Mencari Jalan Pulang
Semalam saya baca habis memoir Kassim Ahmad Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam. Saya terima kad undangan untuk majlis pelancaran buku itu oleh Prof Diraja Ungku Aziz pada 2 Mei 2008 di DBP, tapi tak sempat hadir. Saya cari buku itu pada 3 Mei dan baca habis pada 4 Mei. Saya baca hampir semua buku Kassim, termasuklah buku-bukunya yang diharamkan. Dua bulan lepas Sdr. Rashid Azad Khan bercerita bahawa syarikatnya dalam proses penyuntingan buku itu sewaktu kami duduk semeja di majlis Makan Malam Wartawan Melayu Serumpun di Petaling Jaya. Dr. Zakaria Ali juga ada bercerita bahawa beliau ditawarkan untuk menterjemahkan buku itu ke bahasa Inggeris sewaktu kami bermesyuarat di BSLN.
Saya bersama beberapa orang teman (yang saya ingat Halimi Mohd. Noh, Nor Helmi Othman, Shaparel Salleh, dan Aizan Fauzi) pernah dibawa Dr. Zakaria Ali bertemu Kassim di dusunnya dekat Kulim, Kedah lebih enam tahun lalu. Perjalanannya melintasi ladang kelapa sawit. Kami pun berdialog. Kassim membuka percakapan bahawa Tuhan memberikan kita tangan, kanan dan kiri. Mana-mana boleh pakai. Tetapi ibu saya mengajar tangan kanan untuk makan, dan kiri itu untuk cebok.
Kassim membuka Quran digital, tetapi Aizan Fauzi cepat bertanya bagaimana kalau tak ada bateri atau letrik. Kassim seperti terdiam. Percakapan Kassim lama dan panjang, dari jam 12.30 tengah hari sehingga 4.30 petang. Berbincang, bertanya dan dia menjawab. Aizan, seorang guru sekolah dan sedang bercuti belajar bersama saya agak agresif bertanya, bahkan sering menyudahkan maksud ayat Quran yang Kassim bacakan tetapi tidak habis. Aizan memberikan maksudnya sekali. Saya juga hairan dengan kepetahan kawan saya yang seorang ini. Saya tak banyak bertanya, Cuma kalau tak salah saya tanyakan kenapa Dr. Kassim tak lagi menulis puisi. Jawabnya ringkas, bahawa dia tidak ingin mengulangi apa yang telah ditulisnya.
Apabila kami akan berangkat pulang, Kassim mengingatkan dia akan membaca banyak buku, dan minta kami juga balik baca buku. Beliau berharap untuk bertemu semula. Ketika bersalam untuk pulang, Kassim bertanya Aizan, dari mana beliau belajar bahasa Arab? Aizan seperti tak acuh menjawab, “kat tepi-tepi jalan”. Saya terdiam memerhatikan mereka.
3 comments:
visit blog saya gak k....
terlalu mendalam, susah nak sampai...
crazyloveman,
tk kerana melawat blog saya. saya dah tengok blog awak, bila nak dewasa hek?
saya masih lagi anak muda yang baru belajar merangkak...
laen la dewek anak wak long....
Post a Comment