Sunday, September 15, 2013

Titik

mencari
titik mula
tetapi
yang engkau
temui
hanya
titik akhir

semuanya
akan
berakhir
pada satu
titik.

Saturday, September 14, 2013

Engkau yang dekat

tiada aku di sini
berjalan dan berlari
dari hari ke hari
dari tahun ke tahun
tanpa reda
dan izin-Mu jua

yang tertulis
tidak terbaca
yang terbaca
hanya yang
zahir dan nyata

Engkau
yang dekat
tidak teraba

Engkau
yang rapat
tidak tersentuh

nestapaku
meratap
dalam
isak dan sendu.

Friday, September 13, 2013

Anak Kecil Main Api

Saya memandu ke pejabat pagi ini. Beberapa hari ini radio saya yang rosak sekian lama, telah kembali berbunyi. Tiba-tiba berkumandang lagu 'Anak Kecil Main Api'. Saya pun mendengarnya, lama sungguh saya tidak mendengar lirik ciptaan Tan Sri Nordin Kardi ini. Saya mendengar sehingga habis. Dan tiba-tiba-tiba saya sangat sebak.

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia

Thursday, September 12, 2013

Ujian

Ujian selalunya datang dalam pelbagai bentuk. Musibah yang tanpa terduga. Tingkah-laku dan perangai anak-anak. Segala itu sebagai tanda sayangnya Allah swt kepada kita, hamba-Nya. Dia akan menguji kita. Rutin yang nampak dekat dengan-Nya, tetapi kita sebenarnya amat jauh. Jarang bersujud malam. Maka, segeralah kita insaf untuk bersujud malam. Berbicara dengan-Nya dengan penuh tawaduk dan kerendahan diri sebagai hamba-Nya. Kalau tidak, kita akan sentiasa leka dengan kehidupan seharian yang melalai. Bahawa dunia ini hanya persinggahan sementara, kita akan menuju ke negeri Abadi yang sangat jauh dan kekal selamanya.

Aku hamba-Mu yang sangat hina, daif, lemah, leka dan tidak berupaya. Ampunkan segala salah dan dosa kami ya Allah!

Friday, September 6, 2013

Katak-Katak Menyanyi

Masa kecil saya yang lampau, apabila hari minggu musim cuti sekolah, saya akan mengayuh basikal ke Kg. Tegayung. Menganyuh di atas tebing tali air menuju ke rumah nenek kami di permatang. Rumah yang dibina untuk keluarga kami menginap di musim menanam padi dan juga ketika musim menuai. Hanya ada sebuah rumah nenek kami, di sebelah kanannya selang sepelaung ada beberapa rumah. Antara yang saya ingat, rumah Pak Da Kadir. Kampungnya dikenali sebagai Kg. Permatang Pusu, dan kampung inilah bonda saya dilahirkan. Rumah kecil kami itu sangat cantik, terbina di permatang sawah. Di pagi hari, dari dari arah Bukit Gunung merembeslah kabus dan percikan cahaya matahari ke beranda depan. Lalu kilauan emas buah-buah padi pun menguning pandangan. Dan keluarga kami tidak menyebutnya sebagai Kg Tegayung atau Permaatng Pusu, tetapi kami memanggilnya sebagai Padang Luas. Apabila malam tiba, bunyi cengkerik, dan ribuan katak-katak menyanyi. Pelita ayan terpasang di dalam rumah, dan di anjung luar tergantung gasolin malap. Katak-katak terus menyanyi! Datuk tiri kami, yang kami panggil Ayah Mat mengimami solat Maghrib dan Isyak. Dan nenek kami memasak di dapur. Setelah Ayah Mat kami tidak ada lagi, bertahun-tahun kemudian rumah dangau kami dirobohkan Pak Su kerana menjadi sarang penagih dadah. Dan kami sudah jarang-jarang ke sana. Sawah kami pun dipajakkan kepada orang lain. Dah bertahun-tahun, saya tidak ke sana. Keluarga kami yang tua-tua juga telah tiada. Yang ada di Permatang Pusu hanya berpangkat dua pupu dan anak dua pupu dengan saya. Apabila satu hari saya balik ke kampung, ketika sedangf berdepan dengan makan malam, tiba-tiba bonda saya bersuara. "Tanah di Padang Luas tu, dah ditukar nama - Wan, Mak Nah dan Pak Su. Yang di Kg. Aril dekat ketik Siam tu Pak Muda yang ambil." Saya hanya "Ooo!" Tak apalah Apabila saya kembali ke pejabat saya di Kuala Lumpur, saya masih terdengar katak-katak menyanyi!

Thursday, September 5, 2013

Jemputan

Foto: ITBM
September macam sibuk. Selain berpuluh jemputan rumah terbuka dan majlis keraian kenduri kahwin, ada dua bengkel dan dua pembentangan kertas kerja di luar negara yang mengundang saya. Kerana hal-hal tertentu, maka tiga daripada jemputan tersebut  terpaksa ditolak. Maafkanlah saya, insan yang lemah dan sangat kerdil ini.

Wednesday, September 4, 2013

Yang nyata itu telah pun tertulis...

Kakikatur: Rossem
Dalam hidup ini, ada banyak peristiwa  yang macam tidak ingin kita percaya, tetapi kita akhirnya harus percaya. Takdir yang tertulis, akhirnya dibenarkan oleh kenyataan. Dan kita menerimanya dengan reda akan ketentuan yang telah ditentukan oleh-Nya. Kita hanya insan yang lemah, hamba kepada al-Khalik yang Maha Pencipta - berkewajiban untuk  sentiasa bersyukur dalam keadaan apa sekali pun. Allah memberi, dan mengambilnya kembali. Dia mengambil, dan memberikan semula. Segala sesuatu yang kita dapat adalah pinjam-pinjaman. Tiada yang kekal abadi selain Dia!

Dalam suasana menyambut hari raya aidil fitri, sempatlah saya menziarahi Pak Haji Affandi. Kalau menziarahinya, dia selalunya akan banyak  bercerita tentang pelbgai kisah. Kisah pertama, tentang bagaimana Imam Ghazali sewaktu masih muda, dalam perjalanannya dia telah ditahan oleh penyamun. Imam Ghazali muda tiada apa-apa, kecuali sebuah kitab ilmu yang dipeluknya kerana terlalu sayangkan ilmu yang tertulis di dalamnya. Penyamun itu merampas dan mengoyaknya. "Ilmu harus disimpan di dalam dada, bukannya di dalam buku!"

Kisah keduanya - dikisahkan oleh Pak Aziz Satar, suatu hari P. Ramlee didatangi seseorang yang meminta wang daripadanya. Dan dia memberikan RM20.00 yang ada di dalam saku bajunya. Dan hanya RM20.00 itulah yang dia ada. "Kenapa diberikan semuanya?" "Wang ini pun bukan aku yang punya. Ia kepunyaan orang yang aku berikan tadi, aku hanya perantara untuk diberikan kepada yang hak. Setelah menemui orangnya, aku berikan kerana wang itu bukannya hak aku."

Yang nyata itu telah pun tertulis...

Monday, September 2, 2013

Malam Puisi Kedaulatan...

Foto: Marjan Singaluka
Malam Puisi Kedaulatan... di Rumah PENA pada 30 Ogos 2013. Mendengar puisi  disampaikan ketika orang makan-makan. Juga membelek-belek buku ketika orang sedang menyampaikan puisi. "Untuk apakah puisi disampaikan kalau orang tidak mendengar dan menghayati apa yang dibacakan?" tanya seorang sahabat. Jawab saya, "Nak dengar dengarlah, tak nak dengar boleh balik tidur. Puisi tidak memberikan anda kenyang, kecuali kambing bakar itu yang akan mengenyangkan. Itu pun dengan izin Allah swt. Kalau tidak, pastinya anda akan  tetap lapar, walaupun habis seekor kambing anda belasahkan."

Majlis Perkahwinan

Foto: Anis Abdullah
Menghadiri majlis perkahwinan sahabat kami, Zubaidah Samat dan Badrolhisham Mohd Tahir  di Anjung Felda, Jalan Maktab pada 29 Ogos 2013 jam 8.00. Sampai sebagaimana kad jemputan dan duduk di meja 19.

Paling seronok berjumpa sahabat lama kami, Cikgu Afife Ibrahim yang mengajar di  Pekan, Pahang. Masa sangat pendek, dan banyak cerita yang beliau ingin kisahkan.

Selamat pengantin baru, dan kami panjatkan doa moga berkekalan ke anak cucu.