Bersama pelukis Rafie Abd Rahman |
Seingat saya, tahun 2014 inilah kali pertama kami bertemu. Dia sangat sibuk menyiapkan tempahan pelbagai karya yang diminta oleh galeri. Dia menemui saya di BSLN dan menyerahkan untuk saya sebuah buku sketch yang dikerjakan dari 10.11. 2012 hingga 30.4.2014. Terdapat 77 halaman lakaran yang dilakarnya sepanjang hampir tiga tahun tersebut. Saya pernah menulis untuk pamerannya yang dicadangkan berlangsung di sebuah galeri di Bandung. Tetapi cadangan itu usai kerana masalah penajaan. Ini antara catatan saya ketika itu:
Rafie Abdul Rahman
pelukis Malaysia yang versatile. Beliau
dilahirkan pada tahun 1947 di Surabaya, Indonesia. Sejarah kelahirannya sendiri
unik dan penuh tanda tanya. Ibunya dari Melaka dan bapanya dari Surabaya. Mereka
bertemu di Singapura dan selepas perkahwinan mereka berangkat pulang ke
Surabaya. Ayahnya seorang perajurit, terkorban dalam revousi Indonesia-Belanda.
Rafie kecil menjadi yatim. Ibunya tiada pilihan lain, mengemaskan beg pakaian
dan bungkusan seadanya untuk belayar pulang ke Singapura, langsung kembali ke
kampung halamannya di Melaka. Ibu Rafie harus bekerja untuk meneruskan hidup
membesarkan beberapa orang kakak Rafie, hasil daripada perkahwinan sebelumnya.
Rafie dijaga oleh neneknya.
Persekolahan pun
bermula. Kemiskinan banyak menganggu perjalanan persekolahannya. Antara makan
dengan buku sekolah yang harus dibeli, dia akhirnya memilih untuk melukis. Dia
kembali ke kampung halaman ibunya di Tampin, Negeri Sembilan. Melaka, Negeri
Sembilan dan Kuala Lunmpur menjadi pertalian yang amat rapat dengan dirinya. Di
Kuala Lumpur dia mencuba pelbagai pekerjaan. Dengan pendidikan sekolah
menengah, beliau kerja sebagai Kerani Penyelia Tapak dengan Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur. Selepas bersara beliau meneruskan pelbagai aktiviti. Membuka syarikat kontrakter dengan rakan kongsi dan dia yang jujur sering tertipu. Syarikat bungkus, dan dia menanggung
hutang rakan kongsinya.
Akhirnya dunia seni
lukis adalah dunia tenang dan tenteram yang dipilihnya. Ini dunia pilihan
terbaik bagi dirinya. Dari kelas yang
dianjurkan oleh Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) pada tahun-tahun 1960-an,
Rafie mendapat bimbingan daripada Hoessein Enas dan Mazli Mat Som. Selain
bimbingan langsung tersebut, Rafie tidak pernah puas dengan pencapaiannya. Dia
membanyak dan membuat rujukan terhadap banyak buku tentang seni lukis dunia
yang ditulis oleh pelukis-pelukis ternama. Rafie menyelongkar dan mengkaji
sesungguh mungkin.
Karya Rafie pelbagai.
Cat air, cat minyak, pastel dan arkrilik adalah kegemarannya. Peringkat awal
penglibatan dalam dunia seni lukis, beliau amat terikat dengan teknik dan style guru-gurunya dalam APS yang
terikat kuat dengan aliran romantisme. Tetapi Rafie pandai mengolah dirinya.
Dia tidak harus terikat dengan gaya yang dipelajarinya. Dia harus mempelbagaikan
gaya dan teknik. Dari cepat sedar dan harus keluar dari kepompong yang
mengurungnya. Perlahan-lahan beliau mulai mempelbagaikan rentak. Ciri-ciri
ekspressionalisme mulai mengalir dalam karya catannya. Dia membebaskan
ekpresinya di atas kanvas untuk bercerita dengan jiwa dan gerak rasanya.
Stroknya juga mulai berubah dengan meninggalkan kesan berus yang dipusing di
atas kanvas mahupun kertas.
Tidak puas dengan apa
yang dipelajari dan dipraktiknya, Rafie
mempelajari pelbagai teknik daripada buku-buku yang dihasilkan oleh
pelukis Amerika mahupun dari Great Britain. Dengan ketekunan membaca, meneliti
dan mempelajari pelbagai gaya dari buku-buku pelukis ternama Amerika seperti
Frank Webb, Charles Rieds, Philip Jamison, Everet Raymond Kinstler, John Pikes
dan David A. Leffel. Manakala dari Great Britain pula beliau mendalami kaedah
Richard Chamberlin dan Sir Willian Russel Flint. Kerajinan dan ketekunannya
meneliti dan mengkaji menjadikannya pelukis yang amat mahir dan menguasai
subjek yang diangkat ke kanvas mahupun di atas kertas.
Dia ingin
menghasilkan karya terbaik bagi dirinya. Karya yang siap dilukisnya akan
disimpan beberapa hari sehingga beliau merasa betul-betul puas. Selagi masih
tiada ketidakmanisan pada karya tersebut, selagi itu dia akan menambahnya sedikit
demi sedikit sehingga beliau benar-benar merasa puas.
Terdapat tiga tahap
perkembangan seni lukis hasil karya Rafie. Karya-karyanya pada peringkat yang
masih mencari-cari arah. Karya-karyanya yang dihasilkan ketika berada di bawah
naungan dan bimbingan APS. Dan karya-karya terakhirnya yang dihasilkan
pada puncak kematangannya sebagai
seorang pelukis. Rafie amat sedar tentang perkembangan perjalanan dirinya
sebagai seorang pelukis dan menganggap karya masa lalunya sebagai bahan
pengajaran untuk karya-karya di masa hadapan.
Zaman kegemilangan
APS, itulah zaman beliau berhempas pula untuk mempelajari teknik dan kaedah.
Dan beliau seakan menyalin kembali gaya dan teknik guru-gurunya ketika itu,
Hoessein Enas dan Mazeli Mat Som. Tetapi sedikit demi sedikit Rafie mengorak
langkah untuk merubah dirinya. Dia akhirnya menemui jati dirinya yang
tersendiri, bahkan mulai menjadi ikutan beberapa pelukis muda yang seringkali
bersama-sama keluar melukis di lapangan. Ternyata kesungguhan dan pengorbanan
Rafie dalam dunia seni lukis tidak sia-sia.
Dalam pameran kali
ini, Rafie menyuguhkan sejumlah karya lanskap yang amat manis terhadap alam
ciptaan Tuhan yang terbentang di hadapannya. Sapuan warna cat airnya amat
harmonis dan manis sekali. Dia
seolah-olah membawa kita ke lokasi yang berada di dalam lukisan yang
dihasilkannya. Dengan kenyakinannya itu
dia akan melukis dan terus
melukis.
No comments:
Post a Comment