Sunday, October 30, 2011

MAWAR

sewaktu
sekolah rendah
kegemaranku
menanam mawar
sehingga berbunga
dan berkembang mawar
di lembah hatiku

sewaktu
sekolah menengah
seorang teman baik
menghadiah
perfume mawar
dan berbekaskan
mawar
sehingga tubuhku
berbau mawar

setelah
menjadi bapa
seorang teman pelukis
abu bakar idris
menghadiah catan
sekuntum mawar hitam
yang disamarkan putih
dengan judul puitis
'bisikan misteri'
dan setiap hari
aku seperti
mendengar
bisik misteri itu

dari klia
ke ghuangzau
aku menghabiskan
3 jam 50 minit
dengan membaca
'mawar yang hilang'
karya serdar ozkan
terbitan itnm

di beijing lu
satu malam
aku tertarik
pada headgear
dan kostum penjual
aku membeli
sebentuk
cincin perak
berbungakan mawar
tanpa menawarnya

di tengah
sesak manusia
aku menyusur
pulang ke hotel
memasuki metro
menukar subway
dan terpijak
sekuntum mawar.

16 Oktober 2011

PELANCONG BARAT

Membaca sastera, dan melihat pameran lukisan macam sedang membaca dan melihat pelancong Barat yang sedang datang melancong ke Malaysia. Itu tanda maju dan luar biasa sekali perkembangan seni kita. Keterbukaan dan kebebasan seni yang luar biasa. Dan ini tentunya berkaitan rapat dengan ilmu dan pendidikan. Tentunya ada kaitan dengan kejayaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Friday, October 28, 2011

MENONTON

Bulan Oktober kiranya banyak buah juga persembahan teater yang saya tonton. Pertama muzikal yang saya tak suka. Tiga buah teater saya tonton di tiga panggung berbeza di Chongqing, China. Dan malam semalam menonton "Anjing Untuk Diplomat" di Auditorium DBP dengan kawan-kawan. Pagi jumaat yang mulia ini, saya tak ada komen apa-apa. Malam ini ada undangan Konsert Orkestra Tradisional Malaysia di Dewan Filharmonik, Petronas. Esok dan lusa ada jemputan ke Kuala Terengganu...

Thursday, October 27, 2011

"SAYA TAK PANDAI MASAK!"

Dia menemui saya. "Saya ada segalanya - pinggan mangkuk, periuk belanja dan segala macam pekakas termasuk sebuah restoren." "Bagus'" kata saya. "Tuan teruskan sahaja buka restoren."
"Tetapi saya ini bodoh dan malas berfikir. Ambillah semua apa yang saya ada, termasuk restoren ini sekali. Bila saya lapar, nanti saya datang untuk makan. Saya tak pandai masak."

Friday, October 21, 2011

MENONTON MUZIKAL

Petang ahad 9 Oktober, saya pun menonton sebuah muzikal yang ditulis oleh banyak surat khabar tanah air sangat bagus. Saya sudah lama tahu tahap pemikiran picisan wartawan hiburan surat khabar tanah air. Tak percaya dengan satu pun daripada sekian tulisan yang banyak tersebut.

Saya gagahkan juga untuk menonton kerana meraikan seorang guru saya yang datang jauh dari Kelantan. Lebih 23 tahun lalu, kami pernah menonton "Si Bereng-Bereng" karya Khalid Salleh sempena Minggu Sastera di DBP. Lebih 20 tahun dulu juga, saya pernah mengikutnya menonton "Ozon" karya, arahan dan lakonan arwah Arifin C. Noer di Kuala Terengganu. Dan lebih 11 tahun lalu, kami terserempak di Auditorium DBKL selepas menonton "Kereta Kencana" arahan dan lakonan arwah WS Rendra dan isterinya.

Sebelum menonton kami minum di kafe Istana Budaya dan selepas menonton, saya menghantarnya pulang ke rumah anaknya di Bandar Baru Sentul. "Muzikal memang begitu sifatnya, untuk hiburan." Beberapa hari sebelumnya, saya ada menerima beberapa sms kawan-kawan saya yang menonton: "Saya rasa dia tak sesuai bawa watak tu. Sebab macam perasan muda sangat-sangat. Pastu style dia buat manja-manja tu macaam tiru Nicole Kidman dalam Moulin Rougue." Sms yang lain: "Menghiburkan. Simple dan nice. Tapi tak best tengok sorang-sorang. Ade geng baru boleh enjoy the show. anyway tq belanja". Ada banyak lagi sms, biar saya delete sajalah.

Saya tak nak tulis apa-apa pun pasal muzikal ini. Saya tak ingin menghukum!

Thursday, October 20, 2011

SARJANA HA HA HA

Saya acap kali menulis tentang sarjana, sehingga ada sarjana dah naik muntah bila berpapasan dengan orang yang bukan sarjana seperti saya. Wabillahi, saya tak pernah memusuhi sarjana, bahkan mereka inilah guru-guru saya dan kawan-kawan saya. Presiden PENA selaku bos saya juga sarjana, tetapi dia tidaklah termasuk dalam kategori ini.

Memikirkan saya bukan sarjana, saya seringkali tunduk merenung diri, untuk menolak apabila ada jemputan untuk menulis kertas kerja ilmiah sebab saya sedar siapa diri saya. Apabila kita dijemput menulis dan membentangkan kertas kerja - maka kepercayaan itu tentulah tinggi atas diri kesarjanaan yang ada pada diri kita. Tetapi tentulah tidak elok sangat, apabila mukadimah percakapan kita sebelum membentangkan kertas yang ditulis secara "main-main" itu dengan kurang enak di pendengaran khalayak.

Apabila menerima jemputan, dalam koleksi kita tak ada sebuah pun buku karya sang tokoh yang akan kita bicarakan, ertinya sang sarjana yang maha lihai ini tidak pernah membaca sebuah pun buku sang tokoh tersebut. Rendahnya taraf kesusasteraan yang ada pada sang tokoh itu. Lalu pergilah sang sarjana ke perpustakaan universiti dan terjumpalah sebuah buku sang tokoh, dengan sebuah buku itu, maka sarjana kawakan pun menghukum untuk seluruh karya sang tokoh yang telah menulis selama 70 tahun. MasyaAllah. Tingginya ilmu sarjana dan rendahnya martabat sang tokoh.

Saturday, October 8, 2011

SAYA MENONTON

Dah bertahun saya tak menonton di KLPac. Sehingga dua malam lepas ada Malam Gala untuk sambutan 40 tahun akhbar Star, saya pun hadir menonton "In Perfect Harmony - A Malaysian Musical Journey".

Banyak benda yang boleh ditulis daripada persembahan tersebut. Saya suka dengan persembahan yang baik bukan kerana paras rupa penyanyi atau pelakonnya yang cantik dan glamour. Pelakon dan penyanyi yang baik, tetapi tidak terkenal, lebih baik daripada pelakon dan penyanyi yang terkenal tetapi sombong.

Saya terhibur, tergelak, dan sesekali terkesima dengan celoteh Patrick Teoh. Saya pernah menonton Dauglas Lim tampil di pentas beberapa kali, dan saya suka dengan aksinya sebagai DJ.

Friday, October 7, 2011

YANG KITA LIHAT...

Yang kita lihat tiba-tiba tak sama dengan apa yang orang lain lihat. Mungkin ini masalah perbezaan persepsi sahaja. Atau memang begitu telah Allah swt ciptakan mata dan tempurung kepala mereka untuk mengatakan baik, world class, lebih west end daripada sekian west end, dan macam-macam istilah lagi. Atau memang budak-budak beringus yang baru dapat pena dan kertas ini, begitulah pemikiran mereka. Atau memang tak ada pemikiran kot. Yang retinya puji, atau pun kalau tidaknya pandai keji sahaja. Atau itulah pertama kali dalam hidupnya dia menonton.

Yang kita baca bagus di surat khabar, tak semestinya bagus apabila kita melihatnya sendiri. Berita buruk memang baik untuk surat khabar, dan pastinya berita baik memang buruk pun sebenarnya. Jadi, percayalah kepada diri sendiri.

"Orang nak berhiburlah!" bisik kawan saya sewaktu minum di warung belakang."Nak berhibur ke nak tengok punggung?" kata kawan yang seorang lagi.

"Awak ni kalau orang buat semua tak betul!"

Thursday, October 6, 2011

DI NEGERI BUAH PALA

Pada 28-29 September saya berada di negeri buah pala. Negeri yang dua kali saya menjadi penghuninya dalam jarak masa berbeza, 1988-1989 dan 2000-2003. Bila sampai di rumah Tamu (Halimi Mohd Noh dan Che Mat Jusoh) ambil saya dan kami ke Chowrasta. Sempat beli beberapa buah buku langka, antaranya "Pendakian" (Abbas bandung: 1966) dan "Pesta" (Abbas Bandung: 1964) dua kumpulan cerpan Hassan Ali. Sempat pekana roti telur di Tanjung. Malamnya pula menonton "Mahkamah Lorong" oleh Uni Petronas di Pelenggang Cahaya. Lepas itu pekena pula sup kambing cicah roti benggali di Pelita Nasi Kandar Sungai Dua.

Kali ini mengikuti Simposium Warisan Kebangsaan di Bilik Persidangan, C06, Pusat Pengajian Sains Kemasyaratan, Universiti Sains Malaysia. Saya diundang untuk sesi "Identiti Masyarakat dan Kelestarian Budaya" bersama Puan Janet Pillai (USM) dan Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (UMS). Sesi kami sepatunya di sebelah petang, tetapi kerana pembentang di sebelah pagi salah seorangnya telah jatuh sakit, maka ceramah saya dipindahkan ke sesi pagi.

Sesi pagi dimoderatorkan oleh Dr. Saidatulakmal Mohd dan panel lain yang bersama saya, Dr. Muhammad Ahmad (UUM). Ucapan saya terpaksa bermula dengan apologi kerana yang berada di hadapan saya puratanya sarjana; sama ada calon MA atau PhD, serta para pensyarah dari pelbagai universiti tanah air. Judulnya ceramah saya "Melestarikan Makyung". Ceramah saya mengundang Prof. Muhammad Hj. Salleh ikut memberi pandangan, Dr. Ismail Baba dan Dr. Jacqueline Liza Fernander bertanyakan soalan.

Mereka menjemput saya kerana buku "Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia" terbitan ITNM. Saya dihantar pulang ke Lapangan Terbang Bayan Lepas dan bersama saya Tuan Haji Fauzi, seorang pensyarah dari UMK yang akan terbang balik ke Kelantan. Sekali lagi saya jelaskan kepada beliau, saya bukan sarjana. "Tak, demo dah sarjana. Demo patut balik ke UMK," ucap Haji Fauzi.

Wednesday, October 5, 2011

Bersama Dr. Ghulam Sarwar Yousof, Yaenah Leewamoh dan Seng Hawea.

YAENAH LEEWAMOH, 83 TAHUN

dari kerusi panggung
aku merenung
masa silamku
dan berfikir tentang
masa depanmu

aku lahir dan membesar
di kampung melayu –
kg dalam bachok, pekbong
makyung yang kuwarisi ini
datangnya dari
dua belas generasi

gemalai tari
tingkah gendang
dan gesekan rebab
yang dikepung oleh
pagar istana,
datuk nenekku
semuanya naik haji
sebelum turun
dari tangga rumah
menapak santun
ke bangsal panggung
aku selalu bersiap
dengan beras pengeras
segala jampi dan ayat
selamat dan sejahtera
di atas panggung
dan di bawah panggung

makyung itu permainan
seperti tamsil dan ibarat
rakyat mentaati raja
dengan adat dan makrifat
raja menitah rakyat
dengan tutur lidah
dan bijaksana akal

kalau inilah
persembahan yang seghoti
biar orang tahu,
berdiri bulu roma
emakmu ini,
sebak rasa
dan ingin menangis

anak memberi
rupa percaya
emak akan bercerita
sebelum anak bertanya
kerana emak telah membaca
jauh ke dalam hatimu

Thammarat University, Bangkok
21 September, 2011
THE MAKYUNG SPIRITUAL DANCE HERITAGE: SEMINAR AND PERFORMANCES

SEAMEO Regional Centre for Archeology and Fine Arts telah menganjurkan seminar tersebut di Thammasat University, Bangkok, Thailand pada 20-21 September lepas. Saya ke sana bersama Sdr. Anuar Manshor dari ITNM mewakili ITNM dengan buku “Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia”. Buku itu antara yang menjadi rujukan utama penganjur untuk menulis kertas konsep mengenai seminar yang dianjurkan. Bahkan di ruang pendaftaran, sedutan foto dan write up dari buku tersebut diperbesar dan diterjemahkan ke dalam bahasa Thai. Ini satu pengiktirafan terhadap buku tersebut. Tetapi saya tidaklah sesebak ketika buku itu dilancarkan di Frankfurt International Book Fair, German pada Oktober 2010 yang lalu.

Terdapat empat pembentangan kertas kerja di seminar tersebut. Ucap utamanya oleh Prof. Dato Dr. Ghulam Sarwar Yousof dari UIA dengan kertasnya “The Mak Yong Dance Theatre As Spiritual Heritage: Some Insights”, Mr. Watee Subsin (Faculty of Humanities and Social Sciences, Nakhon Si Thammarat Rajabhat University, Thailand) dan Ms. Benjaras Marpraneet (Cultural Official, Department of Cultural Promotion, Ministry of Culture, Thailand) dengan kertas “Mak Yong Tradition In Thailand”, Dr. Pudentia MPSS (Chairman, Oral Traditions Association, Indonesia dengan kertasnya “Mak Yong Tradition In Indonesia” dan Dr Faruk Zakaria (Universiti Malaysia Kelantan) serta Siri Neng Buah (Jabatan Waisan Negara) dengan kertas “Mak Yong Tradition In Kelantan.” Di sana Dr. Ghulam Sarwar telah menerbitkan sebuah buku kecil “Mak Yong Theatre Of Kelantan, Malaysia: An Introduction.” yang turut dijualkan di seminar tersebut.

Saya sempat menonton persembahan makyung oleh Kumpulan Bunga Emas/Sri Temenggung dari UMK yang membawakan cerita “Dewa Indera Indera Dewa”, makyung dari Pulau Bintan, Indonesia dan pesembahan “Dewa Muda” oleh kumpulan dari Pattani, Selatan Thailand. Ketiga-tiga persembahan itu sama sekali berbeza – cara pakaian, lagu, gerak tari dan hampir kesemua aspek.

Makyung dari Riau, bukanlah persembahan makyung kalau mengikut kaca mata saya. Kerana persembahan seperti itu adalah dikenali sebagai Mek Mulung yang masih terdapat di Wang Tepus, Kedah. Bahkan Makyung Riau itu merupakan cerita yang digubah semula seperti dramatari. Apabila Bapak Rahayu Supanggah tampil menggesek rebab (Melayu, Malaysia) di manakah rebab Riau yang pernah saya tengok ia digesek seperti biola itu? Sebutan, nama-nama watak, lagu dan sipi-sipi dialek yang digunakan amat jelas Makyung yang didakwa milik Riau itu sebagai tipa induk kepada Mek Mulung dari Kedah. Moga-moga tidak ada sarjana dari Malaysia menulis tesis kesarjanaannya mengatakan makyung Malaysia ini berasal dari Riau!

Tentulah, makyung yang paling asli dan autentik dari Pattani, Selatan Thailand. Temubual saya dengan Saman Dasomi dari Kemang, Raman Yala memberikan banyak maklumat tentang makyung di wilayah tersebut. Pattani, Yala, Narathiwatt masih memiliki 10 kumpulan makyung yang para pelakon dan pemuziknya berusia antara 70 ke 85 tahun. Pertemuan saya dengan tokoh-tokoh hebat ini seperti Yaenah Leewamoh (83 tahun), Seng Hawea (74 tahun), Dolloh Chemat (82 tahun), Che Som Che Muda (60 tahun), Seteemeenah (79 tahun) dan Madiae Yusoa (42) memperjelaskan banyak hal. Ini merupakan generasi terakhir yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam tradisi lakonan dan muzik makyung. Yang paling muda berusia 42 tahun, itu pun seorang sahaja yang terlibat. apa yang ada pada mereka tidak dirakam dan didokumenkan dalam waktu yang terdekat, maka kesemua itu akan pupus dalam jarak waktu antara 5 ke 10 tahun akan datang. Kalau tak percaya, tunggu sahajalah waktunya!

Saya menyoal Saman Dasomi, apakah sebenarnya yang direpek oleh pembentang dari Thailand. Saman macam marah, "Dia tu penjaga muzium kat universiti, tak tahu apa pun pasal mokyong. Tengoklak semua rujukannya dari internet. Tak ada sumber lama. Saya tahu, dia anak tok dalang. Tapi dia tak tahu pasal mokyong pun." Saya sedar, Saman Dasomi yang sepatutnya menulis dan membentangkan kertas kerja kerana beliau merupakan Ketua kepada Yaenah Troupe dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang makyung dan wayang kulit di Selatan Thailand. Sekali lagi si luncai terjun dengan labu-labunya!

Yaenah Leewamoh (atau Che Jenab merupakan adik kepada Primadona Che Ning) yang terkenal di Besut, Terengganu satu waktu dahulu. Saya kali pertama bertemu beliau, tetapi tokoh ini cepat sekali mesranya. “Mak bila tengok muka anak, mak nak cerita semuanya. Mak berasa suka tengok muka anak ni.” Ucapan itu menyebabkan saya tertunduk. Dari situ saya diperjelaskan banyak perkara. Dia yang berasal dari Bachok, Pekbong merupakan generasi yang ke 12 yang mewarisi tradisi makyung. Seluruh keluarganya bermain makyung di istana dan kesemuanya naik Haji (menunaikan fardu haji di Makkah). Apabila saya bertanya, “apakah di Pattani ada babak pondan dalam persembahan makyung?” Che Jenab menjawab, “Pondan, mak haramkan naik atas panggung mak.”

Usahlah kita mengangkat kesenian kita berdasarkan keturunan dan baka. Kalau tak boleh menyanyi dan menari jangan salahkan pemain muzik yang lentang gendang. Tetapi yang paling penting ilmu dan kemahiran. Ilmu tidak datang kerana keturunan, tetapi kena pergi belajar, kalau ilmu yang kita cipta sendiri, akan melahirkan ilmu sesat barat. Dan kita pula menyesatkan orang lain. Tetapi dalam masyarakat yang buta rengga, maka kita tetap betul walaupun kita sebenarnya 100% salah. Kalau kita tak tahu, mengaku sahaja kita tak tahu. Tak aib dan jatuh air muka dengan mengaku tak tahu terhadap apa yang kita memang tak tahu. Usahlah kita ingin menjadi ayam mengajar itik berenang.

Thailand nampaknya lebih sedar tentang kepentingan warisan Makyung berbanding dengan negara yang mendapat pengiktirafan oleh UNESCO.

Apa nak buat, saya terlahir di Kelantan.

Tuesday, October 4, 2011

TANPA JUDUL
Malam tadi selepas solat maghrib, kami pekena roti telur di Kafe Bunga Raya, Aswara bersama Haji Sham dan seorang kawan lama yang tidak ingin dikenal namanya. Ridzuan Harun tentunya tak ada kerana dia suami dan bapa yang baik, lagi perumah. Kami bertiga kebetulan mantan MPR. Tetapi kami tidak bercakap pun pasal itu. Kawan tersebut ingin jumpa saya kerana ingin meminjam DVD filem “ Gie” karya Riri Riza. Saya kebetulan beli di Jakarta beberapa tahun lepas, tetapi belum sempat menonton pun. Yang saya tahu Soe Hock Gie itu adik beradik dengan Arief Budiman.

Kawan saya bercerita tentang arwah adik saya, Zawawi Zahari yang berpulang pada 14 September yang lalu, jam 1:12 minit tengah hari di Melor. “Bila saya tahu dia dah tiada, saya mencari autograf lama. Tahun 1988. Dalam autografnya, dia menulis panjang, dan saya sedih apabila membacanya kembali.”

Moga adinda kesayangan saya itu, tenang di sana. Dan lima cahaya matanya – Ain, Ikmal, Fakru, Adam, dan Alif akan menjadi tanda pengikat kasih dan kenangan abadi kami kepadanya.

Dalam perjalanan pulang, lagu beralun dari CD Ebiet G. Ade, “lelaki bermata lembut…” Ketika itu saya tiba-tiba sebak.

Saturday, October 1, 2011

DUA BELAS BINTANG
(untuk wan -
hajah wan zaharah hj wan omar)

engkau menaburkan
dua belas bintang
di langit – satunya
telah gugur ke bumi
dan tertanam
di tanah hutan buluh

alam telah berjarak
tetapi kasih terangkum
abadi

sebak dan merah mata
pastinya tidak
seabadi cinta

satu talqin
yang bebintikan namamu
telah pun dibaca
dan ada
sebelas lagi talqin
yang akan menyusur
hanya masa
menciptakan jarak
lambat atau cepatnya

semuanya fana
tak satu pun
yang akan kekal abadi
semuanya akan kembali
berterbangan seperti mimpi
yang selebihnya
ketulusan dan keputihan
doa yang meredup

tanah lembap
yang kukepal ini
adalah juga
tanah diriku.

15 September 2011
Hutan Buluh