Wednesday, January 21, 2009

Jangan Berbohong!

Satu hari saya ke sebuah haper market di pinggir Kuala Lumpur. Saya berbaris bersama tiga daripada lima orang anak saya untuk membuat bayaran di kaunter. “Encik dah ada kad kredit? Kalau tak ada, bolehlah singgah di meja kami sekejap. Berikan ic untuk difotokopi dan encik akan memperolehi 2% setiap kali membeli di sini.” Senyumnya manis meleret sampai ke telinga. “Tak apalah, saya tak ada kerja. Nanti tak boleh bayar pulak tiap-tiap bulan ke dalam bank awak.” Muka serius, tak lawak sikit pun. Beberapa langkah sahaja, anak saya, angah tersenyum. “Tak baik, Papa bohong!. Papa penulis kan?” Saya tarik tangannya keluar cepat-cepat dan memandu balik ke rumah. Saya tak bercakap sepatah kata pun.

Pembunuh

Sebagaimana diceritakan oleh seorang kawan: “Setiap kali dia bermasalah, dia akan sms atau telefon nak jumpa aku. Ada hari yang aku menyampah, aku tak jawab telefonnya,aku tak angkat pun telefon. Aku, membiarkan miss callnya berpuluh-puluh kali. Padan muka dia, biar dia rasa bagaimana dia selalu membohongi aku. “Abang siapkan, katalog ini, nanti saya bayar abang RM5,000.” Beberapa hari kemudian, “Abang tolong buat editing tulisan ni, dan saya bayar abang RM1000.” Beberapa minggu kemudian, dia datang lagi. “Tolonglah ini antara hidup dan mati, abang tolong siap….” Semuanya aku tolong buatkan. Aku tak pernah meletak harga berapa yang harus dia bayar terhadap semua hasil kerjaku. Dan aku tak pernah menerima bayaran sebagaimana yang dia janjikan. Besok dia nak jumpa lagi, dan tahulah aku bagaimana untuk mengajarnya. Aku sudah siapkan racun rumput untuknya. Apabila dia ke kamar kecil, racun itu akan aku letak ke dalam mangkuk sup kambing yang disukainya. Kalau ada sesiapa yang kematian saudara maranya, bolehlah menghubungi aku, pembunuh yang baik hati.”

3 comments:

MOHD SHAH IBRAHIM said...

Salam Sdr Rahimidin,
perkara macam itu berlaku tak kira tempat dan waktu.
Saya pernah mengalaminya. Bukan sekali tetapi berkali-kali.
Beberapa bulan lepas, ada orang meminta saya menulis proposal. Saya beritahu dia bahawa saya perlu sedikit masa kerana perlu memilih waktu yang sesuai untuk menulis. Kalau ada "mood" baru saya tulis.
Kerana perlukan proposal tersebut dengan segera, Si Mamat ni terus beritahu saya, "Aku siapkan "mood" untuk engkau. Baru selesa engkau nak menulis," maksud cakapnya dia mahu bayar saya.
Tetapi bila siap, satu sen pun tak dibayar. Dan dia masih mampu datang bersembang dengan saya di "bekas wakaf" Aris dan Sani.
Entah betul entah tidak cadangan tersebut sampai ke pihak atasan IB, wallahua'alam.

lutfi said...

Bapak Im, salam.
Rajin menulis blog la ni. Ada makna ka?

Rahimidin Z said...

Cikgu Mohd. Shah,
tipah selalu tertipu.

Lutfi, dari blog nanti boleh terbit buku.