Kartika dan Affandi.
Malam kelmarin saya menghadiri pelancaran pameran solo Kartika di RA Fine Art. Ramai yang hadir. Melimpah sampai ke luar. Pameran dirasmikan oleh Duta Besar Indoensia. Baguslah zaman ekonomi lembap, pameran seni terus berjalan dan pengunjung – kolekter, pelukis, dan wartawan penuh pepak. Melihat garis dan warna yang dipalitkan oleh Kartika, sebenarnya tidak banyak berbeza dengan lukisan yang dihasilkan oleh Affandi, bapanya. Yang berbeza Affandi itu lelaki dan Kartika ditakdirkan perempuan. Cuma saya terfikir, kadang-kadang kehebatan bapa sebagai maestro akan menyebabkan anak menjadi hebat, walaupun karyanya tidak lebih hebat daripada karya bapa. Eh, betul ke ni?
Sepotong Lidah
Kawan saya menerima sampul surat yang berisi sepotong lidah di dalamnya. Masih baru. Panas dan berdarah. Darah merah memenuhi muka sampul. Kawan saya mengambil sepotong lidah itu dan meletakkan di atas dua tapak tangannya. Lidah itu menggeliat-geliat ingin bercakap. Darah mula membasah memenuhi dua tapak tangan kawan saya. “Siapakah yang memisahkan kau dari rongga mulut tuanmu?” tanya kawan saya. Sepotong lidah hanya menjawab, “Aku berdosa. Aku berdosa. Aku berdosa.” Selepas tiga kali, lidah terus bisu. Darah pun mengering dan membeku. Kawan tersebut menemui saya, bertanyakan apakah yang harus diperlakukan dengan sepotong lidah tersebut? “Lidah itu untukmu, dan kalau kau tak perlukan, hantarkan saja ke tanah perkuburan.”
Senator
Abang Tar (Mat Sotar) nama yang saya bahasakan kepadanya. Dia OKU yang tak nampak. Tapi hatinya cerah. Dia bukan jiran dekat saya, tetapi masih dalam jemaah dan 40 buah rumah sebagaimana tercatat dalam Hadis Nabi (SAW). Sakit demam, kenduri kendara, Abang Tar biasanya sampai awal. Dia mengimami solat, atau mengetuai bacaan doa, lafaznya perlahan tetapi jelas. Dia hanya belajar di pengajian pondok tidak jauh dari kampung kami. Dia tak pernah lihat wajah saya, tetapi kalau saya menegurnya di jalanan, dia tahu “Adik Rahim, anaknya Pak Haji Zahari.” Dia ramah dan kenal semua qariah di kampung kami. Saya tak pernah tanya bagaimana dia boleh mengecam kami, dari cara bercakap, cara bernafas atau bau tubuh. Hanya Pak Tar yang tahu. Kalaulah Pak Lah memerlukan senator dari kampung kami, dialah yang akan saya cadangkan. Dia lebih muda dari ayah saya, tak nyanyuk, tak bawa tongkat walaupun matanya tak nampak. Tak kisahlah walaupun dia bukan lulusan dalam bidang ekonomi dari luar negara. Tapi Pak Tar tak pandai mengampu dan tak mengkhianati bahasa ibundanya. Pak Tar ok, walaupun dia tidak sekacak bintang filem hitam putih.
Bunga Tahi Ayam
Bunga tahi ayam masih asli dan berbau. Walaupun baunya kurang enak kalau ingin digandingkan dengan bau bunga mawar, bunga melati, kenanga dan lain-lain jenis bunga yang harum. Tentunya lebih baik menjadi bunga tahi ayam daripada menjadi bunga plastik.
Dugong, Piguin dan Tempayan Budu
Dugong, piguin dan tempayan budu, apakah persamaannya? Dugong ada di pesisir Malaysia, pernah beberapa ekor tersadai dan mati. Piguin tak ada kena mengena dengan Malaysia kerana jenis burung dari kutub. Anak-anak saya suka tengok kartun Pigu pagi-pagi Sabtu. Tempayan Budu hanya ada di Kelantan. Budu, dimakruhkan oleh ramai ustaz fekah di kampung saya. Tetapi semasa belajar, salah seorang ustaz saya yang PhDnya dari Arab Saudi memberitahu budu itu ‘mendahului hukum’. “Bagaimana kalau budu dimasukkan ikan bakar, diperah dengan asam limau? Enakkan? Apakah selepas makan nasi dengan budu, enta mabuk? Budu selepas dibasuh, apakah tangan enta berbau?” soal ustaz saya yang berasal dari Perlis dan bukan Kelantanis itu. “Enta balik kampung, enta bagi tau, budu tak makruh!” Tapi ini cerita lain, kalau dugong, piguin dan tempayan budu dikiaskan kepada perempuan, gadis, anak dara atau bini memanda sekalipun, dia perempuan yang tak eloklah. Tak cantik dan tak ada potongan.
Mentadak
“Sudu sudu, senu emak mu tidor lagu mana?” Itu antara pertanyaan dan nyanyian masa kecil saya yang diajarkan oleh Nenek Jah, apabila sudu senu atau mentadak mentadu masuk ke rumah kami. Mentadak nama saintifiknya tenodera aridifolia dipanggil sudu senu di kampung kami. Mentadak akan mengikut apa yang kita cakapkan, seolah-olah faham atau memang sifat mentadak sedemikian. Semasa saya kecil, saya selalu bertanya kepada diri sendiri, bagaimana ya, kalaulah mentadak itu bertukar menjadi manusia? Manusia yang jenis apa ya? “Sudu sudu senu, emak mu tidor lagu mana?”
4 comments:
jenih senator papan. Di kampung saya di kebun 500 ada sorang yang saya boleh cadangkan jadi senator pada pak lah. namanya saya panggil wan nyor (nyiur?) saja. nanti saya tulis satu entri pasal dia. dia pun layak, baik, berhemah, ambil berat, serba serbi ok.
Dan dia juga bukan orang ekonomi, tapi dia tidak mengkhianati bahasa ibundanya
lantik saja Pak Tar dan Wan Nyor jadi senator. Tak lah menghabiskan duit rakyat sesuka hati.
Salam jejaka Rahimidin,
barangkali tuan sudah memiliki pelbagai lukisan potret dan gambar..pernahkah tuan mendengar celotehnya..
Salam Zarif,
bukan sahaja memiliki lukisan potret dan gambar; kutakluki hati dan perasaannya.
Post a Comment