Friday, September 9, 2011

Hakikat Peran dalam Makyung
Abdul Wahab Othman

Makyung hari ini telah diangkat menjadi warisan dunia, dan kita rakyat Malaysia harus berbangga kerana inilah satu-satunya kesenian nenek moyangnya yang diiktiraf oleh dunia. Apatah lagi seni makyung, antara kesenian milik orang-orang tua kita yang sedang mengalami zaman kepupusannya. Apabila telah diangkat dan diiktiraf ke satu tahap yang tinggi, tentulah kita kasih, kita sayang kepada makyung.
Hari ini saya ingin berkongsi pendapat dengan hadirin semua, tentang idea untuk sama-sama memperelokkan lagi seni makyung. Kalau ada yang salah, kita sama-sama perbetulkan, dan kalau yang bengkok pula, sama-samalah kita luruskan.
Jangan sahaja kita katakan, hanya sayang di mulut, maksud sayang di mulut, kita tahu sebut makyung, tetapi kita tidak mengerti apakah isi di dalam makyung.
Dikatakan di dalam ilmu tasawuf iaitu, atau ilmu hakikat, “jangan dibuat benda yang kita tidak tahu, jangan disebut benda yang kita tidak mengerti.” Perkataan “reti” dan “tak tahu” itu sangat dekat perbezaannya. Contohnya, “Mu tahu dok rokok?” Jawanya, “tahu”. Tetapi apakah “mu tahu bahan untuk membuat rokok?”. Jawabnya “tak reti’. Kata orang hakikat lagi, “kalu nak makan pisang pandailah kita kupas kulit, tetapi di dalam bab ilmu, mengapa kita tidak hendak mengupasnya?”
Dengan kecetekan ilmu yang dimiliki, hari ini mari kita sama-sama mengupas bab peran dalam persembahan makyung. Bagaimanakah ingin menjadikan seorang peran atau pakyung yang baik ataupun yang terbaik? Siapakah seorang Peran dan apakah tugas-tugas yang terpikul di bahu seorang peran? Siapakah orang yang sersuai untuk menjadi seorang peran yang baik.
Guru saya, iaitu bapa saya sendiri (Othman Harun atau Pak Su Pak Adek) selalu mengingatkan bahawa: “Seorang yang ingin jadi peran mesti tahu beberapa perkara tentang diri peran itu.” Seorang peran yang baik akan sentiasa sedar dengan kehadiran dirinya bukan semata-mata peran. Tetapi seorang mesti memiliki kemahiran yang lain seperti dalam ucapan, nyanyian dan tarian, bukannya hanya tampil sebagai watak lawak selapis semata-mata.

i. Peran dikatakan seorang pengasuh raja

Dewa Muda telah menghalau Pengasuh Tua kerana tidak dapat menjawab pertanyaan, “siapakah ayah ambo yang sejati bonda ambo yang sebenar?”. Pengasuh tua telah keluar meninggalkan istana. Semasa Dewa Muda halau keluar tersebut, berkatalah Pengasuh Tua:

Iya iya kecik Dewa Muda
Salah seka kepada jangka
Aku asuh piutmu
Daripada kecik sehingga ke besar
Berbuah dengan siku
Deko dengan tangan
Aku tanu tana mu
Seperti minyak yang penuh
Sehingga mu bersetul terdengar pipi
Berlurah dengan dada
Dengan sebab hal yang kecil
Ini pun, mu sanggup halau godam palu

Di sini membuktikan peran adalah seorang pengasuh raja. Selepas pengasuh tua pergi, dalam negeri dewa Muda telah menjadi sunyi sepi seperti negeri dilanggar perang, sehingga ayam tidak berkokok, dan lembu tidak berteboh.


ii. Peran seorang pesuruh raja
Peran juga berperanan sebagai seorang pesuruh raja. Apa-apa sahaja titah yang diperintahkan oleh Raja akan diikuti sepenuhnya oleh peran.

Sila pengasuh mu gi cari saing mu
seorang lagi. Daripada sorang baik dua, daripada dua baik tiga. Mudah buat ambo yang buat kira becara


iii. Peran seorang penasihat Raja
Di dalam cerita Raja Gondang, apabila isteri Raja sebiji gondang, bukan melahirkan anak manusia, maka Raja marah. Dituduh, kataktibam dan hambat halau dari dalam istana isteri dia, lalu Raja berpaling Tanya pengasuh akan tindakan dirinya itu. Kata Pengasuh Tua:

Patik minta ampun Tuanku
Sebenarnya, patik tak berani nak campur urusan keluarga Tuanku
Tetapi apabila Tuanku bertanya
Beranilah patik mendatangkan sembah.
Pada masa lo ni
Hati Tuanku murih
Perut Tuanku marah
Darah Tuanku panas
Sehingga katak tibam, hambat halau
Makcik Permaisuri dengan gondang sebutir.
Tidak mengapalah Tuanku,
Akan tetapi patik takut
Apabila perut Tuanku tak marah
Hati tuanku tak murih
Darah Tuanku tidak panas
Tuanku menyesal pun
Tak dok guna dah

iv. Peran mencantikkan perjalanan cerita
Peran sebagai watak penting mencatikkan perjalanan cerita. Umpamanya apabila Raja panggil kedua pengasuh keluar mengadap, dia tidak menceritakan nama dan negeri yang diperintahnya, dia terlupa dan tertinggal dalam ucapannya, maka dia terus ingin meneruskan cerita seperti:
“Silalah Pengasuh, mu ikut ambo, ambo nak gi ke kebun bunga.” Di situ pengasuh akan jawab:
“Maka hak ni begini Tuanku, Tuanku panggil pengasuh di antara kedua naik dari atas balai, tubuh Tuanku yang bernama Kecik Dewa Muda, Tuanku memangku dalam negeri seluruh Tanah Jawa..jadi pada masa sekarang ni Tuanku nak berangkat ke kebun bunga mandi bersiram.”

Begitu juga apabila Dewa Muda telah bermimpi dan memanggil ahli nujum untuk mengetahui maksud mimpinya yang menyuruh kecik Dewa Muda masuk dalam alas pergi memburu, Dewa Muda terus mengajak Pengasuh pergi. Tetapi pengasuh akan membantunya dengan:
Sebelum Tuanku masuk ke alas belukar pergi memburu, patik rasa terlebih baik Tuanku masuk dalam setana mengadap bonda bagitahu ko bonda sepatah, ke mana tujuan Tuanku hendak pergi. Takutnya esok hari kemudian lusa, bonda tahu, kecik hati bonda.”

v. Peran boleh membuatkan orang ketawa
Peran muncul di pentas dengan pelbagai aksi, apabila berdua hendak mengadap Raja pelbagai tipu helah yang dilakukan oleh kedua-dua peran tersebut.

vi. Peran seorang bomoh Raja.
Seperti di dalam Endeng Tajali, semasa pengasuh tua dititahkan oleh Raja supaya pergi melepaskan Endeng Tajali yang “dok pasung di dalam gua, setelah pengasuh tua pelepas pasung di kaki, rantai di pinggang, gor di leher, pengasuh tua juga terpaksa menyapu sekalian kuwong cender, carai badi, balo seroka. Dikatakan kuwong di tubuh, cender di badan, carai di mata.”
Ini jelas menunjukkan seorang pengaruh tua seorang bomoh yang boleh mengubatikan raja.

Selain pelbagai sisi kepentingan seorang peran di dalam cerita makyung, seorang peran juga harus bersiap kekuatan diri dengan ucapan peran, nyanyian peran, dan tarian peran. Seorang peran harus menguasai cara bercakap dengan Raja, Permaisuri dan Bonda, dan bagaimana pula apabila bercakap dengan sesama pengasuh. Hal ini semua harus diketahui dan dikuasai sekiranya ingin menjadi peran yang terbaik dan mahir di pentas makyung.


Ucapan Peran

Ucapan Peran mestilah dilafazkan mengikut kesesuaian dengan peristiwa ayng akan berlaku atau suasana yang sedang terjadi. Bentuk-bentuk ucapan Peran boleh dilihat melalui beberapa contoh yang akan disertakan di sini:

i. Ucapan Berdepan Raja
Ucapan Peran apabila mengadap Raja pada pertemuan pertama. Apabila Raja datang mencari Pengasuh dan memanggil turun kerana ada titah Raja. Setelah pengasuh turun dan memgenali Rajanya yang datang, inilah ucapan mula Pengasuh kepada Raja:

Wanlah Tuanku keluar gelap limun-limun
Peluh pelai tajung menajung
Seperti manik putus dari karangan
Kaca rendang sangit dari batu
Tuanku siap memakai alim menanti
Dengan seluar patelong perbuatan Jawa
Baju tabak layang-layangan
Melekit di kulit manis
Dengan mahkota mas
Mahkota perak
Keris kecik kerajaan
Tongkat kecik kesaktian
Seperti anak dewa-dewa
Diuyut turun ke bumi lembang
Tanah lemal
Di bawah saki mula mercapada
Adat mana belum terletak
Hukuman yang mana belum terjatuh
Sila Tuanku cerita bari
Membilang khabar
Boleh patik dengar antara sorang

ii. Ucapan Peran Tua Mencari Peran Muda

Setelah selesai menerima titah perintah Raja, Peran Tua akan keluar untuk mencari Peran Muda sebagai temannya dalam meneruskan perjalanan untuk menyermpurnakan titah Raja. Peran Tua akan menyebut:

“Maka ialah aku pengasuh
antara sorang
sagung titah oleh raja punya negeri
hendak terjerebo tubit
di pintu wang besar
tijak di tangga gading
selorang beremas
podi tujuh pedara lima
tiba di bilik tujuh
latur berjajar
nak gi cari saing…
berjalan aku sorang sorang.”

iii. Ucapan Menolak

Ucapan semasa hendak menolak apabila bermian pada malam terakhir. Pengasuh akan bertanya raja tentang apakah lagi yang Tuanku tidak berpuas hati, atau ada permainan lagi yang ingin dipersembahkan. Raja akan menjawab bahawa dirinya sudah berpuas hati, dan pengasuh akan kata:

“Sila Tuanku menganap duduk
Sebab patik hendak menolak
Atau patik nak tersenang ombak
teradu sekalian angin
apabila sudah selamat
nikmat sempurna rakna
habis gawai dengan kerijo
habis kerijo menolak akan gawai
sekalian dewa aku julung naik ke nenggora kayangan
sura lelaya,
sekian Raja masuk setana
sekian menteri tersenang di anjung
balang tersenang di balai bawah
balai sambu balai kamarullah
balai tiga ruang
pengasuh tersenang
di bilik tujuh latur berjajar
panjak tersenang di bilik jisim
pengantin tersenang di bilik jirim
senang ombak teradu angin”
senang kucah teradu gelombang
senang tidak boleh membawa
esok hari kemudian lusa
ucana yang tidak baik
ragam yang tidak molek
tersenang di kaki nenek
di bayang guru
di kaki alif
di bayang ba
ba cukup membilang genap
dengan berkat kata
laillahaillah….”

iv. Kesalahan Ucapan

Di samping itu terdapat juga sebutan ucapan yang tidak kena pada tempatnya, dan yang tidak tahu darimana perkataan itu datang dan juga tiada makna untuk dicapkan dalam persembahan makyung. Umpamanya:
“wakaf sebuah selar sebutir”- selar perkataan dari Thailand yang bermaksud wakaf. Yang betul “wakaf sebuah telaga sebutir”. Kalau di Kelantan dahulu apabila ada wakaf mesti ada sebuah telaga, untuk kegunaan sesiapa yang singgah untuk solat, ambil bagi minum lembu.
“tubuh bernama negeri bergelar” – sepatutnya “tubuh bernama badan bergelar”

