TEATER SERIUS?
Apabila ada teater serius, tentunya akan ada teater main-main. Teater serius, orang tak datang tengok, sebab malas sangat dah nak berfikir. Kat opis berdepan dengan rutin kerja. Jadi lebih baiklah tengok teater yang main-main, kita boleh rilek, boleh tidur, boleh jawab sms sambil menonton teater. Tak perlu fikir sangat. Otak dah sendat. Dah sakit pun. Biarlah ceritanya ada mesej atau takda, itu juga tak penting. Tak perlu fikir. Kita ingin santai, ringan dan hiburan. Kalau panggung tempat kita hadir untuk menonton itu mempunyai etika pakaian, kita pun jarang pedulikan. "Kan kita bayar tiket!"
Seniman Negara Datuk Syed Alwi, dan Dr. Anuar Nor Arai dah pun berpulang. Dua orang tokoh teater Malaysia yang menghasilkan karya serius. Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan juga sudah menjejaki 82 tahuh usianya. Sudah uzur sangat dah. Sesekali dia menelefon dan menyatakan ingin menulis kembali. Tetapi ingatan dan tenaga yang berbaki amat lemah untuk terus menarikan pena. Karya-karya serius mereka tersimpan dalam bentuk buku dan manuskrip. Dan itulah nampaknya khazanah yang akan ditinggalkan oleh mereka kepada anak cucunya. Saya rapat dengan tokoh-tokoh ini melalui Sutung Umar RS.
Begitulah juga dengan Dinsman. Che Shamsudin Othman, nama sebenarnya. Saya belajar dramanya Di Pulau Sadandi dalam buku Drama Tiga Zaman selenggaraan Zakaria Ariffin sewaktu saya di tingkatan 4. Saya mengenalinya kemudian juga melalui Sutung Umar RS. Saya pernah diserahkan skrip Siapa Takutkan Amerika? oleh Dinsman lebih 7 tahun tahun yang lalu. Saya teruja dan amat menyukai skrip tersebut. Sebuah skrip yang serius dan memerlukan kos perbelanjaan yang tidak sedikit kalau ingin dibawa ke pentas. Saya pernah serahkan salinan skrip tersebut kepada orang yang mempunyai wibawa dalam bidangnya. Tetapi kerana nama penulisnya Dinsman, maka susahlah untuk saya menerima jawapan.
Dinsman, orang teater tulen. Dia serius. Jarang ketawa. Dan bila ketawa, ketawanya luar biasa. Sampai kini skripnya Siapa Takutkan Amerika? tinggal dalam bentuk skrip. Kerana dia orang teater, maka dia tetap buat teater. Dia pentaskan Dari Medan Perang dan Menunggu Kata Dari Tuhan. Drama pertama menampilkan Rohani Yuosoff dan Azhan Rani. Manakala drama kedua menampilkan Sabri Yunus dan Sani Sudin. UUM kemudian memberikannya Sarjana Kehormat selaku anak Kedah dan orang teater serius yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada dunia teater. Bukan Bunuh Diri, Protes, Ana, Di Pulau Sadandi, Projek Izie dan lain-lainnya menjadikan Dinsman sebagai tokoh teater serius.
Kebetulan ketika pemidato yang akan ditulis untuknya, saya dan Sutung ikut sama berada di Hotel Quality, Jalan Raja Laut untuk memberikan penjelasan lisan tentang lain-lain pengelibatan dan penulisannya yang tertinggal. Tentunya Sutung kawan baiknya lebih tahu tentang Dinsman kerana mereka berdua yang menghidupkan Teater Elit. Dan Sutung juga menulis tesis Sarjana Mudanya dengan mengkaji "Diri dan Manusia dalam Ana karya Dinsman".
UUM tidak menilai Dinsman sebagai orang oposisi, tetapi menilainya sebagai seniman tulen. Dan idealisme seniman tidak boleh dijual beli.
Tuesday, April 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam.
Tak elok marah-marah, nanti darah naik. Banyakkan zikir.
Tapi, kalau nak lepas marah, ada tempat yg sesuai, Bucu....
syeikh,
mana lagi yg serius skg.. semua dah dimerapukan..tambahan politik kita skg..bukan bicara pasal kesusahan rakyat atas kenaikan harga brg.. tapi kesibukan bertumpu ke perut dan bawah perut....alahai
Post a Comment