Monday, April 23, 2012

CIPLAK

Dalam dunia seni apa pun, pengaruh mempengaruhi adalah perkara yang biasa. Tetapi kalau menyalin bulat-bulat jalan cerita dengan mengubah watak yang lelaki menjadi perempuan dan yang perempuan menjadi lelaki, dengan membuat pengakuan karya yang baru bernafas itu adalah milik peribadi, maka itu sudah tentu suatu pembohongan hakcipta yang jelas. Apatah lagi meniru karya yang sudah dikenali umum, dan kita mengulangi semula persembahan tersebut seperti mesin fotostat melakukan salinan pendua kertas. Perkembangan teknologi hari ini lagilah meriahkan hal tersebut dengan memberikan hasil fotostat yang berwarna-warni sebagaimana karya asal yang disalin. Paling aib dan malang, apabila di belakang sebuah karya ciplak yang diangkat itu, bergabung pula beberapa tenaga yang kononnya kreatif. Ini sebagai satu isyarak akan kegerhanaan sebuah dunia seni yang kecil di pentasnya yang kecil juga. Dan kita tidak tahu pasti sejauhmana koloboratif itu ingin memberi wajah dan maruah kepada perkembangan dunia seni kita. Mungkin pada sisi yang lain, ada karya ciplak yang lebih baik daripada karya asalnya. Tetapi aneh dan kerdillah, kalau si penciplak sekadar menyalin secara membabi-buta. Gejala ciplak sentiasa ada dalam masyarakat selagi sesebuah karya itu hidup dan berkembang. Konsep ciplak itu sendiri pun selalunya berbeza tanggap. Apa yang tidak ciplaknya dalam hidup ini, kerana semuanya peniruan demi peniruan belaka. Mimesis katakanlah. Atau imitation jugakan! Dan ada berbagai istilah lain lagi selain ciplak, iaitu plagiat, epigone, atau yang lebih manis sekali untuk mengikis rasa berdosa dengan diberikan diistilahkan sebagai interteks. Apa pun keadaan dan suasana kerja menyalin karya orang lain adalah kerja yang kurang bermoral. Kalau dalam konteks yang lain, mungkin boleh ditafsir sebagai pencuri dan perompak. Karya ciplak tidak akan ke mana juga akhirnya, kerana orang akan merujuk kepada yang asal. Dan ketandusan idea dalam melakukan penerokaan baru menyebabkan seni kita statik dan berundur ke belakang. Semoga hal itu tidak terjadi dalam dunia kesenian tanah air kita.

No comments: