Friday, September 6, 2013
Katak-Katak Menyanyi
Masa kecil saya yang lampau, apabila hari minggu musim cuti sekolah, saya akan mengayuh basikal ke Kg. Tegayung. Menganyuh di atas tebing tali air menuju ke rumah nenek kami di permatang. Rumah yang dibina untuk keluarga kami menginap di musim menanam padi dan juga ketika musim menuai. Hanya ada sebuah rumah nenek kami, di sebelah kanannya selang sepelaung ada beberapa rumah. Antara yang saya ingat, rumah Pak Da Kadir. Kampungnya dikenali sebagai Kg. Permatang Pusu, dan kampung inilah bonda saya dilahirkan.
Rumah kecil kami itu sangat cantik, terbina di permatang sawah. Di pagi hari, dari dari arah Bukit Gunung merembeslah kabus dan percikan cahaya matahari ke beranda depan. Lalu kilauan emas buah-buah padi pun menguning pandangan. Dan keluarga kami tidak menyebutnya sebagai Kg Tegayung atau Permaatng Pusu, tetapi kami memanggilnya sebagai Padang Luas. Apabila malam tiba, bunyi cengkerik, dan ribuan katak-katak menyanyi. Pelita ayan terpasang di dalam rumah, dan di anjung luar tergantung gasolin malap. Katak-katak terus menyanyi! Datuk tiri kami, yang kami panggil Ayah Mat mengimami solat Maghrib dan Isyak. Dan nenek kami memasak di dapur.
Setelah Ayah Mat kami tidak ada lagi, bertahun-tahun kemudian rumah dangau kami dirobohkan Pak Su kerana menjadi sarang penagih dadah. Dan kami sudah jarang-jarang ke sana. Sawah kami pun dipajakkan kepada orang lain.
Dah bertahun-tahun, saya tidak ke sana. Keluarga kami yang tua-tua juga telah tiada. Yang ada di Permatang Pusu hanya berpangkat dua pupu dan anak dua pupu dengan saya. Apabila satu hari saya balik ke kampung, ketika sedangf berdepan dengan makan malam, tiba-tiba bonda saya bersuara. "Tanah di Padang Luas tu, dah ditukar nama - Wan, Mak Nah dan Pak Su. Yang di Kg. Aril dekat ketik Siam tu Pak Muda yang ambil."
Saya hanya "Ooo!" Tak apalah
Apabila saya kembali ke pejabat saya di Kuala Lumpur, saya masih terdengar katak-katak menyanyi!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment