Thursday, May 28, 2009

Kosong

Aku berhenti menulis beberapa hari kerana yang kurenung - kupandang, kubaca, dan yang kulihat semuanya kosong. Tak ada huruf, tak ada aksara. Tak berwajah pun. Hanya deru angin yang menerjah dari empat penjuru mata angin. Akhirnya, kosong dan diam lebih bermakna daripada menuliskan apa-apa yang tidak ingin tertulis. Zakir dah berhenti menjadi ahli falsafah setelah dibunuhnya Nietsche. Sekarang Lut sedang mengisi tempatnya berterbangan di awan putih. Aku pun tak pasti siapa yang telah memberinya sayap. Sayap Ali Syariati atau Naguib Al-Attas. Yang pasti dia pemburu. Aku nampak dia dalam kosongku sedang berterbangan. Dan aku mencari-cari Saiful, dia tersandar di tiang agung, menyapu-nyapu kaca matanya yang berwap.

Dalam kekosongan itu, terdengar laungan dari ruang kosong, “Berhentilah menjadi orang!” Aku beristighfar.

Wednesday, May 20, 2009

Kebencian

Jiran saya menemui dan menceritakan kebencian anak-anak kepada dirinya. Dia meminta nasihat daripada saya. Saya katakan, saya tidak layak untuk memberikan nasihat kepadanya kerana dia lebih berusia, lebih dahulu dan lebih banyak makan garam berbanding saya. “Susah untuk merubah kebencian yang sudah membiak dan akan menjadi barah. Uncle sendirilah yang sebenarnya telah menciptakan kebencian itu.” Kata saya. “Sebabnya?”. “Uncle tamak dan haloba. Uncle ciptakan jurang antara anak sendiri dengan anak pungut uncle. Uncle jaga hati anak pungut melebihi anak sendiri. Uncle jahanamkan identiti anak-anak uncle. Kat rumah pun uncle tak bercakap bahasa MELAYU dengan anak-anak kan? Uncle memang bahlol!” saya tutup pintu pagar rumah saya.

Tuesday, May 19, 2009

Tik Tak

Tik Tak adalah antologi puisi pelukis penyair Mustapa Hj. Ibrahim (Anak Alam: 1986). Antologi keduanya berjudul Gemuruh Alam (RA Fine Arts: 2008). Bila saya bertanya beliau, berapa banyak Tik Tak dicetak, katanya 40 buah. Kulitnya guna “silk screen” dan dihadiahkan kepada teman-teman terdekat. Dan saya rupa-rupanya memiliki buku ini.

Friday, May 15, 2009

Autograf

Ketika membelek-belek almari buku di rumah ayah, saya terjumpa buku autograph yang sudah tembus di sana sini dimakan rayap. Terdapat tiga catatan yang selamat oleh SN A. Samad Said, SN Muhammad Haji Salleh dan allahyarham T. Alias Taib.















































Thursday, May 14, 2009

Sebiji Telur

sungguh sukar percaya; nama kita berdua tertulis di dalam
sebiji telur. dieram seekor ibu ayam lewat musim khatulistiwa panas.
telur sebiji itu tidak juga menetaskan keajaiban.

memang sukar percaya; nama kita berdua tertulis di dalam
sebiji telur- antara kuning dan putih, di manakah titik hitamnya
– dan kita seakan mendengar pertanyaan yang tiada jawabnya;
telur dulukah yang tercipta atau ibu ayam dulukah yang dicipta.

aku diam dan engkau pun diam.

Wednesday, May 13, 2009





































Buah Piah

Amin Sweeney di dalam bukunya Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi Jilid 1 (2005:172) menulis tentang buah piuh dalam Catatan Tentang Teks – Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan: “Seorang teman saya, pengarang Syed Othman Kelantan, memberi tahu bahawa, semasa kecil, pernah dilihatnya buah ini dijual, terutama di kawasan Tawang. Pokok renek (chasalia curviflora)?”. Ralat saya: Sebenarnya buah piah bukan buah piuh, Munsyi Abdullah barangkali tersalah dengar. Juga bukan pokok renek, tetapi pokoknya tinggi macam pokok tualang. Buah piah dimakan dengan mengetuk buah yang masak ke batang pokok atau kepada benda keras untuk menanggalkan isinya yang berwarna kuning daripada bijinya yang keras. Rasanya kelat-kelat manis dan isi buahnya yang benar-benar masak akan mudah melekat di gigi.

Tuesday, May 12, 2009

















Petala Wati

“Dalam sejarah istiadat Diraja Kelantan, burung Petala Wati menjadi usungan perarakan dalam upacara berkhatan putera-putera raja, iaitu suatu upacara penting dalam lurutan “rites of passage” kaum lelaki. Berkhatan secara langsung mengubah status seorang kanak-kanak lelaki ke peringkat dewasa yang menjelmakan kematangan dalam pembinaan sikap, pandangan dan pemikirannya.” Keterangan gambar kulit sempena pelancaran Majlis Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan oleh YAB. Datuk Hussein Onn, SPMJ, Perdana Menteri Malaysia pada 3 Jun 1976. Sekarang saya tak pasti apakah burung itu masih disimpan di Muzium Kelantan, tetapi yang saya nampak beberapa tahun lepas burung itu dibiarkan di bawah kolong salah sebuah muzium di Kota Bharu. Kesian sekali dengan burung ritual itu.

Pohon Kurma

Saya memandu di tengah-tengah bandar Kota Bharu beberapa minggu lepas. Pohon kurma mulai tumbuh di tengah-tengah bandar itu. Dulunya bulatan kijang, kemudian bertukar dengan rehal-rehal batu yang terbuka. Dan sekarang pohon kurma mulai tumbuh di sekitar medan Tuan Padang. “Tentu mahal juga sepohon kurma yang dibawa ni. Baguslah, tahun depan tak payah dah beli kurma kat pasar sempena bulan Ramadan,” kata kawan saya yang menumpang kereta saya dan kali pertama ke Kelantan. “Kenapa?”, tanya saya. “Ini, kurma dah tumbuh, dan tak lama lagi akan berbuah. Dengan menanam lebih banyak pohon kurma, membina wadi dan menternak unta, negerimu ini akan lebih Islam.” ulasnya lagi. “Mat, apa yang kau cakapkan ni?”

Gostan Forward

Dua hari lepas saya menonton Gostan Forward di Annexe Gallery, Central Market yang dilakonkan oleh Marion D’Cruz. Itu pun kebetulan, saya membelek-belek akhbar The Sun yang selalu dititipkan oleh jiran kami, seorang India yang sangat baik hati. Dia selalu keluar berjogging setiap awal subuh dan apabila balik, akan diselitkan akhbar itu di pintu dapur rumah kami. Ketika masuk ke ruang Annexe, penonton dah hampir penuh, dan penontonnya pula terdiri daripada pelbagai kaum - Cina, India, Inggeris, dan Melayu. Melayu tak sampai 5 orang termasuk saya. Dan hari itu saya berasakan diri saya benar-benar Melayu.

Monday, May 11, 2009

Selepas Itu Beli Lagi

“Menjadi kolektor ni macam orang gila juga” kata saya pada uwei hajisaari, satu malam dalam perjalanan pulang dari Shah Alam ke Kuala Lumpur.Dia mengiakan cakap saya. Macam mana tak gilanya kerana koleksi diburu setiap minggu dan bulan. Apabila isteri tanya berapa harga dibeli, jawapannya, “ala dapat harga istimewa”. Adakalanya beritahu dapat hadiah. Atau setelah dibeli dengan harga yang melebihi pendapatan bulanan, balik picit-picit kepala yang tak sakit. “Betul ke ni?” Rasa menyesal pula. Tapi buat tak tahu sajalah. Tapi selepas itu beli lagi.

Pameran Senilukis Terbuka ‘88

Sewaktu menyusun dan mencari katalog lama koleksi saya, terjumpalah katalog Pameran Senilukis Terbuka ’88 yang diadakan di Balai Seni Lukis Kelantan. Dulu negeri Kelantan dah ada Balai Seni Lukis sendiri meskipun bawah Muzium Negeri, sekarang tak ada lagi. Yang ada kat Kampung Kraftangan sekarang ini, itu bukan lagi BSL, tetapi entah apa-apa. Kalau ada orang kata itu BSL Kelantan, kesianlah saya kat dia.

Monday, May 4, 2009

Koleksi Saya: Haji Mansor Haji Ghazalli.

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kuala Kangsar, Perak. Cucu bekas Mufti Perak yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan ini mendapat pendidikan formal seni lukis di Brighton College of Art, England di awal 1960-an.










Pengor, Batu Pahat, 22.5x31.5 cat air, 1981










Bekerja,30x40 cetakan lino, 1982










Ikanku, 20x25.5 cetakan lino, 1982










Gotong royong, 32x42, cetakan lino, 1982.










Lumut, Perak, 22.5x29 cat air, 1989.










Berkelah, 34x53 cat air: 2000










Kutub Mina-Delhi, 21.5x27.5 cat air:2000










Batu Feringhi,17x29 cat air, 2000.

Koleksi Saya: Rafie Abdul Rahman

Dilahirkan pada tahun 1947. Ayahnya berasal dari Madura dan ibunya dari Melaka. Pelukis versatile yang mendapat bimbingan daripada Hoessein Enas dan Mazli Mat Som melalui kelas APS.










The Approaching Storm, 43x60 cat air: 2002










Perlis Rice Field Series 1, 17x29, cat air:2002










The Crows in the siries of The Street of London, 27.5x37.5 cat air: 2008










Kendi, 35x50 dakwat cina: 2007










Venice, 22.5x30 cat air, 2










Kok Lanas, 38x23, cat air:2008











Selayang Pandang
, 19x37,pastel:2009