Monday, June 23, 2008

Tok Perak

Petang semalam ke Auditorium DBP bersama Sutung untuk lihat latihan drama Tok Perak, karya dan arahan SN Dato Syed Alwi. Tok Perak versi baru selepas 34 tahun dipentaskan pada tahun 1974 di Panggung Eksperimen Universiti Malaya. Sabri Yunus yang jadi Tok Perak, nampaknya Tok Perak akan bercakap dialek Kelantan kali ini. Tetapi Sabri balik Kelantan kerana ada persembahan di sana. Zaibo mengambil wataknya, dan apabila Zaibo berlakon sebagai Zaibo, Syed Alwi sendiri yang jadi Tok Perak. Zaibo kawan lama saya, semasa pementasan Nanamun Mantanani karya dan arahan Prof. Ghouse Nasuruddin, saya dengan dia yang jaga lampu di Balai Syed Nasir pada tahun 1989.

Baca Puisi

Baca puisi di Laman Santai menggantikan SN A. Samad Said yang katanya menarik diri pada saat akhir. Saya terimalah kerana yang menefon saya adalah orang yang saya paksa berlakon dalam drama saya Rebab Berbisik. Rupa-rupanya ada ramai artis yang terkenal. Sewaktu menunggu di belakang, ada banyak soalan daripada pelbagai orang. Antara ulangan soalan yang sama.

“Baca sajak sapa?”

“Sajak saya.” Kata saya. Tahun 2008 dah 24 tahun saya menulis sajak. Dan sudah terbitkan lima antologi puisi perseorangan. Tak perlulah saya jelaskan sebenarnya. Saya pun baca Mantera dan “kusembunyikan engkau di dalam puisi” sambil dilukis oleh pelukis Aris Aziz dan Zaim Durulaman. Selepas selesai, saya turun pentas ke belakang dan cabut. Ada sms yang saya terima daripada seseorang: “Akhir dpt ku lihat ko berbicara – Tahniah. I like…kala sepi…kala sakit & berjuta lagi..hanya kita berdua bernyanyi..”

Khutbah Jumaat

Bersama Marsli bersolat Jumaat di Masjid Al-Ehsan, Londang. Sebenarnya 15 Mei lepas, saya bersolat Jumaat kali pertama di masjid ini ketika menziarahi kematian ibu Azli Othman, kawan sepejabat saya. Kami sampai awal, khutbahnya aduh. Ini antara khutbah jumaat yang paling ‘buruk’ yang pernah saya dengar sepanjang 2008. Lebih politik daripada politik. Kemudiannya saya tahu khutbah itu dibacakan seluruh negara. Sebagai bekas guru Bahasa Melayu dan Pengajian Am, saya berikan D- untuk penulis teks dan isi khutbah tersebut. Dalam masjid pun nak berbohong. Dan saya percaya ramai imam/khatib yang bacakan khutbah itu pun tak faham apa yang dia baca, apalagi para makmumnya.

Bengkel di Melaka

Petang khamis yang hujan. Ajak Masli NO ke Melaka. Rupanya susah benar memandu di tempat yang kita tak pernah sampai. Mencari tanda arah jalan yang tiada. Tetapi akhirnya sampai juga ke Samudera Bidara Resort di Tanjung Bidara, Melaka kerana pagi esoknya ada Bengkel Penulisan Puisi di Sek. Men. Sultan Alaudin, Masjid Tanah dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. 70 pelajar yang ikuti kelas saya. Kali ini tak ada pertanyaan yang pelik-pelik.

3 comments:

kakchik said...

Salam, saya tahu Sdr akan jadi semakin sibuk dan sibuk...

republictheatre said...

bila nak berduet baca puisi ni? :)

fazleens.sosblog.com

dewek anak wak long said...

Kakchik,
asal ada masa untuk menulis kira ok.

Faz,
bila-bila pun boleh. Tahniah filem pendek awak, Perahu Kertas tu.