Wednesday, October 5, 2011

THE MAKYUNG SPIRITUAL DANCE HERITAGE: SEMINAR AND PERFORMANCES

SEAMEO Regional Centre for Archeology and Fine Arts telah menganjurkan seminar tersebut di Thammasat University, Bangkok, Thailand pada 20-21 September lepas. Saya ke sana bersama Sdr. Anuar Manshor dari ITNM mewakili ITNM dengan buku “Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia”. Buku itu antara yang menjadi rujukan utama penganjur untuk menulis kertas konsep mengenai seminar yang dianjurkan. Bahkan di ruang pendaftaran, sedutan foto dan write up dari buku tersebut diperbesar dan diterjemahkan ke dalam bahasa Thai. Ini satu pengiktirafan terhadap buku tersebut. Tetapi saya tidaklah sesebak ketika buku itu dilancarkan di Frankfurt International Book Fair, German pada Oktober 2010 yang lalu.

Terdapat empat pembentangan kertas kerja di seminar tersebut. Ucap utamanya oleh Prof. Dato Dr. Ghulam Sarwar Yousof dari UIA dengan kertasnya “The Mak Yong Dance Theatre As Spiritual Heritage: Some Insights”, Mr. Watee Subsin (Faculty of Humanities and Social Sciences, Nakhon Si Thammarat Rajabhat University, Thailand) dan Ms. Benjaras Marpraneet (Cultural Official, Department of Cultural Promotion, Ministry of Culture, Thailand) dengan kertas “Mak Yong Tradition In Thailand”, Dr. Pudentia MPSS (Chairman, Oral Traditions Association, Indonesia dengan kertasnya “Mak Yong Tradition In Indonesia” dan Dr Faruk Zakaria (Universiti Malaysia Kelantan) serta Siri Neng Buah (Jabatan Waisan Negara) dengan kertas “Mak Yong Tradition In Kelantan.” Di sana Dr. Ghulam Sarwar telah menerbitkan sebuah buku kecil “Mak Yong Theatre Of Kelantan, Malaysia: An Introduction.” yang turut dijualkan di seminar tersebut.

Saya sempat menonton persembahan makyung oleh Kumpulan Bunga Emas/Sri Temenggung dari UMK yang membawakan cerita “Dewa Indera Indera Dewa”, makyung dari Pulau Bintan, Indonesia dan pesembahan “Dewa Muda” oleh kumpulan dari Pattani, Selatan Thailand. Ketiga-tiga persembahan itu sama sekali berbeza – cara pakaian, lagu, gerak tari dan hampir kesemua aspek.

Makyung dari Riau, bukanlah persembahan makyung kalau mengikut kaca mata saya. Kerana persembahan seperti itu adalah dikenali sebagai Mek Mulung yang masih terdapat di Wang Tepus, Kedah. Bahkan Makyung Riau itu merupakan cerita yang digubah semula seperti dramatari. Apabila Bapak Rahayu Supanggah tampil menggesek rebab (Melayu, Malaysia) di manakah rebab Riau yang pernah saya tengok ia digesek seperti biola itu? Sebutan, nama-nama watak, lagu dan sipi-sipi dialek yang digunakan amat jelas Makyung yang didakwa milik Riau itu sebagai tipa induk kepada Mek Mulung dari Kedah. Moga-moga tidak ada sarjana dari Malaysia menulis tesis kesarjanaannya mengatakan makyung Malaysia ini berasal dari Riau!

Tentulah, makyung yang paling asli dan autentik dari Pattani, Selatan Thailand. Temubual saya dengan Saman Dasomi dari Kemang, Raman Yala memberikan banyak maklumat tentang makyung di wilayah tersebut. Pattani, Yala, Narathiwatt masih memiliki 10 kumpulan makyung yang para pelakon dan pemuziknya berusia antara 70 ke 85 tahun. Pertemuan saya dengan tokoh-tokoh hebat ini seperti Yaenah Leewamoh (83 tahun), Seng Hawea (74 tahun), Dolloh Chemat (82 tahun), Che Som Che Muda (60 tahun), Seteemeenah (79 tahun) dan Madiae Yusoa (42) memperjelaskan banyak hal. Ini merupakan generasi terakhir yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam tradisi lakonan dan muzik makyung. Yang paling muda berusia 42 tahun, itu pun seorang sahaja yang terlibat. apa yang ada pada mereka tidak dirakam dan didokumenkan dalam waktu yang terdekat, maka kesemua itu akan pupus dalam jarak waktu antara 5 ke 10 tahun akan datang. Kalau tak percaya, tunggu sahajalah waktunya!

Saya menyoal Saman Dasomi, apakah sebenarnya yang direpek oleh pembentang dari Thailand. Saman macam marah, "Dia tu penjaga muzium kat universiti, tak tahu apa pun pasal mokyong. Tengoklak semua rujukannya dari internet. Tak ada sumber lama. Saya tahu, dia anak tok dalang. Tapi dia tak tahu pasal mokyong pun." Saya sedar, Saman Dasomi yang sepatutnya menulis dan membentangkan kertas kerja kerana beliau merupakan Ketua kepada Yaenah Troupe dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang makyung dan wayang kulit di Selatan Thailand. Sekali lagi si luncai terjun dengan labu-labunya!

Yaenah Leewamoh (atau Che Jenab merupakan adik kepada Primadona Che Ning) yang terkenal di Besut, Terengganu satu waktu dahulu. Saya kali pertama bertemu beliau, tetapi tokoh ini cepat sekali mesranya. “Mak bila tengok muka anak, mak nak cerita semuanya. Mak berasa suka tengok muka anak ni.” Ucapan itu menyebabkan saya tertunduk. Dari situ saya diperjelaskan banyak perkara. Dia yang berasal dari Bachok, Pekbong merupakan generasi yang ke 12 yang mewarisi tradisi makyung. Seluruh keluarganya bermain makyung di istana dan kesemuanya naik Haji (menunaikan fardu haji di Makkah). Apabila saya bertanya, “apakah di Pattani ada babak pondan dalam persembahan makyung?” Che Jenab menjawab, “Pondan, mak haramkan naik atas panggung mak.”

Usahlah kita mengangkat kesenian kita berdasarkan keturunan dan baka. Kalau tak boleh menyanyi dan menari jangan salahkan pemain muzik yang lentang gendang. Tetapi yang paling penting ilmu dan kemahiran. Ilmu tidak datang kerana keturunan, tetapi kena pergi belajar, kalau ilmu yang kita cipta sendiri, akan melahirkan ilmu sesat barat. Dan kita pula menyesatkan orang lain. Tetapi dalam masyarakat yang buta rengga, maka kita tetap betul walaupun kita sebenarnya 100% salah. Kalau kita tak tahu, mengaku sahaja kita tak tahu. Tak aib dan jatuh air muka dengan mengaku tak tahu terhadap apa yang kita memang tak tahu. Usahlah kita ingin menjadi ayam mengajar itik berenang.

Thailand nampaknya lebih sedar tentang kepentingan warisan Makyung berbanding dengan negara yang mendapat pengiktirafan oleh UNESCO.

Apa nak buat, saya terlahir di Kelantan.

4 comments:

Mohd Khair Ngadiron said...

Tuan tidak berdosa sebab 'terlahir' di Kelantan.....

Lady Windsor said...

Tuan ditakdirkan 'terlahir' di Kelantan untuk membawa mokyong ke tempat yang sewajarnya...

Rahimidin Z said...

Tuan Khair,
terima kasih...

Rahimidin Z said...

LW,
ITNM sebenarnya yang merealisasikan ke tempatnya...