Friday, July 20, 2012

BUATLAH APA YANG INGIN DIBUAT

"Tulislah apa yang ingin engkau tulis. Dan buatlah apa yang ingin engkau buat." Catatan seorang kawan lama dulu. Saya menemukan catatan itu di dalam sebuah buku yang ingin saya ulang baca.

Selamat mengerjakan ibadat wajib dan sunat sepanjang Ramadan yang penuh barakah ini!

Tuesday, July 17, 2012

ASAM GARAM

Apabila buat salah, atau memang sengaja buat salah, kita pun memberikan rumusan: "asam garam kehidupan!" Saya anak orang kampung yang tidak terkenal. Arwah bapa saya, seorang petani dan di sebelah petang berniaga ikan di pekan kami,  Peringat. Berbanding dengan kawan saya, anak orang yang terkenal. Tetapi si anak ini tidak mewarisi bakat si bapa.  Hanya pandai meretorikkan bakat bapanya, dan berasakan bakat bapanya itu sangat besar. Tetapi dia sendiri pun sebenarnya tidak kenal dengan bapanya itu. Dia marah kerana orang tidak menghormati bapanya, termasuk bakat bapanya juga. Tetapi dia tidak sedar, apa yang sedang dia buat itu sebenarnya sedang memijak-mijak bakat bapanya.

Saya pernah menasihatinya. Tetapi susah kerana dia berasakan dirinya lebih pandai daripada saya. Apabila berjumpa, dia akan mengulang-ngulang ucapan yang sama. Menyebab saya mendengarnya acuh tak acuh sahaja. Paling susah apabila orang tidak faham dengan apa yang kita cakapkan walaupun saya bercakap dalam bahasa yang paling mudah. Paling tidak berguna kita meminta nasihat orang, tetapi nasihat yang baik itu kita anggap buruk kerana tidak menyebelahi diri dan pandangan kita.

Kita minta orang menghormati kita, tetapi kita sendiri tidak pernah menghormati orang!

WARTAWAN GUNDAH

Ramai sungguh wartawan gundah dan resah dalam akhbar arus perdana. Ada yang saya baca dan ada yang saya tengok judulnya. Kadang-kadang saya membaca orangnya juga. Dan dia tenggelam dalam analisis tersasar  dan mempamerkan ketidaktahuannya tentang skop yang ditulis. Teringat Lokman dalam dunia halusinasinya dalam novel "Hujan Pagi" Pak Samad.

Tahniah untuk Datuk A. Kadir Jasin yang dianugerahkan sebagai Tokoh Wartawan Negara!

Thursday, July 12, 2012

PANDAI BERCAKAP

Pandai bercakap tetapi tak pandai buat kerja, berbeza dengan tak pandai bercakap tetapi reti buat kerja. Biasanya yang reti buat kerja lebih banyak diam daripada bercakap. Tetapi yang tak reti buat kerja akan bercakap banyak, seolah-olah dia buat semuanya. Ini samalah dengan peribahasa orang tua kita: "Ayam bertelur sebiji, tetapi riuhnya sekampung."

BAKAT

Apabila membaca buku terakhir T. Alias Taib,  "Tuan Ibarat Songket Berkilau" (Oscar: 2005) saya suka sangat dengan petikan madah-madahnya tentang bakat.Ada banyak madahnya tentang bakat, tetapi saya petik dua sahaja. "Besar kemungkinan orang yang menganggap dirinya berbakat tidak berbakat." Seterusnya: "Setiap orang berbakat melakukan sesuatu tetapi tidak semua bakat berjaya menarik orang melakukan sesuatu."
Saya tidak berbakat untuk meminta sesuatu untuk kepentingan diri dan peribadi saya, meskipun seseorang kawan baik saya itu boleh membantu.

BESAR KEPALA

Beberapa tahun lalu, seorang kawan baik saya menelefon, "Kau berhentilah bercakap sesuka hatimu, aku dengar "orang itu" cakap, kau ni dah besar kepala." Saya ni budak nakal, "kepala mana yang besarnya?". Dari hujung telefon, dia bersuara lagi, "Aku cakap betul-betul, kau gelak main-main pulak." Betullah aku gelak sebab orang yang menuduh aku besar kepalanya tu, kepalanya sedang mengecut!"

PILIHAN

"Kita ada banyak pilihan sebenarnya di dalam hidup yang singkat ini," kawan minum malam saya memulakan percakapannya. "Kau boleh pilih nak jadi apa? Penagih dadah, nak mengamalkan lesbian, gay dan macam-macam keserakahan yang kau suka! Tapi kau perlu ingat satu, kau tu hamba yang maha hamba kepada hanya Satu Yang Maha Berkuasa. Sejauh mana pun kau rasakan yang diri kau itu cerdik dan pandai, pastinya ada yang lebih cerdik dan lebih pandai daripada engkau."
"Dan engkau kan penulis, setiap patah kata dan huruf yang kau catatkan, akan menjadi saksi di akhirat!"
Saya terpinga-pinga, apa sudah jadi dengan kawan saya, tiba-tiba menjadi sangat "alim" malam ini?

KENAPA MENULIS?

Suatu malam, kawan saya bertanya "kenapa menulis?" Saya tidak jawab, dan saya senyum. Kerana dia juga penulis, kami minum lagi di malam-malam seterusnya di Betty Corner. Malam ini, dia pula yang menjawab pertanyaan yang ditanyakannya pada malam sebelumnya. "Aku menulis kerana aku ingin menulis. Terbit atau tidak, itu hal yang lain. Aku menulis dan tugas aku adalah menulis."
Lalu, saya pun ingin mengacah-ngacahnya:  "Bukan untuk glamour? Cari publisiti murahan umpamanya, kerana dah lama takda karya baru. Dan kerana karya lama pun tak pernah dewasa-dewasa, maka marilah kita berbuat "sesuatu" seolah-olah kita masih ada, walaupun kita sebenarnya hampir tiada."
"Wow! Tak sayang mulut?"
Kita pun tiada mengenal sebenarnya, siapa kawan dan siapa lawan?