Termizie Mukhtar
Wak Long Menjadi Raja
Nik Zainal Abidin
Keluarga Siti Dewi
DUNIA SENI YANG SENYAP
Dunia seni lukis antara dunia seni yang senyap. Jauh daripada sebarang publisiti dan dilimpahi keglamouran sebagaimana dunia seni lakon dan dunia nyanyian. Dalam perkembangan seni di Malaysia, para pelukis jarang disorot kehebatan hasil cipta mereka. Bahkan nilai pendapatan para seniman pelukis ini jarang diketahui umum. Tetapi secara umumnya, masyarakat Malaysia mengenali beberapa pelukis ternama tanah air seperti A. Latiff Mohidin, Ibrahim Hussein, Datuk Syed Ahmad Jamal dan terdapat beratus nama lagi di belakang mereka.
Sejak zaman Yun Men Seng, Abdullah Ariff, Hoessein Enas, dan ramai lagi itu seni lukis moden Malaysia terus berkembang dengan pesatnya. Bahkan kewujudan Balai Seni Lukis Negara yang bermula di Jalan Ampang, kemudian berpindah ke Jalan Hishamudin dan kini berdiri megah sebagai mercu tanda seni lukis negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Seni lukis terus berkembang.
Dunia seni lukis diangap sebagai sebuah dunia seni yang berbeza dengan dunia seni yang lain. Pelukis tertentu diburu kerana hasil karyanya yang tersendiri dan menjadi kegilaan kolektor seni. Sekaligus hasil karyanya akan meletakkan pelukis tersebut dalam status quo yang tersendiri. Pelukis itu sekaligus juga akan menjadi elitis di mata kolektor yang juga dari kalangan orang-orang bangsawan dan elite. Karya seni lukis akan menjadi investment dari hasil tangan pelukis ternama akan menjadi buruan dan kegilaan kolektor.
Apabila pelukis-penyair A. Latiff Mohidin mengadakan pameran solonya yang berjudul Voyage di Galeri Petronas pada tahun lepas, dikatakan kesemua lukisannya habis terjual. Bahkan keseluruhan karya tersebut mencapai nilai RM7.5 juta. Ini pencapaian yang luar biasa dalam perkembangan seni lukis negara. Sasterawan Negara A. Samad Said, sebelum ini tidak dikenali langsung sebagai pelukis. Tetapi kurator dan pelukis Nur Hanim Khairudin telah menemukan 100 lakaran A. Samad Said dan kemudiaannya diadakan pameran solonya di Galeri Petronas. Hasilnya memberangsangkan sekali. Dari lakaran di atas ketas tisu yang berharga RM380 sehingga kepada lakaran di kertas yang berharga RM3,800, karya seni lukis A. Samad Said dibeli peminat dan kolektor. Bahkan kehadiran khalayak di hari persamiannya membayangkan A. Samad Said amat popular dan mempunyai peminat yang tersendiri.
Sekarang pula sedang berlangsung pameran solo keempat pelukis Mustapha Haji Ibrahim di RA Fine Arts di Jalan Damai off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Mustapha atau Tapa adalah pengasas Kumpulan Anak Alam. Bahkan dia dianggap sebagai bapa alam. Pameran solonya kali ini menampilkan hasil karyanya selama 40 tahun yang melibatkan koleksi yang tidak dijual, koleksi pinjaman daripada kolektor tertentu dan karya-karya yang memang untuk dijual. Nilai harganya dari serendah RM4000 sebuah sehingga kepada 80,000 sebuah. Dan khabarnya separuh daripada lukisan yang untuk dijual telah dibeli oleh pelbagai kolektor dari Singapura. Apabila kolektor dari Singapura yang membelinya, tentu mereka memiliki “future” yang tersendiri terhadap hasil karya Mustapha Haji Ibrahim. Apa dah jadi dengan Balai Seni Lukis Negara, Galeri Petronas dan Galeri Bank Negara Malaysia?
Mustapha Haji Ibrahim sudah sekian lama berkarya. Tetapi dia sebagai bapa alam, nampaknya terlindung oleh sahabat alamnya yang lain seperti A. Latiff Mohidin, Sharifah Fatimah Syed Zubir, Ali Rahamad (Ali Mabuha), Zulkifli Dahalan, Siti Zainon Ismail, A. Ghafar Ibrahim dan beberapa generasi pelukis yang kemudian singgah dan bergabung dengan Anak Alam.
Perkembangan menarik juga sedang terjadi dalam seni lukis moden hari ini. Kolektor seni juga ada pelbagai kerenah dan minat. Ada yang membeli karya kerana duit ringgit terlalu banyak tanpa menghiraukan siapakah pelukisnya, dan memikirkan sejauhmana prospek masa depan pelukis tersebut. Ada kolektor membeli karya kerana dia memang suka dengan karya tersebut. Ada kolektor yang lain pula memberi karya kerana nama dan tandatangan pelukis yang diminatinya itu berada di bawah sebelah kiri atau kanan sesebuah catan yang dibelinya itu. Selain BSLN, Galeri Petronas dan Galeri Bank Negara Malaysia ternama ramai kolektor yang membeli karya pelukis.
