Tuesday, June 26, 2012

Menulis Puisi Adalah Menulis Hati


Puisi atau sajak? Terpulanglah pada anda, suka untuk menyebutnya sebagai apa. Puisi boleh. Sajak pun boleh. Ada orang tak suka istilah puisi digunakan kerana puisi itu lebih bersifat umum – termasuk semua puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, kita’ah atau apa-apa bentuk seumpamanya yang sudah pun menemui gaya dan bentuknya yang tergolong tradisi. Manakala sajak pula sudah pastinya merujuk kepada sajak moden.

“Puisi-puisi Tosca” merupakan kumpulan puisi kedua karya Rasyidah Othman selepas “Perempuan Yang Patah Hati”. Dia menulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, juga melukis. Saya mula membaca puisi-puisinya sejak akhir tahun 2008. Ketika itu beliau mengikuti Minggu Penulis Remaja yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan saya salah seorang pembimbing bengkel tersebut.

Selepas bengkel itu, ada yang terus hilang dan tak muncul-muncul lagi. Cuma sesekali ada yang menulis. Dan saya terus mengikuti perkembangan setiap peserta yang mengikuti bengkel saya. Selepas bengkel MPR 2008 itu, hanya Rasyidah dan Wardah Puteh yang “berani” sms kepada saya. Yang lain nampaknya terus hilang.

Apabila Rasyidah kembali dengan “Puisi-puisi Tosca”, saya sangat teruja. Saya mengikuti MPR sejak lama, bermula sebagai peserta pada tahun 1987 dan berakhir sebagai pembimbing. Puisi-puisi Rasyidah dan Wardah antara yang memberi kesan berbeza kepada saya berbanding dengan peserta yang lain. Apabila kembali dengan “Tosca”, dia masih setia dengan puisi-puisinya liriknya dengan menuliskan tentang hati nuraninya.

Dan kerana menulis puisi adalah menulis hati, maka Rasyidah menuliskan puisi-puisinya dari hati nurani dengan pelbagai perasaan:

Rahsia Tuhan II

Sesosok tubuh malaikat
dan separuh bulan terbelah di sisinya;

Dia tidak bisa terbang lagi



Dosa V

Di antara ranum susu dan pahit kopi yang kuminum ini,
kulihat ada bulan yang mati dan matahari yang tenggelam di permukaannya

Dan selang di atas meja tulisku
tergelintang serak kertas-kertas kumal
yang di tiap helaian mukanya dinukil;

Doa



Walaupun dalam puisi-puisinya, kita akan menemui pelbagai perasaan – marah, sedih, kecewa yang tiada sudahnya seakan-akan putus asa, tetapi puisi-puisinya itulah sebenarnya rumah keyakinan yang menjadi tempat untuk dia mengembalikan kepercayaan dirinya.

Dan, Rasyidah Othman teruslah menulis kerana menulis puisi adalah menulis hati! Tak perlu lagi berpaling ke belakang, sebaliknya teruslah merenung bintang di langit kartika.

4 comments:

benuasuluk said...

Pengantar Darwis dah siap belum?

Rahimidin Z said...

Konsepnya sekarang, penulis asal menulis sendiri kata pengantar. Tak kan penerbit tak bagitau?

benuasuluk said...

Aiseh! Tak ada pula demo tu oyak ke kawe.

Anonymous said...

Assalamualaikum tuan,

semoga Allah membalas jasa tuan dan guru-guru MPR lain di dunia dan akhirat.

Amin.