...

Salam,

Moga tuan terus sihat tubuh badan, dilimpahkan rezeki agar bisa untuk terus berkarya... Amin.

Sham al-Johori said...

begitulah, kehilangan seorang pemidah keindahan alam dan kebesaran Allah SWT. Moga di alam baqa itu, dunia dan kehidupannya turut indah, seindah warna air yang mengalir di atas kertas.

said...

Semoga abg im cepat sembuh,
selepas itu boleh belanja saya dan abang sham makan.

Unknown said...

selamat kembali, didoakan semoga dalam peliharaan Allah selalu.