Begitu juga dengan persoalannya di manakah “menteri” hendak berhenti beradu. Sebab di dalam baca kenduri untuk buka panggung kita panggil semua kerana hendak bermain makyung. Tarpi apabila hantar balik, kita tidak tahu menteri hendak hantar ke mana kerana tiada tempat baginya. Maka perkataan Raja masuk anjung dalam setana itu adalah salah. Salahnya tuju ke anjung, sepatutnya:

“Raja tersenang di dalam istana,
Menteri tersenang di anjung.
Balang tersenang di balai bawah,
pengasuh tersenang di bilik tujuh latur berjanjar,
panjak tersenang di bilik jisim,
pengantin tersenang di bilik jirim”.

Kalau dalam Main Teri menjadi:
“mindok tersenang di setali angin
peteri senang di kotak tinggi pudar ratna”

Kalau hari ini, anjung itu merujuk kepada ‘balai depan’ tempat duduknya para menteri.

Nyanyian

Seorang Peran juga harus mahir dalam selok belok nyanyian. Apabila hendak menyebut tentang peristiwa apakah yang sedang berlaku, atau pun kejadian apakah yang akan berlaku? Umpamanya sewaktu hendak mengadap Raja, nyanyiannya mesti bab turun dari rumah hendak pergi mengadap Raja:

“Telah meninggal di bilik sebutir
tiba menuju di laman balai….


Tarian Peran

Seorang Peran juga harus pandai menari. Tokoh-tokoh peran hebat dalam tradisi makyung kesemuanya mempunyai kemahiran dalam tarian makyung. Peran-peran yang termasyhur pada masa dulu seperti arwah Syed Kuning, arwah Pak Mud Batu Embun Jerantut, Pahang, Ayah Usup Mat Keridit, Osman Harun (Pak Adek), arwah Abang Daud Bukit Panau, Tanah Merah kesemuanya boleh menari dengan baik. Kebolehan peran menari ini juga salah satu senjata untuk peran memukau penonton.,
Harusi diingat bahawa tari peran ini adalah tari langkah lelaki, maka ia tidak sama dengan tarian Pakyung. Sekiranya peran menari dengan gerak langkah tari Pakyung, terutama tikam kirat, maka saya katakana tidak betul. Kerana tikam kirat adalah langkah lelaki, bukannya langkah perempuan seperti yang kita lihat dalam banyak persembahan makyung hari ini. Oleh itu saya syor sekarang ini kepada mana-mana kumpulan yang ingin mempelajari watak peran, carilah seorang lelaki yang betul-betul boleh menari peran dengan betul. Orang perempuan pun boleh sekiranya dia belajar watak peran dengan lelaki, tetapi kalau tari perempuan, ia tetap salah dan tidak dibolehkan.

Penutup

Taksub merupakan perkara yang merbahaya di dalam tradisi pembelajaran kesenian apa pun, termasuklah juga kesenian makyung. Sikap taksub kepada guru umpamanya, dengan menidakkan kebolehan orang lain yang lebih baik daripada gurunya. Hal ini akan merugikan kesenian tersebut, bahkan akan merugikan dirinya sendiri. Proses pembelajaran ilmu dalam tradisi apa pun tidak harus terikat dengan seorang guru sahaja, sebaliknya sekiranya ingin mempunyai ilmu yang banyak, tarian yang lebih cantik, perkataan yang lebih elok, maka di sini dikatakan oleh guru-guru yang cerdik pandai mestilah kita pandai “ilmu curi”. Terdapat dua kaedah berguru di sini. Pertama guru yang kita pergi melutut untuk belajar ilmu, dan keduanya guru yang kita curi ilmunya – tarian, perkataan, gerak dan bukan membuang terus apa yang kita ada, tetapi menambahkan lagi perbendaharaan kita. Pembelajaran “curi” inilah yang sepatut ada pada setiap pemain dalam makyung, teri, wayang kulit, baharulah ilmu kita akan bertambah dari masa ke semasa. Dan corak permainan kita akan berbeza dengan corak permainan orang.

No comments: