Friday, March 13, 2015

KAMI BERTIGA

Saya, Allahyarham Wan Yusoff Hasan dan Allahyarham Hj Wan Alimi Wan Mahmood

Singgah di Surau Muhajirin, Taman Selasih 2 dan seterusnya ke Raudhah As Syakinah mengiringi buat terakhir kali sahabat kami yang berpulang malam tadi. Menatap fotonya ini menjadikan mata saya berkaca, bahawa kami pernah sangat akrab dan kedua-duanya telah berpulang. Haji Alimi, pada tahun 1987 membawa saya ke konti RTM Kota Bharu untuk membuat rakaman sudut sastera yang beliau sebagai penerbitnya. Saya diminta mendeklamasi dua puisi dan sebuah rencana sastera oleh Rosli K,. Matari tentang buku saya "Lakaran Kampung" juga disiarkan bersama untuk rancangan itu. Kami pernah kari Kota Bharu - saya, Cikgu Ilmin Abdullah, allahyarham Mustafa Jusoh dan Haji Alimi menuju ke Fraser Hill untuk Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas di sana. Saya mabuk kereta, dan sebelum naik ke Fraser, kereta terpaksa dihentikan di tepi jalan. Dan dialah yang mengurut belakang saya.  Allah, ampunlah hamba-Mu yang lemah dan penuh dengan kekhilafan ini. Al-fatihah.

Wednesday, March 11, 2015

GINGKO


Pohon gingko besar ini saya rakam di sebuah taman di  Yuyuan Garden, Shanghai Old Town, China pada 28 Oktober  2008 yang lalu. Saya sempat menuliskan sebuah puisi "Yuyuan Garden":

kita yang selalu berbeza dan aku  yang kau
sukar menerka; ingin membina sebuah taman
sebagaimana yang teragan di negeri cinta

akan kupindahkan taman dengan segala
bunga-bungaan, kolam tempat ikan berenang,
marmar berobjek masa lampau; cuma di
halaman akan kutukarkan gingko dengan
sepohon kenanga yang harumnya
bertahun akan kukenang.


Monday, March 9, 2015

KENDURI

Foto: Ladin Nuawi
Hujung minggu, kebiasaannya memenuhi undangan kenduri kahwin. Kadang-kadang di hari yang sama bertembung dengan dua atau tiga, bahkan sampai 6 majlis kenduri kahwin. Lalu, tidak semua undangan itu dapat kami penuhi.  Ada kenduri yang berdekatan dengan tempat tinggal kami, dan ada kenduri yang jaraknya sangat jauh. Antara yang berdekatan dengan yang jauh, kebiasaannya kita akan memilih yang dekat. Namun, sekiranya berjauhan sekali pun jaraknya, kita akan hadir juga sekiranya majlis itu memang memerlukan kita hadir. Dan pastinya dengan izin dan rahmat-Nya jua. Tanpa dengan keizinan-Nya, kita tidak mungkin sampai, meskipun kita memang sejak lama memasang hasrat untuk ke sana. Pada sabtu 7 Mac, kami menghadiri majlis kenduri di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan. Moga pasangan pengantin anakanda Ain dan Firdaus akan kekal dalam barakah dan rahmat-Nya. Kami ingin segera kembali ke KL, tetapi ada panggilan yang menjemput kami ke Seri Manjung. Katanya dalam 45 minit perjalanan dari Teluk Intan. Kerana orang yang mengundang itu sudah 30 tahun tidak ditemui, maka kami pun ke sana. Dan perjalanannya memang sangat mudah. Kami ikut segala arahan yang diberikan, dan kami betul-betul sampai di depan pagar rumahnya. Sempat ke Teluk Batik, singgah di Marina Island  dan memandang Pulau Pangkor yang serasa sangat dekat. tetapi kerana matahari senja semakin merendah, kami harus berangkat balik ke KL. 

Monday, March 2, 2015

Mikhail Lermontov (1814-1841)

Foto: RCSC Malaysia.

Pada jam 1 tengah hari, 28 Februari, saya menghadiri perasmian  monumen Penyair agung Rusia, Mikhail Lermontov (1814-1841) sempena ulang tahun kelahirannya yang ke 200 di Pusat Sainas dan Kebudayaan Rusia di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Saya diperkenalkan oleh Dr Victor Pogadaev sebagai penyair penting Malaysia kepada Gregory Pototsky, seniman yang telah menukang wajah Mikhail Lermontov. Potosky juga merupakan President of International Academy of Kindness Sculptor, Painter.  Penulis Malaysia yang hadir petang itu, termasuklah S.M. Zakir dan Lutfi Ishak. Sebagai penyair Malaysia yang hadir, saya diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan:

"Selamat tengah hari. Saya merasakan sangat terhormat diberikan ruang untuk berdiri  di sini, di majlis perasmian monumen seorang penyair agung Rusia yang telah menyeberang sempadan dunia. Penyair dan khalayak sastera di Malaysia sudah sangat biasa dengan karya yang dihasilkan oleh Chekov, Pushkin,  Tolstoy dan beberapa nama penyair dan sasterawan Rusia yang lain. Dengan berdirinya monumen penyair agung Rusia ini di Kuala Lumpur sempena ulangtahun kelahirannya yang ke 200, peristiwa ini akan mengakrabkan lagi hubungan antara keduap-dua negara. Dan kami amat mengharapkan dalam waktu yang terdekat akan ada karya puisi penyair agung ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk dihayati oleh khalayak sastera Malaysia. Sekian." 



Friday, January 2, 2015

Memulakan catatan tahun 2015 dengan ingin menulis beberapa buah buku. Moga Allah swt melapangkan akal fikiran untuk terus menulis dan menulis.


Friday, October 17, 2014

Kenang-kenangan


Novel kanak-kanak "Totto-chan The Little Girl at the Window" oleh Tetsuko Kuroyanagi telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia. Selepas membaca lama dahulu, saya membuka-buka semula terjemahan buku ini dalam bahasa Melayu. Membacanya mengembalikan saya kepada  banyak nya kenangan sewaktu masih di sekolah rendah. Segala kenangan itu akan tinggal dalam ingatan, dan kemudiannya akan pupus begitu sahaja selepas si pengenang itu berangkat pergi dijemput Sang Pencipta. Tetapi, sekiranya si pengenang itu seorang yang suka menulis, maka segala kenangan, ingatan dan nostalgia lama itu akan dicatatkannya di atas kertas. Maka akan terhasilkan sebuah manuskrip tentang kenangan dan pengalaman masa lalu tersebut. Terfikir seperti ingin menulis semula segala kenangan tersebut. 

Wednesday, September 10, 2014

ORANG BERTIGA


"Orang Bertiga" (DBP: 1980) merupakan Antologi Sajak Penyair Kabur NOOR S.I., A.S. AMIN, M. GHAZALI (sebagaimana tercatat di kulit depan buku ini). Buku ini diselenggarakan oleh Pyan Husayn dan Suhaimi Haji Muhammad. Ketika menjadi buku yang lain, tiba-tiba terjumpa buku ini di dalam sekian banyak kotak buku. Saya ingin membaca semula karya mereka setelah hampir terlupa kehadiran ketiga-tiga penyair ini. 

Thursday, September 4, 2014

Muhasabah


Tiada yang kekal abadi, selain Allah swt. Harta benda kekayaan, pangkat darjat ketinggian tidak akan dibawa masuk ke lubang kubur. Selasai solat jenazah ibu saudara di Masjid Jengka 5, kami pun sama-sama menghantar jenazah ke tanah perkuburan. Berpisahlah kami dengannya sehinggalah dibangkitkan semula di hari kiamat. Daripada ratusan orang di tanah perkuburan, Tuan Imam yang mengetuaikan solat jenazah, dan akan membacakan talqin mendekati saya. Menyatakan kehadirannya di majlis pengebumian di sebuah negeri, yang jenazahnya dimasukkan ke dalam liang, kemudian ditimbus dengan jentolak. "Terkedu di hati, rasa kasar sangatnya," bisik Tuan Imam kepada saya. Talqin pun selesai, basah mata Tuan Imam, kebetulan saya sangat dekat di belakangnya. Upacara pun usai, saya harus berangkat balik ke KL. Saya mendekati Tuan Imam, kami bersalam semula. Dan insyaAlalh kita akan bertemu semula, bisik Tuan Imam sangat lembut dan perlahan. Dan kematian selalu mengingatkan saya bahawa saya juga akan ke sana. Ya Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang...ampunkanlah segala dosa-dosa kami!

Thursday, August 7, 2014

Hikari Oe.


Sewaktu ke Tokyo pada 30 Jun hingga 6 Julai yang lalu, saya sangat berhasrat untuk mencari CD lagu yang dihasilkan oleh Hikari Oe. Tetapi, Tokyo sangat sibuk, dan saya pesankan kepada kawan saya untuk membelinya. Semalam saya menerima CD tersebut daripada Togari Yasuko.   Hikari Oe yang lahir pada 13 Jun 1963 itu merupakan  seorang komposer Jepun yang berpenyakit autisme. Anak kepada penerima Hadiah Nobel dari Jepun, Kenzaburo Oe dan Yukari Ikeuchi, adik kepada pengarah Juzo Itami.

Hokusai

"Hokusai" ini buku kedua yang saya ada. Dipilih oleh Sandra Forty, terbitan TAJ Books International LLC 2013. Dihadiahkan oleh kawan saya dari Tokyo. "Hokusai" sangat nostalgia kerana karya-karyanya menjadi teks wajib kami sewaktu kuliah "Pengantar Seni Halus". Kami harus mengingatkan nama pelukis, judul karya, tahun dihasilkan dengan slide dipancarkan ke dinding dan kami menulis kertas jawapan. Menulislah kami. Dan saya tidaklah cemerlang. Sekadar dapat C+ sahaja. Tetapi bertahun-tahun selepas itu, Profesor saya itu memberikan talknya di BSLN. Saya sengaja sembunyi di kerusi paling belakang. Dia sebutkan, pekajar terbaiknya di dalam majlis itu, dengan merujuk kepada saya. Saya senyum, yang terbaik itu dapat C+.

Friday, July 25, 2014

Wayang Kulit Malaysia bertemu Edo Ito Ayatsuri Ningyo

Pertama kali dalam sejarah dunia wayang, Wayang Kulit Malaysia bertemu Edo Ito Ayatsuri Ningyo selama empat hari di Tokyo International Book Fair yang berlangsung di The Big Sight, Tokyo dari 2 hingga 5 Julai 2014. Ini merupakan sebuah eksperimen, dan eksperimen ini telah memberikan titik awal yang sangat luar biasa. Dari persembahan pertama sehinggalah kepada persembahan yang terakhir, penonton  Jepun memenuhi pavillion Malaysia untuk menyaksikan pertemuan dua budaya yang berbeza tersebut. Sangat unik kerana kedua bangsa itu berbicara dalam Bahasa ibunda masing-masing, tetapi penonton faham dengan apa yang sedang terjadi di hadapan mereka. Sangat mengujakan apabila persembahan hari terakhir, dua puluh minit sebelum persembahan bermula, para khalayak Jepun telah memenuhi kerusi di depan panggung Wayang Kulit Malaysia. Apatah lagi sebuah bangsal simbolik cantik dengan daun beratapkan nipah, hutan malar hijau, pohonan kelapa dan pantai yang memanjang bersih. Kita seakan terlupa apakah itu sebuah pantai di Pantai Timur Semenanjung atau pun pantai dan pulau-pulau di Sabah. Tetapi, dekonya jelas memindahkan pantai dan alam hijau Malaysia di TIBF yang julung-julung kalinya Malaysia menjadi negara tema.
Malaysia menampilkan tradisi Wayang Kulit Kelantan selalunya memainkan cerita wayang yang dipetik dari Hikayat Seri Rama yang disadur dari epik Ramayana yang amat popular dalam tradisi India itu. Persembahan cerita dalam Wayang Kulit Kelantan  pula boleh dibahagikan kepada tiga kelompok cerita, iaitu cerita pokok, cerita ranting dan cerita tanggam. Cerita pokok ialah cerita yang dimainkan sebelum peristiwa memanah pohon lontar oleh Seri Rama dan adikanya,  Laksamana untuk mendapatkan Siti Dewi. Manakala cerita-cerita selepas perkahwinan Seri Rama dan Sita Dewi, yang melibatkan anak cucu Seri Rama diketegorikan sebagai cerita ranting. Manakala  cerita-cerita tanggam pula, cerita yang disadurkan dari teks-teks luar. Di samping Wayang Kulit Kelantan yang paling popular, terdapat tiga lagi jenis teater tradisi Wayang Kulit di Malaysia, iaitu Wayang Gedek di Kedah, Wayang Melayu di Kelantan dan Wayang Purwa di Johor.
Dalam Wayang Kulit Kelantan, bahasa yang digunakan oleh dalang sepenuhnya menggunakan loghat/dialek Kelantan dengan campuran mantera atau ucap tetap dengan dipengaruhi oleh bahasa Siam dan juga Jawa. Manakala alat muziknya pula seperti serunai, gendang ibu dan anak, geduk ibu dan anak, gedombak ibu dan anak, kesi dan juga gong.      Patung dalam Wayang Kulit Kelantan untuk watak raja dan dewa-dewa hanya boleh mengerakkan sebelah tangan sahaja dan mulutnya statik. Hanya watak-watak pengasuh seperti Wak Long, Pak Dogol, Samad, Said dan Wak Yah sahaja yang boleh menggerakkan keduadua belah tangan dan mulut juga digerakkan apabila watak-watak ini bercakap.
            Dalang-dalang terkenal seperti Awang Lah Mokrak, Dalang Ya’akob, Dalang Jambul Pasir Puteh, Dalang Amat Semail Jelawat, Dalang Pak Su Karim Parindu Kota Bharu, dan Dalang Sal Kubang Bunut. Selepas zaman itu,  Dalang Dollah Baju Merah dan Hamzah Awang Amat antara yang sangat dikenali.
Manakala Tuk Dalang Roslan Harun pula menjadikan dalang yang mewakili Negara Malaysia. Beliau dilahirkan pada tahun 1971 di Jerantut, Pahang. Mendapat bimbingan pemuzik terkenal tanah air dalam bidang tradisional. Pernah mengikuti pengajian muzik di UiTM Shah Alam. Pernah mengikuti Program Asean Theaterical Artistic Invition dari September 2006 hingga September 2007 di Dongguk University dan National Theater of Korea.
Selain itu mempunyai pengalaman selama 15 tahun sebagai pemuzikk tradisional  di Istana Budaya dan merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia. Berkemahiran membuat alat muzik tradisional seperti rebab dan serunai. Pernah membuat pelbagai persembahan di  negara luar seperti Amerika Syarikat, Perancis, Korea Selatan, Turki dan hampir semua negara Asia yang lain.  Mempelajari pendalangan Wayang Kulit Kelantan daripada Che Seman, murid kepada Dalang Sulaiman Isa, Temesu, Tumpat.  Terbaharu membuat persembahan Wayang Kulit sebagai dalang di Qatar, Bahrain dari 26 Februari hingga 3 Mac yang lalu.
            Edo Ito Ayatsuri Ningyo pula merupakan  teater patung tradisional Jepun. “Edo” adalah nama lama bagi Tokyo, “ito” bermasksud benang atau tali, “ayatsuri” bermaksud manipulasi dan “ningyo” pula bermaksud patung. Sebagaimana  namanya, patung dimanipulasikan dengan menggunakan benang. Ia dikatakan muncul di Jepun pada abad ke-17 sebagai hiburan orang ramai. Di Tokyo, “Yukiza (Youkiza)”  telah ditubuhkan kumpulan teater patung ini sejak  tahun 1635, dan pada zaman Edo, panggung tetap untuk teater patung ini telah didirikan di kawasan hiburan di Tokyo, bersama-sama dengan panggung untuk teater Kabuki. Ia dikatakan hampir pupus semasa kekeliruan dalam Pembaharuan Meji (Meiji Restoration), tetapi kemudian dipulihkan kembali pada tahun 1900 dan diteruskan hingga ke hari ini.
Ciri khas “ito ayatsuri” Jepun dengan  penggunaan papan manipulasi yang disebut “te-ita (“te” bermaksud  tangan dan “ita” bermaksud papan). (Dalam teater patung marionette Eropah dan sebagainya, batang-batang yang digabungkan digunakan dan bukan papan). Purata besar patungnya lebih kurang 60 cm dan belasan utas benang yang diikatkan pada “te-ita” disambungkan pada bahagian-bahagian patung. Dengan memanipulasikan (menggerakkan/menarik) benang tersebut, boleh mewujudkan pergerakan atau perasaan halus pada patung. Dikatakan latihan selama beberapa tahun diperlukan untuk dapat menggerakkan patung untuk hanya berjalan biasa sahaja.Teater patung ini dsenaraikan sebagai “Khazanah Kebudayaan Rakyat Tak Ketara Kebangsaan”dan juga “Khazanan Kebudayaan Tak Ketara Tokyo” .
Edo Ito Ayatsuri Ningyo menampilkan dalang dan pembuat patung Shiokawa Kyoko yang sangat mahir. Dilahirkan  di Tokyo pada tahun 1959. Merupakan lulusan Maktab Rendah Universiti Wanita Sugino (Sugino Women’s University Junior College), Jabatan Kesenian paada tahun 1979. Bergabung dengan kumpulan Teater Patung Edo Ito Ayatsuri Ningyo “Youkiza” dari  tahun 1985 hingga 2006, dan terlibat dalam persembahan (permainan) dan pembuatan patung. Bergiat sebagai pemain bebas pada masa kini. Selain dari patung “Edo Ito Ayatsuri Ningyo”, beliau juga sedang berusaha menciptakan pelbagai gaya manipulasi dengan menggunakan benang bagi patung yang perbagai bentuk, dan juga kolabolasi di antara teater patung dan teater orang.
Karya-karya utamanya seperti “Suizokukan Kyoshikyoku”(2012), “Siawase na Oji” (2012), “Raft no Yabushirazu” (2013), dan “Hoshi no Kabuki” (2013). “Suizokukan Kyoshikyoku” karya KOMRO Koji sebuah karya fiksyen yang mengambil contoh dari “Akuarium Moguranpia” di Bandar Kuji, Iwate, timur laut Jepun yang telah dilanda dan dihancurkan tsunami dalam  Gempa Bumi Besar Timur Jepun. Terlibat dalam persembahan patung yang menggambarkan ikan-ikan yang telah terselamat dalam bencana tersebut. Gambaran hidupan laut yang pelbagai dengan menggunakan tubuh sebenar pemain patung. “Shiawase na Oji” karya Oscar Wild susunan kembali : KANNO Naoko penyelia (superviser) WADA Yoshio Badan (orang), patung dan ruang pentas ditergabungkan dan menyajikan sebuah ekspersi. “Raft no Yabushirazu” sebuah persembahan 32 goshitsu, dan sirinya “Hoshi no Kabuki” karya IZUMI Kyoka, sebuah persembahan Warashi-an.
Terlibat dengan memanipulasikan patung IZUMI Kyoka, iaitu watak penulis asal karya tersebut di dalam kedua-dua persembahan. menggunakan patung yang memiliki struktur ciri khas “Edo Ito Ayatsuri Ningyo” yang menggambarkan perasaan dalaman watak yang halus.
Pertemuan Wayang Kulit Malaysia dengan Edo Ito Ayatsuri Ningyo sangat menarik dan memikat. Cerita bermula di Negeri Kuala Dua,   Raden Lakjuna meminta kebenaran daripada ayahandanya Maharaja Sri Rama untuk pergi ke Negeri Jepun supaya dapat melihat dunia yang luas. Di Negeri Jepun, seorang Puteri yang cantik, sedang menunggu hari untuk bertemu dengan kekasih idamannya. Sebaik tiba di Jepun, Raden Lakjuna bertemu dengan Puteri Jepun dan mereka berdua jatuh cinta pandang pertama.Tetapi tiba-tiba Raksasa yang juga menaruh hati kepada Puteri Jepun muncul dan berlaku peperangan sengit di antara mereka. Raden Lakjuna akhirnya dapat mengalahkan Raksasa dan disatukan dengan Puteri Jepun. Mereka berdua berangkat kembali ke Negeri Kuala Dua.
Bayangkan keunikannya kerana watak Raden Lakjuna di Wayang Kulit Malaysia yang berada di belakang, manakala patung Puteri Jepun berada di luar kelir, di mana kedua-duanya berdialog dalam bahasa ibundanya masing-masing.
Tahniah kepada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang memulakan sebuah gabungan yang menarik. Dan tentunya tahniah juga kepada Tuk Dalang Istana Budaya, Roslan Harun dan para pemuziknya Mohd Nawi Jusoh, Che Fauzi Abdullah, Dahari Che Seman dan Che Mat Jusoh dari Pusat Pengajian Seni USM.


Friday, May 23, 2014

Biring Sikunani



Menulis buku kanak-kanak bukanlah bidang saya. Tetapi setelah membaca catatan penyair dan aktivis teater kanak-kanak Ladin Nuawi terhadap buku kanak-kanak saya "Biring Sikunani", saya rasa saya ingin menulis sedozen buku kanak-kanak lagi. Ini buku kanak-kanak ketiga  saya selepas "Wira Sekolah" yang diterbitkan pada tahun 1994 dan siri "336 Cerita Kanak-Kanak" terbitan Utusan. Kerana dunia kanak-kanak, bukanlah dunia saya, maka sudah tentu ada banyak kelemahan di dalam buku ini, apatah lagi saya tidak terdidik dalam bidang itu. Tetapi apabila anak saya yang di Tadika, Husna sangat suka dengan buku ini, saya anggap bukanlah kerana buku ini bagus, tetapi kerana bapanya yang tulis. Apatah lagi saya tidak belajar psikologi kanak-kanak  kat universiti, maka sudah tentunya saya gagal untuk membina emosi dan plot dengan baik. Barangkali ini dosa awal  saya untuk dunia sastera kanak-kanak di Malaysia. Silapnya buku ini pernah dibawa ke Bologna Book Fair di Italy. Dan silapnya juga, saya telah terlanjur dipanggil "Pupeteer Master"  selepas selesai mengadakan persembahan wayang kulit di luar negara. Maafkanlah saya!

Dan ini pula petikan dari fb Ladin Nuawi:

Ambo nak tumpukan kepada buku Cerita Kekanak Biring Sikunani yang ambo tangani semasa Sesi Bersama Penulis ITBM, 30 April 2014 sempena Pesta Buku Antara Bangsa Kuala Lumpur 24.4-4.5. 

Biring Sikunani Rahimidin Zahari cukup sebagai sebuah buku kekanak berusia 9 tahun ke bawah untuk dibaca bersama-sama keluarga. Ada cerita hendak disampaikan, binaan ayat yang boleh dilakonkan dan ilustrasi menarik.
Cerita rakyat kita selalu berbau negatif tetapi Rahimidin berjaya memurnikan kisah Pak Kaduk. Rahimidin tidak mengakhiri ceritanya dengan ‘ayam menang tetapi kampung tergadai’. Tetapi, membawa Pak Kaduk kembali ke kampung halaman malah mendapat ‘status’ di istana. 'Diharamkan’ sabung ayam! 
Ambo sendiri tidak terfikir mainan plot dalam buku ini. Rahimidin telah menaji pengalaman sastera kekanak/remaja ambo. Aduh, betapa indahkan kalau cerita buku ini diolah menjadi sebuah drama pentas pendek kekanak. Apapun gaya bahasa buku ini cukup untuk dilakonkan dengan bacaan sementara tuan Anuar Manshor dan Mohd Khair datang ilham untuk pindahkan ke pentas. Hi hi hi ...
Tidak ketara perkataan atau ayat berbau negatif yang boleh ‘mencemari’ kemurnian kekanak. Ia memang sesuai sebab ia buku bergambar bukan novel kekanak yang boleh kita beratkan sedikit. Ilustrasi agak cukup untuk membantu lakonan gaya dan bacaan.

Tuesday, May 20, 2014

Romli Awang Batil

Foto: RZ

Sewaktu  menjadi mahasitua, kami pernah membawanya untuk membuat persembahan di Dewan Budaya USM bersama Che Mat Jusoh yang mempersembahkan Main Selampit. Setelah lama tidak menemuinya, saya akhirnya sampai ke rumahnya di Kg Pokok Sena, Chuping, Perlis. Rumahnya membelok ke kiri di Lorong Pokok Sena 3. Ketika sampai, orang kampung sedang makan pulut tanak dengan kopi o serta sirap sempena gotong royong masyarakat kampung membersihkan surau. Dan kami pun dijemput menjamah sama, walaupun saya sudah pun minum pagi di Grand Alora, Alor Setar.

Lebih sepuluh tahun dahulu, saya juga pernah sampai di sekitar ini, di rumah Pak Wan Khazim, seorang pelakon filem Melayu di Studio Jalan Ampas dan  pemantun yang sangat terkenal bersama Prof. Muhammad Haji Salleh.

Romli Mahmud dilahirkan pada 6 Julai 1955 di Kampung Pokok Sena, Chuping. Mulai belajar Awang Batil daripada arwah bapanya, Pak Mahmud Wahid sejak berumur 10 tahun. Menerima pendidikan sehingga Darjah Enam di Sek. Keb. Chuping. Pernah menjadi pemuzik asli di Penang Culture selama 4 tahun di Pulau Pinang pada tahun 1992.  Pernah membuat persembahan Awang Batil di pelbagai tempat termasuk ke Switzeland (1996) dan ke Singapura (2001). 

Antara cerita-cerita dalam persembahan Awang Batil seperti Mek Siti Galin, Awang Akar Larak, Awang Biawak, Awang Denoi. Awang Geliga Embun, Awang Parang Besar,  Awang Malim Awang Leman, Awang Segan, Awang Penipu, Dua Beradik (Jabak dan Jabek), Malim Deman, Raja Dewa Lok, Raja Darah Putih, Raja Marakarma (Awang Betui), Raja Radin Mas (Pak Long Nujum), Raja Sultan Dewa (Awang Ada Duit Semua Jadi), Si Tokong Bogel (Batu Belah), Burung Kedidi, Anak Lang Pak Belang, cerita Angan-Angan, Abu Nawas  dan Thap Thin Thong.

Keratan akhbar tentang kegiatannya, sijil-sijil pengiktifan untuknya berfrem cantik di dinding rumahnya. Buku tamu juga lengkap dengan nama, dan senarai kehadiran tamu. Beberapa salinan kajian/ tesis ditunjukkan kepada saya. Tiga jam di rumahnya, seolah-olah baru beberapa minit. Romli, seniman sejati yang terus mempertahankan tradisi lisan yang diwarisinya. Kalaulah ingin menobatkannya sebagai 'warisan orang hidup' maka beliau adalah pilihan yang paling tepat.

Sebelum saya meneruskan perjalanan ke wang Tepus, menemui pewaris Mek Mulong, Romli menggesekkan biolanya. Dan beliau menghadiahkan pantunya:
      jangan koyak kembang cina,
      bunga durian kembang pagi;
      jangan tolak patik ni dengan hina,
      kuik hari kemudian nak berguna lagi.







Monday, May 12, 2014

Saya Suka Foto Ini

Sdr. Fadli Alkiti, Sdr. Ku Seman dan al fadhil Ustaz  Nazmi
Saya lupa, siapakah yang merakamkannya. Yang saya pasti rakaman ini di rumah PENA, seusai DOM Khas bersama Sutung Umar Rs. Kebetulan pula saya yang mempengrusikan sesi ini. Tetapi paling pasti, saya sangat suka dengan foto ini  kerana inilah kali pertama saya berfoto dengan tiga sosok penting yang sedang membina masa depan sastera tanah air. Sdr Fadli, Editor Dewan Sastera. Sdr Ku Seman Pengarang MM dan Nazmi Pengarang Sastera di BH. 

Friday, May 9, 2014

Che Mah Merak Mas

Potret: Tuan Will Tuan Mat
Che Mah Merak Mas, salah seorang primadona Makyung Kelantan. Bekas isteri kepada Pak Su Pak Adik Cabang Empat, Tumpat. Bonda kepada Abd Wahab Othman, bekas pemuzik tradisional Istana Budaya. Sewaktu rakaman Makyung di Pura Tanjung Sabtu milik Tengku Ismail Tengku Su, kami sempat menziarahi Che Mah yang menetap di Ajil, Hulu Terengganu. 

Thursday, May 8, 2014

buai

buai laju-laju
sampai cucur atap

Wednesday, May 7, 2014

Pelukis Rafie Abd Rahman

Bersama pelukis Rafie Abd Rahman

Seingat saya, tahun 2014 inilah kali pertama kami bertemu. Dia sangat sibuk menyiapkan tempahan pelbagai karya yang diminta oleh galeri. Dia menemui saya di BSLN dan menyerahkan untuk saya sebuah buku sketch yang dikerjakan dari 10.11. 2012 hingga 30.4.2014. Terdapat 77 halaman lakaran yang dilakarnya sepanjang hampir tiga tahun tersebut. Saya pernah menulis untuk pamerannya yang dicadangkan berlangsung di sebuah galeri di Bandung. Tetapi cadangan itu usai kerana masalah penajaan. Ini antara catatan saya ketika itu:

Rafie Abdul Rahman pelukis Malaysia yang  versatile. Beliau dilahirkan pada tahun 1947 di Surabaya, Indonesia. Sejarah kelahirannya sendiri unik dan penuh tanda tanya. Ibunya dari Melaka dan bapanya dari Surabaya. Mereka bertemu di Singapura dan selepas perkahwinan mereka berangkat pulang ke Surabaya. Ayahnya seorang perajurit, terkorban dalam revousi Indonesia-Belanda. Rafie kecil menjadi yatim. Ibunya tiada pilihan lain, mengemaskan beg pakaian dan bungkusan seadanya untuk belayar pulang ke Singapura, langsung kembali ke kampung halamannya di Melaka. Ibu Rafie harus bekerja untuk meneruskan hidup membesarkan beberapa orang kakak Rafie, hasil daripada perkahwinan sebelumnya. Rafie dijaga oleh neneknya. 
Persekolahan pun bermula. Kemiskinan banyak menganggu perjalanan persekolahannya. Antara makan dengan buku sekolah yang harus dibeli, dia akhirnya memilih untuk melukis. Dia kembali ke kampung halaman ibunya di Tampin, Negeri Sembilan. Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lunmpur menjadi pertalian yang amat rapat dengan dirinya. Di Kuala Lumpur dia mencuba pelbagai pekerjaan. Dengan pendidikan sekolah menengah, beliau kerja sebagai Kerani Penyelia Tapak dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Selepas bersara beliau meneruskan pelbagai aktiviti.  Membuka syarikat kontrakter  dengan rakan kongsi dan dia  yang jujur sering  tertipu. Syarikat bungkus, dan dia menanggung hutang rakan kongsinya.
Akhirnya dunia seni lukis adalah dunia tenang dan tenteram yang dipilihnya. Ini dunia pilihan terbaik  bagi dirinya. Dari kelas yang dianjurkan oleh Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) pada tahun-tahun 1960-an, Rafie mendapat bimbingan daripada Hoessein Enas dan Mazli Mat Som. Selain bimbingan langsung tersebut, Rafie tidak pernah puas dengan pencapaiannya. Dia membanyak dan membuat rujukan terhadap banyak buku tentang seni lukis dunia yang ditulis oleh pelukis-pelukis ternama. Rafie menyelongkar dan mengkaji sesungguh mungkin.
Karya Rafie pelbagai. Cat air, cat minyak, pastel dan arkrilik adalah kegemarannya. Peringkat awal penglibatan dalam dunia seni lukis, beliau amat terikat dengan teknik dan style guru-gurunya dalam APS yang terikat kuat dengan aliran romantisme. Tetapi Rafie pandai mengolah dirinya. Dia tidak harus terikat dengan gaya yang dipelajarinya. Dia harus mempelbagaikan gaya dan teknik. Dari cepat sedar dan harus keluar dari kepompong yang mengurungnya. Perlahan-lahan beliau mulai mempelbagaikan rentak. Ciri-ciri ekspressionalisme mulai mengalir dalam karya catannya. Dia membebaskan ekpresinya di atas kanvas untuk bercerita dengan jiwa dan gerak rasanya. Stroknya juga mulai berubah dengan meninggalkan kesan berus yang dipusing di atas kanvas mahupun kertas.
Tidak puas dengan apa yang dipelajari dan dipraktiknya, Rafie  mempelajari pelbagai teknik daripada buku-buku yang dihasilkan oleh pelukis Amerika mahupun dari Great Britain. Dengan ketekunan membaca, meneliti dan mempelajari pelbagai gaya dari buku-buku pelukis ternama Amerika seperti Frank Webb, Charles Rieds, Philip Jamison, Everet Raymond Kinstler, John Pikes dan David A. Leffel. Manakala dari Great Britain pula beliau mendalami kaedah Richard Chamberlin dan Sir Willian Russel Flint. Kerajinan dan ketekunannya meneliti dan mengkaji menjadikannya pelukis yang amat mahir dan menguasai subjek yang diangkat ke kanvas mahupun di atas kertas.
Dia ingin menghasilkan karya terbaik bagi dirinya. Karya yang siap dilukisnya akan disimpan beberapa hari sehingga beliau merasa betul-betul puas. Selagi masih tiada ketidakmanisan pada karya tersebut, selagi itu dia akan menambahnya sedikit demi sedikit sehingga beliau benar-benar merasa puas.
Terdapat tiga tahap perkembangan seni lukis hasil karya Rafie. Karya-karyanya pada peringkat yang masih mencari-cari arah. Karya-karyanya yang dihasilkan ketika berada di bawah naungan dan bimbingan APS. Dan karya-karya terakhirnya yang dihasilkan pada  puncak kematangannya sebagai seorang pelukis. Rafie amat sedar tentang perkembangan perjalanan dirinya sebagai seorang pelukis dan menganggap karya masa lalunya sebagai bahan pengajaran untuk karya-karya di masa hadapan.
Zaman kegemilangan APS, itulah zaman beliau berhempas pula untuk mempelajari teknik dan kaedah. Dan beliau seakan menyalin kembali gaya dan teknik guru-gurunya ketika itu, Hoessein Enas dan Mazeli Mat Som. Tetapi sedikit demi sedikit Rafie mengorak langkah untuk merubah dirinya. Dia akhirnya menemui jati dirinya yang tersendiri, bahkan mulai menjadi ikutan beberapa pelukis muda yang seringkali bersama-sama keluar melukis di lapangan. Ternyata kesungguhan dan pengorbanan Rafie dalam dunia seni lukis tidak sia-sia.

Dalam pameran kali ini, Rafie menyuguhkan sejumlah karya lanskap yang amat manis terhadap alam ciptaan Tuhan yang terbentang di hadapannya. Sapuan warna cat airnya amat harmonis dan manis  sekali. Dia seolah-olah membawa kita ke lokasi yang berada di dalam lukisan yang dihasilkannya. Dengan kenyakinannya itu  dia  akan melukis dan terus melukis.

Karikatur

Karikatur: Rossem
Karikatur ini saya petik dari fb  Rossem Sem, seorang kartunis yang sangat terkenal. Karikatur ini merupakan kali kedua beliau menggambarkan saya. Yang saya ingat,pada tahun 1985 kami - Teater Sadong mengadakan Majlis Pertemuan Aidilfitri, dan Rossem salah seorang yang hadir ke majlis kami. Dia baharu sahaja mengadakan majlis perasmian Balai Kartun Rossem di Peringat, Kota Bharu Kelantan. BKR berada di sebelah kanan Jalan dari Simpang Tiga Peringat menuju ke Bachok/Tok Bali. Setiap kali balik ke rumah ibu saya, maka BKR akan saya lewati. Kerana kekangan tugas, saya tidak dapat bersama meraikan majlis perasmian yang sangat bersejarah tersebut pada 21 April yang lalu. Tetapi mujurlah seminggu sebelumnya, saya telah singgah di BKR.  BKR paling tidak telah meletakkan sejarah baharu dalam dunia perkartunan di Malaysia. Dan paling penting ia merupakan sebuah  sejarah untuk kampung  kami!

Monday, May 5, 2014

di dalam dalam



Di booth ITBM pada 4 Mei 2014, jam 5 petang - pelancaran buku puisi Di Dalam Dalam Sani Sudin. Saya yang sangat kerdil diminta untuk melaksanakannya. Sebelumnya saya cuba menulis teks ucapan, tetapi kerana yang berada di hadapan saya, semuanya tokoh-tokoh sasterawan, penyair dan pelukis, saya akhirnya memilih untuk tidak membacakan teks saya. Namun untuk dokumentasi peribadi saya, maka wajar saya siarkan di sini:

Bismillahirrahmaniirahim
Assalamualaikum wrk...
Sdr. Syed Munawar Syed Mustar, selaku pengacara majlis
Ybhg Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITBM
Ybhg Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA
Sdr. Sani Sudin yang diraikan
Dato-dato, para sasterawan, penyair, penulis, pelukis dan para hadirin sekalian.

Syukur ke hadrat Allah swt yang menemukan kita pada petang ini. 
Pertamanya terima kasih yang sangat dalam kepada ITBM, PENA dan Sdr. Sani Sudin yang mempercayakan saya untuk berucap dan menyempurnakan pelancaran bukunya ini.

Puisi sebenarnya milik semua orang. Tiada sijil kelayakan yang dikeluarkan oleh agensi atau institusi tertentu yang boleh menobatkan seseorang itu sebagai penyair. Berbeza dengan seseorang yang ingin berdiri di mahkamah yang mulia sebagai pengum bela, mahupun penguam cara atau pun sebagai doktor terlatih yang berdepan dengan para pesakitnya. Tidak semua orang boleh melakukan kerja tersebut tanpa kelulusan akademik dan pengiktirafan kepakarannya dari universiti tempat dirinya belajar.

Tetapi tidak untuk puisi. Puisi boleh terhasil dari gerak rasa dan ekspresi jiwa sesiapa pun. Dari seorang rakyat biasa  hingga kepada seorang Perdana Menteri yang berada di tampuk kuasa. Tiada siapa ayng berhak untuk mempertikakan  orang lain yang ingin memasuki Rumah Puisi. Sama ada dia seorang  Naib Canselor sebuah universiti, Ketua Pengarah kepada sebuah institusi, Menteri Besar kepada sebuah negeri atau dia Perdana Menteri kepada sebuah negara demokrasi.

Dia boleh hadir - datang dan pergi!

Sani Sudin - sahabat saya ini antara sebilangan kecil seniman rakyat yang sangat vesertile bakatnya. Sosok dirinya memikul beban sebagai komposer, penulis lirik, penyanyi, pelakon, penyair dan pelukis. segala bakat itu bergomol dalam sosok diri seorang Sani Sudin. Sani, penyanyi yang sering beraksi di pentas, tetapi di sebaliknya tersimpan sifat dirinya yang sangat pemalu. Tetapi biarkanlah Sani dengan kesaniannya, kerana itulah sifat dirinya.

Saya tidak ingin bercakap lebih panjang daripada pengenalan yang telah saya tuliskan untuk buku ini. Untuk membaca polos dan lugunya idea dan sinikal Sani, maka tuan-puan mestilah membaca "Satu Catatan Sani Sudin - Di Dalam Dalam." 

Saya dengan lafaz Bismillah... dengan ini melancarkan buku karib saya, SANI SUDIN.
Sekian.

Tuesday, April 29, 2014

masa

masa depan 
yang rahsia
dan
masa silam
yang tertinggal
dalam kenangan

langit memutih
selengkung awan