Thursday, July 31, 2008

Saya Memanggilnya, Ayah Ku!

Akhirnya dia berangkat menemui Yang Maha Pencipta. Pada Sabtu, 14 Jun 2008 dia beria-ria ingin menemui kami, Sutung Umar RS dan saya di IB. Dan dia sampai selepas maghrib. Kami memberinya dua pilihan, sama ada untuk menonton P.Ramlee The Musical atau bersama-sama perkena teh di Laman Santai. Kalau menonton, dia inginkan kami masuk bersamanya. Tetapi akhirnya dia memutuskan ingin ke Laman Santai. Dan kami berada di meja Media dari jam 8.30 hingga 11.30 malam. Ada banyak cerita yang kami bicarakan. Paling terkesan, dia menyebutkan bahawa selepas setiap kali berdoa selepas solat, dia panjatkan doa untuk sahabat-sahabat baiknya. Abdulaziz HM dan Abdullah Tahir, seringkali disebutnya. Bahkan setiap kali bertemu, dia akan mengulanginya.

Ahad, 27 Julai yang panas di Hospital Serdang. Dia ingin berbicara dengan payah. Anggukan dan bahasa matanya membuatkan saya amat mengerti. Sebak itu saya simpan jauh di ujung kalbu. Seboleh mungkin saya cuba sembunyikan daripada Shamsudin, mahupun Ridzuan. Ada banyak cerita dan ada nasihat peribadinya untuk saya. Malam tadi, berakhirlah sudah cerita dan nasihatnya. Saya tak akan temui lagi orang yang boleh ‘memarahi’ saya.

Apabila menerima sms Syed Zakir pada jam 12.01 minit malam tadi, saya terus menelefon Sutung. Dan kami terus ke Bangi bersama Amiruddin dan Saleeh Rahamad. Sewaktu bersila di tengah surau membacakan Surah Yasin awal dinihari, saya tidak sesebak ini. Barangkali tak ramai kawan penulis yang tahu panggilan saya untuknya. Hanya Syed Zakir yang tahu, saya memanggil abahnya sebagai Ayah Ku. Entri ini terpaksa saya hentikan di sini…Al-Fatihah.

TENTANG SEORANG YANG BERNAMA AMIN SWEENEY
oleh:
Rahimidin Zahari

Amin Sweeney seorang Irlendia. Ketika masih remaja dia sampai di Malaysia. Menjadi guru dan mengambil HSC di Kelantan. Dalam dunia akademik, dia tokoh besar. Gelar profesor emeritus dalam bidang pengkajian Melayu dianugerahkan oleh Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat, tetapi kini dia menetap di Jakarta, tetapi masih warganegara Malaysia.

Ketokohan dalam bidangnya pasti tiada tandingan setakat ini. Buku-buku kajiannya tentang budaya, menarik dan memikat untuk diteliti. Buku-bukunya antara lain seperti Malay Shadow Puppets (British Muzium:1972), The Ramayana and The Malay Shadow (Universiti Kebangsaan Malaysia: 1972), A Full Hearing, Orality and Literacy in the Malay World (University of California Press: 1987), dan A Malay Word Music (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1994) dijadikan bahan kajian dan rujukan yang bermakna apabila berbicara mengenai dunia sastera lisan dalam kesusasteraan Melayu.

Buku-buku tulisan dan penyelidikan Amin Sweeney selalunya serius. Dia mengajak kita untuk berfikir dan menilai tentang isu yang dibicarakannya. Tentang sarjana yang seorang ini, ada banyak sisi menarik yang boleh dipelajari daripadanya. Pertama dia tidak suka kepada gelar-gelar kebesaran (termasuk gelar akademik). “Aku senang dipanggil Pak Cik, atau Encik Amin…”

Dia barangkali antara contoh mat salih yang telah sebati dengan budaya dan kehidupan Melayu. Dia merendah, dan tidak bercakap bahasa Inggeris pun dengan saya. Bahkan dia lebih senang menggunakan loghat Kelantan yang pekat, negeri yang menemukannya dengan pelbagai kemungkinan kehidupan budaya.

Wayang Kulit, menjadi kepakarannya, bahkan selepas 50 tahun merdeka, kajian Amin Sweeney masih unggul sehingga kini. Tentang Wayang Kulit Kelantan, sehingga kini belum ada kajian yang lebih baik selain yang pernah dikerjakan oleh Amin. Ketika kajian itu dibuat, Amin menyatakan dia telah temui 300 orang dalang Wayang Kulit di Kelantan. 300 orang! Ini membayangkan betapa meriahnya suasana seni wayang kulit ketika itu. Berbanding hari ini, dalang yang ada di Kelantan (yang masih aktif) tidak sampai 10 orang. Betapa dalam jarak waktu tidak sampai 40 tahun, kesenian wayang kulit menjunam menuju kepada titik pupus.

Bertemu beliau di cafĂ© Hotel Mandarin Court, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, memberikan beberapa sudut pandangan yang menarik. Malaysia baru menyambut kemerdekaan tanahair yang ke 50, lampu masih berkerlip di bangunan tinggi seluruh ibu kota, dari puncak tertinggi sehingga sampai ke tingkat paling bawah. Bendera jalur gemilang juga berkibar sepanjang jalan. Beliau menyatakan, “Bangsa aku dijajah 800 tahun, bangsa kau baru 400 tahun.” Maksud mudah yang saya faham, isilah kemerdekaan itu dengan penuh makna dan tanpa disia-siakan.

Dia menghulurkan buku barunya Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi Jilid 1 (Kepustakaan Populer Gramedia: 2005). Buku ini menarik kerana Amin memberikan tafsiran yang lain kepada Abdullah. Abdullah biasanya dihukum sebagai talibarut Inggeris, dan pelbagai tafsiran yang buruk oleh sarjana Melayu. Mereka marahkan Abdullah yang menegur segala tingkah dan perangai orang Melayu yang kononnya suka makan benda-denda yang busuk, dan rumah yang kotor. Tentang tulisan dan catatan Abdullah ada yang memuji melangit dan ada yang mengeji. Ramailah sarjana dan orientalis yang menulis tentang karya Abdullah. (catatan lama 2 tahun lepas).

Catatan tambahan:

Selepas pertemuan itu, Amin datang lagi ke Kuala Lumpur beberapa kali. Dan terbaru Amin sampai ke Kuala Lumpur pada Ahad lepas, dan malamnya kami keluar minum di Seksyen 16 Petaling Jaya. Petang semalam Amin singgah di Istana Budaya dan akan kembali ke Jakarta pada petang ini. Kalau dua tahun lepas saya dihadiahkannya dengan Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsi Jilid 1, kini saya menerima dua jilid sambungan buku itu dengan judul Jilid 2 Puisi dan Ceretera (KPG: 2006) dan Jilid 3 Hikayat Abdullah (KPG:2008)

Temuan kajian Amin tidak. Banyak tulisan Abdullah disunting dan diubah. Abdullah menulis dengan jujur, tetapi banyak tulisannya dilupuskan oleh suntingan yang tidak bertanggungjawab. Dan ramai pengkaji merujuk karya-karya Abdullah yang telah disunting. Penemuan karya asal Abdullah oleh Amin membuka cakerawala baru. Abdullah bukan budah Inggeris. Abdullah cerdik. Abdullah genius. Seolah-olah bangsa Melayu memerlukan munculnya orang seperti Abdullah.

“Yang baik aku royat baik, yang tak baik aku royat taik!”

31 Julai 2008


Tuesday, July 29, 2008

Ciuman

Tentang ciuman ini ada banyak tanggapan. Ciuman kasih sayang berbeza dengan ciuman bernafsu. Kata sahabat saya, ciuman itu satu penghormatan yang tinggi seseorang kepada seseorang yang lain. Nampaknya dalam kehidupan orang Malaysia hari ini, bercium-ciuman bukanlah hal yang luar biasa lagi. Di tempat sunyi mahu pun di tempat awam, orang yang macam Melayu(?) ini sudah tidak segan silu lagi untuk bercium-ciuman. Yahudi yang kita pelihara di dalam rumah kita nampaknya telah berjaya mengajar kita ilmu cium mencium ini. Soalnya, bagaimanakah kalau yang dicium itu bukan muhramnya? Bersalam-salaman bagi yang bukan muhram itu jelas dan nyata haramnya, tentulah bercium itu lebihlah lagi. Teringat saya akan Islam Hadhari.

Petua Berkahwin Dua

Seorang kawan saya, pensyarah di salah sebuah universiti tempatan memberikan petua berkahwin dua selepas makan tengah hari pada satu hari minggu yang entah bila, saya lupa.

“Ada petua ke?” tanya saya.

“Ada.Dan saya telah amalkan.” Tegasnya dengan muka yang serius.

“Iya?”

“Kau nak cuba?”

Saya gelak.

“Mudah saja kawan. Bila kau berada di rumah isteri pertama, kau lupakan isteri kedua. Bahawa yang kedua itu tidak pernah wujud, sakit minum, makan pakainya anggaplah tak ada. Bayar bil, sewa rumah, ke pasar beli sayur biarlah dia pandai-pandai sendiri. Begitulah kalau giliran di rumah yang kedua, anggaplah pula yang pertama tidak ada. Mudah kan?” dengan bersungguh dia menjelaskan kepada saya.

“O..begitu..” kata saya.

“Lagi satu aku nak pesan, kalau pagi minggu berderet-deret dengan bini kau ke pasar tani atau pasar minggu beli sayur, jinjing raga ikan, tak usahlah kau nak beristeri dua.” Nasihatnya pula.

Dan saya, seperti juga sahabat saya Haji Shamsudin Othman tentulah gagal untuk mengamalkan petua kawan pensyarah ini kerana kami apabila hari minggu sama-sama menjinjing raga ikan ke pasar minggu. Tapi tak tahulah pula dengan sahabat kami, SM Zakir?

Beristeri Dua

Saya teringatkan ustaz kawan baik saya yang pernah menasihati kawan baik kami yang berhasrat ingin beristeri dua.

“Kalau kau nak kahwin juga, jangan berfikir dengan 100 kali, tetapi berfikirlah seribu dan beribu-ribu kali. Selepas itu kau buatlah keputusannya. Kerana yang ingin berkahwin itu kau dan bukannya aku.”

Selepas menerima nasihat itu, kawan saya itu teruskan juga hasratnya untuk berkahwin. Tetapi tidak sampai dua bulan dia datang menemui saya.

“Aku telah silap. Isteri kedua aku terdapat 40 kekurangan berbanding dengan isteri pertamaku yang cantik dan amat baik.”

Dan saya diam tak memberikan apa-apa komen.

Monday, July 28, 2008

Damai Di Kampung
Rahimidin Zahari
Konsep Ogos 2008





Friday, July 25, 2008

Air Mata Dalang

Saya tak tulis cerpen sudah 10 tahun. Selalunya cikgu saya, penyair Rosli K. Matari setiap kali berjumpa akan mendesak saya suruh tulis cerpen. Tulislah juga dua tiga baris, lepas itu tak menjadi. Terkejutlah juga bila Malim Gozali PK sms dah baca Air Mata Dalang. Saya hantar dan tak fikirpun akan disiarkan. Apabila berhenti lama dan ingin memulakan kembali, saya bermula dengan langkah yang pertama. Tapi Malim Gozali PK sendiri lagi lama berhentinya dah 14 tahun. Sekarang dia menulis semula. Saya lampirkan cerpen saya yang tersiar di Dewan Budaya, Ogos 2008


Koleksi Lukisan Saya


Saya kolek dua koleksi baru. Pertama potret SN A. Samad Said (2006) karya Aris Aziz dan keduanya Sketch Book pelukis Nur Azmi Mukhtar (2008).

Potret A. Samad Said adalah antara lukisan potret Aris Aziz yang menyimpan beribu rahsia dan tafsiran. Renungan wajah di dalamnya jauh dan sayu menggambarkan masa lampau. Renungan yang menyimpan nilai estetika dan bancuhan inteltual seorang sasterawan dalam garis dan warna seorang pelukis. Cara Aris menyorot wajah A. Samad dari sisi, dengan palitan yang ditebalkan pada wajah. Warna perang dan suram seolah-olah merenung sisa-sisa dan kesab dahsyatnya perang masa lalu yang pernah dialaminyua secara reality. Wajah itu adalah wajah yang merenung dan amat membenci perang yang kita temui dalam novel-novelnya seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Adik Datang. Potret A. Samad Said ini adalah potret yang menceritakan tentang nasib bangsa di masa lampau, dan sebuah perenungan dunia kesenian, sastera dan budaya Melayu di masa hadapan.

