Tuesday, May 12, 2009

















Petala Wati

“Dalam sejarah istiadat Diraja Kelantan, burung Petala Wati menjadi usungan perarakan dalam upacara berkhatan putera-putera raja, iaitu suatu upacara penting dalam lurutan “rites of passage” kaum lelaki. Berkhatan secara langsung mengubah status seorang kanak-kanak lelaki ke peringkat dewasa yang menjelmakan kematangan dalam pembinaan sikap, pandangan dan pemikirannya.” Keterangan gambar kulit sempena pelancaran Majlis Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan oleh YAB. Datuk Hussein Onn, SPMJ, Perdana Menteri Malaysia pada 3 Jun 1976. Sekarang saya tak pasti apakah burung itu masih disimpan di Muzium Kelantan, tetapi yang saya nampak beberapa tahun lepas burung itu dibiarkan di bawah kolong salah sebuah muzium di Kota Bharu. Kesian sekali dengan burung ritual itu.

Pohon Kurma

Saya memandu di tengah-tengah bandar Kota Bharu beberapa minggu lepas. Pohon kurma mulai tumbuh di tengah-tengah bandar itu. Dulunya bulatan kijang, kemudian bertukar dengan rehal-rehal batu yang terbuka. Dan sekarang pohon kurma mulai tumbuh di sekitar medan Tuan Padang. “Tentu mahal juga sepohon kurma yang dibawa ni. Baguslah, tahun depan tak payah dah beli kurma kat pasar sempena bulan Ramadan,” kata kawan saya yang menumpang kereta saya dan kali pertama ke Kelantan. “Kenapa?”, tanya saya. “Ini, kurma dah tumbuh, dan tak lama lagi akan berbuah. Dengan menanam lebih banyak pohon kurma, membina wadi dan menternak unta, negerimu ini akan lebih Islam.” ulasnya lagi. “Mat, apa yang kau cakapkan ni?”

Gostan Forward

Dua hari lepas saya menonton Gostan Forward di Annexe Gallery, Central Market yang dilakonkan oleh Marion D’Cruz. Itu pun kebetulan, saya membelek-belek akhbar The Sun yang selalu dititipkan oleh jiran kami, seorang India yang sangat baik hati. Dia selalu keluar berjogging setiap awal subuh dan apabila balik, akan diselitkan akhbar itu di pintu dapur rumah kami. Ketika masuk ke ruang Annexe, penonton dah hampir penuh, dan penontonnya pula terdiri daripada pelbagai kaum - Cina, India, Inggeris, dan Melayu. Melayu tak sampai 5 orang termasuk saya. Dan hari itu saya berasakan diri saya benar-benar Melayu.

2 comments:

Pegawai Khalwat said...

Apa cerita Dalang dalam teater 10 minit?

Bila nak bawak tour?

edolah said...

Tapi ada Melayu yang tak mengaku dirinya Melayu, melihat faktor Melayu itu sebagai punca kegagalan bangsa...lebih malang diciptakan pelbagai alasan untuk mewajarkan kegilaannya itu! dan malang bertimpa apabila kita memilihnya sebagai pemimpin kita...