“Waktu Malam Bila Kecemasan Tidur…”
Victor Pogadaev
Kadang-kadang hal yang menakjubkan terjadi dalam kehidupan. Pada tahun 1998 nasib membawa saya sekali lagi ke Malaysia untuk mengikuti Sayembara puisi bersempena dengan Hari Kemerdekaan. Sayembara itu diselenggarakan oleh persatuan penulis Gapena dan berlangsung di Pulau Pinang. Bertepatan dengan Sayembara, Gapena mengadakan pertemuan dengan ahlinya dari semua negeri Malaysia. Antara mereka yang hadir, saya tak menduga akan menemui seorang kenalan lama, yakni Yaakob Isa: pada suatu waktu dahulu kita bersama-sama menuntut di Universiti Malaya. Kenalan saya itu menjadi orang yang agak terkenal di Malaysia: dia bekerja sebagai Pensyarah sebuah Kolej Islam di Kuantan, menyusun Kamus Bahasa Melayu Klasik, menulis beberapa buku. Yaakob Isa menjemput saya ke Kuantan dan saya menerima jemputannya.
Maka datanglah saya ke Kuantan, ibu negeri Pahang. Rumah Yaakob di perkampungan Koperasi Guru di mana dia tinggal bersama isterinya: anak-anaknya sudah dewasa dan menjalani kehidupoan sendiri di Bandar-bandar lain. Pada malam hari saya berjumpa dengan para sasterawan setempat. Kita membincangkan masalah sastera sambil makan durian yang sedap. Antara sasterawan itu hadir seorang pemuda. Mungkin saya tidak ingat namanya sekiranya dia tidak menghadiahkan saya dengan buku puisinya bertajuk Sekepal Tanah.
Beberapa hari kemudian saya pulang ke Moscow. Oleh kerana kesibukan, saya tidak ada kesempatan untuk membaca buku itu sehingga berita sedih datang: sahabat lama saya meninggal dunia yakni seorang wartawan Rusia berbakat yang bekerja di Bandar Krasnovodsk (Turkmenbashi) di Turkmenia. Saya berduka cita sehingga tidak boleh memikirkan hal-hal yang lain dan secara kebetulan melihat buku Sekepal Tanah. Seakan-akan dengan sendirinya saya mengambil buku itu dan membeleknya. Barisan-barisan pertama yang say abaca memberikan kesan mendalam terhadap saya – begitu puisi kena pada hati saya sehingga saya langsung menterjemahkannya dan menerbitkan kemudian di akhbar “Sakmarskie Vesti” di mana Anatoly bermula kerjayanya sebagai wartawan. Profesor Alexander Ogloblin dari Petersburg juga menyukainya serta menerbitkannnya di dalam salah sebuah buku tentang kebudayaan nusantara.
Yang menulis buku Sekepal Tanah ialah Rahimidin Zahari, salah seorang penyair moden Malaysia yang berbakat. Dia dilahirkan pada tahun 1968 di Kelantan. Seperti budak-budak lain dia membesar dalam suasana bebas sambil meresap kehormatan kepada tanah kuno yang terkenal dengan budaya sejati. Dia bermain gasing, sepak takraw dan wau yang berwarna-warni, bersama dengan orang dewasa menikmati pertunjukan wayang kulit serta muzik gamnelan yang tiada taranya. Bersamaan dengan itu, dia dengan tak diketahui oleh orang sekitar mula mengarang puisi.
Rahimidin bertuah – bakatnya dieprhatikan dan dia mendapat peluang mengikuti Rancangan Sijil Seni Kreatif (kesusasteraan) di Universiti Sains Malaysia. Hadiah mencurah-curah: Hadiah Pertama Peraduan Menulis Sajak Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (1986), Hadiah Penulis Muda Terbaik Sayembara Cerpen Esso-Gapena VIII (1991), Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena (1992), Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1995), Anugerah Puisi Islam Darul Iman III(1995) dan banyak lagi. Rahimidin pernah mewakili Negara ke Second ASEAN writers Conference di Manila, Festival Istiqlal II di Indonesia, serta Pengucapan Puisi Antara Bangsa Kuala Lumpur 2002.
Kami berjumpa semula pada tahun 2001 bila saya mula mengajar di Universiti Malaya. Sejak itu kami bertemu dan bercakap banyak. Puisinya menjadi lebih dekat dan dihayati secara mendalam.
Tentu puisinya mencerminkan apa yang menentukan kandungan kehidupan rohaniahnya, “peringkat keperibadiannya”. Puisinya memerlukan pemikiran jitu, respons emosional terhadap perasaan pemergian kita yang tidak boleh dielakkan dari dunia fana. Ini bukan pesimisme. Di sebalik kehidupan duniawi nampak keabadian. Apakah kita suadh bersiap untuk pertemuan dengan kehidupan akhirat yang utama itu?
Nenda Ismail, benar
seperti kata akhirmu:
kita sentiasa dekat
cuma terpisah
oleh ruang yang lain.
(Sekepal Tanah)
Sajak-sajaknya adalah penuh bayangan, rahsia dan perasaan halus, juga sangat menonjol motif cinta, sama seperti penyair Rusia, A.S. Pushkin (1799-1835): “Rindu aku penuh dengan kau”. Tetapi cinta duniawi pada Rahimidin seperti pada penyair Malaysia yang lain juga, tidak terpisahkan daripada cinta yang lebih luhur yakni cinta kepada Tuhan.
Bunyi puisi Rahimidin sangat berirama tetapi sekiranya setiap pembaca boleh mengertinya dengan caranya pemahaman sendiri. Terjemahan puisinya juga boleh berbeza terpulang kepada sudut mana seorang penterjemah mahu menitikberatkan: irama, suasana hati atau makna yang tepat. Puisi Rahimidin dengan sepenuhnya mencerminkan kata-kata penyair Rusia, Alexander Blok (1880-1921):
Waktu malam bila kecemasan tidur,
Serta Bandar hilang dalam gelap –
Alangkah banyak muzik dipunyai Tuhan,
Alangkah banyak bunyi bumi gemerlap!
No comments:
Post a Comment