Thursday, May 8, 2008

Jangan Bersedih, Isteriku

Dalam hidup kita akan menghadapi pelbagai situasi. Suka, sedih, gembira yang amat sangat, tertekan, terhina, dihinakan dan pendek kata bermacam-macamlah. Keagungan dan kekuasaan akan runtuh dan musnah. Yang tinggal hanya kebenaran hakiki. Selain itu akan lebur dan hancur. Hanya Zat tunggal Allah yang maha sempurna. Manusia tetaplah manusia. Selagi akal anugerah Allah Berjaya dimanfaatkan, maka dia kekallah sebagai manusia. Tetapi kalau akal yang dimiliki itu tidak digunakan, maka tarafnya sama sahaja dengan binatang yang menjalar dan berkaki empat. Tanpa sedar, kita saban hari makan bersama, berjalan bersama, dan berketuakan yang jenis menjalar dan berkaki empat itulah.

Kalau kita tidak memperolehi sesuatu, tak usahlah bersedih isteriku. Allah sentiasa ada bersama kita. Biasalah orang Nampak kuman di seberang lautan, tetapi gajah mati di depan mata. Berikan hak kepada yang berhak, dan nescaya sesiapa yang diberikan yang bukan haknya, maka dia telah mengambil yang haram. Dan sesiapa yang bersekongkol dengan golongan yang sedemikian, maka biarlah dia menerima balasan daripada Allah. Kita manusia tidak berhak untuk menghukum. Dan kita bertemu nanti di mashyar Allah yang maha dahsyat itu.

Janganlah bersedih, isteriku. Kerana tak semua yang kita impikan akan tercapai. Segala tertulis di luh mahfuz. Berbahagialah kerana engkau kekasihku yang memiliki Allah yang satu, aku suamimu yang selalu berterbangan di angin lalu, dan empat kuntum bunga hati, penyeri laman dan taman nurani.

Pujian juga bersifat sementara. Kemudian hilang dibawa angin. Penghinaan pasti akan hilang dibawa oleh debu angin juga. Soalnya kembali kepada diri kita sendiri, keyakinan kita dan iktikad. Allah maha melihat, dan maha mendengar. Air mata akan menambahkan dewasa, dan kita sebenarnya semakin tua.

2 comments:

crazyloveman said...

(!_!)
saya percaya satu...
sesuatu yang berlaku ada hikmahnya..

Norziati Mohd Rosman said...

Sangat halus. Suka saya membacanya