Monday, May 5, 2008

Aprilku Yang Sibuk

Sepanjang aprilku yang sibuk, menerima enam undangan untuk ceramah, baca puisi dan hakim. 5 april di Taman Budaya Ipoh menyampaikan Ceramah Asas Pemasaran Budaya, 10 april ke SMK. Raja Muda Musa di Teluk Intan ceramah KOMSAS bersama Hassan Baseri Budiman dan Haji Abu Hassan Morad, 11 april malam di Sek. Teknik Bentong ceramah Kerjaya Penulisan bersama Sutung Umar RS, 16 april menyampaikan ceramah Tranformasi Wayang Kulit Kelantan dalam Seni Lukis Moden Malaysia, 26 april di Dataran Penggaram Batu Pahat bersama Khalid Salleh dan Sutung Umar RS untuk Kembara Puisi Batu Pahat 2008 dan pada 29 april menjadi panel hakim Pertandingan Lagu Puisi Sekolah-Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan di Taman Budaya KL bersama Siso, Tujeri Shah dan Izudin Mokhtar.Kertas ceramah di BSLN wajar dikongsikan bersama khalayak. Dilampirkan kertas tersebut:


Tranformasi Wayang Kulit Kelantan dalam Seni Lukis Moden Malaysia

Pengenalan

Wayang Kulit Malaysia terbahagi kepada empat genre, iaitu Wayang Kulit Kelantan,Wayang Melayu, Wayang Gedek dan Wayang Jawa atau Wayang Purwa. Sehingga berakhirnya tahun 2007 Wayang Kulit Kelantan menunjukkan perkembangan dalang masih mempunyai beberapa dalang yang aktif seperti Dalang Yusoff Mamat (Jusoh Lapok Kampung Laut), Dalang Ripin Setek, Kok Lanas, Dalang Eyo Hock Seng (Pak Cu) Kg. Pasir Parit, Pasir Mas, Dalang Dollah Ramvong Kg. Pasir Gajah, Kuala Krai, Dalang Nik Mat Ludin (Nik Mat Suara Mas Kg. Kemasin, Bachok) dan beberapa nama lagi. Manakala di luar Kelantan, terdapat berapa dalang wayang Kulit Kelantan seperti Dalang Che Mat Jusoh di Pulau Pinang, Dalang Nasir Yusoff, Dalang Abdul Wahab Othman dan Dalang Azli di Kuala Lumpur.

Antara empat jenis Wayang Kulit yang wujud dalam tradisi Wayang Kulit Malaysia ini, Wayang Kulit Melayu sebenarnya telah mengalami zaman kepupusannya apabila meninggalnya dalang Husein Che Lah pada tahun 1984. Manakala Wayang Purwa yang masih ada hanya seorang dalang, iaitu Margono Paijo dari Kumpulan Sri Wahyuni, Parit Bingan, Batu Pahat di bawah pimpinan Mohamad Marji selepas kematian Dalang Margono Sitir dan Rabion Ahmad. Manakala Wayang Kulit Gedek juga masih terdapat seorang dalang, iaitu Dalang Abd. Majib Mohd. Noh yang memimpin Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun dari Kampung Kunluang, Mukim Binjai, Kubang Pasu, Kedah.

Agak menarik kerana dalam bahasa tradisi wayang Kelantan, bentuk panggung Wayang Kulit Kelantan dibina tidak sama dengan tradisi panggung untuk wayang kulit Melayu, Gedek dan juga Wayang Purwa. Bentuk panggungnya dikenali sebagai ‘tinggung-tinggungan asu’ iaitu kedudukan seperti anjing bertinggung, sedangkan perkataan ‘asu’ itu adalah sebutan untuk anjing dalam bahasa Iban di Sarawak (1994: 7).

Begitu juga dengan pelita atau lampu panggung yang tergantung di depan kelir yang menerbitkan bayang daripada pergerakkan patung yang dilayangkan oleh dalang dikenali sebagai ‘Kolam Penglipurlara’, dengan sarang pelita yang berlubang dikenali sebagai ‘Lubang Nyawa’ dan nyalaan dari sumbu pula disebutkan sebagai ‘Cahaya Muhamad’. Dan lampu panggung hari ini yang menggunakan balt neon sebenarnya tidak mempunyai nama khusus dalam tradisi Wayang Kulit Kelantan. Perbezaan dan nilai tradisi sama ada dalam pembinaan panggung, alat muzik, kelir, lampu panggung, tradisi penceritaan dan bentuk patung menjadikan tradisi Wayang Kulit Kelantan itu berbeza dengan Wayang Purwa, Wayang Melayu dan Wayang Gedek.

