Wednesday, December 22, 2010


Omadal


ketika desau bot merempuh ombak
tertegun aku akan pulau-pulau cantik
hijau sayup dari kejauhan, dan rumah-
rumah bajau berhalamankan laut
beratapkan lengkung biru langit dan
berbumikan keluasan lautan.

tak ada ketakutan kerana dengan kematian
akan bermulalah titik awal kehidupan
dan kehidupan harus dilangsungkan
tanpa perlu ada sempadan negara
kerana laut ini milik dan ciptaan Tuhan jua

sekolahku laut, kulitku angin, santapan
sekalian rezeki dari dasarnya, landak
laut yang enak. kami tak perlukan pasport
dan segala pengenalan diri
kerana alam kami lebih kenal
akan sekalian anak-anaknya.

kami menapak ke daratan pulau
meramas pasir cantik yang putih
ikan-ikan melembagakan di air jernih
kutakung hujan menantikan
kemarau panjang

pulau ini menyaksikan nisab kami
yang bersambungan, dan nisan aneh
adalah bukti kami telah berkurun
membina tamadun


pulau omadal
28 Feb. 2009

No comments: