Saturday, July 20, 2013

HARI USMAN AWANG

Sepatutnya balik ke Kota Bharu hari ini, tetapi kerana beberapa hal, tidak jadi balik. Hari ini menghadiri Hari Usman Awang di Galeri Chandan bersama penyair Wan A. Rafar. Ada pameran lukisan yang dihasilkan oleh para pelukis dari PeRupa pimpinan pelukis Aris Aziz. Ada pengkisahan dan dan baca puisi. Tan Sri Kamarul Arififin membaca puisi-puisinya, Dr. Siti Zainon Ismail, Dato' Rahman Shaari, Zakaria Ariffin, Wan A Rafar, Raja Ahmad Aminullah dan ada ramai lagilah. Ada beberapa nama yang tercatat nama mereka di buku program tetapi tidak  dapat hadir. Kasajiza AS menjadi pengacaranya, kebetulan galeri itu milik anak buahnya, Haji Nazli Aziz. Baru hari ini saya tahu Nazli itu anakanda kepada Aziz Abbas, abang kepada Zainal Abbas.

Berbeza sedikit, Hari Usman Awang terpaksa dianjurkan oleh anaknya, Haslina bersama DR. Siti Zainon, PeRupa dan Galeri Chandan.  Dua hari lepas saya, Marsli N.O dan Lutfi Ishak ke majlis Ulang Tahun  ke 120 penyair Vladimir Mayakovsky di Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia di Jalan Ampang.  Kami  sampai lambat kerana berbuka puasa dan selesaikan fardu Maghrib di KL Kovensyen Sentral terlebih dahulu. Mahal juga rupa-rupanya harga berbuka di sana RM128.20 untuk satu kepala.  Kami sampai dah jam 9.00 malam, dan yang ada di situ - SM Zakir dan Haslina Usman Awang, Pengarah Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia serta kaki tangan dan  beberapa rakyat Rusia. Paling menarik kami berkenalan dengan Firduas - kelasi Kapal yang berkahwin dengan perempuan Rusia.   Hari ulang tahun kelahiran penyair agung Rusia itu disambut di semua Kedutaan Rusia di seluruh dunia!

Barangkali untuk 12 Julai 2014, PENA bolehlah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Hari Usman Awang, salah seorang  Sasterawan Negara yang pernah menjadi Ketua Satunya.

Thursday, July 18, 2013

ADAB

Saya selalu ingat pesanan Ayah dan Wan, "jangan jadi orang yang tak beradab". Ayah dan Wan selalu ingatkan, "jadilah orang yang beradab." Beradab dengan ibu bapa, dengan sahabat, dengan guru-guru, dan paling utama dengan Rasulullah SAW dan Allah  SWT. Setiap hari saya melihat anak-anak saya membesar di hadapan mata, dan pertanyaan yang sering menerjah hati kami; apakah saya mampu memberikan ilmu adab ini kepada anak-anak kami? Ketika di rumah mereka tunduk, tetapi di luar taman permainan; mereka menatap langit yang luas terbuka. Kami pun merintih dan kami pun menangis dengan doa yang tiada putus -

 "Ya Allah Ya Rabbi
Yang Maha Pemurah
lagi Maha Pengasihani,
jadilah anak-anak kami
anak-anak yang beradab
dan kenal akan dirinya
yang tuturnya lembut
yang tingkahnya santun!"




Wednesday, July 17, 2013

Pak Da Megat di Rusia


Sebuah cerpen lama saya, "Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tok Bagih" telah diterjemah dan diterbitkan dalam journal "ORIENTAL COLLECTION" (N1, 2013) di Moscow. Kebetulan isu kali ini memfokuskan kepada dunia timur. Terjemahan oleh Dr. Victor Pogadaev dan cerpen ini pernah diterbitkan di dalam antologi  "Darah Melayu" bersama-sama dengan cerpen Anwar Ridhwan, Danarto, Rahman Hj. Yusoff, Abdul Rahman CM dan Irwan Abu Bakar.

Cerpen ini saya tulis sekitar tahun 1990. Dan memenangi Hadiah Penulis Muda Terbaik untuk siri Sayembara Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1991.

Tuesday, July 16, 2013

penyair dan dramawan

i.
Saya selalu terpandang sosoknya di Masjid Syaidina Hamzah Batu Muda hampir setiap waktu solat sekiranya saya berjemaah di sana. Dan malam semalam selepas isyak saya melihatnya, dan serbannya selalu berbeza dengan jemaah yang lain. Saya menemuinya  secara berdepan pertama kali apabila Wan Mohd Said al-Mehdi menelefon bahawa dan mengajak saya untuk menyertai  penyair Nawawee Mohamad, sasterawan Norhisham Mustaffa dan Hasrom Haron yang berada di warung hadapan Masjid Saiyidina Hamzah untuk bertemu dengan Hadzrami. Hadzrami AR atau Hadzrami Abdul Rahman  merupakan  penyair penting tahun tahun-tahun 60-an. Beliau  pernah menerbitkan dua buah kumpulan puisi perseorangan "Dunia di Bibir Kiamar" dan "Terbit Matahari". Dia dikenali sebagai penyair Islami yang sezaman dengan teman-temannya dari Kolej Islam Malaysia ketika itu - terutamanya teman-teman penyair dari Brunei seperti Yahya MS, Baharuddin HO, Adi Rumi dan beberapa nama lain. Sayangnya, selepas dua buah antologi puisi yang sangat Islami itu, dunia kesusasteraan kita  sehingga ke hari ini tidak menemui puisi-puisinya yang terbaharu. Sewaktu pertemuan itu saya tidak bercakap apa-apa, cuma menyalami dan memeluknya.

Kebetulan pula,   bulan lepas saya singgah di Cikgu Zakaria Muhammad atau nama penanya Z. Sabri di Lundang, Kota Bharu. Cikgu Zakaria memaklumkan bahawa Hadzrami AR adalah  orang yang memainkan isu di surat khabar supaya ditubuhkan sebuah persatuan penulis di Kelantan pertengahan 60-an dahulu. Hadzrami ketika itu menjadi wartawan di Berita Harian, dan beliau memainkan isu itu sehingga tertubuhnya Persatuan Penulis Kelantan (PPK) yang diketuai oleh Cikgu Alias Harun. Persatuan itu masih bergerak aktif sehingga ke hari ini.

ii.
Apabila saya melangkah masuk ke ruang solat, ada sosok sedang mengerjakan solat di atas kerusi di saf paling belakang. Saya kenalinya sebagai Kalam Hamidi, dan sering disapa sebagai Pak Kalam. Dia tokoh penting dalam perkembangan drama sandiwara di pentas teater Malaysia. Skripnya "Anak Nazar Tujuh Keramat" menjadi teks SPM saya semasa belajar di tingkatan 4 tahun 1984. Saya tidak menyapanya kerana tidak ingin mengacau amal ibadatnya.  Selain "Anak Nazar Tujuh Keramat", terdapat beberapa skrip pentingnya yang lain seperti "Kasanova", "Mat Kilau", "Pejuang Kemerdekaan", Sial Bertuah", "Nyiur Gading Puncak Mahligai" dan beberapa lagi. Manakala buku-bukunya yang pernah diterbitkan oleh UKM antaranya "Memoir Kalam Hamidi dari Panggung Victoria ke Istana Budaya" (2001), "Pegangan Pementasan Drama" (2003) dan "Oh! Fatamorgana: Kembara Ke eropah, Acheh dan Irian Jaya" (2003).

Selepas 10 tahun lampau menerbitkan buku-bukunya itu, apakah dramawan ini tidak karya-karya barunya? Saya memandangnya, bercadang ingin menyapa dan menanyainya. Tetapi selepas terawih usai, saya tidak jadi untuk bertanya.

Monday, July 15, 2013

Ujian

i.
Akhirnya saya mula berasa sangat tidak senang dengan banyak post di fb, menyebabkan saya kembali ke blog. Ramai yang tidak faham dengan apa yang mereka catatkan. Tidak kurang juga, ramai yang tidak faham dengan apa yang kita catatkan. Tanpa membaca dengan teliti dan merenungi, orang dengan mudah memberikan komen yang setaraf kanak-kanak tadika. Ramai yang tidak faham, sebab  'like' dan komen itu dijatuhkan sebelum habis dibaca tentang inti kepada 'posting' tersebut.

ii.
Manusia diciptakan Allah swt  sebagai hamba-Nya. SeFiraun atau seQarun manaka sekali pun dia, si hamba tetap akan kembali kepada yang Maha Pencipta. Demam, sakit dan kematian merupakan fitrah yang akan dihadapi oleh semua makhluknya yang bernyawa. Manusia sebagai hamba akan selalu diuji, dan segala ujian itu untuk menambahkan kasih-sayang-Nya kepada hamba. Dan hamba pula sewajarnya menebalkan rasa syukur dan kasih sayang kepada Dia.

iii.
Sabtu pagi bertolak ke UiTM Jengka mengambil pulang anakanda yang dikuratinkan dengan demam campak. Dan jalan perjalanan pulang,  singgah menziarahi seorang sahabat kami - Azmarini Mat Diah di Hospital Temerloh  yang terlantar kerana kanser. Kesakitan itu tentulah ujian yang sangat besar untuk hamba-Nya. Sempena Ramadan yang putih bersih ini, kami titipkan doa yang paling putih semoga Allah Swt mengembalikan kesihatannya.

Allah, hanya kepada-Mu,
tempat yang  paling wajar
untuk kami meminta

Palingkan kami
dari makhluk;
dan kuncilah hati kami
dengan kerahmatan
dan kasih sayang-Mu

hanya kepada-Mu
yang Maha Pemurah
dan Maha Pengasihani
tempat kami meminta
dan bermohon

Ampunlah kami
ya Allah!

Friday, July 12, 2013

Ceramah Ramadan

Semalam saya mengikuti Ceramah Ramadan yang disampaikan oleh Ust. Nor  Laila Aniza Zakaria di Lambang Sari, Istana Budaya. Dua jam setengah ceramah dengan soaljawabnya sekali. Seperti biasa, saya suka memilih bucu sebagaimana buku saya "Dari Bucu Pentas" yang belum sempat diterbitkan sehingga ke hari ini walaupun daminya dengan disiapkan oleh Sinaganaga 3 tahun lepas.

Ada banyak sisi menarik yang disampaikan oleh penceramah ini. Anatara yang sempat saya catatkan dalam buku kecil saya:
a. Menghidupkan Ramadan bukan dengan jeritan dan kekasaran, tetapi dengan hikmah dan kelembutan."
b. Baginda Rasulullah berpesan, setinggi-tinggi iman dengan mengucapkan "Laillahhaillah" dan serendah-rendah  iman dengan membuang sesuatu di jalanan yang menghalang jalan tersebut.
c. Jangan susahkan orang lain di dunia, kelak Allah susahkan kita di akhirat.
d. Malaikat mendoakan kerahmatan  kepada orang yang bangun sahur. Lambatkan bersahur dan cepatkan berbuka,
e. Buang makhluk di dalam hati, dan besarkan Allah. Kalau sakit carilah Allah kerana Dialah penyembuh segala penyakit. Lakukanlah solat sunat  dua rakaat supaya Allah sembuhkan. Jangan memustahilkan Kuasa Allah.

Thursday, July 11, 2013

Selepas Fansuri bacalah Ratib Kalbu

Foto: ITBM


Arakian selepas Syeikh Hamzah Fansuri, penyair dan sufi besar alam Nusantara sebagaimana termaklum umum, maka hendaklah para salik membaca akan  puisi terpanjang di Malaysia yang berjudul Ratib Kalbu oleh penyair Sutung Umar Rs ini. Jumlah 499 halaman dengan dibahagikan kepada 59 bahagian, ternyata lebih panjang ketimbang Al-Amin oleh SN A. Samad Said sebelum ini. Pendek atau panjang, bukanlah menjadi ukuran kepada nilai dan mutu karya, kerana ada pun karya berjela panjangnya,  tetapi ada karya yang tidak memberikan kesan makna apa-apa. Dalam kontek dunia kesusasteraan Malaysia - yang muda remaja, goyah, rapuh dan pop ini sangat sukar untuk menerima karya yang serius.

Saya percaya Ratib Kalbu akan menjadi karya panjang yang meninggalkan kesan dan makna-makna yang pembaca dan pengkritik yang mempunyai sanad kesufiannya melihat dengan mata kalbu. Ratib Kalbu saya percaya ditulis  dengan kecerahan kalbu, dan pembaca akan boleh memetik kelazatan dari baris dan rangkapnya. Kesan yang paling besar kepada pembaca yang menelusurinya  akan  dapat berasakan buah kelazatannya. Sama ada kemanisan, kemasinan  atau kepahitannya.

Membaca Ratib Kalbu seolah-olah sedang  membaca sebuah bentangan jiwa yang terapung di langit menuju kepada pencarian Tuhan Rabbul Jalil yang Hakiki. Sutung Umar Rs menulis seadanya tentang getar dalaman dan keluhuran jiwanya. Lintasan dan runtunan kalbunya ditumpahkan dengan penuh sedar dan insaf. Walaupun  Sutung Umar Rs  tidak pernah melebelkan dirinya sebagai penyair Islami atau lebih jauhnya sebagai Sang Sufi dengan menepuk-nepuk dada, tetapi Sutung dengan sebuah puisi panjang ini telah memberikan sebuah tamsilan dan ibarat. Tamsilan dan ibarat itu halus dibuka untuk ditatap dan dibaka dengan mata kalbu dan kecerahan basirah.

Pada saya, Ratib Kalbu perlu dibaca oleh semua orang yang pernah memperlajari kitab Hikam umpamanya, kerana Sutung Umar Rs menulis puisi untuk kita berfikir dan berkongsi perasaan ketulusannya. Nampaknya beliau  telah menulis puisi panjangnya ini dengan jiwa raganya. Dan saya yakin, selepas puisi-puisi Fansuri, maka Ratib Kalbu adalah batu tanda penting kepada sejarah puisi moden Malaysia hari ini. Selamat membacanya sempena Ramadan al-Mubarak ini.