Sejauh yang dapat dikesan, patung wayang kulit Kelantan terawal dan tersimpan dengan baik masih terdapat di Cambridge University adalah milik Dalang Abas (WW Skeat: 2005). Sebanyak 149 patung Wayang Kulit diperolehi oleh Skeat ketika beliau bertugas di Daerah Kuala Langat, Selangor dari tahun 1886 hingga 1897. Mubin Sheppard (1963: 14) menuliskan:
“Mr. Skeat, who served in the Malay Civil Service from 1891 to 1900 when he was obliged to retire owing to ill health, records that the set of shadow play figures, togerher with 4 musical instruments and a candle stick with shade, formed the entire outfit of Enche Abas, a Kelantan Malay, who had for many years given performances in the Kuala Langat district. Travelling Malay puppeteers from Kelantan commonly visited many parts of Malaya for short seasons in those days, and Enche Abas brought with him a representative assembly of the characters which were necessary to anable him to give a suitably varied repertoire, including stories from Ramayana, the Pandawa tales and the Panji Cycle. These figures are of distinctively Malay design and are very different from the Thai shadow puppets and even further removed from the appearance of Javanese shadow play figures.”

Mengikut Mubin dalam artikelnya itu, terdapat banyak watak atau patung milik dalang Eche Abas yang tidak terdapat di dalam koleksi patung oleh dalang semasa. (Merujuk kepada tahun artikel Mubin ditulis). Bahkan watak-watak komidi seperti Si Busu, Salleh Jangka, Toh Bakak (Tok Bangkok-penulis), Awang Jangak dan Anak-anak Pak Kadir. Persembahan dalam tradisi Wayang Kulit zaman dalang Abas masih menggunakan dua watak komedi sebagaimana penggunaannya oleh dalang-dalang dari Pattani, masih kekal menampilkan Pak Diman dan Pak Kadir. Dalam tulisannya yang sama Mubin menganggap dua watak komedi yang popular kemudian, Pak Dogol dan Wak Long muncul selepas 60 tahun kemudian dari zaman dalang Abas.

Abdul Rahman Al-Ahmadi (2001:121) menulis bahawa Dalang Saman yang bertanggungjawab menukarkan tokoh lawak jenaka Pattani iaitu Pak Diman dan Pak Kadir. Di Kelantan Pak Diman dikenali sebagai Pak Dogol, manakala Pak Kadir dikenali sebagai Wak Long. Dalang Saman mengikuti Abdul Rahman Al-Ahmadi terkenal sebagai dalang yang memainkan lakon Ramayana dan sezaman dengan pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886), sedangkan dalang Abas pula diperolehi koleksi patungnya sekitar (1896-1897). Dapat diandaikan kedua dalang ini hidup dalam ruang zaman yang sama, cuma yang seorang menetap di tanah asalnya, manakala seorang lagi keluar meninggalkan Kelantan untuk mempersembahkan wayang kulit di luar tanah asalnya. Amat disayangi juga kerana, Skeat cuma membeli koleksi patung dalang Abas, tanpa mencatatkan salsilah pendalangan dan biografi ringkasnya. Andaikata terdapat tulisan tentang peribadi dalang Abas ini dibuat oleh Skeat, maka alangkah lebih mudah untuk menelusuri geneologinya dalam silsilah dalang Kulit Kelantan berdasarkan jurai yang dimulakan dalang Erik dan Erok itu. Sayangnya nama Dalang Abas, tidak dicatatkan juga oleh Amin Sweeney dalam kajian dan penemuan beliau.

Bentuk patung Wayang Kulit Kelantan

Sungai Kelantan dikatakan garis pemisah kepada dua bentuk rekabentuk patung dalam tradisi Wayang Kulit Kelantan. Kelompok patung dari jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah mewakili satu bentuk rekaan patung, manakala jajahan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh pula memberikan bentuk yang satu lagi. Walaupun tradisi Wayang Kulit Kelantan berjuraisalsilahkan Erik, Erok, Ekong, Eko, Saman, Ya’akub, Mamat Ismail Jelawat, Awang Lah Mokrak dan yang sezaman dengannya, namun dalam koleksi BSLN tidak terdapat koleksi patung yang lebih awal ketimbang patung yang diperolehi daripada koleksi dan hasil tukangan tangan dalang Dollah Baju Merah.

Bentuk watak atau patung Wayang Kulit Kelantan berubah mengikut zaman. Kalau zaman dalang Saman beliau menggunakan daun macang untuk membuat patung wayangnya. Bentuk rekabentuk patung berbeza jelas semasa zaman dalang Awang Lah Mokrak yang mewakili jajahan Tumpat berbanding dengan dalang Mamat Semail dari jajahan Bachok. Paling ketara pada watak-watak utamanya seperti Seri Rama, Laksamana, Bota Mahwajawana, Hanuman Kera Putih dan Siti Dewi. Seri Rama yang mewakili jajahan Tumpat dilukiskan memakai sayap sandang dan tidak berkasut, sedangkan dari jajahan Bachok Seri Ramanya bersampin. Hanuman Kera Putih dari jajahan Tumpat dengan kaki sebaris, manakala dari jajahan Bachok kakinya terbuka keluar.

Penciptaan bentuk patung dari jajahan Bachok ini dipengaruhi oleh pembesar negeri ketika itu yang meminati wayang kulit. iaitu Datuk Perdana ( Datuk Nik Mahmud Paduka Raja) yang memiliki pelbagai teks klasik Melayu dan menghantar seorang tukang perak dikenali sebagai Nik Leh ke Jelawat sebagai hakim dan juga membuat kerja-kerja menebuk patung wayang. Kebetulan Datuk Perdana bersahabat baik dengan dalang Mamat Semail.

Secara umumnya bentuk patung Wayang Kulit Kelantan berbeza dengan Wayang Purwa, Wayang Melayu dan Wayang Gedek. Dalam tradisi Wayang Kulit Kelantan, watak-watak utamanya seperti Seri Rama, Laksamana, Siti Dewi, Hanuman Kera Putih, Bota Mahrajawana, Sagariwa, Babusanam hanya menggunakan sebelah kanan sahaja digerakan oleh dalang apabila watak-wataknya bercakap atau berdialog. Manakala mulut watak-watak ini kekal tidak bergerak. Hanya watak-watak komidinya seperti Pak Dogol, Wak Long, Wak Yah, Samad dan Said, yang boleh menggerakkan kedua-dua belah tangan mereka. Begitu juga dengan mulut watak-watak komik ini juga akan digerakan oleh dalang.

Bentuk patung dalam Wayang Kulit Kelantan amat ketara berbeza berdasarkan koleksi zaman dalang Abas sehingga perkembangan terkini. Bentuk patung sezaman dengan dalang Abas, ukirannya tidak seindah dan seharus ukiran patung pada masa kini. Ukiran agak ringkas dan patung yang dilayangkan di depan kelir hanya mengeluarkan bayang yang berwarna hitam dan gelap sahaja. Berbeza dengan patung-patung wayang kulit hari ini, apabila dilayangkan di hadapan kelir, seluruh warna dari reka bentuk patung akan keluar di kelir sebagaimana ukiran patungnya yang asal. Ukiran awal, hitam dan tak cantik kerana dalang membentuk patung wayangnya dari kulit lembu atau kerbau yang tebal.

Dalang Yusoff Mamat dari Kampung Laut mengatakan patung-patung wayang kulit kelihatan cantik kerana beliau menanamkan belulang kulit lembu ke dalam tanah selama beberapa malam sebelum kulit itu dijemur, dilukis, dan dicat menjadi patung yang siap. Ilmu menanam kulit lembu di dalam tanah itu dipelajarinya daripada dalang Hassan Omar atau Hassan Kedai Buluh. Berbeza dengan perkembangan terkini, kulit yang sudah diproses nipis dijual dengan mudahnya di Selatan Thailand. Kulit ini apabila digunakan akan memberikan warna penuh kepada patung wayang kulit yang dilukiskan. Lebih menarik dan cantik sekiranya warna batik digunakan untuk mengecat patung wayang kulit kerana warna batik akan meresapi menembusi kulit menjadikan patung begitu indah di hadapan kelir.

Koleksi Patung Dollah Baju Merah

Dalam koleksi Balai Seni Lukis Negara terdapat 315 buah patung wayang kulit dan peralatan muzik daripada koleksi dan hasil tangan dalang ternama Kelantan Dollah Baju Merah atau nama asalnya Abdullah bin Ibrahim (1938-2005). Dalam jurai pendalangan Wayang Kulit Kelantan Dollah berada di Jajahan Kota Bharu, tetapi bentuk patung wayangnya dipengaruhi oleh bentuk patung dari jajahan Tumpat.

Hal ini terjadi disebabkan dalang Dollah bukan sahaja menerima ilmu pendalangannya dari dalang sebelah jajahan Kota Bharu seperti Dalang Wan Ahmad Kg. Loak, Bukit Marak, Dalang Pak Da Sabak, Dalang Tok Ali, Dalang Karim Parindu, tetapi juga Dollah telah menyeberang ke sebelah barat (Selatan Thailand) untuk belajar ilmu wayang dari dalang di sana. Antara guru wayang Dollah di Selatan Thailand ialah dalang Dollah Rakak, dan dalang Pak Su Mat Air Hitam.

Di dalam koleksi patung wayang kulit Dollah Baju Merah sebenarnya tidak semua patung ditebuk oleh dalang ini. Terdapat patung yang dilukis oleh beliau, tetapi ditebuk oleh anak-anak muridnya. Dan tidak semua patung dalam koleksinya itu berasaskan watak untuk Wayang Kulit Kelantan kerana terdapat patung watak-watak Dewa umpamanya adalah dibeli dan dihadiahkan oleh kawan-kawannya dari tradisi Wayang Kulit Purwa.

Kehebatan Dollah Baju Merah yang paling ketara kerana kehadirannya sebagai dalang yang paling unggul di zamannya dan beliau telah mencipta lagenda yang tersendiri dalam perkembangan Wayang Kulit Kelantan. Tidak ada dalang yang lebih hebat dan terkenal di zaman kemunculannya sehingga terdapat ramai dalang terpaksa berhenti daripada bermain wayang kerana mereka tidak dijemput untuk membuat persembahan. Sekitar tahun 70-an, Dollah terpaksa menyusun jadual penuh untuk setahun persembahannya. Kehebatan Dollah yang sebenarnya adalah kehebatan diri beliau menguasai cerita wayang, teknik ucapan watak-wataknya, nyanyian, dan teknik melayang patung. Apabila wataknya muncul di depan kelir, kita melihat seolah-olah patung yang dimainkan oleh Dollah benar-benar menari. Begitu juga apabila adegan perang, perang seru seperti benar-benar terjadi. Apabila Hanuman Kera Putih keluar di kelir, kehebatan Dollah sebagai dalang akan terserlah sepenuhnya. Lawak dan komedi yang dibawakan oleh Dollah benar-benar hidup dan memikat khalayak. Beberapa ungkapan dan unsur moden seperti kapal terbang, kereta kebal, keretapi ikut dituturkan oleh watak-watak komiknya. Inilah antara yang memukau khalayak sehingga panggungnya menjadi penuh.

Sebelum kepulangan Dollah Baju Merah dari Selatan Thailand, belum ada watak komedi yang menjadi pengikut Pak Dogol dan Wak Long. Watak Wak Yah, Samad, dan Said adalah watak komedi yang dibawa pulang oleh Dollah Baju Merah kerana minatnya yang mendalam kepada watak-watak komedi yang dibawa oleh gurunya dalang Dollah Rakak dari Selatan Thailand. Penggunaan watak-watak komik ini juga menjadi daya tarikan yang tidak sedikit kepada kepopularan beliau sebagai dalang.

Wayang Kulit Dalam Seni Lukis Moden

Dari dunia panggung dan bayang, wayang kulit dalam bentuknya yang tradisi berubah ke kanvas pelukis mengikut ekspresi yang dipilih oleh pelukis. Antara pelukis moden terawal tanah air yang memindahkan tradisi wayang kulit ke dalam karya mereka antaranya Nik Zainal Abidin Nik Salleh dan Yusoff Abdullah. Pemindahan elemen tradisi dalam karya seni lukis ini kemudiannya diteruskan oleh pelukis-pelukis yang terkemudian dengan menggunakan tema dan teknik yang berbeza mengikut konsep, aliran dan kefahaman yang diingini oleh seseorang pengkarya itu.

Nik Zainal Abidin Nik Mohd. Salleh

Nik Zainal (1931-1993) adalah pelukis kelahiran Kelantan yang memanfaatkan tradisi Wayang Kulit ke dalam karya seni lukis beliau.Terdapat 10 karya lukisan Nik Zainal Abidin yang ada kaitan dengan Wayang Kulit dalam koleksi BSLN dengan judul Puja Pantai (1958), Wayang Kulit Kelantan (1959), Seni Melayu (1959), Semar and His Lover (1962), Bangau (1962), Durupadi (1970), Maharaja Boma (1960), Salasilah (1961), Wayang Melayu (1982) dan Wayang Kulit 1 (1961). Tidak semua karya Nik Zainal yang disebutkan ini menggambarkan wayang kulit secara penuh. Umpamanya dalam Puja Pantai, Seni Melayu dan Bangau, tetapi dalam ketiga-tiga karya ini elemen Wayang Kulit tetap diterapkan oleh pelukis di dalam karyanya itu. Dalam Wayang Kulit Kelantan, Salasilah dan Wayang Kulit 1, Nik Zainal benar-benar mengangkat watak-watak dari tradisi Wayang Kulit Kelantan. Manakala Semar and His Lover, Durupadi, Maharaja Boma dan Wayang Melayu dari tradisi Wayang Kulit Purwa dan Wayang Melayu. Dalam koleksi penulis sendiri terdapat dua buah karya Nik Zainal yang berjudul Keluarga Siti Dewi (1963) dan Pahlawan Tanah Jawa (1963).

Daripada karya-karya beliau yang berindentitikan seni tradisi Kelantan ini, Nik Zainal adalah antara pelukis moden terawal Malaysia yang menemukan bentuknya yang tersendiri. Beliau dengan rajin dan tekun mengembangkan bakatnya sebagai pelukis dengan meminjamkan kemahiran membuat lukisan dari dunia wayang dan bayang. Dan Nik telah memberikan kesan yang lain apabila dia begitu setia kepada alam dan dunia pilihan beliau.

Selain itu, Nik Zainal juga membuat gambar patung wayang Kulit Kelantan untuk buku Wayang Kulit De Kelantan- Theatre d’ombres de Malaysia (1971). Di dalam buku tersebut terdapat 11 gambar patung yang terdiri daripada Siti Dewi, Sri Rama, Laksamana, Raja Sagawira, Hanuman, Maharaja Rawana, Pateh Jambu Awang, Pak Dogol, Wak Long, Maharisi, dan Inderajit.

Yusoff Abdullah

Yusof Abdullah (1926-2006) adalah teman seangkatan Nik Zainal, yang sama-sama menerima pendidikan awal seni lukis daripada pelukis Cikgu Nik Mahmod Nik Idris. Berbanding dengan lukisan Nik Zainal, lukisan Wayang Kulit (1960) karya Yusoff Abdullah lebih menggambarkan ciri Wayang Kulit Kelantan yang sebenarnya. Sayangnya BSLN hanya memiliki sebuah karya Yusoff yang bertemakan sedemikian. Dalam koleksi BSL Kelantan terdapat lukisan batik Yusoff Abdullah yang juga berjudul Wayang Kulit (1988). Karya ini jelas menggambarkan kemahiran dan kesebatian Yusoff dengan dunia Wayang Kulit. Yusoff merakamkan dari dalam panggung sang dalang yang memegang Seri Rama di tangan kanan, dan Bota Mahrajawana di tangan kirinya. Pertentangan nilai kuasa baik dengan kuasa jahat dalam Wayang Kulit Kelantan. Manakala awak-awaknya dengan geduk, gedombak, gendang, kesi dan tetawak berada di atas hamparan tikar mengkuang.

Begitu juga dengan karya batik Yusoff yang berada dalam koleksi DBP Wilayah Timur juga dalam siri Wayang Kulit (1978), Yusoff merakamkan Episod Betara Kala ataupun upacara memperlimau dalang muda oleh gurunya dalang tua. Segala peralatan memperlimau atau proses penyerahan ilmu oleh guru (dalang tua) kepada dalang muda dirakamkan oleh Yusoff dalam karyanya itu. Karya Yusoff yang ini adalah gambaran terbaik yang pernah penulis lihat bagaimana tajam dan telitinya Yusoff dalam menggambarkan peristiwa yang paling penting dalam tradisi penurunan ilmu dalam tradisi Wayang Kulit Kelantan.

Dalam koleksi penulis sendiri terdapat sebuah karya catan Yusoff yang berjudul Dalang dan Wayang (1981) yang merakamkan dari dalam panggung seorang dalang sedang memegang patung Seri Rama di tangan kanan dan Bota Mahrajawana di tangan kirinya. Yusoff tetap memegang prinsip yang baik di sebelah tangan kanan dan yang tak baik di sebelah tangan kirinya. Dalam karya ini pecahan warna dari lampu panggung itu melebar dan membesar menjadikan karya ini lebih menarik.

Antara Nik Zainal dan Yusoff Abdullah terdapat kelebihan yang berbeza. Nik Zainal merakam pelbagai bentuk wayang kulit yang ada di Malaysia, Wayang Kulit Kelantan, Wayang Purwa dan Wayang Melayu. Indentiti budaya yang dimiliki oleh Nik Zainal ditumpukan kepada watak-watak patung Wayang Kulit yang dirakam dari luar kelir atau pun di hadapan kelir. Tetapi rakaman itu bukan sahaja secara tersusun sebagai penonton sebuah persembahan di depan panggung, tetapi Nik Zainal memiliki kaedah dan gaya penyusunan yang memikat dan menarik dan menggambarkan kepakaran dirinya dalam memindahkan tradisi wayang kulit Kelantan ke atas kanvas mahupun ke dalam warna airnya.

Manakala pelukis Yusoff Abdullah, memiliki kaca mata berbeza dalam merakamkan wayang kulit Kelantan. Nampaknya Yusoff benar-benar setia kepada Wayang Kulit Kelantan, tanpa meminjamkan gambar patung dari tradisi Wayang Melayu dan Wayang Purwa. Yusoff mengambil sudut yang berbeza daripada Nik Zainal. Yusoff merakamkan Wayang Kulit Kelantan dari atas atau dari dalam panggung itu sendiri. Yusoff mempertentangkan watak baik dan buruk di tangan kanan dan kirinya. Pemuzik atau awak-awak panggung dalam Wayang Kulit Kelantan banyak mengambil tempat dan ruang bersama-sama dalang dan wayang. Yusoff melihat patung, dalang dan awak-awak memiliki fungsi yang sama pentingnya dalam menghiburkan khalayak. Lebih jauh, Yusoff nampaknya menjadi kamera masa lampau yang telah merakamkan dengan baik sekali upacara ritual dalam tradisi memperlimaukan murid atau dalang muda dalam episod Betara Kala. Segala pekakas dan peralatan untuk menurunkan ilmu dari guru tua kepada muridnya dirakam dengan baik oleh Yusoff Abdullah.

Selain Nik Zainal dan Yusoff Abdullah, terdapat beberapa pelukis yang menggunakan elemen Wayang Kulit di dalam karya seni lukis moden mereka. Antaranya Romli Mahmud, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa, Ismail Kadir, Abd Rani Abd Majid, Faizal Sidik, Yong Chien Chin, Termizi Mukhtar , Ivan Lam Wai Hoe, Tew Nai Tong dan beberapa pelukis baru.

Ismail Kadir merakamkan penghargaan yang tinggi kepada dua Seniman Negara, dalang Hamzah Awang Amat dan primadona makyung Khatijah Awang dalam catannya yang berjudul Potraits of the Two Legends (2002). Dari tradisi Wayang Kulit juga, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa melahirkan karya catannya Sang Nagahari (Hari Kelahiran Yang Dinanti-nantikan) dan Abd. Rani Abd Majid dengan Warisan Budaya 2 (2006). Seterusnya pelukis, Yong Chien Chin menghasilkan Legend of Wayang Kulit (2001) dengan menggunakan bahantara dakwat china dan warna. Dalam karyanya ini Chin mempertentangkan dualisme yang berada dalam satu watak dengan menyamaikan konsep Yang dan Ying dalam tradisi masyarakat China.

Pelukis Abd. Rani Abd Majid melukis tidak kurang daripada 20 buah karya yang bertemakan Warisan Budaya yang mengambil imej dan motif Wayang Kulit Kelantan. Bahkan siri inilah yang paling laku apabila dipamerkan di luar negara, sama ada di Mauritius dan di Reunion Island. Dalam Warisan Budaya I (2003) Abd. Rani menyusun imej-imej Seri Rama dalam wajah hijaunya dengan hamparan anyaman tikar yang disusun menarik. Rebab dengan penggesek, kukuran kelapa dan motif ukiran kayu diterapkan dalam karyanya ini. Manakala dalam Warisan Budaya III (2003) masih mempertentangkan Seri Rama dengan Bota, manakala rebab, gendang, kesi, serunai dan tetawak (gong) diatur di atas hamparan tikar pandan yang terjalin indah. Abd. Rani merakam motif tradisi yang amat disayanginya itu.

Terdapat dua buah karya Romli Mahmud yang berjudul Polimek (1986) dan Akhirnya Ke Kamar Jua II, yang menggunakan motif wayang kulit. Polimek karya campuran dengan patung wayang kulit di lekatkan di atas cermin dan Akhirnya Ke Kamar Jua II menggunakan motif pohon beringin dengan patung Seri Rama dan Rawana dan sedang berdepan. Lukisan ini seakan meramalkan tentang nasib dan masa depan kesenian tradisi tersebut.

Shadow Play (2004) karya Ivan Lam Wai Hoe meletakkan sekeping potret Seri Rama, manakala Tew Nai Tong dengan Wayang Kulit (2007). Karya Tew Nai Tong ingin merakamkan sebuah nostalgia masa silam. Patung wayangnya, dirujuk kepada zaman Dalang Abbas di awal tahun 1990 dengan Seri Rama, Maharisi, Pak Kadir dan Pak Diman yang semuanya dalam warna hitam legam dan belum mendapat sentuhan warna sebagaimana wayang yang boleh kita lihat hari ini. Kalau ingin melihat masa lampau patung Wayang Kulit Kelantan, maka karya Nai Tong adalah salah sebuah karya yang wajar dirtujuk.

Menjejaki tradisi Nik Zainal dan Yusoff Abdullah, terdapat seorang pelukis Kelantan yang meneruskan menggambarkan tradisi Wayang Kulit, iaitu pelukis Termize Mukhtar. Termize memulakan siri Wak Long Menjadi Raja, yang diangkat dari tradisi cerita Wayang Kulit Kelantan yang amat popular sekali di tahun-tahun 60 an dan 70 an. Karya catan Termize memberikan gambaran yang sinis dalam bentuk wayang. Wak Long yang kita tahu adalah watak pengasuh dan pelawak yang sombong dan selaku bercakap dengan meninggi diri dengan teman-temannya. Bayangkan hamba pengasuh diberikan gelar dan pangkat sebagai Raja. Tunggang terbaliklah dunia jadinya. Tema Wak Long Menjadi Raja dalam dunia tradisi telah dipindah oleh Termizi dengan sinis dan nakal. Sinis dan nakal untuk diri dan bangsanya hari ini. Kebetulan Termize juga memulakan tradisi melukis patung wayang kulit untuk seorang dalang yang terkenal di Bunut Susu, Pasir Mas yang bernama Dalang Ismail sejak masih di sekolah rendah lagi.

Kebiasaannya pelukis yang memindahkan tradisi Wayang Kulit ke kanvas mereka mempunyai kaitan dengan negeri Kelantan, tanah tempat popularnya teater tradisi itu, sama ada mereka dilahirkan di Kelantan atau pernah menetap dan belajar di sana. Nik Zainal Abidin, Yusoff Abdullah, Romli Mahmud, dan Termize Mukhtar memang dilahirkan di Kelantan. Manakala pelukis Abd. Rani Abd Majid walaupun berasal dari Pahang tetapi pernah menetap lama di Kelantan kerana mengikut bapanya bertugas di sana. Bersekolah di sana dan selepas waktu Isyak akan keluar bersama ibunya pergi menonton persembahan wayang kulit. Nostalgia dan tradisi itu ikut dipindahkan ke dalam karya seni tampaknya. Sama juga dengan Dr. Ahmad Najib Mohamad Dawa, walaupun dilahirkan di Karak, Pahang tetapi pernah bersekolah di Kota Bharu. Tanah tradisi dan tempat persinggahan akan memberikan kesan kepada jiwa untuk merakam apa yang dilihat dan dimesrai.

Dengan pelbagai teknik dan kreativiti, seniman pelukis mencari indentiti dan menemukan pelbagai medium baru dengan menggunakan pelbagai kekayaan nilai tradisi bangsanya. Dengan menggunakan kekayaan dalam tradisi Wayang Kulit juga, Hasnul Jamal Saidun, Johan Othman dan Wan Marina A.M bergabung tenaga kepakaran mereka dalam menjelma dan menghaslikan The Borrower Of Light sebagai satu penemuan dan tranformasi ciptaan mereka

Kesimpulan

Nilai tradisi akan sentiasa hidup dan berkesinambungan selagi seniman menggerakkan kreativiti dan daya ciptanya untuk menghasilkan karya demi karya. Wayang Kulit dalam bentuknya yang tradisi akan terus menghadapi tantangan zaman dengan cara dan identiti zamannya. Manakala karyawan seni tampak pula akan melihat seni tradisi bangsa mereka sebagai sumber mata air yang akan sentiasa memberikan kekayaan ilham dan inspirasi untuk terus melakar karya demi karya. Transformasi sentiasa berlaku dalam seni tradisi ke dalam seni moden. Dan pelukis Malaysia telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka untuk mendamaikan seni tradisi dan seni tampak moden dengan cara dan gaya pemilihan mereka yang tersendiri.

Bibliografi

Abdul Rahman al-Ahmadi, 2001.”Catatan Sepintas Lalu Sejarah Wayang Kulit di Kelantan” dlm Festival Wayang Nusantara – Wayang Dalam Bayang, Kuala Lumpur: Akademi Seni Kebangsaan.

Amin Sweeney, 1972. The Ramayana And The Malay Shadow - Play. Kuala Lumppur: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Amin Sweeney, 1972. Malay Shadow Puppets – The Wayang Siam of Kelantan, London: The Trustees Of The British Museum.

Anker Rentse, 1947. “ The Kelantan Shadow Play (Wayang Kulit), “ dalam. MBRAS Vol. 20.

BSLN, 2003. Siti Nurbaya…Warisan Seni Etnik dan Tradisi, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

BSLN, 2003. Saksi – suatu apresiasi kisah sejarah melalui seni, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Jamaludin Osman, 2003. Pendalangan Dalam Wayang Kulit Kelantan, (tesis PhD.) belum diterbitkan. Universiti Sains Malaysia.

Mubin Sheparrd. 1963 . Malay Shadow Play Figures In The Museum Of Archaeology And Ethonology, Universiti Of Cambridge. MBRAS.

Rahimidin Zahari, 2003. Bayang Beringin; Biografi Dollah Baju Merah (manuskrip)

Walter William Skeat. 2005. Malay Magic Being An Introduction To The Folklore And Popular Religion Of The Malay Penisula. MBRAS Reprint No. 24. This reprint of the first edition of 1900 was published in 2005 with an introduction by J.M. Gullick and an additional Appendix.

Vinson and Joanne Sutlive. 1994. Handy Reference Dictionary of Iban dan English, Tun Jugah Foundation.
_________
Kertas Bicara Seni pada 16 April 2008 di Auditorium BSLN, jam 10.30 pagi.

http://seniart.info/blog/

3 comments:

Shasha said...

Saya kira di luar bulan April pun Sdr memang sentiasa sibuk...tapi kalau tiba-tiba tak de sibuk langsung, mesti rasa pelik sungguh pulok dok...
eydd

Rahimidin Z said...

eydd,
bulan Mei pun buat-buat sibuk. ada tiga jemputan baca sajak dan satu ceramah. mujur tak jadi pakar motivasi pagi je.

Anonymous said...

pastinya nanti bila ada apa2 ceramah @ motivasi pasti asaya akan menjemput dewek anak wak long.
ongkosnya dibincang kemudian yeah!