Tuesday, January 31, 2012

bohong

kata mursyid kami, ciri-ciri orang munafik, apabila bercakap dia berbohong. bahkan berkali-kali jumaat dalam khutbah pun selalu kita dengar ungkapan tersebut. berulang-ulang. sejak masa kecil lagi kita diajar supaya jangan bercakap berbohong. mak kita sentiasa mengingatkan, sesiapa yang berbohong, dekat akhirat lidah dan mulutnya akan bercakap benar. jadi janganlah bercakap bohong.

jadi dalam keadaan apa sekali pun kita harus bercakap benar. namun, dalam menghasilkan karya sastera hal ini mungkin berbeza. kita menulis cerpen, novel atau skrip drama sebagai karya fiksyen. yang berkembang di dalam fiksyen, jangan kita bawa ke luar kehidupan realiti kita sehari-hari. biarlah fiksyen tinggal fiksyen sebagaimana bentuknya.

apakah keuntungan yang kita dapat dengan berbohong?

Monday, January 30, 2012

tamadun

kata mursyid saya, tamadun terbesar telah diasas dan dibina oleh Rasulullah SAW. pembinaan tamadun itu dengan ilmu yang berasaskan wahyu. pembinaan tamadun juga dengan gabungan orang tua dan orang muda. orang tua wajib menyanyangi orang muda. dan orang muda pula wajib menghormati orang yang lebih tua. sekiranya orang tua tidak sayang kepada orang muda, dan orang muda tidak menghormati orang tua, maka runtuhlah tamadun.

saya ingin menambahkan sedikit kuliah mursyid kami itu. tidak semua orang tua memiliki ilmu yang boleh menjadi asas kepada pengukuhan tamadun, bahkan ramai orang tua yang meruntuhkan proses tersebut dengan pandangan jumud dan sempitnya. lagi tidak berguna dengan orang tua yang membaca sebaris dua laporan surat khabar kemudian menjatuhkan hukuman mengikut fikiran lapuknya. dan kita kesian amat kepada orang tua yang 'rumah kata pergi dan kubur kata mari' tetapi masih belum kenal dengan Alif ini. begitu juga dengan orang muda. kalau orang muda yang merempit di tengah lorong kota dan jalan kampung, peminat AJL juga tidak termasuk dalam kalangan orang muda yang boleh diajak untuk sama-sama membina tamadun.

Sunday, January 29, 2012

si pandir

pak pandir antara watak yang dihidupkan oleh guru sekolah kami semasa sekolah rendah lebih 35 tahun yang lalu. pak pandir ini memang tolol dan lurusnya bendul. mujurlah mak andehnya itu cerdik. kesianlah kita kepada mak andeh yang mendapat suami yang bodohnya tidak boleh diajar, atau cerdiknya tidak boleh ditumpang. bayangkan, pak pandir tidak boleh membezakan belalang rusa dengan rusa, cangkul dengan kambing, burung pipit dengan pak lebai. memang pandirlah dia.

beberapa bulan lepas saya membeli sebuah buku nipis yang mengumpulkan cerita lengkap pak pandir dengan harga RM2.00 di chowrasta terbitan tahun 60-an. seronoklah saya membacanya semula. teringatlah pula kata-kata ayah lama dulu, "mu jage jadi pak nder!"

pak sako pernah menulis kolumnya dengan nama pak pandir moden. itu hal yang lain. hari ini terfikir pula saya, dalam sastera Malaysia pun ada yang sejenis dengan pak pandir yang sedang mencanang-canangkan namanya!

Saturday, January 28, 2012

sakit

sakit selalunya dihubungkan dengan sihat. sakit ada pelbagai jenis. ada sakit yang nyata pada fizikal dan ada yang misterius, jauh ke dalam jiwa. yang fizikal biasanya lebih mudah diubati berbanding dengan yang satu lagi. kadang-kadang kita tak tahu pun kita sakit, tetapi hakikatnya kita memang sakit.

sakit itu tak semestinya tak berseluarbaju mundar-mandir di sepanjang jalan dan membongkar tong sampah dbkl. berasakan diri kita gah hebat itu pun sudah sakit. apalagi sakit berpura-pura sufi, sedangkan perangai lebih buas daripada binatang yang menjalar dan berkaki empat. itu sakit yang lebih parah.

hanya dengan zikir mahabbah yang mendalam kepada Allah swt yang akan menjadi rantai mengikat nurani dengan-Nya. dengan itu akan putuslah segala sakit duniawi yang menanah di dalam kalbu.

Friday, January 27, 2012

ilmu

ilmu yang membezakan orang alim dengan orang jahil. ilmu dan amalan juga yang membezakan jauh atau dekatnya seseorang hamba makhluk dengan Allah SWT. ilmu yang bermanfaat akan menuntun empunya diri ke hadrat-Nya dengan limpahan hidayah dan inayah. yang tidak berilmu, tetapi berasakan dirinya penuh tepu dengan ilmu, akan terus berada dalam godaan dan was-was syaitan. dan syaitanlah yang akan menjadi mursyidnya, menuntunnya ke jalan kesesatan yang nyata.

'tuntutlah ilmu sehingga ke negeri Cina' antara kata-kata ulama atau pujangga yang terkenal, tetapi sering disebut sebagai hadis Nabi SAW. ringkasnya, menuntut ilmu itu penting, dan amat penting. belajarlah dari dalam buaian sehingga ke liang lahad.

semakin belajar dan semakin banyak membaca, menjadikan saya semakin kerdil. saya seperti tertinggal jauh, dan saya tahu - banyak yang saya tidak tahu berbanding dengan apa yang saya tahu. dan saya mendekati kawan-kawan yang lebih muda daripada saya, kerana saya tahu seringkalinya mereka lebih alim, berilmu dan beramal melebihi kejahilan diri saya.

syukurlah Allah swt memberikan saya sedar diri, dan sedar ruang dalam perjalanan usia saya. moga Dia memberikan pertunjuk dan hidayah-Nya yang berpanjangan untuk saya tidak memfitnah, menyesat dan mendangkalkan pendapat orang lain.

Thursday, January 26, 2012

Syamail Rasulullah SAW

setiap waktu kita menyebut-nyebutnya namanya, meskipun sejak kita lahir, kita tidak pernah menemui sosok yang paling agung dan paling mulia ini. Baginda tiada lain, Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW. Dialah Rasul yang terakhir yang membawakan wahyu untuk umat dan kaumnya. Dialah Rasullah SAW, keperibadian yang terpuji yang seharusnya menjadi ikutan dan suri teladan kita selaku hamba dan pengikutnya.

meminati dan menekuni hadis-hadis mengenai keistimewaan Baginda SAW, tidak sama dengan kita menikmati karya sastera. karya sastera, puisi atau apa sahaja genre tidak layak dipuja dan disanjung melebihi sanjungan kita kepada Baginda. tersasarlah sesiapa yang memuji karya manusia melebih pujian dan sanjungan kita kepada manusia. apalagi apabila kita meminta-minta diri dan karya kita dipuja-puja. moga-moga dijauhkan Allh swt daripada segala sifat kesyaitanan tersebut.

sebelum 12 rabiulawal, saya hanya ingin khatamkan "Syamail Muhammad SAW" karya Al Hafiz Muhammad ibn Isa ibn Saurah al Tarmizi (RA). biarlah karya ini dikhatam berkali-kali, tanpa jemu-jemunya.

Wednesday, January 25, 2012

fatwa

ekoran tulisan tuan haji mohd nazmi yaakub di BH hari ini, saya menerima banyak sms "fatwa" tersebut. ada yang tahniah. ada yang seperti kurang senang. "anda rasa, anda dah besar sangat ke?". selebihnya isteri saya juga menerima sms, "betulkah suami puan, yang keluar gambarnya di BH hari ini?"

saya hanya senyum kepada semua sms itu. tak perlu saya mempertahankan diri saya. apa yang tertulis itu tak kan saya nak nafikan. haji nazmi, kawan saya itu siap rakam lagi dengan video sewaktu acara berlangsung. paling tidak, kalau ada calon penyair yang bertemu saya, saya akan katakan "bacalah banyak buku dengan berfikir!" dan jangan baca buku seperti burung kakak tua!