Sketsa Nur Azmi tentulah sebagaimana pelukisnya, Si Mi Mambo di Kuala yang berubah-rubah watak dan gaya. Dia melukis seada akan segala masa lampaunya yang hilang. Walaupun mempunyai degree dari UiTM, tetapi dia meneruskan karya seni lukisnya yang berbeza dengan teman-teman yang berkelulusan yang sama. Nur Azmi melukis apa yang ingin dilukisnya, dan dia sama sekali tidak ingin terikat dengan apa yang dipelajarinya.

40 buah Puisi

Saya sedang menulis 40 buah puisi, dan separuh daripadanya telah pun saya selesaikan. Sebelum berakhir tahun 2008 ini, doakan saya berjaya menyelesaikan penulisannya. Saya sertakan sebuah puisi pendek:

Sajak Kambing Hitam

Kesian kambing putih
yang telah kauhitamkan
yang tertinggal
embeknya yang
tidak lagi
kedengaran.

6 Julai 08
JB-KUL
7.15pagi.


Wednesday, July 16, 2008

Kupadamkan Sejumlah Nama

Kerana tidak ingin berhutang apa pun
termasuk rindu dan dendam
kupadamkan sejumlah nama.

Kutinggalkan sebaris kesepian jauh di ufuk
sambil membaca catatan demi catatan
yang tidak terhapus juga oleh hujan.

Tidak ada sesal selepas membuat pilihan
kerana keputusan bermula dari kejernihan
hati dan perasaan.

Kupadamkan sejumlah nama
yang penuh santun dan manis
memberiku duri, racun dan belati.

Dan aku tidak pernah menangis
kerana aku tidak berhutang apa pun.

15 Julai 2008

Tuesday, July 15, 2008

Dari Catatan Lama:
Mencari Teman Yang Beriman dan Bertakwa

Saya menerima pesanan SMS daripada guru saya dari Kota Bharu, Ustaz Abdulhadi Muhamad. “1. Pastikan dalam sehari kita punya masa untuk baca dan menatap Al-Quran. 2. Berbuat baik dan senangilah hati orang lain…seboleh-bolehnya janganlah menyulit atau menyusahkan mereka, kita dikasihi Allah.” (25/9/04) jam 20:10:52. InsyaAllah apa yang diperingatkan oleh beliau, telah pun saya mulakan. Sebagai hamba, kita seboleh mungkin untuk berbuat baik, tetapi mulut ini biasanya tidak tahan juga dengan sindiran. Halus dan tajam. Sesekali rasa ingin dijawab, melebihi daripada apa yang diperlekehkan.

Tak sampai sebulan kemudian saya menerima lagi pesanan SMS daripada beliau, “Assalamualaikum. Saudaraku, tingkatkan amalan pahala di bulan Ramadhan, baca Al-Quran dan bersedekah. Bersahabatlah dengan orang yang beriman dan selalulah makan bersama orang yang bertakwa.” (19/10/04) jam 11:34:00.

Menerima pesanannya membuatkan saya termenung dan berfikir panjang. Betapa Kuala Lumpur ini pusat segala aktiviti dan kegiatan daripada yang sebaik-baik sehinggalah kepada yang sejahat-jahatnya. Hanya Allah Yang lebih Mengetahui. Betapa susahnya saya untuk mencari sahabat yang beriman dan untuk duduk makan bersama orang yang bertakwa di Kuala Lumpur.

Duduk sendirian saya terkenangkan guru dan sahabat-sahabat saya di Kota Bharu. Apabila masa terluang saya akan mengunjungi (atau paling tidak membuat panggilan telefon) dengan Ustaz Yusoff Abdul Hamid (kami memanggilnya Ustaz Mujahid), Ustaz Mohamad Mahmud (Pengarang Pengasuh - yang saya panggil Ustaz Pak Jak), Ustaz Abdulhadi Muhamad, Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady dan beberapa lagi. Tentunya hubungan kami amat akrab. Bukan sahaja makan bersama, sebagai orang yang lebih muda, saya lebih banyak mendengar dan menerima.

Apabila menjadi guru di Kota Bharu, malam-malam tertentu tidak saya lepas untuk mengikuti kuliah tafsir dan hadis. Kuliah tafsir Ustaz Muhamad Mustafa, kuliah hadis Ustaz Shukri Muhammad (Timbalan Mufti Kelantan) dan kuliah Mingguan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat jarang saya lepaskan. Saya memperolehi satu keseronokan. Pernah saya bawakan teman-teman saya ke rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, saya terus bawa. Walhal Tuan Guru bukanlah kenal saya, tetapi teman-teman saya cukup respect, mereka kata saya baik dengan Tuan Guru.

Apabila berpindah ke Kuantan, sempat berkenalan dan agak rapat dengan beberapa ustaz di sana. Ustaz Idris Haji Ahmad kebetulan sama seinduksi di INTAN, Ustaz Rasid Muhamad (UITM Jengka), dan juga Ustaz Kahar Abdul Aziz. Kebetulan di rumah ayah saudara isteri, Haji Zakaria Jaafar (Pengarah BPR Pahang) ketika itu sering diadakan kuliah. Saya selalulah dijemput, kawan-kawan dari jabatan lain agak hairan, bagaimana saya boleh berada di situ dan mengangkat hidangan makanan.

Berpindah ke Pulau Pinang, lain lagi. Seronok apabila berpindah dan tinggal di Balik Pulau, kawasan yang kita tidak banyak kawan dan saudara mara. Orang yang kita kenal di masjid semuanya menjadi sahabat dan saudara. Kita hampir tidak dikenali. Walaupun tidak lama, hanya 3 tahun di Balik Pulau – itu pun tiga kali berpindah rumah dari Taman Pondok Upeh, ke Titi Teras dan berakhir di Lebuh Sungai Burung, bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya. Sewaktu di Titit Teras, saya menjadi kariahnya. Untuk pulang ke rumah, saya harus melewati jalan kecil yang betul-betul melintasi di hadapan Masjid Titi teras.

Kuliah dan acaranya saban minggu. Selepas kuliah atau terawis kami duduk rapat-rapat menjamah hidangan. Seronok dan penuh dengan nilai persahabtan. Sebulan sekali Ustaz Taib Azamudin akan menyampaikan kuliahnya di masjid Titi Teras. Saya biasanya jarang melepaskan peluang ini. Awal-awal sudah datang dan bersedia untuk mengikuti kuliahnya. Kalau kuliah biasa, adalah tiga empat puluh orang, tetapi apabila Ustaz Taib, masjid hampir penuh. Di luar seperti ada Pasar Malam, dengan jualan pelbagai jenis makanan, pakaian, kaset, cd dan kitab-kitab agama.

Di USM pula agak beruntung, saya terus daftarkan diri sebagai pelajar minor untuk Pengajian Islam. Bergurulah saya dengan Ustazah Zaleha Muhamat (telah kembali ke rahmatullah dan al-fatihah untuknya) dan Ustaz Muhd Radzi Othman. Segala yang terbuka saya langsung akan menemui Ustaz Radzi untuk bertanya apa yang terbuku. Dan beliau amat terbuka dan lebih melebarkan lagi sudut pandangansaya.

Di waktu yang lain, kami dibawa oleh Dr. Zakaria Ali untuk bertemu dengan Dr. Kassim Ahmad di dusun duriannya dekat Kulim. Kami pergi, dan kawan saya Azian Fauzi tidak melepaskan peluangan, menyoal Kassim, membetulkan tafsiran ayat hadis dan Quran. Tahulah saya, ilmu agama bukan untuk dihujah dan dinilai mengikut logikakal. Islam merupakan amalan anutan yang bertalian dari Allah.

Apabila di Kuala Lumpur, waktunya habis di atas jalan sesak. Saya termenung dan terfikir, alangkah baiknya kalau saya memilih untuk pulang menetap di kampung. Tanah tapak rumah sudah ada. Di rumah ayah,pun tinggal bertiga, dan rumah ibu mertua tinggal seorang.

Ramai kawan yang saya temui tidak seperti di Kota Bharu, Kuantan atau Balik Pulau. Ramai yang mulutnya manis, tetapi hatinya Tuhanlah yang mengetahui. Ramai yang tahu dan pandai agama, cakapnya mengalah mufti dan ulama. Tetapi amalan hanya di bibir, bukan pada perlaksanaan. Saya terus termenung dan berfikir untuk mencari kawan yang beriman, dan memang ingin makan bersama kawan-kawan yang bertaqwa.


22/10/2004

Kuala Lumpur