Selain hasil karya pelukis ternama yang sedia ada, yang sedang mencipta nama, dan yang bakal mencipta nama, karya pelukis yang sudah meninggal dunia adalah antara yang paling diburu oleh kolektor. Alasan yang paling asas terhadap pelukis yang meninggal, kerana sudah tidak ada lagi karya yang baru yang terhasil dari tangan pelukis tersebut.
Perkembangan seni lukis moden hari ini telah kehilangan beberapa nama besar seperti Hoessein Enas, Mazeli Mat Som, Nik Zainal Abidin Nik Salleh, Dzulkifli Buyung, Zulkifli Dahalan, M. Zain Idris, Yusoff Haji Abdullah, Ahmad Khalid Yusoff dan beberapa pelukis lagi. Nampaknya karya seni lukis menjadi lebih mahal harganya berbanding ketika pelukisnya masih hidup. Karya Hossein Enas mencecah puluhan ribu ringgit. Siri lukisan kanak-kanak oleh Dzulkifli Buyung memang dicari oleh kolektor. Siri Wayang Kulit oleh Nik Zainal Abidin dan Yusoff Haji Abdullah harga melambung sehingga RM60,000. begitu juga dengan karya cat air oleh M. Zain Idris, yang berasal dari Besut, Terengganu itu dicari oleh kolektor.
Paling baru, pelukis Yee I-Lann terkejut besar apabila sebuah karyanya yang berjudul Huminodun dijual oleh Chistie Hong Kong dengan nilai RM117,000.00. Humonodun bukanlah karya yang menggunakan cat minyak, arkilik atau pun cat air, tetapi karya “digital art” dari siri Kinabalu. Dengan imej perempuan Kadasandusun yang mengandung, rambut berjurai panjang dan di hujung rambutnya itu tumbuh setangkai padi. Manakala di belakangnyanya terbentang sawah yang menganjur jauh, barisan bukit-bukit dan gunung Kinabalu dilitupi oleh kabus. Di penjuru kirinya seekor anjing hitam sedang memerhati perempuan yang memiliki kuasa spiritual itu sedang memenjamkan matanya.
Yee, pelukis dan guru di National Arts Academy di Kota Kinabalu ini terkejut dengan harga karyanya itu. Bahkan ketika menerima panggilan temannya tentang jualan oleh Chistie, dia seperti tidak ingin percaya.
Sani Sudin, umpamanya lebih dikenali sebagai komposer, penyanyi lagu puisi, pelakon pentas, ketimbangan kerja hariannya sebagai pelukis. Sani sebagai pelukis, hasil karya belum lagi menjadi buruan kolektor. Namun Siri Kulat, Siri Cawan dan Teko, Siri Matahari dan Siri Puisi Di Dalam Dalam yang dihasilkan oleh Sani Sudin bukanlah siri karya yang tidak mempunyai masa depan. Karya-karya Sani Sudin membayangkan penjelmaan emosi yang melebar dan mengakar. Bahkan dalam siri-siri karyanya ini membayangkan bakat seni lukis yang berada di dalam diri Sani Sudin lebih besar dan lebih hebat ketimbang beberapa “pelukis” yang karyanya diburu oleh kolektor.
Perlu juga diingat bahawa tidak semua kolektor mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ilmu seni lukis. Ada juga kolektor yang sekadar ikut-ikutan, membeli karya kerana lulusan yang berjela, tetapi yang dikoleknya hanya kanvas kosong dan carit, mujurlah ada tandatangan pelukis yang dikoleknya itu. Beruntunglah kolektor yang terdidik dalam dunia seni lukis kerana dia memahami apa yang dibelinya. Menjadi kolektor seni samalah juga dengan perniagaan batu permata, hanya jauhari yang mengenal maknikam!
Walaupun artis di dalam dunia seni lukis tidak seglamour artis dari dunia seni lakon dan dunia nyanyian, kerjaya mereka sebagai pelukis nampaknya yang paling prestige. Mereka tidak tampil dengan wajah segak, aksi yang menggiurkan atau suara yang lunak merdu, tetapi tampil dengan kehebatan karya yang merakamkan imej dan identiti bangsanya. Seorang pelukis, semakin tua dan berusia akan terus hadir dengan karya besar atau masterpiecenya, tetapi seorang seniman panggung, dan seniman suara akhirnya terpaksa berundur dari dunianya itu kerana ketuaan dan kehilangan suara. Tetapi pelukis tetap dicari dan diburu karyanya walaupun selepas mati.
31 Mei 2008